Monday, April 25, 2022

Lagi-Lagi Khemah Besar

Lagi kedengaran lontaran dari pemimpin komponen Pakatan Harapan yang mendesak PH merangkul sebanyak mungkin parti diluar PH untuk bekerjasama menentang Barisan Nasional pada PRU15. 

Jumlahnya kecil tetapi mereka bergerak sebagai satu pasukan kartel. Kartel yang turut digelar kumpulan gila talak dan kemaruk kuasa ini menolak pandangan majoriti penyokong PH yang sudah muak dengan idea khemah besar. 

Kumpulan ini hanya fokus pada satu misi dan mengabaikan satu sisi lain yang hangat dibangkitkan akar umbi. Barangkali ketagihan kerusi empuk Putrajaya membuatkan mereka hilang rasa serik dan malu.

Mampukah PH, PN dan Warisan-Pejuang-Muda menang PRU15 secara bersama? Bagaimana caranya?

1. Abdul Hadi Awang berkali-kali mempertahankan keputusannya tidak akan bekerjasama dengan PH. Sebahagian besar pimpinan utama PAS terang lagi bersuluh terhegeh-hegeh dengan UMNO dan anti DAP. 

Jikapun terbit keajaiban kerjasama PH - PN strategi tidak bertindih kerusi tak semestinya jaminan PAS tak khianat dan melakukan sabotaj. Undi PAS akan ke UMNO-BN.

PAS lebih bahaya dari Bersatu. Mereka bertegas perkukuhkan Muafakat Nasional ketika masih tidur sebantal dengan Bersatu dalam rumah PN dan ketika Hadi sudah berpatah arang dengan kumpulan pro Ahmad Zahid Hamidi. 

Menjadi rahsia terbuka PAS dan Bersatu pernah berkomplot dengan pihak tertentu dalam UMNO untuk merosakkan parti tersebut. Namun usaha mereka tidak berhasil. Maka tidak mustahil mereka akan melutut kepada UMNO jika mereka kalah besar PRU15. Benar lah kata Tengku Razaleigh Hamzah, PAS adalah pelacur. Kata penganalisis - pelacur politik paling berjaya.

Jika semua atau sebahagian kerusi disandang PAS kekal ia tidak cukup menjadikan mereka king maker. Di sini lah Gabungan Parti Sarawak dipimpin Abang Johari Openg main peranan utama.

Kerjasama PH sepatutnya melibat GPS, bukannya dengan parti yang terbukti paling munafik dan mengkhianati janji-janji.

2. Kerusi-kerusi tradisi dilarikan pengkhianat yang menyertai Bersatu sudah pasti kembali ke pangkuan UMNO maka berapakah kerusi parti Mahiaddin Yasin mampu menang? Perkiraan penganalisis - maksima 9 kerusi itupun jika tak bertindih dengan Warisan-Pejuang-Muda. Adakah mereka cukup kuat untuk membantu PH menawan Putrajaya?

3. DAP parti paling terkesan jika sekali lagi menjalinkan kerjasama dengan Bersatu-PAS. Bukan Melayu yang menjadi pengundi tegar PH akan memilih menghukum DAP-PH, samada dengan

i) memulau pilihanraya atau

ii) mengundi BN

Kerusi DAP akan berkurang, kerusi MCA akan bertambah.

4. Tiada jaminan kerusi PKR akan kekal apalagi bertambah jika Anwar Ibrahim masih calon Perdana Menteri PH. Pengundi sudah muak dengan tindak tanduknya lewat ini. 4 pilihanraya negeri sebelum ini yang dikempen secara agresif olehnya memberikan amaran sangat jelas - 'no more Anwar'.

PKR mesti kembali perkukuh akar reformasi dan menawarkan kepimpinan dan gerakan reformasi baharu atau bersedia hilang 2/3 kerusi.

Yang paling penting PKR mesti berhenti "minta nyawa" pada PN dan Pejuang. Percaya pada kekuatan sendiri atau selamanya jadi kuda tunggangan.

5. Majoriti kerusi ditandingi Amanah bertindih dengan PAS - UMNO. Jika elak bertanding sesama sendiri, kerusi mana akan mereka tandingi? PAS semestinya tidak akan menyerahkan kerusi mereka kepada parti serpihan. Adakah Bersatu, PKR dan DAP akan kompromi? Ramai meramalkan PAN akan kalah semua kerusi jika trend Melayu kembali kepada UMNO terus berlaku.

6. Warisan dan Pejuang bukan saja kalah semua kerusi malah hilang wang pertaruhan dalam PRN Johor. Parti Mohd Shafie Afdal dan Mahathir Mohamad tidak lagi relevan dalam senario politik hari ini. Ucapan dan tindakan terdahulu mereka sudah cukup membuktikan mereka bukan rakan yang boleh dipercayai.

7. Majoriti penyokong PH skeptik kejujuran dan kesetiaan Syed Saddiq - MUDA. Parti ini terdiri dari kumpulan elit muda yang rapat dengan taikun-taikun pro Mahathir. Besar kemungkinan mereka bakal mengulangi kerja khianat Bersatu dan meruntuhkan PH sekali lagi.

MoU PH - PM beri kelebihan kepada BN. Ismail Sabri telah memperkukuhkan semula sokongan Melayu kepada UMNO ketika PH terbukti terus gagal menarik kumpulan pengundi atas pagar apatah lagi mengalih sokongan pengundi UMNO. PH juga telah hilang banyak pengundi Cina kepada MCA-BN dan Gerakan-PN.

Serakus-rakus UMNO sekurangnya mereka merangkul akar umbi melalui AGM dan EGM sebelum membuat keputusan-keputusan besar. Apa yang diamalkan PH sekarang hanya menjerat diri. Majlis Presiden yang membuat keputusan tanpa berunding dengan akar umbi perlu bertanggungjawab di atas kegagalan demi kegagalan, sebagai cara menebus kekecewaan penyokong dan penggundi.

Sudah-sudah lah mempercayai munafik politik. Sudah-sudah lah berkompromi dan berlembut tak bertempat. Sudah-sudah lah sanggup selimut bersama perompak dan pengkhianat demi jawatan PM!

Jika PH mahu rangkul peluang lebih baik pada PRU15, Majlis Presiden mesti dirombak, calon PM mesti ditukar dan PH kembali perjuangkan rakyat. Jika gagal sepakat dalam hal ini adalah lebih baik PKR, DAP, Amanah dan UPKO bubarkan PH dan  bergerak sendirian atau memilih menyertai pakatan lain. Hanya itu caranya.