Tuesday, August 21, 2018

Cadangan Kepada Pengerusi SPR

Cadangan kepada Pengerusi SPR baharu Tuan Azhar 'Art' Harun

1. Meminda Perlembagaan menetapkan

(i) pilihanraya diadakan setiap 5 tahun (genap 60 bulan) melainkan terdapat referendum dan diperkenan Majlis Raja-Raja untuk pilihanraya awal

(ii) tempoh berkempen bagi pilihanraya umum dan negeri tidak kurang 10 hari dan tidak lebih 21 hari, pilihanraya kecil tidak kurang 5 hari dan tidak lebih 10 hari

(iii) kelayakan bertanding calon mesti berumur genap 21 tahun ke atas. Untuk bekas banduan kesalahan jenayah calon mesti terlebih dahulu mendapatkan Pengampunan Penuh oleh Majlis Raja-Raja 

(iv) pendaftaran pemilih secara otomatik untuk setiap warganegara genap umur 21 tahun

(v) status wakil rakyat yang dijatuhkan hukuman denda sivil tidak lebih RM10,000 dikekalkan DAN

2. Meminda Perlembagaan menetapkan

(i) persempadanan semula kawasan pilihanraya setiap 5 tahun dan mesti diwartakan pada pertengahan penggal pentadbiran

(ii) julat perbedaan pemilih antara kerusi Dewan Rakyat tidak melebihi 5%, antara kerusi Dewan Undangan Negeri tidak melebihi 10% DAN

3. Mengubal undang-undang: 

(i) Recalled Election untuk membolehkan pemilih memecat wakil rakyat di Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri yang menukar wadah politik atau gagal membuktikan kefungsiannya ATAU 

(ii) Imperative Mandate untuk membolehkan parti politik memecat wakil rakyat mereka di Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri yang menukar wadah politik atau gagal membuktikan kefungsiannya DAN

4. Meminda Perlembagaan membolehkan wakil rakyat yang dipecat kerana menukar wadah politik seperti perkara 3 (i) dan (ii) bertanding semula di kerusi Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri yang sama ATAU

5. Meminda Perlembagaan menetapkan:

(i) pilihanraya umum dan negeri memasukkan pertandingan memilih Ketua Eksekutif dan Timbalan Ketua Eksekutif Persekutuan atau Negeri. Regu yang memenangi kerusi Ketua Eksekutif Persekutuan atau Negeri akan:

a. memimpin kerajaan Persekutuan atau Negeri sehinggalah Parlimen atau DUN dibubarkan

b. memilih anggota dan menentukan jawatan mereka dalam Kabinet Persekutuan atau Negeri. Anggota Kabinet Persekutuan atau Negeri MESTI lah bukan anggota Dewan Negara, Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri serta MESTI lah diluluskan ke jawatan dengan majoriti mudah oleh Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri

Pertukaran wadah politik, atau pengosongan disebabkan kematian atau masalah kesihatan, atau pengosongan disebabkan tindakan undang-undang Perkara (6) ke atas Ketua Eksekutif TIDAK menjejaskan kedudukan, struktur dan fungsi Kabinet sedia ada. Timbalan akan memangku jawatan Ketua Eksekutif Persekutuan atau Negeri dan mengetuai Kabinet Persekutuan atau Negeri sehinggalah Parlimen atau DUN dibubarkan 

Sekiranya berlaku pertukaran wadah politik, atau pengosongan disebabkan kematian atau masalah kesihatan, atau pengosongan disebabkan tindakan undang-undang Perkara (6) ke atas Timbalan/Pemangku Ketua Eksekutif TIDAK menjejaskan kedudukan, struktur dan fungsi Kabinet sedia ada. Menteri atau EXCO terkanan akan memangku jawatan Ketua Eksekutif Persekutuan atau Negeri dan mengetuai Kabinet Persekutuan atau Negeri sehinggalah Parlimen atau DUN dibubarkan.

Sekiranya Kabinet Persekutuan atau Negeri tidak lagi memperolehi kepercayaan majoriti rakyat, atau secara kolektif menderhakai titah berperlembagaan Majlis Raja-Raja, atau secara kolektif mengkhianati Sistem Demokrasi Berperlembagaan, atau secara kolektif mengambil tanggungjawab moral disebabkan tindakan undang-undang Perkara (6) ke atas Ketua dan Timbalan/Pemangku Ketua Eksekutif maka seluruh anggota Kabinet Persekutuan atau Negeri MESTI lah meletakkan jawatan sekaligus Parlimen atau DUN terbubar secara otomatik DAN

(ii) pilihanraya umum dan negeri sebagai pemilihan Party Mandate atau Party Representation yakni sebagai pertandingan antara parti politik. Kerusi Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri yang dimenangi parti politik adalah milik parti sehinggalah Parlimen dan DUN dibubarkan.

Pertukaran wadah politik, atau pengosongan disebabkan kematian atau masalah kesihatan, atau pengosongan disebabkan tindakan undang-undang Perkara (6) ke atas wakil rakyat TIDAK menjejaskan kemenangan parti. Wakil rakyat baharu akan dilantik parti yang memenangi kerusi tersebut mengisi kekosongan.

Sekiranya majoriti anggota Dewan Negara, Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri tidak lagi memperolehi kepercayaan majoriti rakyat, atau menderhakai titah berperlembagaan Majlis Raja-Raja, atau mengkhianati Sistem Demokrasi Berperlembagaan, atau mengambil tanggungjawab moral disebabkan tindakan undang-undang Perkara (6) ke atas Ketua Eksekutif Persekutuan atau Negeri yang mewakili parti maka seluruh anggota Parlimen atau Dewan Undangan Negeri MESTI lah meletakkan jawatan sekaligus Parlimen atau DUN terbubar secara otomatik DAN

(iii) Proportional Representation yakni kerusi Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri ditentukan melalui jumlah undi yang diterima parti (BUKAN gabungan parti-parti) yang bertanding secara 'proportional'

Contoh: 

Parti PKR menerima 30% dari jumlah 22,000,000 pemilih 222 Kerusi Dewan Rakyat. Parti PKR memenangi  67 kerusi. 

Parti UMNO menerima 40% dari jumlah 1,000,000 pemilih 40 Kerusi Dewan Undangan Negeri. Parti UMNO memenangi 16 kerusi

Perwakilan parti PKR untuk 67 Kerusi Dewan Rakyat dan perwakilan parti UMNO untuk 16 Kerusi Dewan Undangan Negeri DITENTUKAN parti masing-masing melalui pencalonan oleh pimpinan atau pengundian oleh ahli parti samada di peringkat bahagian, negeri atau nasional ATAU

(iv) pilihanraya umum dan negeri adalah pertandingan antara individu. Kerusi Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri yang dimenangi individu adalah milik individu sehinggalah Parlimen dan DUN dibubarkan, atau perletakan jawatan secara sukarela, atau pengosongan disebabkan kematian atau masalah kesihatan, atau pengosongan disebabkan tindakan undang-undang Perkara (6) ke atas wakil rakyat

Pertukaran wadah politik TIDAK menjejaskan kemenangan wakil rakyat, tidak perlu meletakkan jawatan dan mengosongkan kerusi

6. Memperkasa undang-undang melarang:

(i) penggunaan aset, jentera dan kakitangan awam untuk tujuan berkempen oleh kerajaan caretaker DAN

(ii) pengumuman projek baharu kerajaan, pemberian derma, sumbangan, hadiah atau seumpamanya kepada pemilih ketika berkempen oleh kerajaan caretaker DAN

(iii) penggunaan agama, tokoh agama, pusat keagamaan dan ibadat, simbol keagamaan dan seumpamanya ketika berkempen oleh parti politik DAN

(iv) penggunaan agen asing atau kepakaran asing dalam perancangan, strategi, pengiklanan, komunikasi, aktiviti dan konvension kempen pilihanraya

Pelanggaran salah satu dari perkara 6 (i) hingga (iv) boleh membatalkan keputusan pilihanraya DAN

7. Mengubal undang-undang menetapkan:

(i) pengunaan alat imbasan biometrik pada hari-hari mengundi. Pengundian luar negara adalah melalui atas talian atau laman sesawang, hapuskan amalan undi pos

(ii) pemilih berdaftar mengemaskini maklumat kad pengenalan setiap 5 tahun. Kegagalan mengemaskini maklumat menyebabkan kelayakan mengundi digantung (kerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara, memperkenalkan Kad Pengenalan dengan tamat tempoh)

8. Mengubal undang-undang pendanaan parti politik, badan bukan kerajaan pro parti politik dan ahli politik; pendanaan kempen pilihanraya dan pendanaan majlis umum tajaan parti dan ahli politik. Pendanaan termasuk derma dan pinjaman kewangan; derma, wakaf dan pinjaman asset kekal dan bolehubah; tajaan hadiah dan siaran media; pemberian saguhati kempen; elaun, kelengkapan dan makanan sukarelawan dan sebagainya

9. Meminda Perlembagaan menetapkan setiap calon pilihanraya hanya boleh bertanding salah satu, samada kerusi Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri

10. Meminda Perlembagaan membenarkan Suruhanjaya Pilihanraya melaksanakan referendum ke atas dasar-dasar kerajaan Pusat dan Negeri, atau referendum untuk mencadangkan satu tarikh pilihanraya awal kepada Majlis Raja-Raja

11. Meminda Perlembagaan membenarkan Jawatankuasa Khas Parlimen Pilihanraya menyemak dan mengawasi proses pendaftaran pemilih, persempadanan semula kawasan pilihanraya, pengesahan dan pembatalan calon, pembuangan dan pengiraan undi awal dan undi umum serta pengistiharan pemenang pilihanraya

12. Memperkasa undang-undang membenarkan pemerhati tempatan dan antarabangsa memantau pilihanraya umum dan negeri

13. Meminda Perlembagaan menetapkan pelantikan Senator adalah bersandarkan jumlah penduduk. Seorang Senator mewakili setiap 250,000 - 300,000 penduduk negeri. 1/3 kuota Senator dipilih kerajaan Persekutuan dan diperkenan Yang Di Pertuan Agong manakala 2/3 kuota Senator dipilih kerajaan negeri dan diperkenan Sultan/Yang DiPertuan/Raja negeri. Senator dilantik pada pertengahan penggal pilihanraya. Tempoh jawatan Ahli Dewan Negara adalah bersamaan dengan tempoh jawatan Ahli Dewan Rakyat iaitu 5 tahun (genap 60 bulan)



Thursday, August 9, 2018

SST vs GST

Ramai yang marah-marah dengan keputusan kerajaan memansuhkan GST dan mengembalikan SST. Mereka memetik pengakuan Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa GST lebih telus dari SST.

Ada beberapa kemungkinan mengapa perkara ini berlaku.

1. Ketakutan SST lebih mudarat dari GST

Ramai bekas Menteri mempromosikan GST sebagai cukai telus yang akan menurunkan harga barang. Namun selepas setahun perlaksanaannya ternyata harga barang semakin hari semakin naik dan kuasa ringgit rakyat semakin menyusut.

Pengalaman ini membina persepsi negatif rakyat terhadap pengenalan cukai baharu oleh pemerintah.

2. Kejahilan memahami mekanisma cukai

GST adalah cukai pelbagai peringkat. Maksudnya cukai ini dikenakan hampir di semua peringkat. Dari pembekal, pembuat, pemborong, peruncit hingga ke pembeli. Barang-barang yang tidak dicukai di peringkat akhir (pengguna akhir) tidak semestinya tidak dicukai.

Sebotol minyak masak tidak dikenakan GST kepada pengguna akhir tetapi dicukai ke atas pembekal bahan dan pembuat. Begitu juga kesnya sebungkus roti. Itulah sebabnya selepas GST dilaksanakan harga minyak (selain faktor pemansuhan subsidi) dan roti tetap naik.

Majoriti barang dan perkhidmatan dalam sistem ekonomi negara dikenakan GST.

SST pula cukai satu peringkat. Ia hanya dikenakan di peringkat akhir (pengguna akhir). Kadarnya lebih tinggi berbanding GST akan tetapi jauh lebih baik dari 6% untuk setiap peringkat. SST dicukaikan sekali ke atas end product.

Berbanding GST, SST dikenakan ke atas barang dan perkhidmatan tertentu yang majoritinya dibeli dan diguna oleh kumpulan berpendapatan sederhana dan tinggi.

3. Kegagalan mengkaji

Rata-rata yang menzahirkan kemarahan adalah mereka-mereka yang

a) tidak berbelanja di zaman adanya SST maka tidak mengetahui perbedaan dan manfaatnya

b) yang berbelanja di zaman adanya SST namun melebihi tahap kemampuan dan keperluan. Pemborosan menyebabkan mereka gagal menabung sekaligus menambah beban hutang. Sedikit perubahan kepada kaedah pencukaian memberi kesan kepada situasi kewangan mereka.

Kerajaan hari ini dilihat lebih berhati-hati memberi komitmen dalam hal berkaitan polisi umum. Menteri tidak memberi jaminan dengan perlaksanaan SST harga barang lebih rendah (seperti jaminan Menteri terdahulu semasa perlaksanaan GST) namun memberi keyakinan harga barang tidak lagi melambung tinggi.

Samada GST atau SST, kerajaan terpaksa mengenakan cukai untuk kelangsungan negara. Kerajaan tidak dapat meneruskan aktiviti pemangkinan ekonomi dan kemakmuran tanpa dana mencukupi, khususnya ketika perbendaharaan menanggung beban hutang melebihi MYR800 billion.

SST masih belum dilaksanakan. Berilah keadilan kepadanya. Tempoh 12-24 bulan memadai untuk melihat kesan baik buruknya kepada ekonomi rakyat.

GST lebih telus, tetapi SST lebih adil!