Monday, September 14, 2015

BERSIH vs Regim

BERSIH 1 hingga 4 berhimpun dengan tujuan yang sama - menuntut pilihanraya yang bersih dan padang yang rata untuk semua parti bertanding. BERSIH 4 menambah tuntutan di saat akhir - desakan agar Mohd Najib Abd Razak berundur. Himpunan ini bukan himpunan suka-suka.

Sebelum ini BERSIH 1 hingga 3 tidak selantang BERSIH 4. Peserta masih mampu bersabar dengan Abdullah Ahmad Badawi dan Najib. Akan tetapi disebabkan isu-isu genting BERSIH kali ini memberanikan diri mendesak secara terbuka. Sekalipon dituduh dan difitnah oleh media Regim dan 'pack of wolves' Najib bahawa BERSIH 4 adalah perhimpunan Cina menentang Melayu, ia tidak mampu mengubah persepsi dan harapan umum Najib seorang pemimpin gagal dan bertepatanlah tuntutan supaya beliau berundur.

Selepas lebih 6 tahun berada di kerusi kuasa Najib menjadikan bangsa dan negaranya 'a laughing stock' di mata masyarakat antarabangsa. Pelbagai perancangan dan tindakannya tidak sejajar dengan yang dilunak dan dijanjikannya. Jika dulu  'mr clean' Pak Lah digelar  'Mr tidur' dan 'Mr u-turn' kerana lebih banyak bercakap dari bekerja, Najib pula digelar 'master spinner' dan 'master spineless' kerana terlebih retorik dan wayang dari bekerja serta terlebih takutkan penguasa asing dan isteri dari Raja dan rakyatnya.

Sebelum ini pada satu konvensyen Najib berdegar-degar bercakap dan mendesak supaya derma politik dimasukkan ke dalam akaun parti politik, tetapi senyap-senyap beliau memasukkan derma politik ke akaun peribadinya. Maka padanlah pada Persidangan Anti Rasuah di Putrajaya baru-baru ini, sebagai tuan rumah kerajaan Malaysia amnya dan Najib khususnya dikecam hebat hampir kesemua perwakilan asing kerana 'cakap tak serupa bikin'. Pengerusi TI dengan berani menyebut MYR 2.67 billion yang masuk ke akaun peribadi PM adalah satu bentuk rasuah ketika Najib dan 'pack of wolves'nya terus menjaja jumlah sebanyak itu sebagai derma untuk pelbagai tujuan yang bercelaru.

Keadaan semasa negara yang terus pincang dan menuju lembah maut menambah perit luka rakyat dan membawa kepada jumlah peserta BERSIH terbesar dalam sejarah selepas himpunan REFORMASI. Saban hari rakyat disaji unjuran angka-angka positif oleh Najib, BNM dan Kementerian berkaitan. Rakyat disogok berita molek dan indah belaka di media cetak dan elektronik sedang realitinya negara berada di tahap panik yang kronik. Ringgit makin lemah dan ekonomi makin membarah. Rakyat sedang merasai dan mendepaninya.

Nilai kewangan isi rumah makin mengecil disebabkan inflasi makin tinggi, hutang kerajaan dan domestik makin membuncit disebabkan perbelanjaan tidak bijak serta berhemah dan penyusutan matawang terburuk berbanding matawang negara Asia yang lain, pengangguran makin membesar disebabkan sistem dan mutu pendidikan makin celaru serta kemasukan pekerja asing tidak terbendung, masalah sosial dan jenayah makin parah disebabkan penjawat awam tidak amanah dan kemasukan mega pendatang asing tanpa izin, keharmonian antara kaum bagai retak menanti belah disebabkan isu perkauman jadi senjata 'survivorship' ahli politik, keselamatan sempadan negara makin rapuh disebabkan penguasa cuai menangani pemberontak dan penceroboh, politik dan pentadbiran awam makin kotor disebabkan pemimpin dan ketua jabatan tamakan habuan dunia.

Kesannya mereka yang berada dikerusi kuasa terus menerus mengeluarkan kenyataan dungu dan mengambil pendekatan jahil. Kebajikan dan hak rakyat tidak menjadi keutamaan sebaliknya menepu kantung golongan opportunis dan kapitalis matlamat mereka.

Tidak hairanlah lebih 200 ribu (ada yang menganggarkan lebih 400 ribu) rakyat pelbagai kaum sekali lagi turun ke jalanraya pada 29 dan 30 Ogos 2015 meluahkan perasaan mereka. Seperti Dr Mahathir Mohamad dan Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang turut turun di kedua-dua hari himpunan BERSIH 4 menzahirkan sokongan, rata-rata rakyat tidak turun ke jalanraya kerana bersetuju dengan amalan demonstrasi jalanan. Rakyat tidak ingin berpanas, berhujan dan bermalam di jalanraya untuk meluahkan perasaan. Rakyat bertindak demikian kerana sudah tidak ada pilihan selepas semua saluran menzahirkan ketidakpuasan hati ditutup penguasa. Lantas adalah adil dan haq mereka berhimpun secara amal seperti termaktub dalam perlembagaan.

Adalah benar kaum Cina mendominasi BERSIH 4 berbanding Melayu dan India. Dan sudah diduga situasi ini akan dimainkan media Regim berhari-hari. Malah ia dijadikan modal oleh 'pack of wolves' Najib untuk menganjurkan himpunan kebangkitan dan penyatuan kononnya atas nama bangsa Melayu yang sebenarnya bertujuan mendapatkan sokongan kepada Najib. Maka lahirlah Himpunan baju merah, baju hitam, baju warna-warni. 

Untuk rekod Himpunan BERSIH 1 hingga 3 didominasi bangsa Melayu. Ketika itu dengan pantas media Regim menuduh bangsa Melayu yang menyertai BERSIH menjadi askar dan pecacai kaum Cina, kaum Cina hanya berani di belakang tabir dan memperguna Melayu, kaum asing cuba menguasai negara melalui talibarut (yakni pemimpin PKR, DAP dan PAS) dan pelbagai lagi. Namun apabila kali ini kaum Cina tampil berani menzahirkan sokongan kepada tuntutan pilihanraya bersih dan adil, hak berhimpun, hak membantah dan ekonomi yang bersih, media dan 'pack of wolves' Najib menuduh pula himpunan BERSIH 4 menghina bangsa Melayu. Pekerjaan belit-membelit Najib dan 'pack of wolves'nya tidak akan berhenti sehinggalah mereka 'diberhentikan' oleh Allah.

Sudah dijangka penyertaan Melayu dalam BERSIH 4 berkurang berbanding himpunan terdahulu. Melayu merupakan komposisi terbesar penjawat awam, tenaga kerja syarikat berkaitan kerajaan dan pelajar universiti awam. Selepas berpuluh memo amaran tatatertib dan penyingkiran dikeluarkan, malah ugutan tangkapan oleh Kementerian Dalam Negeri selepas mengistihar BERSIH sebagai pertubuhan dan perhimpunan haram ditambah dengan keadaan ekonomi tidak menentu, Melayu terpaksa berfikir panjang untuk turut serta, ada periuk nasi yang perlu dijaga.

Sebaliknya rata-rata kaum Cina bekerja sendiri dan sebagai tenaga kerja sektor korporat. Ugutan Ahmad Zahid Hamidi yang bersahabat baik dengan taiko Cina tidak memberi kesan kepada mereka, 'nothing to lose' menyertai BERSIH ketika mereka 'losing almost everything' bahana kegawatan. Selain itu ketidakterlibatan PAS yang melihat BERSIH bukan lagi wadah membela nasib rakyat turut mengurangkan angka Melayu.

Dalam keadaan PAS menjauhi BERSIH negara menyaksikan ratusan ribu rakyat turun berhimpun secara aman selama 34 jam. Boleh bayangkan jika kesemua parti pembangkang  bersatu seperti BERSIH 3 dan mengerakkan ahli mereka, di tambah sokongan NGO pro Dr Mahathir, maka Najib dan 'pack of wolves'nya tidak mampu tidur apatah lagi merasa lena. Sayangnya, dalam keadaan sentimen rakyat menumbangkan Regim yang zalim membuak-buak 'ulama-ulama' PAS termakan umpan dan teralih waras mereka. Benarlah kata sebahagian penganalisa, PAS kini mundur belakang dan tidak lama lagi menjadi 'irrelevant'.

Mungkin benar 3 juta ahli UMNO menyokong Najib, diulangi MUNGKIN kerana Najib boleh mendapat 'derma' berbillion untuk membeli sokongan. Namun realitinya seperti kata Wanita Langkawi, Najib hanya kencing. Jikapon 3 juta menyokong, baki 9 juta bangsa Melayu telah dan boleh memilih tidak menyokong Najib. Dan sekalipon Melayu bernama Najib jatuh, Melayu lain akan diangkat mengantikannya, Melayu tetap berkuasa dan bangsa Melayu terus terbela.  Melainkan Melayu itu aqal dan aqlaknya iras-iras Najib dan 'anjingnya', kepada Allah sahaja kita memohon kasihankanlah Malaysia.