Monday, June 1, 2020

Kembalikan Demokrasi

Kurang Ajar

Hutang wang dibayar wang. Hutang khianat dibayar khianat.

Muhyiddin Yasin dan sekutunya dari Pertubuhan Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) telah mengkhianati bukan sahaja rakan-rakan pimpinan partinya sendiri malah pimpinan, penyokong dan pengundi Pakatan Harapan (PH) yang membantu memenangkan mereka pada PRU14 di bawah logo Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Rakaman suara mirip Muhyiddin secara jelas membuktikan usaha pihak tertentu menyogok habuan jawatan Menteri dan Pengerusi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) kepada wakil rakyat UMNO supaya menyokong gerakan menubuhkan kerajaan pintu belakang, sekaligus menidakkan hak bersama PKR, Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Amanah Negara (PAN) mentadbir negara. 

Menubuhkan kerajaan Persekutuan dan negeri tanpa melalui mandat pilihanraya bersama Regim Mohd Najib Abd Razak - Ahmad Zahid Hamidi dan Parti Islam SeMalaysia (PAS) jelas mengkhianati rakyat yang telah lama bersabar dan bersusah payah menjatuhkan kerajaan korup Barisan Nasional (BN). PRU14 rakyat telah memilih PH untuk menerajui Putrajaya, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor serta gabungan PH-Warisan di Sabah.

Muhyiddin bukan sahaja takut untuk menguji kesahihan majoritinya di Dewan Rakyat dengan menunda Persidangan mengguna alasan pandemik #COVID19 malah tiada keberanian untuk mengadap rakyat mendapatkan mandat baharu.

Apa yang dilakukannya bukan sahaja menyalahi etika berpolitik malah melibatkan jenayah rasuah. Rakyat tidak pernah berdepan permainan politik sejelik dan selacur ini. Ini adalah tindakan paling kurang ajar dalam peradaban politik moden.

Oleh kerana rakyat tidak pernah melalui pengalaman kurang ajar sebegini maka jalan paling sesuai untuk mengajar si kurang ajar adalah dengan kembali bersikap kurang ajar.

Kerajaan PH mesti kembali ditegakkan di Putrajaya, Kedah, Perak, Melaka dan Johor dengan cara dan kaedah sebagaimana ia dirampas Muhyiddin Yasin dan sekutunya sebelum ini. Tidak cukup dengan itu, PH mesti menghukum para pengkhianat ini. Titik.

Kerajaan PH 2.0

Selain berbeda ideologi muafakat politik antara parti komponen PH agak longgar. Tidak seperti BN yang berdiri dalam struktur kepimpinan yang kukuh, Majlis Presiden PH tidak berkuasa ke atas ketua kerajaan Persekutuan dan negeri. Tumbang kerajaan PH sebelum ini disebabkan lemahnya ikatan kesefahaman dan semangat kesatuan.

Dikatakan telah wujud pelan peralihan kuasa antara Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim sebelum PRU14 namun tiada tarikh dipersetujui. Ini bukanlah satu bentuk muafakat politik yang baik sebaliknya tidak lebih permainan selamat pemimpin tertentu. Ini tidak bagus untuk kestabilan politik dan ekonomi negara jangka panjang.

Dipercayai Dr Mahathir telah beberapa kali bertindak melampaui Majlis Presiden PH termasuk dalam menamakan barisan Kabinetnya. Calon-calon yang dinamakan parti tidak dipilih sebaliknya beliau menggunakan "hak prerogatif" Ketua Badan Eksekutif untuk memilih. Ini jelas menidakkan usaha kesefahaman dan kesatuan.

"Hak prerogatif" ternyata gagal memberi kelebihan bukan sahaja kepada dirinya, malah kepada partinya, pakatan, rakyat dan negara. Disebabkan "hak prerogatif" disalahgunakan Azmin Ali berjaya meruntuhkan PH dan "memecat" Dr Mahathir dari jawatan PM.

Jika PM berfungsi dan bertindak dalam kerangka "hak prerogatif" semata maka adalah lebih baik Majlis Presiden tidak diwujudkan, muafakat politik antara parti komponen PH tidak diformalasikan malah pilihanraya umum tidak dijadikan medan pertandingan antara parti politik. Adalah lebih afdal digubal agar PRU jadi medan pertandingan antara individu seperti pilihanraya Presiden negara-negara Republik.

Dua insiden tersebut menjadi punca kerajaan PH gagal berfungsi dengan baik. Ia TIDAK BOLEH diulangi sekiranya PH kembali ke Putrajaya. Dan sekiranya Dr Mahathir kembali menjawat kerusi Perdana Menteri, perkara berikut MESTI DIPERSETUJUI terlebih dahulu.

1) Peranan Majlis Presiden

Majlis Presiden mesti mendahului Kabinet dalam hal-hal berkaitan muafakat politik dan kepentingan negara. Majlis ini mesti dirujuk, dirunding dan disepakati sebelum mana-mana pihak baik Pengerusi PH ataupon Perdana Menteri membuat pengumuman mengenai:

i) dasar, halatuju dan kerjasama politik Pakatan Harapan

ii) dasar, halatuju dan kerjasama ekonomi, politik dan militari antara negara, antara pertubuhan yang dikepalai dan antara majlis antarabangsa yang dianggotai

iii) dasar, halatuju dan tindakan ketika krisis pentadbiran, kesihatan, perundangan antarabangsa dan peperangan

2) Pelan Peralihan Kuasa

Mengikut Perlembagaan Malaysia Perdana Menteri dipilih di kalangan ahli Dewan Rakyat yang memperoleh kepercayaan majoriti ahli. Dr Mahathir mesti membuktikan beliau memperoleh sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat sebelum diperkenankan SPB Yang DiPertuan Agong ke jawatan. 

Sekiranya beliau gagal membuktikan majoriti  di Dewan maka calon seterusnya dari PH yakni Anwar mesti diberi peluang membuktikan beliau memperoleh sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat. Sekiranya Anwar juga gagal membuktikan beliau memperoleh sokongan majoriti maka PH mesti mengusulkan kepada Tuanku untuk membubarkan Parlimen dan memberi laluan kepada PRU15.

Sekiranya Dr Mahathir berjaya memperolehi kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat maka satu pelan peralihan kuasa yang jelas mesti diumumkan selepas majlis angkat sumpah. Tempoh dan tarikh tepat peralihan kuasa mesti dipersetujui.

Dalam hal ini, Anwar mesti diberi masa yang cukup mempersiapkan PH untuk menghadapi PRU15. 15 November 2020 adalah masa terbaik untuk Dr Mahathir melepaskan jawatan.

Anwar juga mesti mengumumkan pelan peralihan kuasa sekiranya PH berjaya memenangi PRU15. 6 ke 8 tahun adalah tempoh masa yang memadai untuk menjawat kerusi PM, lebih lama dari itu hanya menyulitkan usaha dan peluang menguji kemampuan dan memaksimakan pengalaman anak muda mengemudi pentadbiran negara.

3) Keanggotaan Kabinet

Kabinet PH 2.0 mesti dikecilkan bersesuaian dengan cabaran yang dihadapi negara ketika ini. Jawatan Menteri dan Timbalan dihadkan kepada 15 orang. Menteri dan Timbalan dilantik di kalangan Ahli Dewan Rakyat sahaja. Tiada lagi lantikan Senator ke jawatan Eksekutif.

Jika Dr Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri Anwar mesti dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. 

Presiden parti komponen dilantik ke jawatan Menteri Kanan manakala Timbalan, Naib Presiden atau Setiausaha Agung parti komponen dilantik ke jawatan Menteri dan Timbalan.

4) Pinda Perlembagaan dan Undang-Undang PRU

Pindaan Perlembagaan dan Undang-Undang berkaitan pilihanraya mesti disegerakan termasuk berkaitan tempoh, persempadanan, pengosongan kerusi dan pemilihan ketua kerajaan.

Cadangan penambahbaikannya boleh dibaca di sini.

5) Perlaksanaan Projek Mega

Perjanjian projek-projek mega yang diputuskan kerajaan terdahulu mesti didedahkan kepada rakyat. Segala maklumat terperinci termasuk kos projek, kos pengurusan dan pampasan, pengurus/pembida projek, manfaat/hasil jangka panjang projek dan cabaran/persaingan ke atas projek mesti dimaklumkan, diminta pandangan dan diundi/direferendumkan sebelum diputus untuk diterus, ditunda atau dibatalkan.

Kerajaan PH 2.0 mesti merealisasikan fungsi kerajaan rakyat - kerana rakyat, dari rakyat, untuk rakyat. Rakyat mesti dilibatkan semaksima dalam menentukan masa depan negara. Usaha ini mampu mendidik rakyat di semua lapisan untuk berfikir, mengkaji, mempertingkatkan pengetahuan dan daya saing dan berupaya memberi pandangan bernas dan membuat keputusan selain menyuburkan semangat kebersamaan dan kecintaan terhadap negara.

6) Ekonomi Kumpulan B40

PH mesti lebih bijak kali ini dalam mendepani kumpulan B40.

Kumpulan B40 adalah golongan paling terkesan ketika berlakunya krisis ekonomi, kesihatan mahupon politik.

Bantuan Sara Hidup sebanyak RM1200 sebulan per keluarga untuk 4 hingga 6 bulan, nilainya kecil kepada kumpulan M40 tetapi besar kepada kumpulan B40.

Majoriti kumpulan ini terdiri dari buruh, bekerja sendiri atau berniaga secara kecilan, pendapatan mereka kais pagi makan pagi, tidak menabung dan tiada simpanan KWSP, tiada harta, tiada perlindungan Socso dan insuran, tidak disokong institusi kewangan komersial kerana tidak mampu mencagar aset. Mereka paling tertekan ketika berlakunya krisis seperti sekarang. Mereka tidak berupaya mendapatkan sokongan kewangan.

Sedikit bantuan kewangan untuk tempoh 4 hingga 6 bulan mendatang mampu meringankan bebanan mereka.

Bantuan RM1200 akan berkitar dalam ekonomi domestik kerana semuanya dibelanjakan untuk keperluan asas harian. Perbelanjaan ini membantu peniaga, penternak, pekebun dan pengusaha kecil dan sederhana meneruskan operasi mereka, menyelamatkan rantaian pembekalan, pekerjaan dan pengeluaran domestik.

Kumpulan M40 yang terdiri dari peniaga dan pengusaha kecil sederhana secara langsung mendapat manfaat dari bantuan RM1200 kepada kumpulan B40. Perbelanjaan dari bantuan ini menghidupkan kembali perniagaan dan perusahaan mereka, sekalipon tidak sebanyak dan selincah sebelum pandemik, ia tetap memberi kelegaan.

Bantuan ini amat bermakna kepada kumpulan B40. Golongan ini akan menghargai dan mengingati sumbangan kerajaan khususnya tiba PRU15 nanti. Bantuan kerajaan ketika krisis pandemik tidak boleh dikategorikan sebagai membeli undi atau rasuah politik.

Bantuan ini adalah serampang dua mata. Selain memberi kelegaan kepada penerima ia mampu mengalih dan meningkatkan sokongan kumpulan B40 yang majoritinya adalah Bumiputera kepada PH sekaligus menghapuskan stigma yang ditanam Muhyiddin dan sekutunya bahawa kerajaan PH anti Melayu dan pro kapitalis.

Kali ini otak pemikiran dan hujah Dr Mahathir yang melabel Melayu sebagai pemalas idan hanya mengharap bantuan kerajaan perlu dihentikan, jika boleh dipadamkan terus. 

Untuk sekian lama bangsa Melayu membuktikan mereka berusaha keras, melakukan banyak kerja dan tidak menyerah demi meneruskan hidup. Malangnya peluang tidak selalu menyebelahi mereka kerana ekonomi negara bukan dikuasai bangsa Melayu. Ini realiti yang Dr Mahathir  sukar dan tidak mahu terima.

Melabur bantuan RM1200 kepada rakyat jauh lebih baik dari melabur dalam projek HSR dan ECRL yang belum tentu memberi manfaat untuk tempoh 5 tahun mendatang. Peluang pekerjaan dari projek ini dimonopoli warga asing seperti China dan Singapura, dana negara dari pembiayaannya mengalir keluar menyebabkan nilai Ringgit terus lemah.

PH perlu mengubah berfikir seperti seorang doktor atau pengurus pelaburan. Malaysia sebuah negara, di dalamnya masih ramai rakyat susah dan menderita. Fikirkan kebajikan!