Thursday, January 31, 2019

PRK Cameron Highland, Semenyih dan Rantau

Dari awal lagi ramai menjangkakan Barisan Nasional mampu mempertahankan kerusi Cameron Highland. Peluang merampas Semenyih dan mengekalkan Rantau juga positif. Berikut antara faktor penyumbang.

1. Kerjasama UMNO-PAS

Selain isu 1MDB dan kos sara hidup, BN kalah PRU 14 kerana pertandingan tiga penjuru. BN menentang Pakatan Harapan dan Gagasan Sejahtera. Jika sebelumnya undi bangsa Melayu berpecah kepada dua - UMNO dan PKR-PAS, PRU14 kepada tiga - UMNO, PKR-Bersatu-Amanah dan PAS-Ikatan.


Sedari kesilapan bersaing menonjolkan 'keMelayuan' masing-masing lantaran menentang sesama sendiri, PRK Cameron Highland memaksa BN dan PAS berkompromi kerusi, berkongsi sumber dan bergembling tenaga. Mereka setuju hanya itu satu-satunya cara mengalahkan PH 'moving forward'.

Kerjasama UMNO-PAS tidak ubah seperti kerjasama PKR-DAP-Amanah-Bersatu-Warisan pra PRU14.  Kerjasama komponen PH antara faktor BN berjaya dijatuhkan.

Andai PKR tidak menerima penyertaan Bersatu ke dalam PH dan Amanah tidak kompromi isu pembahagian kerusi, nescaya pertandingan empat penjuru telah berlaku. Dan jika ianya berlaku parti yang menerima nasib paling malang adalah Bersatu. Dengan sokongan komponen PH Bersatu hanya menang 13 kerusi, apakan lagi bersendirian.

Andai BN dan GS berkompromi lebih awal PH sudah pasti tidak menguasai Putrajaya dan Dr Mahathir  Mohamad tidak merasa kerusi PM. Senario terburuk, ramai pemimpin PH termasuk Dr Mahathir meringkuk sebelah Anwar Ibrahim di Sungai Buloh.

2. Jentera

BN dan GS mempunyai jentera pilihanraya yang kuat dan berpengalaman. Tinggal lagi bagaimana mereka mengumpul dan mengerakkan kekuatan itu. BN berjaya rangkul super majority PRU11 dan PAS merampas Terengganu serta tambahan kerusi di Pahang dan Kedah PRU14 kerana jenteranya.

3. Jemaah Menteri

Walaupon BN-GS bukan alternatif terbaik kepada PH buat masa ini, majoriti bangsa Melayu lebih percaya kepada agenda dan usaha pembangkang sebelum ini berbanding kerajaan yang dirasakan sudah hilang fokus dalam membantu ekonomi Bumiputera. Menteri-Menteri lebih beretorik dalam menyelesaikan masalah. Hutang peneroka Felda, pinjaman pelajaran PTPTN, tol lebuhraya, bantuan sara hidup, antara beberapa janji yang tergantung sampai ke hari ini.

Rakyat merasakan menduduki Putrajaya adalah terlalu berat buat kebanyakan pemimpin PH berbanding menjadi pembangkang yang hanya mahir menyerang. Rakyat mula hilang sabar menunggu Menteri PH 'perform' dalam jawatan.

4. SPR Baharu

Untuk menang PRK dan PRU mudah sahaja - janji bulan bintang. Itu yang dilakukan ketiga-tiga gabungan utama - BN, PH dan GS pra PRU14. Janji-janji menjadi punca perubahan undi penyokong BN, PAS dan atas pagar kepada PH serta undi penyokong BN dan PH kepada PAS di Pantai Timur.

PRK CH janji-janji tidak kedengaran. Ini kerana Pengerusi SPR baharu awal-awal lagi memberi amaran tindakan undang-undang bakal dikenakan ke atas mana-mana calon, penyokong dan parti bertanding yang menggunakan aset dan jentera kerajaan, menabur projek-projek segera (rasuah politik) serta menunggang agama dan perkauman untuk meraih undi.

Ketegasan SPR kali ini bertepatan dengan kesungguhan PH sendiri yang mahukan badan pilihanraya itu adil, bebas dan professional. Lantaran apa lagi yang tinggal untuk memikat pengundi?

5. Pengaruh, bukti dan teladan.

Tiga parti terbesar di Dewan Rakyat dari segi keahlian ialah UMNO, PAS dan PKR. Sungguhpon PKR ketiga terbesar namun gerak kerja akar umbi UMNO, PAS dan DAP lebih tersusun dan mampan. Pengalaman mendewasakan. Ketiga-tiga parti ini berusia lebih 50 tahun. Sudah semestinya pengaruh mereka sehebat keberadaan mereka di persada politik tanahair. Pengaruh membentuk kesetiaan ahlinya. Kesetiaan menterjemahkan kempen teratur dan berkesan. Kombinasi pengaruh dua parti terbesar jarang membuahkan kegagalan.

Pulau Pinang dan Selangor tidak boleh dijadikan bukti keupayaan PH dalam mentadbir. Kedua-dua negeri tersebut dibangunkan BN sebelum dirampas PR/PH. Isu-isu seperti kemiskinan, kebersihan, kesesakan, perkauman dan jenayah selain tanah runtuh, banjir kilat dan pencemaran terus menghantui dan membelenggu rakyat negeri-negeri tersebut. Tidak dinafikan terdapat beberapa pembaharuan positif dilaksanakan namun ianya tidak mampu mengimbangi kelemahan-kelemahan ketara.

Benar PH menang besar di Pulau Pinang dan Selangor tetapi penyumbang utamanya adalah kemurkaan rakyat ke atas jenayah-jenayah Mohd Najib Abd Razak dan 'pack of wolves'nya, bukannya kewibawaan KM/MB dan barisan EXCO PH. Soal kelemahan dan kemampuan mentadbir lambat laun diperkatakan rakyat. Dan ia sudahpon bermula. Penyokong kedua-dua pihak mula membandingkan PH dengan BN.

Sembilan bulan menguasai Putrajaya PH masih tidak menunjukkan teladan yang baik. Sebaliknya pentadbiran kucar kacir disebabkan Jemaah Menteri kurang arif dan pengalaman, EXCO negeri pula berlagak samseng dan syok sendiri, pemimpin parti komponen bercakaran menyebabkan akar umbi dan penyokong kebingungan. Selain mengheret Najib dan geng jahanamnya ke muka pengadilan, isu-isu besar seperti harga barang melambung, kos saraan hidup meninggi, bebanan hutang membuncit, peluang pekerjaan dan perniagaan terbatas serta permusuhan kaum membarah gagal ditangani PH dengan bijaksana.  

Perdana Menteri sibuk membina semula pengaruh dan memperkukuh kedudukan peribadi serta partinya daripada bersungguh memulihkan ekonomi dan menyatupadukan rakyat.

Saya, keluarga, sahabat, rakan sekerja dan jaringan kenalan mengundi PH pada PRU14 bukan kerana faktor Dr Mahathir atau Najib, tetapi kerana mahu menjatuhkan Regim. Regim Abdullah Ahmad Badawi dan Najib telah mengagalkan kami. Majoriti rakyat mahukan kerajaan yang kurang berpolitik tetapi kuat bekerja, yang berdaya mengembangkan ekonomi sekaligus menambah peluang kerja dan niaga serta menepukan poket semua lapisan rakyat. Kerajaan yang menyuburkan keharmonian kaum, yang menegakkan undang-undang serta menjamin kebebasan dan keselamatan rakyatnya. Kerana ia tidak berlaku di bawah Pak Lah dan Najib, rakyat tidak memilih parti mereka di peti undi.

Kerana rakyat tiada banyak pilihan maka menjatuhkan Regim memerlukan banyak keberanian. Tidak mudah untuk mencuba yang baharu selepas 60 tahun terbiasa dengan hanya satu. GS dipimpin individu-individu yang hanya mahir berceramah dan berdaqwah di mursalla. Ilmu mereka terbatas kepada kaedah beribadat. Majoriti mereka tiada kelayakan dan pengalaman mentadbir negara kaya hasil bumi dan berbilang kaum. Maka pilihan seterusnya ialah PH.

PH bukan lebih baik, cuma tidak seburuk BN.  Ini kerana sebahagian besar pemimpin PH adalah bekas UMNO, MCA dan MIC. DNA BN dalam diri mereka masih tebal. PH dipengerusikan individu sama yang pernah menjatuhkan tiga Perdana Menteri dan dua Timbalan Perdana Menteri, yang tidak senang dengan idea dan kehebatan individu lain, yang menyuburkan amalan memberi projek kepada dan monopoli perniagaan oleh kroni-kroni (dr gula, beras, bekalan kuasa, komunikasi, infrastruktur awam dan sebagainya).

Kebarangkalian budaya itu kekal di dalam kerajaan PH adalah tinggi. Cumanya PH turut dipimpin individu yang tidak tunduk kepada tekanan dan tidak sokong mengkhinzir buta. Ini memberi tekanan kepada PM dari sewenang-wenangnya mentadbir mengikut acuan sendiri dan lingkungan sahabatnya. Maka kerana variati inilah rakyat memberi PH peluang menguasai Putrajaya dan sebahagian besar negeri-negeri Malaysia. 

Malangnya, prejudis rakyat bahawa PH tiada beda dengan BN, yang terpaksa ditelan demi mencuba sesuatu yang baharu, kini mula mencuka. Selepas berkuasa PH menunjukkan tanda-tanda mereka seburuk BN. Percanggahan ketara gagasan dan fokus, merapu dalam strategi polisi, gila pujian ke atas usaha-usaha kecil, perebutan kuasa antara pemimpin, perbalahan terbuka antara parti dan sebagainya. Ini baharu sembilan bulan.

Rakyat terkesan dengan semua yang berlaku dan bersuara kerana berasa tertipu. Rakyat tidak peduli jika Najib masih merasakan dirinya PM. Rakyat tidak ambil pusing berapa banyak kes mahkamahnya. Sebaliknya rakyat lebih risaukan nasib diri, keluarga dan masa depan mereka yang tidak menentu kerana dasar-dasar dan keputusan-keputusan kerajaan PH setakat ini tidak memberi jaminan keadaan akan lebih baik dari sebelumnya.

Jikalah diadakan satu referendum pada Mei 2019 (genap setahun PH mentadbir) nescaya majoriti rakyat memilih supaya dilakukan perubahan dalam barisan Jemaah Menteri dan dasar-dasar kerajaan. Tidak mengejutkan jika ramai mahukan PRU semula. Ia suatu yang tidak mustahil, lagi-lagi jika Dr Mahathir dan Jemaah Menterinya gigih merasakan tindakan-tindakan mereka sudah cukup hebat, tidak lagi mahu mendengar nasihat dan bantahan rakyat.Kekalahan di kerusi Semenyih dan Rantau mampu memberi pengajaran kepada PH. Hanya dengan itu pemimpinnya mampu sedar bahawa rakyat sudah sedar akan kuasa mereka.