Friday, February 18, 2022

Agenda Kempen

Penulisan ini menjawab hujah seorang AP PKR yang mengatakan keperluan melakukan kajian teliti isu kemiskinan dan hasilnya dikongsi kepada rakyat sebagai bahan kempen.

Persoalan.

Adakah orang kampung akan hadap hujah panjang lebar versi academia? Adakah statistik yang rumit sesuai dijadikan bahan kempen di semua kawasan? Mampukah ia menarik undi dan memenangkan parti? 

Pengundi khususnya Melayu mengundi kerana 1 - 2 isu semasa. Abdullah Ahmad Badawi dan BN menang mega majoriti pada PRU11 kerana orang awam (1) meluat dengan amalan kronisma Mahathir (2) tertarik dengan idea adil Islam Hadhari.

Namun pada PRU12 Pak Lah dan BN hilang lebih 12% undi kerana (1) kelemahan pentadbiran manakala anak menantu "budak tingkat 4" terlalu berkuasa (2) polisi menghapuskan subsidi. Hinggakan gula-gula PRU yang menjadi amalan BN berzaman tidak mampu membendung kemarahan rakyat.

Mohd Najib Abd Razak dan BN tersungkur pada PRU14 selepas 60 tahun gagah berkuasa kerana rakyat di kampung dan di bandar murka (1) kemewahan berbelanja Najib-Rosmah anak beranak, ada kaitan langsung dengan dana negara dari SRC dan 1MDB (2) salahguna kuasa dan tidak amanah eksekutif, kehakiman dan pentadbiran awam.

Kebiasaanya asas kemarahan rakyat terhadap BN ialah antara dua (1) sara hidup tinggi dan (2) peluang kerjaya terbatas. Namun jika Najib, Ketua-Ketua Menteri, Menteri-Menteri Kabinet dan Ahli Parlimen BN serta pegawai tinggi awam pro bN tidak bermewah-mewah dan tidak pula menunjuk-nunjuk kemewahan mereka nescaya rakyat masih mampu bersabar dan terus percayakan BN.

Buktinya pengundi khususnya di kawasan luar bandar Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, N.Sembilan, Johor, Sabah dan Sarawak tetap memihak BN pada PRU13. Ketika itu Najib baru mengambil alih tompak pentadbiran daripada Pak Lah dan kegiatan menyombong dan bermewah mereka belum kerata.

Isu kesempitan hidup saja tak mampu mengugat mitos bahawa hanya BN mampu tadbir negara dengan baik. Kesempitan hidup sudah kukuh berakar dan terus menjalar di negeri-negeri utara, pantai timur dan Borneo, menjadi antara negeri paling ramai penduduk termiskin namun BN tidak tersungkur di sana walaupun ramai rakyatnya susah.

Jika rakyat mengundi kerana tekanan menyara hidup dan jurang pendapatan semata-mata kenapa strategi sekampit beras, sekotak keperluan asas, sekeping kain pelikat dan ang pow bernilai RM50 - RM200 sekali setiap 5 tahun terus menangkan BN di kawasan luar bandar?

Wakil rakyat pembangkang yang berasa mereka bijak ala pengkaji Oxford Stamford berfantasi bahawa majoriti rakyat 🇲🇾 memiliki tahap pendidikan yang tinggi serta capaian/carian dan pemahaman kepada maklumat dari skandal-skandal pemimpin negara yang terburuk dalam sejarah dunia moden adalah cukup baik. Kajian wakil ini cukup bagus tapi hubungan hasil kajian mereka dengan dunia realiti jauh terputus.

Kesedaran rakyat 🇲🇾 bahawa eksekutif/kabinet sangat berkuasa membentuk masa depan rakyat masih rendah. Strategi, keputusan dan tindakan kerajaan sebelum ini menyebabkan majoriti Melayu terus terpinggir dalam pendidikan dan ekonomi, tercicir dalam arus pemodenan. Ini tidak disampaikan dan dipercerahkan kepada rakyat/pengundi.

Rakyat khususnya kaum Melayu bosan dengan politik kerana pemimpin Melayu jadikan politik sukar, jijik dan gampang. Namun Melayu tetap keluar mengundi kerana isu-isu semasa yang dimainkan. Samada skalanya besar atau kecil benar atau manipulasi, isu kaum dan agama akan terus pengaruhi dan juarai mood mengundi. Buktinya isu semasa seperti kematian Adib dan ICERD sudah cukup mengalahkan PH dalam beberapa siri PRK selepas PRU14. Itu FAKTA!