Tuesday, June 23, 2015

PAS Asal vs PAS Baharu

Haji Hadi hari ini menulis surat terbuka kepada jemaah PAS. Kandungan utama surat tersebut menyeru jemaah kekal istiqamah dalam perjuangan dan terus bersama saf kepimpinan. Suratnya juga mengimbas sejarah perpecahan dan menjelaskan pemimpin yang meninggalkan jemaah dan menubuh parti baharu bakal 'tenggelam' seperti lemasnya Mohd Asri dan Mohd Nasir, BERJASA dan HAMIM . Lenggok bahasanya jelas ditujukan kepada kumpulan professional-progresif yang kalah pemilihan baru-baru ini.

Kepimpinan baharu PAS sebenarnya mula 'kecut perut'. Ini kerana mereka tidak menyangka kumpulan professional-progresif yang disingkirkan secara 'block' pada Muqtamar lalu memiliki sokongan akar umbi yang kuat dan padu. Perhimpunan pertama kumpulan professional-progresif di Muar Johor selepas ditumbangkan secara pembersihan etnik telah dihadiri tidak kurang 3000 penyokong. Barangkali kumpulan pro ulama menyangka kemenangan besar mereka di Muqtamar 2015 berupa terjemahan sokongan jemaah terhadap mereka. Dengan bukti dari Muar perkiraan mereka ternyata meleset.

Seperti Perhimpunan Agung UMNO, Muqtamar PAS dihadiri perwakilan-perwakilan yang dilantik mesyuarat bahagian. Tidak seperti pemilihan PKR yang mengamalkan sistem satu ahli satu undi, perwakilan PAS yang mengundi tidak mewakili suara majoriti. Oleh kerana pihak berkepentingan mahukan calon 'favorite' mereka menang, satu strategi terancang digerakkan di peringkat bawahan lagi yakni membolehkan puak mereka dipilih sebagai perwakilan.

Sejak dua Muqtamar lalu kumpulan pro ulama menuduh (baca fitnah) kumpulan professional-progresif mewujudkan 'pergerakkan bawah tanah' untuk menjatuhkan Haji Hadi dan golongan ulama. Haji Mohamad Sabu dituduh dalang langkah tidak Islamik itu. Berpaksikan firasat tersebut kumpulan pro ulama menghalalkan tindakan cemuh cela ke atas kumpulan professional-progresif. Maka timbul lah bermacam gelaran dan label penghinaan termasuklah Parasit, Barua, Jebon, Tali Barut malah Anjing PKR/DAP.

Siapapon yang berada di posisi dicemuh-cela itu pasti berasa hiba dan kecewa. Sudah semestinya Haji Mohamad Sabu, Haji Husam Musa, Salahuddin Ayub dan ramai lagi kumpulan professional-progresif berasa kecewa. Tuduhan tersebut menjadi punca tergugurnya mereka dari saf kepimpinan yang direstui Almarhum Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat. Kumpulan professional-progresif yang tidak bersatu dan berpuak benar-benar terpukul. Itulah hasil rancangan rapi satu kumpulan menjatuhkan satu kumpulan lagi.

Melihatkan keputusan pemilihan yang bersifat 'sapu bersih' mudah kita merumuskan kumpulan mana sebenarnya yang tidak beretika dan tidak Islamik. Dan lebih mendukacitakan, yang bersekongkol dengan kegiatan tersebut sebenarnya mereka yang besar serban dan labuh jubahnya.

Bertitik tolak dari keputusan pemilihan itu, jurang antara dua kumpulan dalam PAS makin melebar dan mendalam. Apatah lagi pemilihan tersebut dikatakan paling kotor dalam sejarah PAS sehinggakan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS yang bukan beragama Islam dalam ucapan pergulungannya berasa hairan dan menegur para ulama membenarkan amalan fitnah menfitnah berleluasa dalam sebuah parti berteraskan Islam.

Kekecewaan kumpulan professional-progresif bukan kerana kalah pemilihan sebaliknya berleluasanya budaya persis Taliban direstui ulama. Segala usaha murni dan pengorbanan mereka memperjuangkan jemaah dan agama Islam berpuluh tahun terus ke longkang bahana kerakusan nafsu 'lebai-lebai' untuk berkuasa. Bertepatanlah tindakan mereka menolak tawaran jawatan 'kabinet' baharu yang dikuasai kumpulan pro ulama - individu-individu yang 'mencantas' mereka secara tidak bermoral.

Namun kekalahan mereka adalah 'blessing in disguise'. Ia membawa kepada idea penubuhan wadah baharu. Inisiatif ke arah itu sudah bermula dengan tertubuhnya G18 manakala kesediaan NGO pro PR PasMa serta beberapa NGO terkemuka lain membantu menjadikan wadah baharu itu suatu kenyataan dilihat bakal menyegerakan kebangkitan kumpulan professional-progresif.

Kumpulan pro ulama sedar jika kumpulan professional-progresif menubuhkan parti semirip PAS dan menghidupkan semula roh perjuangan Almarhum Ustaz Fadzil Noor dan Almarhum Tuan Guru Nik Abd Aziz, 'lebai-lebai' bakal kehilangan pengaruh-kuasa dan parti 'ulama' mereka akan kembali menjadi pertubuhan pondok dan madrasah seperti sebelum Ustaz Fadzil mengambil alih kepimpinan. 'Worst senario' PAS yang akan tenggelam.

Maka kumpulan pro ulama tidak tunggu lama mengaktifkan strategi 'berkeras berlembut'. Sebahagian 'lebai-lebai' terutamanya dari negeri kelahiran Haji Hadi terus menekan kumpulan professional-progresif dengan mengguna kalam Quran, sirah Nabi dan sejarah PAS manakala sebahagian lagi 'terhegeh-hegeh' menawarkan jawatan saf kepimpinan dalam usaha memujuk. Walaupon hebat mengecam kumpulan professional-progresif hingga ke saat ini Presiden paksa-rela menjilat ludahnya sendiri semata-mata berharap penubuhan PAS Baharu tidak menjadi kenyataan.

Strategi 'keras-lembut' itu bukan budaya baharu PAS. Ketua Dewan Ulama, juga anggota Majlis Syura dan Pesuruhjaya Johor yang membawa usul tanpa bahas 'talak tiga' terhadap rakan gabungan PR DAP dalam Muqtamar lalu kini 'go head go stan' isu 'perceraian' yang dijuarainya. Malah selepas menjadi punca keruntuhan PR di peringkat nasional, beliau masih ada hati menyatakan hubungan PR Johor masih dalam keadaan baik dan kukuh.

Demikianlah tindakan 'lebai-lebai' demi menutup tuduhan strategi terancang mereka serta demi menjaga kedudukan dan pengaruh bukan sahaja dalam PAS tetapi di persada politik tanahair dan kesatuan Islam antarabangsa.

Tindak tanduk Haji Hadi semenjak dua Muqtamar lalu tidak mencerminkan apa yang ditarbiahnya. Sikap panas baran dan kuat mencemuh telah menutupi 'wisdom'nya menghargai pengorbanan kumpulan professional-progresif, yang rata-rata telah berjuang dalam jemaah lebih lama dari majoriti 'lebai-lebai' dan 'ulama' segera yang menang pemilihan lalu.

Selepas mendapat penghinaan terbesar dalam sejarah keterlibatan mereka bersama jemaah Islamiah dan pertubuhan politik, setelah 'dilondeh dan dimalukan' di dua Muqtamar berturut-turut, adalah wajar kumpulan professional-progresif berundur dari jemaah yang dipimpin ulama yang memimpin mengguna 'siku dan lutut dalam jubah mereka'. Malah adalah lebih afdal kumpulan professional-progresif bersegera menubuhkan wadah perjuangan baharu.

Ketika kumpulan pro ulama gagal melihat dan menghargai peranan serta pengorbanan kumpulan professional-progresif selama ini, pengundi Melayu Muslim yang moderat dalam PAS, PKR malah UMNO serta pengundi bukan Melayu/Muslim semakin menghargai dan sokongan ke atas mereka semakin membesar.

Doa 'lebai-lebai' yang 'hanya mencari keredhaan Allah bukan Putrajaya' diperkenankan Allah. Mereka akan kekal menjadi lebai (semata-mata). Dan Allah akan memaqbulkan doa kumpulan professional-progresif dengan mengangkat mereka menjadi umara yang kekal berjuang mempertahan serta mengembalikan hak-hak rakyat yang terinaya. Dan mereka ditaqdirkan bergerak dalam wadah dan jemaah baharu yang lebih baik dan sempurna. Insha'Allah.

Kepada kumpulan professional-progresif, ramai sebenarnya berdiri di belakang (menyokong) anda. Percayalah!