Monday, August 11, 2014

Pakatan Rakyat, Regim dan Selangor

Bagaimana satu kerajaan yang menguasai 44 daripada 56 kerusi DUN boleh goyah? Seperti satu pasukan yang ada begitu ramai pemain ternama tetapi kalah dalam liga bola yang disertai. Egolah puncanya. Dan bukan itu sahaja.

Selepas agak lama 'idle' semenjak PRU13 seluruh 'tentera' Regim kembali digerakkan untuk melaksanakan matlamat utama tuannya - menjatuhkan PR 'at all cost'. Hal rumahtangga PKR dijadikan modal. Jarum-jarum sudah mencucuk. Tidak cukup seluruh media milik mereka dikerah menghentam Anwar Ibrahim anak beranak, mendomba-domba pemilihan DAP dan PKR, Pengerusi UMNO Selangor Noh Omar awal-awal tampil memberi jaminan 12 ADUNnya menyokong Khalid Ibrahim kekal MB dan hari ini Timbalan Pengerusi BN Muhyiddin Yasin mengesahkannya. Menteri Agama Jamil Khir dan bekas Timbalan Presiden PAS mesra UMNO Nasaruddin Isa senyap-senyap mengadakan pertemuan dengan Timbalan Ketua Ulama PAS Haron Din. Mualaf Cina kini Melayu Ridhuan Tee menjolok PAS merebut kerusi MB dari PKR. Terima kasih Langkah Kajang!

Khalid Ibrahim sebenarnya sudah lama tidak berparti. Semenjak March 2013 beliau berlagak seperti Presiden Selangor. Dan bila dipecat dari PKR beliau mengesahkan lagi tingkatan keangkuhannya. Tindak-tanduknya diperdongengkan barisan komradnya sepertinya beliau menjuarai rakyat. RM3 billion rezab tunai dijaja serata alam seraya Khalid Ibrahim yang paling hebat. Yang tidak dihebahkan mereka ialah bagaimana tunai sebanyak itu dikumpulkan. PKR sudah lama mengelak buka pekong di dada. Jika dicanang isu rumahtangga, busuknya mengena hidung sendiri, terutamanya hidung Anwar Ibrahim yang leka menjaga Khalid Ibrahim berbanding Azmin Ali yang setia, senior dan paling layak berada di kerusi MB. Konflik Selangor adalah balasan nilai pengorbanan Khalid kepada Anwar selama ini dan meletakkan PR dalam keadaan sangat tidak selamat.

 
Rakyat Selangor jangan melatah dan gundah gulana. Isu Khalid Ibrahim vs PKR tidak jauh beza dengan versi Haron, Abu Hassan, Muhammad Taib dan Mad Said vs UMNO. Cumanya bila ada kena mengena dengan PR amnya dan Anwar Ibrahim khususnya, otomatik ia menjadi isu universal UMNO. Ia akan disiat-siat, dilapah, dimasak seempuknya bersama banyaknya perisa (menokok tambah dan mereka-reka) dan dihidangkan kepada rakyat Malaysia. Itulah sifat semulajadi Regim yang gemar menyelinap masuk ke dalam kain orang lain serta mahir menangguk di air keruh. Tindakan Regim kali ini yang sepatutnya melumpuhkan PKR telah menjadikan PAS yang berusia tapi kurang cerdik itu lebih parah. Selepas Haji Hadi Awang secara terbuka menyokong Khalid Ibrahim dikekalkan sekalipon wakil partinya telah bermesyuarat dengan pimpinan PR dan bersetuju Selangor mendapat MB baharu, ramai ahlinya mula meragui ulama-ulama mereka sendiri. Malah ada yang berani menyerang pimpinan pusat secara terbuka.  Sekalipon golongan professional dan moderate dalam PAS memilih 'low profile' dalam konflik Selangor namun mereka mampu melakukan ribut besar 'mengajar' kumpulan yang masih berdegil meneruskan agenda Kerajaan Perpaduan sekalipon muktamar lalu sebulat suara menentangnya.
 
PAS dikuasai Tuan-Tuan yang lebih pandai dan senang berceramah dari memerintah, cukup dengan sedikit acum-mengacum menjadikan mereka kalut sehingga tergugur serban dan terangkat jubah. Kekalutan sudah lama menjadi penyakit dalam PAS. Jika tidak kerana Almarhum Haji Fadhil Noor, PAS sudah lama koma. Diingatkan sekali lagi, isu Khalid Ibrahim vs PKR adalah isu rumahtangga. Kalutnya PAS mencampuri urusan dalaman PKR antara penyebab berlakunya konflik Selangor. Jika PAS terus kalut dalam urusan rumahtangga orang lain, PAS menjadi parti yang hanya berjaya di pentas ceramah semata. Dalam konflik MB Selangor PAS merimaskan 60% pengundi Selangor yang memilih PR pada PRU13 lalu. Dan PKR sama banyak khilafnya dengan PAS. Jika Majlis Pimpinan Pusat lebih peka dan berhati-hati dalam memilih dan menyokong calon PRU sudah pasti isu berpaling tadah dan mengkhianati pengundi seperti dilakukan ADUN dan MP PKR di Perak, Pulau Pinang dan Selangor tidak berlaku.
 
PKR sekutu termuda dalam PR, banyak kelemahan dan kekurangan yang perlu segera diperbaiki. Namun itu bukan lagi alasan untuk rakyat bersimpati dengannya bila tiba hari mengundi. Sungguhpon ada yang sedia memaafkan beberapa kesilapan PKR, namun ramai penyokong Anwar Ibrahim sendiri makin lantang mempersoalkan keupayaan dan kewibawaan partinya. Sekali lagi, terima kasih Langkah Kajang! Rakyat telah diperlihatkan dengan lebih jelas - apa, siapa, kenapa dan bagaimana keadaannya ahli-ahli dan parti-parti politik sebelum dan selepas memiliki kuasa. Sekadar nasihat, jangan melabel parti-parti, baik UMNO, PAS, PKR mahupon DAP sebagai parti yang mengangkat kejahilan. Kerosakkan yang berlaku berpunca dari mereka-mereka yang menganggotainya, terutama pemimpin-pemimpinnya, yang menjadi semakin jahil (dan jahat)