Monday, March 29, 2021

Kekecewaan Melayu

Rasis

Apabila satu kaum menegur satu kaum lain kerana pakir kenderaan di tempat yang salah namun yang ditegur merasa teguran itu bersifat rasis dengan mengaitkan kaum lain boleh buat kenapa dia tidak maka 🇲🇾 berdepan ancaman bahaya. Bila teguran ke atas kesilapan pun dimengerti dan disabit warna kulit, rakyat tak lagi hormat perkara rukun. Tidak mustahil anak cucu kita kelak lagi tebal prasangka mereka.

Realitinya, ia bermula apabila parti-parti politik didominasi satu kaum gagal menyemat rasa hormat dan patuh di kalangan penyokong mereka ke atas kesepakatan muhibah warga berbilang kaum di negara ini. Kelemahan ini amat jelas berlaku dalam UMNO, PAS, DAP, MCA dan MIC.

Pakatan Harapan yang dianggotai DAP turut tercalar imej kemajmukannya. Ia terbukti apabila PH memerintah selama 22 bulan, dipenuhi tindakan-tindakan kaduk naik junjung. Kononnya mereka memperjuang keadilan sosial tetapi bila ada sedikit kuasa lagak mereka iras Xi Jinping dan Narendra Modi. 

Bertahun-tahun mereka menuduh UMNO parti perkauman hanya kerana mempertahankan bangsa Melayu tetapi apabila mereka mempertahankan kaum mereka dari kaum lain, mereka tidak boleh dituduh dan berang digelar perkauman. Selective interpretation.

PH juga gagal mempraktikkan salah tetap salah walau apa pun keturunan mereka.

Selepas mendapat kuasa Persekutuan PH tak memberat ancaman ini. Anwar Ibrahim terlalu sibuk menjaguhi agenda reformasi tetapi dalam sedar mengabaikan asas penubuhan negara bangsa. 

Jika Ketuanan Melayu salah maka Sinicization 🇨🇳 dan Hindutva 🇮🇳 juga salah. Andai mana-mana pegangan tersebut dibenar meresap dan berdiri di bumi berbilang lapis ini ia akan melebar perbedaan dan sengketa serta mengancam keamanan negara. Siapa pun yang pegang tampuk pemerintahan mesti tegas lakar sempadan.

🇲🇾 akan runtuh ke tahap tak boleh lagi diperbaiki bila PERPADUAN hanya drama dan memenuhi agenda korikulum, kempen PRU dan sambutan temasya; nasionalisma dianggap ancaman pada agama; peluang dan hirarki kerjaya terus bersandar pada latar bangsa dan budaya; pendidikan terus berasas pada jalur nama dan bahasa.

Merempat

Setakat melaung mempertahan Perlembagaan dan nasib bangsa tidak memadai. Laungan mesti beserta keikhlasan, tinggi semangat kebangsaan dan tidak mementingkan diri sendiri.

Tanah, ekonomi dan politik sudah lama mula dikuasai kaum asing hatta bangsa 🇹🇭, 🇲🇲, 🇧🇩 dan 🇵🇰 lebih berjaya dan berpengaruh di Persekutuan Melayu. Bahasa dan budaya mereka pula mula dibangga dan disebar luas hingga berjaya menenggelamkan budaya orang asal.

Andai kaum lain merempat memangnya nasib mereka bermula di negara asal. Mereka tak merantau jauh ke 🇲🇾 jika keadaan mereka di tanahair lebih baik. 

Namun keadaan Melayu merempat di bumi sendiri sangat sukar untuk diterima, tambah lagi selepas 60 tahun merdeka. Sejak 1957 negara ini diketuai dan dipimpin Raja-Raja dan Perdana Menteri Melayu. 

Dulu tanah dipijak milik mereka, tanaman dituai milik mereka, mineral digali milik mereka. Kini apa sudah jadi? Merdeka Melayu di mana?

🇲🇾 dibuka seluasnya kepada bangsa asing atas nama globalisasi dan industrialisasi. Kesannya - kapitalis tempatan tak malu dituduh tidak patriotik kerana menyusu kera-kera di hutan apa lagi lah kapitalis luar; hasil-hasil bumi dikongsi dengan pendatang tanpa had, bekalan domestik terbatas, anak-anak malnutrisi lantas kesihatan dan pembesaran mereka terjejas, seterusnya menyebabkan belanja perubatan meningkat.

Bahagian

Tidak boleh menafikan UMNO ada bahagian besar dalam kegagalan Melayu menguasai ekonomi, teknologi dan kemahiran hari ini. 

Berpuluh tahun semenjak merdeka UMNO kuasai majoriti kerusi BN di Pulau Pinang tetapi jawatan Ketua Menteri diberi kepada bukan Melayu dari Parti Gerakan Rakyat Malaysia. 

Dari sini lah bermulanya gerakan secara sistematik dan teknikal seperti alasan tiada geran tanah yang sah walaupun Melayu sudah mendiami tanah pusaka nenek moyang mereka berpuluh malah beratus tahun, menghambat Melayu keluar dari pulau, iaitu bahagian berpusatnya industri dan perniagaan utama di negeri pelancongan dengan jolokan Pulau Mutiara. Dan selama tempoh itu UMNO tidak berbuat apa-apa, termasuk berusaha merampas kuasa eksekutif negeri dan merubah senario semasa. Sebaliknya UMNO terlibat sama dengan taiko-taiko Gerakan dan MCA membalun tanah Melayu, memanipulasi harga hartanah, membiarkan berlakunya kasta pekerjaan dan mewujudkan jurang ekonomi antara Melayu, Cina dan India.

Semenjak itu kebanyakan Melayu berpindah ke bahagian seberang, tidak kurang yang berhijrah ke Kuala Muda, Sungai Petani, Padang Serai, Kulim dan Bandar Baharu di Kedah. Harga tanah dan rumah kediaman di situ lebih murah manakala kos sara hidup jauh lebih baik berbanding di negeri asal.

Berkorban

Melayu sudah banyak berkorban dan mengalah.

Melayu tidak pernah merempat ke Semenanjung Arab, India dan China lalu menuntut hak sama rata ke atas anak-anak mereka. Melayu tidak pernah wujudkan Malay Town atau Lebuh Melayu di perantauan. Melayu juga tidak pernah membina sekolah khas bangsa Melayu dengan bahasa pengantar Melayu dan peperiksaan khas silibus Melayu di luar 🇲🇾. 

Walau berbeda adat resam dan terhalang oleh kepercayaan agama Melayu tidak berasa janggal untuk berasimilasi dengan masyarakat setempat. Begitu halnya Melayu mudah menerima kaum-kaum dari Arab, India, Pakistan, Bangladesh, Thailand, Burma dan China tinggal kekal di negara ini. Melayu berpegang pada - 'di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung' dan 'bersatu teguh bercerai roboh'.

Ketika Melayu sedar UMNO dan semua parti-parti serpihannya korup manakala PAS hanya menunggang agama demi kuasa, Melayu tiada pilihan untuk bergantung harap. 

Parti-parti diketuai Melayu dalam PH tak mampu jadi alternatif lebih baik. Samada pemimpinnya terlalu veteran, atau DNAnya masih BN, atau fahamannya terlalu ekstrem, atau pendekatannya terlalu longgar, atau kemampuannya terlalu terbatas, atau mungkin lebih mudarat dari hantu-hantu UMNO.

Melayu terpaksa pilih parti dan pemimpin yang pertahankan hak mereka sepertimana Cina memilih DAP. Walaupun parti-parti Melayu ini hanya beretorik menjelang PRU dan walaupun bangsa Melayu sudah lama skeptik dengan keikhlasan mereka, sekurangnya "munafik" tersebut masih sanggup bersuara mengangkat dan pertahan hak Melayu di mata umum. Dengan itu rata-rata Melayu masih rela menyerah nasib mereka kepada "pembela" ini.

Politik zaman kini bukan lagi politik persepsi, tetapi konteks dan progresi. Apa guna bercakap soal kontrak dan keadilan sosial ketika satu pihak hanya menurut dan menyerah manakala pihak lain terus menuntut dan memerah, ketika satu pihak merendah diri manakala pihak lain naik kepala. Andai ini berterusan usah salahkan Melayu tetap pilih UMNO dan PAS!




Saturday, March 13, 2021

Reset Malaysia

Prasangka dan kebencian rakyat terhadap politik makin hari makin menebal. Samada BN, PH atau PN, gabungan-gabungan tersebut pada pandangan umum sebagai sama saja. Politikus tak jujur pada janji dan tak setia pada pengundi. Tukar parti seperti salin pakaian. Demi kuasa, pangkat dan habuan, amanah dan kepercayaan diserahkan rakyat pada mereka seolah tiada makna.

Dinosaur-dinosaur politik dalam UMNO, PAS, DAP, PBB, PBRS, PBS, STAR, PKR, PAN, PWS, PPBM dan lain-lain bertanggungjawab menyemarakkan kebencian ini. Keangkuhan, kerakusan, kebodohan, kejahilan dan perseteruan politikus tanpa henti jadi punca segala kepincangan yang memangsakan rakyat dan negara.

Negara-negara serantau termasuk pengamal komunisma berlumba-lumba memajukan pembangunan, sistem pentadbiran dan hak asasi, tetapi penguasa dan politikus Malaysia berlumba-lumba menarik negara ke belakang. Pecah amanah menjadi KPI. Rasuah, salahguna kuasa dan permusuhan meruntuhkan asas-asas yang dibina nenek moyang kita sekaligus mengagalkan negara secara holistik.

Fokus terpesong dan politiking berlebihan khususnya ketika perang ekonomi dan krisis pandemik hanya melemahkan proses pemulihan malah menjerumus kejatuhan, di samping banyak cabaran-cabaran warisan yang status quo - ekonomi dikuasai beberapa kerat individu, kemajuan diterjemah dari angka-angka kosmetik lagi konservatif dan muhibah diukur pada acara sambutan keraian dan perayaan yang dipaksa dan ditaja kerajaan.

Malaysia perlu RESET. Cabang Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman perlu bebas sepenuhnya dari pengaruh satu sama lain. Pengaruh dan kuasa tanpa batas penguasa dan politikus ke atas penjawat awam dan aset negara perlu dihentikan. 

Badan-badan penting negara seperti JPN (Peguam Negara dan Pendakwaraya Negara), BNM, SPRM, SPR dan lain-lain mesti bertanggungjawab terus kepada Parlimen. Majlis Raja-Raja perlu kekal jadi payung dan tidak memihak.

Demokrasi perlu diperkasa. Kuasa menghukum serta merta wakil rakyat yang mungkir janji dan kuasa menuntut Kabinet/Pegawai Tertinggi yang gagal menjalankan tanggungjawab disingkirkan dari jawatan perlu dipulih dan dikembalikan kepada rakyat. Negara-negara maju sudah lama mengamalkannya.

Dunia hari ini zaman teknologi canggih dan berlalu pantas. Fokus jangka panjang bukan lagi sekitar 5 hingga 10 tahun. Parlimen dan DUN tak perlu tempoh 5 tahun untuk menguji kefungsiannya. Rakyat perlu memilih kerajaan baharu setiap 3 tahun. Parlimen dan DUN perlu berjalan genap 36 bulan, tak lebih dan tak kurang. 

Sekiranya Kabinet gagal menjalankan tanggungjawabnya rakyat berhak menuntut wakil mereka memilih Perdana Menteri/Ketua Menteri/Menteri Besar baharu di pertengahan penggal melalui referendum.

Undang-undang terpakai sama rata, dari penghuni Istana, penguasa hingga ke rakyat melata. Sikap berkecuali perlu dikekalkan di peringkat antarabangsa. Peluang rakyat untuk berilmu, berkerjaya, berniaga dan berbakti perlu sekata. Keharmonian kaum perlu jadi teras segala polisi dan hala tuju negara.

Runtuhnya sesebuah tamadun bangsa negara bukan kerana perubahan kerajaan, tetapi kerana sikap sesebuah kerajaan yang takut berubah dan takutkan perubahan. Negara akan aman makmur apabila pemerintah menghormati majikannya yakni majoriti rakyat yang memilih mereka! #ResetMalaysia