Thursday, October 13, 2016

Pembina vs Perosak Perpaduan

Semenjak Peguam Negara Switzerland memulakan prosiding jenayah ke atas Falcon Private Bank yang menguruskan wang berbillion 1MDB semalam, hari ini Mohd Najib Abd Razak diserang sawan.

Sawan itu menguatkan ingatan Najib akan sejarah 2008 lantas merumuskan Ketua Pembangkang ketika itu menjadi punca kerosakkan perpaduan dan keharmonian antara kaum yang berlarutan sehingga ke saat ini. Tidak berhenti di situ beliau mengaitkan juga bekas Perdana Menteri yang sedang menyambung tindakan bekas Ketua Pembangkang dalam fasa kedua.

Sawan membuatkan hipotesisnya tersimpang jauh.

Sebelum merdeka lagi, kaum-kaum di Malaysia tidak bersatu di bawah satu parti. Kaum Cina ada MCA, GERAKAN dan DAP manakala kaum India ada MIC dan PPP. Sebelum Anwar Ibrahim menjadi Ketua Pembangkang lagi Melayu sudah terpecah kepada tiga kumpulan; yang menyokong UMNO, PAS dan SEMANGAT 46. Selepas Anwar dipenjarakan wujud PKR mengambil kedudukan SEMANGAT 46 yang dibubarkan lama sebelum itu.

Biarpon selama ini rakyat berbeda-beda fahaman politik dan menyokong pemimpin dan parti berbeda-beda latar belakang dan asas perjuangan namun ia tidak pernah menjadi punca kepada kerosakan perpaduan dan keharmonian. Lebih 50 tahun rakyat hidup dalam harmoni, dari era kepimpinan Tunku Abd Rahman Putra hinggalah ke Abdullah Ahmad Badawi.

Sejarah memberi kredit kepada bekas Perdana Menteri dan bekas Ketua Pembangkang kerana masing-masing berjaya menyatukan Melayu; UMNO-SEMANGAT 46 (BN) dan PKR-PAS (Pakatan Rakyat).

Jika menyorot peristiwa-peristiwa permusuhan antara kaum yang berlaku semenjak Najib mengambil alih kerusi kuasa dari Abdullah maka tidaklah sukar untuk mengagak siapa sebenarnya yang menjadi perosak perpaduan dan keharmonian.

Semenjak peristiwa berdarah 13 Mei 1969 Malaysia tidak pernah berada dalam keadaan tertekan dan gelisah seperti hari ini. Kemuncak perpecahan kaum dapat dirasai di era Najib. Di bawah Hussein Onn, Dr Mahathir Mohamad dan Abdullah tidak ada geng Baju Merah yang sewenangnya berlaku samseng tanpa dikenakan tindakan. Saban hari mereka membuat ugutan terbuka, kacau dan huru hara seolah negara ini sudah tidak ada undang-undang.

Melayu berpecah bilamana agen Najib dalam PAS berjaya meruntuhkan PR pasca PRU13. Runtuhnya PR memecahkan Melayu kepada tiga kumpulan; UMNO, PAS, PKR-AMANAH, dan tahun ini sumbangan peribadi Najib menjadikan Melayu empat dengan tertubuhnya BERSATU.

Dr Mahathir Mohamad yang dituduh pengkhianat dan perosak perpaduan kini sedang berusaha menyambung legasi Anwar dengan menyatukan kembali PAS, PKR, AMANAH dan BERSATU di bawah satu kumpulan; Pakatan Harapan. Bekas Perdana Menteri itu sedang merawat perpecahan yang dicipta oleh Najib ketika Presiden UMNO itu tetap angkuh menuding jari kepada dua negarawan tersebut.

Andai parti-parti politik dan penyokong-penyokong mereka bersatupadu dan membentuk kerjasama erat seperti pra PRU13 ia bakal menjadi pukulan maut kepada Najib dan Regimnya. Halnya ini menjadikan kaedah 1 lawan 1 terealisasi dan mampu menguburkan UMNO pada PRU14. Lebih parah kesatuan Melayu di luar UMNO membunuh peluang Najib dan sekutunya kekal di kerusi kuasa.

Ketakutan kehilangan kuasa menjadi punca kepada segala macam hujah dan tindakan dangkal dan meraban yang terbit dari pemimpin Regim dan tentera siber upahan mereka lewat ini. Mereka amat arif dalam pekerjaan tersebut.

Sebaik-baik cara untuk mengalih perhatian umum dari isu-isu besar yang membelit Najib dan merosakkan kesatuan Melayu serta rakyat keseluruhan dari menentang kebobrokkannya maka Regim mendendangkan kembali syair perpecahan Melayu dan permusuhan kaum.

Tuduhan terbaharunya ini terbit ketika rakyat menunggu dengan debar keputusan semakan kes Fitnah 2 Anwar Ibrahim serta tekanan antarabangsa terhadap pengadilan ke atasnya, mesyuarat Majlis Raja-Raja yang sedang berlangsung dan siasatan penguasa paling tidak tujuh buah negara terhadap penyelewengan dana rakyat yang melibatkannya.

Duhai Najib, bukan semua rakyat bodoh!

No comments:

Post a Comment