Tuesday, May 12, 2015

Talian Hayat Presidente Del Bugisee


Al Ra'ez Hakumah Wahdah (Presiden Kerajaan Perpaduan) akhirnya bersuara.
 
Haji Abd Hadi Awang akhirnya keluar dari qubah pertahanannya. Haji Hadi keluar bukan untuk mempertahankan dirinya, akan tetapi pemimpin dari 'golongan yang dahulunya beliau kafirkan'. Dan dalam ramai-ramai pemimpin dari 'parti kafir' yang menjadi seteru partinya selama lebih setengah abad tersebut, Haji Hadi memilih memberi tongkat kepada pemimpin paling nazak. 
 
Dalam satu kenyataan yang dibuat kepada sebuah portal berita tempatan, Haji Hadi menegaskan Mohd Najib Abd Razak tidak sepatutnya tunduk kepada desakan dan harus diberi peluang untuk menyelesaikan masalah yang dihadapinya. Tambahnya lagi beliau bersetuju dengan tindakan Najib mempertahankan jawatannya dan bersetuju Najib perlu menghabiskan penggalnya.
 
Malah Haji Hadi secara sinis mengatakan tindakan sesetengah pihak yang mendesak Najib supaya meletakkan jawatan sesuatu yang memalukan. Beliau mengingatkan ahli politik di Malaysia sepatutnya mengamalkan sistem demokrasi yang sihat. Ingatannya itu berupa sindiran kepada Dr Mahathir Mohamad yang lantang menghentam Najib akhir ini, juga kepada rakan-rakan pemimpin rakan gabungan Pakatan Rakyat termasuklah Nurul Izzah anak Anwar Ibrahim.
 
Haji Hadi tidak berselindung lagi. Keinginannya untuk berbaik-baik dengan janda PAS itu makin terserlah. Usul Unity Government (UG) atau Kerajaan Perpaduan dipelopori beliau telah diusahakan di zaman Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi lagi. Kejatuhan Pak Lah langsung tidak mencacatkan hajat beliau untuk bersekutu dengan UMNO. Tentangan hebat Almarhum Nik Abd Aziz Nik Mat semasa hidupnya ke atas usaha perpaduan tersebut hanya memperlahankan Langkah Hadi. Dan kini dengan ketiadaan bekas Murshidul Am paling berpengaruh itu, jentera Haji Hadi bergerak dengan bebas dan lebih cerdas.
 
Dibantu penuh setia bekas Timbalan Presiden PAS Nassaruddin Mat Isa dan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Hassan Ali Al-Bugisee yang kini mesra Najib-UMNO, usul UG sedang giat ditarbiah di kalangan ahli PAS. Oleh kerana golongan profesional dalam PAS tidak mudah dibasuh mindanya untuk menerima idea ketuanan Melayu, maka golongan konservatif jadi sasaran. Menggunakan statusnya sebagai ulama serta pengaruh lebai-lebai, hukum wala' dan agenda kesatuan umat, Haji Hadi dan geng ustaz memaksa-rela golongan ini memaaf dan melupakan kezaliman dan kejahatan Najib-UMNO demi persaudaraan. Enakmen Jenayah Syariah Kelantan dijadikan modal permulaan ke arah usaha 'cium mulut' PAS-UMNO itu.
 
Persoalannya, mengapa Haji Hadi mahu menyokong Najib kekal di kerusi kuasa? Najib makin hilang sokongan ahli dan pemimpin partinya sendiri. Malah parti-parti komponen BN mula meminggirnya. Najib kini liabiliti kepada BN. Skandal-skandal yang membalut batang tubuhnya sudah tidak terbendung. Altantunya, kapal selam-kapal peronda-kapal terbang persendirian dan 1MDB sudah cukup membuatnya sibuk dan teralih tumpuan dari tugasnya sebagai Perdana Menteri untuk seluruh rakyat Malaysia. Untung Putrajaya kerana ada Perdana Menteri kedua.
 
Seorang Najib tidak mampu mengubah nasib Rang Undang-Undang Persendirian Haji Hadi di Persidangan Dewan Rakyat sesi Mei ini. Najib tidak akan meninggalkan UMNO untuk PAS kerana Rosmah Mansor akan mengkafankannya jika Hudud menjadi kenyataan. Lalu alasan apa lagi yang lebih logik menjelaskan tindakan mengejut Haji Hadi ini?
 
Apakah Haji Hadi memberi pengajaran kepada rakan gabungan dalam PR selepas terluka tidak dilantik ke jawatan Ketua Pembangkang? Apakah Haji Hadi memberi peringatan kepada pemimpin PR bahawa tentangan puak Erdogan, Anwarinas dan Demokrat tidak memberi kesan kepadanya sebaliknya beliau bakal menjadi lebih berpengaruh dan berkuasa? Atau apakah Haji Hadi memberi isyarat bahawa rundingan UG dengan Najib-UMNO kini di peringkat akhir dan PR bakal kehilangan PAS dalam masa terdekat? Melihat kepada kenyataan-kenyataan media beberapa pemimpin PAS kebelakangan ini, Haji Hadi dan geng ustaz seolah sudah bersedia berpisah dengan Pakatan Rakyat.
 
Terima kasih Haji Abd Hadi Awang. Kenyataan Haji Hadi kali ini akan memudahkan kerja ahli PAS, penyokong PR dan rakyat keseluruhan pada PRU14 nanti. Cepat-cepatlah bermuqtamar dan membentangkan usul berpisah dengan madu PKR-DAP dan bersegeralah merujuk janda UMNO. Rimas perut dan pedih hati pengundi PR terhadap tindak tanduk Haji Hadi sudah tidak terawat lagi.
 
Menyelamatkan Najib lebih penting dari menyelamatkan anak yatim, fakir miskin, orang kurang upaya, warga tua, anak-anak pelajar dan golongan susah, lebih penting dari menyelamatkan demokrasi negara yang tempang, lebih penting dari memperbetulkan sistem pentadbiran negara yang korap dan pincang, lebih penting dari mempertahankan roh-roh perjuangan Almarhum Tuan Guru Fadhil Noor dan Almarhum Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat. Menyelamatkan Najib tidak lebih hanyalah untuk menyelamatkan diri Tuan Haji.
 
Berbanggalah menjadi sebahagian catatan sejarah. Haji Hadi pemberi tali hayat kepada Presidente Del Bugisee yang ditolak ahli-ahlinya sendiri.

No comments:

Post a Comment