Thursday, October 20, 2016

Ta'awun dan RUU355

PAS dan UMNO adalah rakan taawun - Ketua Penerangan PAS. Matlamat PAS bukan Putrajaya - Naib Presiden/Timb Menteri Besar Kelantan. PAS bekerjasama dengan UMNO demi keredhaan Allah, PAS berpatah arang dengan DAP dan sedia bertanding tiga penjuru - Murshidul Am. PAS tidak mahu merampas kuasa UMNO tapi hanya mahu menjadi penasihat, PAS tidak takut kepada parti nyamuk, pembangkang akan melutut kepada PAS, PAS tidak akan bekerjasama dengan barua DAP (AMANAH dan PKR), PAS tidak bergantung kepada sesiapa, mampu bersendiri dan sedia bertanding tiga penjuru sekalipon di kerusi majoriti Cina - Presiden.

Kenyataan-kenyataan di atas menjelaskan pendirian dan kedudukan PAS selepas kemangkatan Almarhum Nik Abd Aziz Nik Mat. Tiada lagi kedengaran mereka membangkang UMNO seperti kelaziman semenjak penubuhannya sebaliknya mereka lebih bersemangat membangkang pembangkang dan menjadi mesra Regim.

Ketika majoriti rakyat Malaysia dan wakil rakyat pembangkang menolak Belanjawan 2016 yang dibentangkan di Dewan Rakyat wakil PAS memilih berkecuali. Ketika majoriti rakyat mencurigai alasan derma MYR2,600,000,000.00 dan pendedahan aliran uwang itu ke akaun peribadi Mohd Najib Abd Razak pemimpin PAS mempertahankannya serta menuduh rakyat dan pembangkang sebagai jahil mempercayai Najib akan menerima uwang sebesar itu ke dalam akaunnya.

Ketika rakyat menghentam Najib dan meminta siasatan ke atas 1MDB dibuka semula berikutan pendedahan Jabatan Keadilan Amerika pemimpin PAS mengikut rentak UMNO menuduh cubaan campurtangan kuasa asing dalam urusan negara malah menuduh pemimpin pembangkang bersubahat. Ketika Muhyiddin Yassin dan Mukhriz Mahathir digugurkan dari jawatan dan dipecat dari UMNO kerana mengkritik isu berkaitan 'derma Raja Arab' dan pelaburan 1MDB pemimpin PAS menari joget UMNO dengan memuji pemecatan tersebut malah menuduh Dr Mahathir Mohamad dalang menjatuhkan Najib melalui rampasan kuasa dan demi menaikkan anaknya.

Adakah, selama geng Taliban menguasai Jawatankuasa PAS Pusat semenjak 2015, menampakkan PAS sedang 'menasihati' UMNO demi kebaikan rakyat dan negara?

Adakah PAS membantah tindakan Regim yang melampau menekan rakyat seperti perlaksanaan GST pada kadar 6%? Adakah PAS menolak 'pelarasan' tambang pengangkutan awam dan tol lebuhraya, penghapusan subsidi minyak dan penetapan harga pam yang tidak selari harga minyak dunia, penghapusan subsidi makanan utama seperti gula dan tepung serta penurunan dan pembekuan tawaran biasiswa kepada pelajar kurang mampu? Adakah PAS mencemuh sekatan kebebasan berhujah, bersuara dan berkumpul yang dijamin Perlembagaan serta kemasukan warga asing yang berleluasa yang bukanĵ sahaja merampas peluang perkerjaan dan menganggu perniagaan anak tempatan malah mengancam keselamatan diri dan harta benda rakyat? 

Adakah PAS mengutuk penangkapan individu-individu yang mendedahkan penyelewengan, salahlaku dan salahurus dana rakyat oleh syarikat-syarikat berkaitan kerajaan dan jabatan awam serta tindakan samseng UMNO menyerang konvoi Bersih hampir di seluruh negara? Umum bertanya adakah pemimpin PAS sudah buta tidak dapat melihat dan mencela jenayah rompakan dana dan rampasan kebebasan yang dilakukan Regim terang-terangan?

Suara PAS tenggelam dalam mengutuk kebobrokan UMNO sebaliknya lidah, tangan dan pena mereka bergetar dan terarah kepada DAP, AMANAH dan PKR. Tindak tanduk pemimpinnya menentukan maqam 'parti Islam' itu sekarang berbanding yang dahulu. Mereka terlalu membesarkan Undang-Undang Syariah buatan manusia sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap masalah ekonomi, pendidikan, kesihatan dan keselamatan rakyat sedang mereka mengambil gaji dan elaun Wakil Rakyat. Mereka tidak mampu membedakan jawatan dan tugas antara parti, mesjid/majlis agama dan Dewan Rakyat namun mereka berhajat besar memimpin negara.

Hujah Hudud/Undang-Undang Syariah hanyalah alat geng Taliban menguasai jawatan dalam parti. Dan untuk mengekalkan sokongan jemaah kepada mereka selepas menyingkirkan golongan professional yang disenangi Nik Abd Aziz secara blok mereka beralih kepada pemerkasaan Mahkamah Syariah atau RUU355. Ketika segala temberang mereka sudah pecah dan jemaah mula mendekati AMANAH, mereka menggunakan UMNO dan alasan keredhaan Allah untuk menghalang penghijrahan keluar beramai-ramai. Selain untuk memulihkan kepercayaan jemaah RUU355 bertujuan mengugut PKR agar menjauhi AMANAH dan DAP (mengagalkan Pakatan Harapan). Tindakan bekerjasama dengan UMNO menguatkan ugutan tersebut. PAS sanggup bekerjasama ke tahap mewujudkan pertandingan tiga penjuru dengan PKR-AMANAH-DAP. Semua tahu tindakan itu bakal memenangkan UMNO/BN. Ketika menekankan mesej berpatah arang PAS benar-benar bermaksud mereka sanggup kalah pilihanraya asalkan PKR-AMANAH-DAP tidak menang kerusi, asalkan Melayu dan Muslim UMNO menang, meskipon keMelayuan dan keIslaman UMNO itu lama menjadi persoalan.

Buat pemimpin parti-parti pembangkang usahlah membuang masa melayan pemimpin sesumpah ini. Mereka memilih merendahkan taraf diri dengan tindakan-tindakan mereka lewat ini. Biarlah sejarah dan anak cucu mereka mencela dan menghukum mereka suatu hari nanti kerana bersubahat memenangkan Regim yang celaka demi kuasa dan niqmat dunia, bukan demi keredhaan Allah!

Sunday, October 16, 2016

Najib Mengurus

Beberapa hari lagi Mohd Najib Abd Razak selaku Menteri Kewangan akan membentangkan Belanjawan 2017. Majoriti rakyat pesimistik akan Belanjawan kali ini dan meramalkan khabar yang mendukacitakan.

Tiada gula-gula yang dapat menceriakan rakyat ketika hutang negara hampir mencecah MYR1 trillion (baca MYR1,000,000,000,000.00). Dengan pasaran minyak dunia terus tidak menentu ditambah tekanan persaingan ke atas komoditi tempatan oleh negara-negara serantau, kerajaan tidak mampu lagi bergantung kepada hasil dan dividen minyak, kelapa sawit dan getah untuk mengumpul dana. Umum meramalkan kerajaan akan menghapuskan subsidi, meningkatkan kadar cukai dan mewujudkan cukai baharu sebagai langkah terdepan dan termudah untuk menambah hasil.

Cukai Pendapatan, Cukai Perkhidmatan Kerajaan (GST), Cukai Perniagaan, Cukai Jalan dan Cukai Kenderaan adalah antara cukai yang mampu menambah pendapatan kerajaan dengan mudah dan cepat. Cukai Gula dan seumpamanya bakal diperkenalkan dengan alasan untuk mengekang peningkatan penyakit kritikal. Cukai ini memberikan hasil lumayan kerana rakyat Malaysia adalah pengambil gula antara tertinggi di dunia.

Regim sedang membeli masa. Najib tidak akan mengumumkan 'pelarasan' untuk kesemua cukaian di atas secara sekaligus sebelum PRU kerana ia adalah tindakan mengantung diri. Beliau barangkali memulakannya dengan GST. Dengan kutipan melebihi MYR30,000,000,000.00 GST ternyata mampu menambah hasil kerajaan. Namun malangnya penambahan tersebut tidak mampu mengurangkan hutang-hutang termasuk jaminan hutang oleh kerajaan kerana Najib harus membelanjakannya ke atas projek-projek untuk merancakkan sektor ekonomi yang sedia malap sekaligus mengumpul dana pilihanraya Regim untuk membeli undi pada PRU14.

Belanjawan kali ini dilabel sebagai Belanjawan Pilihanraya. Desas desus semakin kuat mencadangkan PRU14 bakal diadakan seawal Mac 2017. Pilihanraya awal dapat membantu memulihkan reputasi Najib sebagai Menteri Kewangan yang sedia buruk di Malaysia dari jatuh ke tahap terburuk di dunia. Selain ekonomi negara yang bakal berdepan krisis besar pada 2018 kerana kegagalan membawa masuk pelaburan baharu semenjak dua tahun lalu, ekonomi global yang sedang menjurus ke arah kemelesetan bagai menambah garam ke luka. Manakala kes-kes mahkamah berkaitan 1MDB di beberapa negara termasuk Amerika, Switzerland dan Singapura bukan sahaja mencalar dan merosakan secara teruk reputasinya barangkali menjadi penamat kepada karier politiknya. Mendapat mandat baharu bukan sahaja dapat memulih malah mengembalikan keyakinan Regimnya untuk berdiri dibelakangnya dan terus mengurus negara secara 'Kaedah Najib'.

Persoalannya selepas begitu banyak cabaran yang timbul masih mampukah Najib memenangi PRU14?

Gula-gula dari Belanjawan kali ini, sekalipon tidak mampu mengembalikan majoriti undi kepadanya, ia tetap mampu beri kemenangan pilihanraya kepada Najib. Asasnya ialah kaum Melayu khususnya di kawasan luar bandar masih mudah terpedaya dengan sogokan cadangan projek berskala besar sekalipon saban tahun ia tidak pernah terlaksana. Melayu juga mudah terasa berhutang budi dengan sedikit sumbangan seperti sekampit beras, gula dan uwang saku. Maka undi majoriti Melayu akan memihak UMNO. Regim ada kemahiran tinggi membelenggu minda Melayu.

Jumlah warga asing di Malaysia kini menjangkau 5 juta orang. Sedikit bantuan dari angka sebesar itu mampu memenangkan Regim di kerusi-kerusi seluruh Malaysia. Warga asing ternyata telah dan sentiasa mewujudkan ancaman kepada keselamatan diri dan harta benda rakyat dan negara. Saban waktu kes-kes jenayah melibatkan mereka seperti rompakan, rogol, samseng, penipuan dilaporkan aqbar dan media sosial.

Jumlah sebesar itu juga adalah ancaman kepada kebudayaan bangsa dan keutuhan ekonomi. Selain merampas peluang pekerjaan dari anak bangsa mereka turut mengancam perniagaan anak tempatan. Regim tidak akan berhenti membawa masuk pendatang asing kerana selain keuntungan politik ia juga memberi laba perniagaan melalui 'partnership' dan 'capital funding' dalam syarikat-syarikat kapitalis.

Parti dan pemimpin pembangkang yang gemar bekerjasama atau mesra Regim juga menjadi faktor penyumbang kemenangan Najib. 10% kecenderungan bekerjasama dengan Regim pada hari ini mampu bertukar kepada 100% sokongan selepas PRU14. Mewujudkan pertandingan tiga penjuru sama seperti memberi kemenangan selesa kepada Regim.

Rakyat yang tidak gemar kaedah Najib mengurus negara, tidak rela menjadi hamba, kuli, pecacai dan barua yang bekerja siang malam untuk membayar hutang orang lain dan tidak sanggup menyumbang uwang (baca bayar cukai-cukaian) untuk manfaat warga asing, boleh memilih untuk menolak Belanjawan Pilihanraya Najib yang hanya bermanfaat setiap 4-5 tahun sekali. Lebih afdal pada PRU14 rakyat mesti menolak mana-mana calon BN.

Sistem yang rosak telah melahirkan ramai pelacur politik. Lantas PRU kali ini rakyat mesti lebih berhati-hati memilih (mengundi calon) kerana padahnya lebih buruk dari yang berlaku sekarang. Bahasa mudah, kalau lembu boleh bertanding sila pilih lembu dari calon BN atau calon mesra Regim. Hanya kaedah itu mampu mengajar Najib tatakelola mengurus negara dengan baik dan berhemah.

Thursday, October 13, 2016

Pembina vs Perosak Perpaduan

Semenjak Peguam Negara Switzerland memulakan prosiding jenayah ke atas Falcon Private Bank yang menguruskan wang berbillion 1MDB semalam, hari ini Mohd Najib Abd Razak diserang sawan.

Sawan itu menguatkan ingatan Najib akan sejarah 2008 lantas merumuskan Ketua Pembangkang ketika itu menjadi punca kerosakkan perpaduan dan keharmonian antara kaum yang berlarutan sehingga ke saat ini. Tidak berhenti di situ beliau mengaitkan juga bekas Perdana Menteri yang sedang menyambung tindakan bekas Ketua Pembangkang dalam fasa kedua.

Sawan membuatkan hipotesisnya tersimpang jauh.

Sebelum merdeka lagi, kaum-kaum di Malaysia tidak bersatu di bawah satu parti. Kaum Cina ada MCA, GERAKAN dan DAP manakala kaum India ada MIC dan PPP. Sebelum Anwar Ibrahim menjadi Ketua Pembangkang lagi Melayu sudah terpecah kepada tiga kumpulan; yang menyokong UMNO, PAS dan SEMANGAT 46. Selepas Anwar dipenjarakan wujud PKR mengambil kedudukan SEMANGAT 46 yang dibubarkan lama sebelum itu.

Biarpon selama ini rakyat berbeda-beda fahaman politik dan menyokong pemimpin dan parti berbeda-beda latar belakang dan asas perjuangan namun ia tidak pernah menjadi punca kepada kerosakan perpaduan dan keharmonian. Lebih 50 tahun rakyat hidup dalam harmoni, dari era kepimpinan Tunku Abd Rahman Putra hinggalah ke Abdullah Ahmad Badawi.

Sejarah memberi kredit kepada bekas Perdana Menteri dan bekas Ketua Pembangkang kerana masing-masing berjaya menyatukan Melayu; UMNO-SEMANGAT 46 (BN) dan PKR-PAS (Pakatan Rakyat).

Jika menyorot peristiwa-peristiwa permusuhan antara kaum yang berlaku semenjak Najib mengambil alih kerusi kuasa dari Abdullah maka tidaklah sukar untuk mengagak siapa sebenarnya yang menjadi perosak perpaduan dan keharmonian.

Semenjak peristiwa berdarah 13 Mei 1969 Malaysia tidak pernah berada dalam keadaan tertekan dan gelisah seperti hari ini. Kemuncak perpecahan kaum dapat dirasai di era Najib. Di bawah Hussein Onn, Dr Mahathir Mohamad dan Abdullah tidak ada geng Baju Merah yang sewenangnya berlaku samseng tanpa dikenakan tindakan. Saban hari mereka membuat ugutan terbuka, kacau dan huru hara seolah negara ini sudah tidak ada undang-undang.

Melayu berpecah bilamana agen Najib dalam PAS berjaya meruntuhkan PR pasca PRU13. Runtuhnya PR memecahkan Melayu kepada tiga kumpulan; UMNO, PAS, PKR-AMANAH, dan tahun ini sumbangan peribadi Najib menjadikan Melayu empat dengan tertubuhnya BERSATU.

Dr Mahathir Mohamad yang dituduh pengkhianat dan perosak perpaduan kini sedang berusaha menyambung legasi Anwar dengan menyatukan kembali PAS, PKR, AMANAH dan BERSATU di bawah satu kumpulan; Pakatan Harapan. Bekas Perdana Menteri itu sedang merawat perpecahan yang dicipta oleh Najib ketika Presiden UMNO itu tetap angkuh menuding jari kepada dua negarawan tersebut.

Andai parti-parti politik dan penyokong-penyokong mereka bersatupadu dan membentuk kerjasama erat seperti pra PRU13 ia bakal menjadi pukulan maut kepada Najib dan Regimnya. Halnya ini menjadikan kaedah 1 lawan 1 terealisasi dan mampu menguburkan UMNO pada PRU14. Lebih parah kesatuan Melayu di luar UMNO membunuh peluang Najib dan sekutunya kekal di kerusi kuasa.

Ketakutan kehilangan kuasa menjadi punca kepada segala macam hujah dan tindakan dangkal dan meraban yang terbit dari pemimpin Regim dan tentera siber upahan mereka lewat ini. Mereka amat arif dalam pekerjaan tersebut.

Sebaik-baik cara untuk mengalih perhatian umum dari isu-isu besar yang membelit Najib dan merosakkan kesatuan Melayu serta rakyat keseluruhan dari menentang kebobrokkannya maka Regim mendendangkan kembali syair perpecahan Melayu dan permusuhan kaum.

Tuduhan terbaharunya ini terbit ketika rakyat menunggu dengan debar keputusan semakan kes Fitnah 2 Anwar Ibrahim serta tekanan antarabangsa terhadap pengadilan ke atasnya, mesyuarat Majlis Raja-Raja yang sedang berlangsung dan siasatan penguasa paling tidak tujuh buah negara terhadap penyelewengan dana rakyat yang melibatkannya.

Duhai Najib, bukan semua rakyat bodoh!

Saturday, October 8, 2016

Bahana Kerajaan Kapitalis

Di Malaysia perusahaan tempatan dimonopoli 80% kaum Cina. Dari sektor pembinaan, pembuatan, perlombongan, perladangan, pertanian, penternakan hingga ke sektor perkhidmatan makanan, kewangan, perundangan, pengangkutan, komunikasi, hiburan dan lain-lain dimiliki kaum Cina tempatan dan luar negara (warga China, Taiwan, Singapura, Indonesia dan Filipina).

Tidak dapat dinafikan kaum Cina adalah kaum yang hebat dalam perdagangan. Mereka merantau ke seluruh dunia untuk berniaga. Sebelum Masihi lagi jejak mereka boleh dijumpai hingga ke Asia Selatan. Kejayaan mereka di dalam dunia perniagaan disebabkan sifat kerajinan dan ketekunan serta sentiasa berusaha, tidak takut mencuba dan tidak mudah mengaku kalah. Sifat ini tidak berlebih dalam kaum Bumiputera khususnya Melayu.

Sungguhpun begitu kaum Cina bukanlah kaum yang hebat dalam semua disiplin perniagaan. Kejayaan mereka tidak bergantung sepenuhnya kepada kualiti diri mereka semata-mata. Lantas saudagar Cina memerlukan kaum lain seperti Melayu dan India untuk melakukan bahagian yang diluar kemampuan dan kemahiran mereka yakni 'human touch' seperti rundingan awam, rundingan jualan, khidmat pelanggan, khidmat selepas jualan, bantuan perkidmatan dan kerosakkan, latihan dan pembangunan pekerja serta sebagainya. Kaum Melayu dan India juga merupakan kumpulan pengguna terbesar produk-produk perusahaan mereka.

Keadaan ini telah menjadi amalan perusahaan untuk kesekian lama, dari sebelum merdeka hinggalah liberalisasi sektor perusahaan mengambil tempat. Peranan saudagar Cina mencorak garis ekonomi negara begitu signifikan. Kesannya pola pekerjaan dan ekonomi kaum di negara ini bergantung kepada mereka. Peranan tersebut seharusnya dimainkan pemerintah (baca Kerajaan Persekutuan). Polisi-polisi yang dibawa kerajaan mampu membentuk, merubah dan menghapuskan amalan-amalan bersifat berat sebelah dalam perusahaan. Sebagai contoh, ketika era revolusi perindustrian Malaysia 80an-90an pendekatan kerajaan untuk melahirkan lebih ramai jurutera dan juruteknik berkemahiran menyaksikan perubahan pola pekerjaan kaum Bumiputera dari selama ini sekadar operator kepada jurutera, penyelidik, pembuat dasar dan keputusan, dari kelas bawah kepada kelas menengah dan pengurusan.

Polisi tersebut strategi serampang dua mata. Selain melahirkan graduan Bumiputera berkualiti yang berjaya menempatkan diri dalam sektor perusahaan kaum asing, kerajaan juga berjaya membina dan membesarkan 'pool of expert' di kalangan Bumiputera. 'Pool of expert' ini sepatutnya diberikan peranan lebih besar dalam polisi ekonomi kerajaan selepas 'dipinjamkan' kepada perusahaan asing. Dengan kemahiran dan pengalaman luas yang diperolehi dari sektor perusahaan asing mereka mampu menjadi pusat rujukan nasihat, pengerak pembangunan dan penyelia kemajuan perniagaan kaum Bumiputera. Malangnya ia gagal berfungsi seperti diharapkan.

Kerajaan yang baik akan mendahulukan kepentingan dan kebajikan rakyat. Kerajaan yang lemah akan tunduk kepada tuntutan berat sebelah liberalisasi. Perusahaan apa pun, di mana-mana negara pun, akan mendahulukan kepentingan pelabur. Keuntungan maksima adalah tanda aras kejayaan seorang pengurus/kumpulan pengurusan. Ini telah berlaku di Malaysia atas nama liberalisasi.

Ketika keadaan ekonomi dunia turun naik dan tiada asas kukuh yang mampu mengikat pola permintaan serta pertumbuhan pesaing, pengusaha menggunakan isu modal dan pulangan pelaburan untuk menekan kerajaan. Ia isu yang mudah dimainkan namun mampu memberi impak kepada negara secara mega. Ketakutan kepada laporan-laporan negatif pertumbuhan ekonomi negara dan penarikan sokongan kumpulan kapitalis kepada aktiviti-aktiviti kerajaan memaksa kerajaan menuruti permintaan pengusaha.

Untuk memaksimakan keuntungan pengusaha harus mengurangkan kos pengeluaran. Dalam banyak-banyak kos pengeluaran yang paling mudah untuk dimanipulasi ialah kos upah/gaji. Faktor upah murah digunakan pengusaha untuk memaksa kerajaan membawa masuk jutaan pekerja asing. Untuk lebih meyakinkan pengusaha menuduh rakyat tempatan tidak berminat bekerja di sektor dan jawatan tertentu seperti pembinaan, pembuatan, perladangan dan penternakan, buruh dan 3D. Selain itu alasan malas dan tidak efisien berbanding pekerja asing dimainkan pengusaha.

Dan pemerintah yang malas dan tidak perihatin menerima bulat-bulat alasan pengusaha. Kesannya tambahan 1 juta pekerja asing Bangladesh dibawa masuk ke dalam negara memenuhi sektor tertentu. Jumlah itu menambahkan keberadaan dan pergantungan negara kepada pekerja asing kepada 4 juta. Ini tidak termasuk 2 juta pendatang asing yang bekerja secara tidak sah menggunakan pas lawatan sosial, pas pelajar, status pelarian dan PATI. Pengusaha yang tidak bertanggungjawab pula hanya memikirkan keuntungan semata-mata ketika ia menggunakan hasil bumi secara meluas dan menghasilkan sisa perusahaan yang mencemar ekosistem tanpa sekatan, cukaian dan denda berat.

Sebaliknya pemerintah dan pengusaha yang bertanggungjawab tidak berkompromi kepentingan rakyat. Mendahulukan rakyat tempatan dalam posisi jawatan dalam syarikat adalah tanggungjawab utama. Rakyat tempatan tidak akan mempunyai alasan untuk tidak berminat, memilih dan malas sekiranya kerajaan menetapkan standard minima kepada keperluan dan perlindungan jawatan rendah seperti buruh dan 3D manakala penguasaha sentiasa memenuhi tuntutan kepentingan pekerja seperti gaji yang realistik. Jika Majlis Bandaraya Pulau Pinang mampu menjadi kedua-dua majlis kerajaan tempatan dan pengusaha kepada perkhidmatan 3D yang dijawat sepenuhnya rakyat tempatan, suatu pembohongan besar jika pemerintah dan pengusaha yang lain tidak mampu melakukannya.

Kemasukan melampau pekerja asing mencipta kelambakan tawaran kepada pasaran kerja. Ia turut memberi tekanan kepada pekerja tempatan. Selain gaji dan imbuhan rendah, pekerja tempatan kehilangan manfaat kebajikan kerana di layan par (setaraf) dengan pekerja asing. Kini kita menyaksikan pekerja asing mula memenuhi sektor perkhidmatan seperti makanan, pasaraya, pasarmini, hotel, hiburan dan lain-lain sedangkan jawatan tersebut mampu dipenuhi rakyat tempatan. Ianya kini bagai dikhususkan kepada pekerja asing sahaja, semata-mata kerana pengajian murah.

Manakala untuk jawatan menengah dan atas seperti pegawai, eksekutif, jurutera dan pengurus, kelayakkan akademi, kualiti ijazah dan pengalaman kerja sering menjadi alasan untuk pengusaha merasionalkan pengisian pekerja asing ke jawatan tersebut berbanding rakyat tempatan, khususnya Bumiputera.

Ini adalah salah satu bentuk diskriminasi pekerjaan kepada rakyat tempatan amnya dan kaum Bumiputera khususnya. Memasuki premis perniagaan di seluruh negara kita pasti terjumpa pekerja asing. Dari gerai makanan, rangkaian makanan segera ke restoran terkemuka, dari kedai buku, kelengkapan sukan ke alat komputer dan komunikasi, dari kedai baju, gudang kain ke butik berjenama, dari tandas pasaraya ke hotel mewah kita terdapat pekerja asing. Bukankah, paling tidak sebahagian, jawatan-jawatan di premis tersebut sepatutnya dipenuhi rakyat tempatan. Peratusan pelanggan rakyat tempatan khususnya kaum Bumiputera yang membeli, melanggan dan menggunakan produk dan perkhidmatan premis tersebut masih tinggi. Malah lebih mudah pelanggan tempatan berurusan dengan pekerja tempatan dari pekerja asing.

Rata-rata umur pekerja asing di negara ini adalah antara 20an - 40an. Mereka ini majoritinya kaum lelaki yang amnya bertubuh sihat. Sebelum memasuki negara mereka tidak di uji tahap kesihatan fizikal dan mental. Mereka juga tidak disemak latar belakang sosial, budaya dan jenayah. Jumlah sebesar 6 juta adalah ancaman kepada keselamatan negara, ancaman kepada budaya bangsa, ancaman kepada kesihatan serta ancaman kepada ekonomi rakyat. Segala kos menghadapi dan menangani ancaman-ancaman tersebut wajib dibebankan ke atas kerajaan yang meluluskan kemasukkan dan pengusaha yang mengajikan pekerja asing.

Ringkasnya, peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan khususnya kaum Bumiputera bukan lagi disaingi kaum Cina dan India semata-mata. Sebaliknya disaingi pekerja asing yang tidak memiliki kelayakan formal baik akademi mahupon kemahiran berbanding rakyat tempatan yang berbelanja belasan ribu ringgit menuntut di Institusi Pengajian Swasta untuk segulung sijil kemahiran atau diploma hanya untuk jawatan jurukimpal, juruteknik, juruwang, pelayan cafe, penyambut tetamu, pegawai depan pejabat dan pembantu dapur. Menukar pemerintah yang malas dan mesra kapitalis adalah satu-satunya cara untuk mengembalikan hak pekerjaan kepada rakyat tempatan.