Friday, March 8, 2019

ECRL

Dr Mahathir Mohamad membayangkan projek East Cost Railway Link akan diteruskan.


Projek bernilai RM81 bilion itu diluluskan kabinet Mohd Najib Abd Razak pada Oktober 2016 namun dibekukan selepas Pakatan Harapan berjaya mengambil alih Putrajaya pada Mei 2018.
Ia dianugerahkan kepada China Communication Construction Company Ltd manakala pembiayaannya disediakan Bank Eksport-Import China.
Menjawab pertanyaan wartawan South China Morning Post Dr Mahathir menambah projek tersebut hanya diteruskan jika kos ideal dapat dipersetujui kedua-dua pihak Malaysia dan China sempena lawatannya ke negara komunis itu tidak lama lagi.

Terdahulu Dr Mahathir berkata perbincangan dengan kontraktor mendedahkan bahawa projek itu boleh dilaksanakan dengan kos RM35 bilion, jauh lebih rendah daripada yang dipersetujui RM55 bilion.

Dalam keadaan kewangan negara masih lemah, hutang negara sekitar RM1 trilion, pasaran ekonomi serantau dan global kurang agresif, pendapatan negara makin mengecil manakala pendapatan rakyat tidak bertambah, adakah membelanjakan (menambah hutang) RM55 bilion mampu memberi pulangan yang baik kepada negeri-negeri Pantai Timur? Adakah ia mampu memberi manfaat kepada rakyat keseluruhan?


Ditambah dengan pengumuman Menteri Hal Ehwal Ekonomi (merangkap Menteri Kerja Raya) Mohamed Azmin Ali bahawa kerajaan pusat akan membelanjakan RM1.4 bilion untuk membina dan menaiktaraf lebuhraya dan lapangan terbang di Kelantan, tidakkah  ia memberi lebih cabaran kepada Perbendaharaan?

Nilai sebesar RM55 bilion boleh dimanfaatkan untuk membina lebih banyak insfrastruktur baharu dan menaiktaraf infrastruktur sedia ada seperti penambahan lorong di Lebuhraya Pantai Timur, pembinaan lebuhraya baharu serta pembesaran pelabuhan dan lapangan terbang di Kota Baharu, Kuala Terengganu dan Kuantan. Ini memberi lebih manfaat dari satu projek ECRL.

Mengapa Kabinet memilih untuk meneruskannya? Adakah kerana soal nilai pampasan atau tekanan politik oleh kuasa ekonomi dan ketenteraan terbesar dunia itu?

Adakah Kabinet mendapatkan pandangan pakar dan rakyat? Adakah Dr Mahathir tidak belajar dari semua kesilapan BN sebelum ini? Adakah beliau mahu membudayakan kaedah BN dalam PH?

Ke mana pergi wirid "the era of government knows best is over"?

Thursday, March 7, 2019

Kenyataan Bahaya

Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan dalam bahasa Cina menggesa MCA meninggalkan BN kerana menurutnya UMNO dan PAS "mengistihar perang" kepada masyarakat bukan Muslim. Kenyataan itu kemudian diperbetulkan dengan menukar "mengistihar perang" kepada "menyasarkan".
Guan Eng menambah kerjasama dua parti Melayu terbesar dalam kempen PRK Cameron Highlands dan Semenyih menyaksikan kedua-duanya membuat kenyataan ekstrem.
Beliau turut mendakwa PAS dan Umno melaga-lagakan bangsa Melayu dengan kaum lain.
Kenyataan panas Guan Eng tersebut pantas mendapat kecaman dari UMNO dan PAS. Ia turut dikecam parti kaum Cina MCA.


Kenyataan Menteri Kewangan tersebut berbahaya. Ia mampu menjejaskan keharmonian negara serta mencetuskan permusuhan dan kebencian antara agama dan kaum. Ia bagai menyimbah minyak ke api pada perkara yang sedia retak menanti belah.
Kenyataan itu mempertikai hak rakyat untuk bercakap dan berpersatuan serta merendahkan kebijaksanaan rakyat khususnya bangsa Melayu memilih kesepaduan.
Muhyiddin Yasin perlu bertindak ke atas rakan Kabinetnya itu. Jika tidak rakyat akan mempersenda kerajaan Pakatan Harapan kerana gagal mengangkat "rule of law". Dan ini hanya memanjangkan "list of shame" PH. Tidak baik untuk PRK, apalagi PRU15.

Tidak Bayar

Selepas lebih seminggu Abd Hadi Awang akhirnya bersuara. 

Beliau menegaskan tidak membuat bayaran RM1.4 juta kepada Clare Rewcastle Brown, samada melalui parti mahupon terus darinya, sebagai penyelesaian luar mahkamah.


“Dulu (dituduh terima) RM90 juta (sekarang) turun jadi RM1.4 juta, pelik juga dari RM90 juta (cari) tidak jumpa turun jadi RM1.4 juta. Saya tidak bayar, PAS tidak bayar. (Pengakuan Clare) tidak betul". 

Beliau menambah PAS juga tidak berhasrat untuk menyaman pihak tidak bertanggungjawab yang cuba memburukkan namanya dan parti kerana ia hanya membuang masa dan wang ringgit.

Betul sokmo penegasan Presiden Parti Bohong Syarie itu. Memang beliau dan partinya tidak membuat bayaran tersebut. Yang membayar Clare ialah Dr Rameli Musa, Pengerusi KTMB.

Namun kenapa sahabat baik Hadi dan penyumbang tetap PAS itu membayar Clare? Apa kaitan beliau dengan penyelesaian luar mahkamah kes tuntutan balas Clare ke atas Hadi? 

Ia tidak dijawab Hadi, Dr Rameli mahupon hulubalang PAS. Hanya isteri Dr Rameli menulis di Facebooknya kekesalan tiada siapa bertanya khabar selepas suaminya disiasat SPRM bahana cek RM1.4 juta.

Hadi juga betul apabila menegaskan menyaman pihak yang mendedahkan isu tersebut hanya membuang masa dan wang. Ini kerana PAS terpaksa mengadakan lebih banyak perhimpunan untuk menjelaskan tindakan saman terbaru itu dan meraih sokongan akar umbi, mengedar tin Milo di mursalla, di majlis ilmu, di perhimpunan hatta di majlis persendirian ahlinya untuk mengutip sumbangan, melantik peguam hebat luar negara yang mahal, mendaftar kes di mahkamah asing, membayar pendahuluan fee dan urusan kes, hanya untuk menarik semula saman tersebut separuh jalan dan membayar tuntutan gantirugi samada secara sukarela atau atas arahan mahkamah.

Tidak seperti pimpinan PAS lain yang berbohong, Hadi memilih berkata benar. Cumanya kata benarnya itu adalah pengakuan terhad dan tidak menjawab inti isu.

Ada sesiapa selain Takiyuddin Hassan dan Nasrudin Hassan akan bantu Hadi berkata benar selepas ini?

Putar Lagi


Maka PAS memusuhi PKR, Amanah dan Bersatu demi siapa? Iblis?



Dosa apakah yang lebih besar dari kufur  dan takfiri sehingga PAS tidak boleh memaafkan PKR, Amanah dan Bersatu?

Demi agama Islam dan kesatuan ummah kah, demi diri sendiri kah?

Wednesday, March 6, 2019

Tersungkur Lebih Awal

Dengan mengukur kemampuan dan pencapaian semasa wakil rakyat PH serta menganalisa perkembangan terkini parti-parti kerajaan dan pembangkang, adalah tidak mustahil menyaksikan Pakatan Harapan tersungkur lebih awal. Berikut adalah antara faktor penyumbang:

1. Dr Mahathir Mohamad

Umum mengetahui Dr Mahathir keluar dari persaraan dan kembali ke politik kerana dan hanya kerana ingin menyingkirkan Regim Mohd Najib Abd Razak.

Dr Mahathir tidak mampu melakukannya sendirian. Beliau mesti bekerjasama dengan musuh Najib. The enemy of my enemy is my friend. Lalu Dr Mahathir menghantar wakil ke penjara dan secara peribadi mengadap Anwar Ibrahim di mahkamah membawa salam pendamaian dan hajat besar. Anwar menyambut salam itu bersyarat.

Dr Mahathir memilih berunding dengan PH berbanding Gagasan Sejahtera kerana gabungan yang diketuai Anwar mendapat kepercayaan dan sokongan majoriti rakyat Malaysia sejak PRU12 lagi. PH bersifat nasional, didokong dan disokong rakyat pelbagai kaum. Komposisinya mirip BN.

Manakala GS berupa gabungan parti-parti nasionalis Melayu. Selain PAS, ia dianggotai Ikatan dan Berjasa. Ia didominasi PAS. Namun PAS tidak sekuat UMNO. Parti Islam itu juga makin kehilangan pengaruh selepas tertubuhnya Parti Amanah Negara. Penyokongnya tertumpu di dua negeri Pantai Timur. Dendam kesumat pimpinannya terhadap Dr Mahathir menyukarkan sebarang usaha rundingan.

Dr Mahathir bersungguh mahu Regim Najib dipenggal. Berkompromi dengan Anwar tidak lebih untuk memecahbelahkan kesepaduan dan melebarkan keretakan UMNO. Gerak kerjanya mesti dilunaskan orang dalam. Mendapatkan bantuan untuk itu tidak menjadi masalah. Sokongan akar umbi UMNO kepadanya masih kuat kerana nostalgia 23 tahun memimpin parti itu.

Selepas mengumumkan keluar UMNO kali kedua dan menubuhkan Parti Peribumi Bersatu Malaysia, Dr Mahathir memohon menjadi komponen ke 4 PH.

Beliau menubuhkan Bersatu dan bekerjasama dengan PH hanya untuk memberi tekanan maha hebat kepada pimpinan UMNO supaya segera menyingkirkan Regim Najib. Malangnya sebahagian besar mereka terlalu terikat dengan Najib dan tiada kekuatan untuk membantunya.

Semua itu menyebabkan sebahagian pemimpin cawangan dan bahagian secara terbuka dan berjemaah mempertikai kredibiliti Najib selaku Presiden UMNO, malah berani menuduhnya sebagai liabiliti dan mendesaknya melepaskan jawatan sebelum PRU.

Andai strategi pertikaian, desakan dan protes tersebut tidak cukup kuat untuk menurunkan Najib sebelum pilihanraya, Dr Mahathir akan menggunakan keputusan PRU.

Dengan menjangkakan BN menang tipis pada PRU14 dan mencatatkan keputusan lebih buruk dari PRU13 ia akan menjadi bahan kepada akar umbi lebih agresif menyingkir Najib sebagaimana berlaku ke atas Abdullah Ahmad Badawi pasca PRU12. Dr Mahathir meletakan harapan tinggi pada Perhimpunan Agung UMNO 2018 sebagai penentu kemuncak usahanya, lebih tinggi dari partinya sendiri.

Namun ternyata Dr Mahathir tidak perlu tunggu PAU untuk menyingkirkan Najib. Regim Najib disingkirkan rakyat melalui peti undi.

PRU14 menyaksikan BN hilang Putrajaya selain Kedah, Perak, Melaka, Negeri Sembilan, Johor dan Sabah kepada PH manakala Terengganu kepada PAS. BN kalah teruk di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan. BN hanya mengekalkan Perlis dan Pahang. Kekalahan ini memaksa Pengerusi BN menyerahkan kuasa kepada Timbalannya. Najib turun tanpa rela.

Dr Mahathir sendiri tidak menjangkakan kekalahan BN. Kejayaan PH memperoleh majoriti mudah mengejutkan bukan sahaja Dr Mahathir malah pimpinan Bersatu dan UMNO. Kemenangan ini seterusnya diperkuatkan dengan sokongan beberapa MP BN yang keluar parti menjadi Bebas.

Dr Mahathir masih sayangkan UMNO Baharu, parti yang diasaskannya selepas UMNO asal diharamkan pasca krisis 1988. Kasihnya Dr Mahathir kepada UMNO seperti seorang ayah kepada anak.

Ini dibuktikan dengan beberapa siri perjumpaan dengan pimpinan UMNO termasuk Ahmad Zahid Hamidi, Mohamad Hasan, Ismail Sobri Yaakob, Hishamuddin Hussein, Annuar Musa, Tengku Adnan Mansor, Noh Omar dan Anifah Aman. Walaupon dinafikannya, ramai menghidu Dr Mahathir bercita-cita untuk kembali ke pangkuan UMNO.

Sekiranya Dr Mahathir berterusan merindui dan mengintai UMNO, bukan hanya PKR, DAP dan Amanah berasa syak dan kecewa dengannya, malah partinya sendiri Bersatu akan prejudis dan mengambil langkah luar jangka ke atasnya.

2. Sokongan musuh


Ramai pemerhati politik dan penyokong kerajaan melihat tindakan PAS dan UMNO menyatakan sokongan mereka kepada Dr Mahathir untuk terus memimpin negara tiada lain kerana mengharap ehsan kasihannya terhadap segala subahat dan jenayah mereka lakukan sebelum ini.

Bagai mengantuk disorong bantal, Dr Mahathir pula memerlukan sokongan tersebut sebagai lonjakan semangat dan kekuatan untuk melengah atau mengabaikan konsensus Majlis Presiden dan janji kepada pengundi akan penyerahan kuasa kepada Anwar kurang 15 bulan dari sekarang.

Kes-kes SPRM ke atas pimpinan PAS adalah satu bentuk amaran kepada kelancangan dan kebiadapan mereka terhadap Dr Mahathir sebelum ini. Mereka cuma ada dua pilihan - tunduk atau berdepan lagi tekanan.

Hashim Jasin, Ahmad Yaakob, Abd Hadi Awang, Takiyuddin Hassan, Nasruddin Hassan, Dr Ahmad Shamsuri Mohktar dan ramai lagi yang dahulu mencemuh dan mengaibkan Dr Mahathir dengan pelbagai tuduhan kini berlunak, tidak menyerang malah memuji-muji tindakan Dr Mahathir. Tidak cukup dengan itu mereka memberikan sokongan bertulis kepadanya kekal di kerusi PM.

Kes-kes jenayah terhadap Najib dan sekutu kerasnya juga satu bentuk amaran kepada pimpinan UMNO. Tunduk atau berdepan serangan KO.

Dr Mahathir amat sinonim dengan strategi mengumpul dan menyimpan x-file. Bila tiba masa beliau menggunakannya ke atas pencabar. Porfolio x-file nya merangkumi individu, pertubuhan dan institusi.

Rata-rata pimpinan UMNO hidup mewah dan kaya raya berhasil dari salahlaku dan salahurus, jika tidak menipu atau mencuri barangkali kerana mengorbit PM/Presiden. Mereka mengendong "heavy baggage". Isi baggage mereka ada di pengetahuan Dr Mahathir.

UMNO sebagai sebuah parti politik telah melanggar pelbagai peruntukan Akta Pertubuhan 1966. Pembatalan atau pengharamannya hanya selangkah dari nyata.

Dengan keupayaan x-file, apakah Dr Mahathir akan kompromi dosa-dosa (ke atas dirinya, ummah, masyarakat dan negara) pimpinan PAS dan UMNO yang lalu serta berpaling dari Manifesto PRU demi meraih sokongan untuk kekal di kerusi kuasa?

3. Kelantangan DAP

Beberapa pimpinan negeri dan pusat DAP agak lantang menentang cadangan menerima Bersatu ke dalam PH. Mereka turut menentang pencalonan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Kelantangan mereka berterusan ke saat ini. Dr Boo Cheng Hau, mantan Pengerusi DAP Johor mendesak Dr Mahathir meletakan jawatan kerana gagal memenuhi Manifesto.

Sumber dalaman PH mendedahkan hubungan Dr Mahathir dan Lim Guan Eng kini makin keruh. Ini gara-gara ketegasan Guan Eng untuk tidak memenuhi tuntutan beberapa Menteri ketika merangka dan membentangkan Belanjawan 2019.

Menteri DAP yang lain turut berani menyangkal cadangan Dr Mahathir dalam mesyuarat Kabinet. Ini tidak berlaku ketika MCA, MIC dan Gerakan berada dalam Kabinet PM ke 4.

Hubungan pimpinan DAP dengan Bersatu juga tidak sebaik dengan PKR dan Amanah. Ini berpunca dari permusuhan lama antara mereka ketika Bersatu masih UMNO. Dendam dan hasad mereka terhadap UMNO terlalu tebal sehingga terbawa-bawa tuduhan Bersatu adalah UMNO versi 2.0.

Adakah suatu kebetulan kes-kes rasuah berkaitan pembinaan terowong dasar laut Pulau Pinang dibuka semula oleh SPRM? Atau adakah ia satu lagi bentuk amaran?

DAP tidak menunjukan tanda akan berlembut dan berhemah dengan Dr Mahathir. Lantang dan keras terpacak pimpinannya menjadi alergen kepada Dr Mahathir.

4. Krisis PKR

Hubungan antara Anwar dan Mohamed Azmin Ali tidak semesra dahulu. Episod cuka antara mereka bermula ketika Dr Wan Azizah Wan Ibrahim dinafikan jawatan Menteri Besar Selangor. Kekecewaan Anwar terhadap Azmin membesar ketika penubuhan Pakatan Harapan dan membarah ketika pengumuman Kabinet Dr Mahathir.

Permusuhan antara kem Azmin dan kem Mohd Rafizi Ramli pula diketahui kawan dan lawan. Pertelingkahan terbuka antara mereka menjadikan Pemilihan PKR 2018 sebagai yang terkotor dan terburuk dalam sejarah, tuduh menuduh, cela mencela dan mengaibkan satu sama lain mengheret kepada siri pergaduhan dan ratusan laporan polis. 

Bukan rahsia kem Rafizi lebih dekat dengan mantan Presiden dan Presiden. Namun itu tidak memberi kelebihan kepada mereka. Kedudukan kem Azmin yang menguasai jawatan kerajaan Persekutuan dan negeri serta berbekal dana besar memberi laluan mudah merangkul semua jawatan utama kecuali satu slot Naib Pengerusi dan Ketua Pemuda. Anwar kini bergantung kepada sokongan dari jawatan lantikan.

Pengaruh Azmin yang semakin kuat tidak menyenangkan bukan sahaja Presiden, kem Rafizi malah mereka yang memilih jalan tengah, termasuk veteran parti. Mereka merasakan Azmin seorang opportunis dan berisiko. Beliau sanggup melakukan apa sahaja untuk naik. Wasangka mereka terhadapnya bersebab.

Ramai tidak lupa serangan Azmin ke atas MB Selangor Khalid Ibrahim dan "keperluan kerjasama" dengan kem Rafizi menjatuhkannya, tindakannya menerima jawatan MB  Selangor membelakangi keputusan Majlis Presiden mengiktiraf Dr Wan Azizah, mengekalkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor ketika pimpinan pusat PAS dan DAP membubarkannya, mengekalkan wakil PAS berbanding memilih Amanah memenuhi jawatan negeri, menentang penubuhan Pakatan Harapan, menyokong petisyen tindakan ke atas Presiden kerana membantah penubuhan PH, menafikan bantuan kewangan kepada calon PRU selain dari kemnya, menentang pencalonan Dr Mahathir sebagai PM, menerima jawatan Kabinet Dr Mahathir sedangkan tidak dinamakan parti sebagai Menteri Persekutuan, menyangah Presiden dan rakan pimpinan secara terbuka dan sebagainya.

Dr Mahathir memberi lebih banyak jawatan Menteri kepada kem Azmin berbanding kem Rafizi sedangkan parti mencalonkan nama lain. Tindakannya itu menambah konflik dalaman PKR, sungguh kawat yang dibentuk ikan ditebat yang diadang.

Sebagai komponen terbesar sebarang ribut dalam cawannya cukup kuat menganggu ekosistem PH. Kekecewaan Anwar terhadap Azmin, ketegangan antara kem Azmin dan kem Rafizi serta tawar-menawar antara Dr Mahathir dan kem Azmin mengugat kesetiaan dan membina keretakan. Tindakan lebih agresif dari itu akan membawa kepada perpecahan, kaliberasi dan penubuhan pakatan baharu.

5. Kerjasama PAS dan UMNO



PRK Cameron Highland dan Semenyih membuktikan kesepakatan dan kesepaduan di antara dua parti Melayu terbesar nyata tidak mengecewakan. Pendekatan buang yang keruh ambil yang jernih demi "survivalship" mendapat sokongan pimpinan dan akar umbi kedua-dua parti yang sebelum ini saling memusuhi dan menjatuhkan.

UMNO dan PAS kalah banyak kerusi kepada PH kerana pertandingan 3 penjuru. Ia menjadi pengajaran buat mereka. Untuk menumpaskan PH caranya hanya satu - mesti bekerjasama secara terang-terang, tiada lagi sembunyi-sembunyi.

Seandainya kerjasama ini benar-benar menjadi dan berlanjutan hingga PRU15, kerajaan PH berdepan cabaran besar. Kedah dan Perak mungkin tumbang lebih awal manakala Negeri Sembilan, Melaka dan Johor tidak selamat.

UMNO dan PAS mesti bijak memanfaatkan "perkahwinan" ini dengan mengambil posisi bukan sahaja menyerang tetapi membina ke atas polisi-polisi kerajaan PH yang lemah dan gagal. Mereka harus berhenti bergantung kepada sentimen kaum dan agama meraih sokongan. Mereka juga mesti segera menunjukkan kesungguhan menvaksinkan "virus" dan merawat "barah" dalam keluarga besar mereka, kerana virus dan barah itu punca rakyat menolak mereka PRU lalu.

Kewujudan, kelangsungan dan ketahanan PH tergantung kepada langkah siapa lebih pantas, bijak dan berani, di antara Dr Mahathir dan Anwar, di antara meraih sokongan PAS dan UMNO dan menghormati mandat pengundi. Silap catur mereka berdua berputih mata. Jika PH tersungkur mereka yang pertama ditafakur.



Saturday, March 2, 2019

Isyarat

Kerusi Semenyih kembali ke Barisan Nasional. Kerusi tersebut disandang Pakatan Harapan selama 9 bulan selepas menumpaskan BN pada PRU14 lalu. Namun pada PRK kali ini BN berjaya merampasnya semula.

Seperti PRK sebelum ini, PRK Semenyih memperlihatkan semua hardcore PH seperti Dr Mahathir Mohamad, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Anwar Ibrahim, Muhyiddin Yasin, Lim Guan Eng dan Mohd Sabu turun berkempen. Malangnya ia tidak membantu mengekalkan kerusi tersebut di bawah PH.

Kemenangan BN itu sudah diduga selepas mereka berjaya mengekalkan kerusi Cameron Highland. Kemenangan berturut-turut itu bukan kerana kerjasama UMNO-PAS diterima rakyat atau strategi solo Bossku lebih berkesan, sebaliknya kerana protes rakyat terhadap kerajaan PH. 

Rakyat memprotes kegagalan PH mengotakan janji manifesto, percakaran terbuka pemimpin dan penyokong komponen PH, kelemahan MB Selangor serta kedudukan agama Islam dan bangsa Melayu yang diancam secara terbuka. Protes mereka amat jelas di peti undi.

Secara ringkasnya keputusan PRK Semenyih boleh diterjemahkan sebagai isyarat rakyat kepada

1) Dr Mahathir Mohamad dan Kabinetnya supaya segera 

- perbaiki jurang ekonomi antara kaum

- perbanyak peluang pekerjaan dan perniagaan

- kurangkan kebergantungan kepada pekerja asing

- hukum salah urus dan salah laku di kalangan politikus, penjawat awam dan pegawai syarikat berkaitan kerajaan

- berhenti bercakap dan bertindak seperti pembangkang

- berhenti berbolak balik mengenai penyerahan kuasa

- berhenti menggunakan jawatan dan penjawat awam untuk memenuhi matlamat peribadi

2) Parti Peribumi Bersatu Malaysia supaya segera

- rapatkan saf, kukuhkan disiplin pimpinan dan ahli serta laksanakan agenda parti jika benar-benar mahu menganti UMNO

- hormati pilihan dan cadangan akar umbi

- hormati konsensus dengan parti-parti komponen PH termasuk sekutu Parti Warisan Sabah

- bergerak sebagai satu unit bersama dan setara parti-parti komponen PH bukannya sebagai alpha yang mendominasi

- berhenti menerima kemasukan beramai-ramai opportunis UMNO mengguna alasan majoriti 2/3 di Dewan Rakyat

3) pemimpin dan penyokong bukan Melayu PH supaya segera

- berhenti melangkah garis nyata hak istimewa dan kepentingan bangsa Melayu dan Raja-Raja mereka

- berhenti mempersenda dan mencabar Islam sebagai agama rasmi, Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, Raja-Raja ketua agama dan adat istiadat Melayu, bangsa Melayu dan orang asal sebagai bangsa peribumi

- berhenti memecahbelahkan kesatuan dan perpaduan bangsa Melayu

Seandainya Pakatan Harapan, baik pemimpin mahupon penyokong, tidak mahu memahami dan tidak bersungguh memenuhi perkara-perkara di atas tidak mustahil Rantau dan PRK selepasnya  akan dimenangi gabungan BN-PAS. Kemenangan BN nanti bukan kerana gabungan itu lebih baik, tetapi kerana PH semakin buruk dan teruk.

Sudah tiba masanya Dr Mahathir memikir dan mempercepatkan pelan peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim. Beliau dan barisan Menterinya mulai kehilangan kepercayaan rakyat. Jangan kerana jahil dan degil satu dua individu, seluruh PH tersungkur lebih awal manakala BN kembali di puncak kuasa.


Friday, March 1, 2019

RM1.4 Juta Bohong?

Selepas Takiyuddin Hassan menafikan Presiden membayar Pengarang Sarawak Report, Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan mendakwa gambar cek dan nombor akaun yang dikatakan sebagai bayaran RM1.4 juta kepada PAS adalah palsu.


"Kelmarin ditularkan gambar cek dan nombor akaun untuk memfitnah PAS dengan lagu baru RM1.4 juta. Ada kawan-kawan semak nombor akaun yang ditular itu dengan cuba transfer duit RM5 dan RM1, ternyata akaun itu tidak wujud" tulisnya di Facebook.
Nasrudin merujuk nombor akaun yang dinyatakan di surat penerimaan oleh Clare Rewcastle Brown. Nombor akaun tersebut tidak dinyatakan secara penuh. Lazimnya nombor akaun bank di Malaysia menpunyai 14 digit.
Tidak berapa lama selepas kenyataan Nasrudin, peguam Clare Americk Sidhu mengesahkan kebenaran cek tersebut.

"Saya boleh sahkan cek ini sudah dijelaskan melalui akuan Maybank anak guam saya, yang bermakna cek ini asli atau bank yang luluskan itu buat kesilapan besar," katanya.
Americk yang merupakan penama menambah cek berkenaan ditulis di hadapannya, namun enggan mendedahkan pemegang akaun penulis cek itu.

Rafizi Ramli dalam blognya mengesahkan nombor akaun di surat penerimaan Clare memang wujud, cuma kekurangan 4 digit. Hasil pencarian kod cawangan Bank Islam dan cubaannya memasukkan wang ke nombor akaun yang ditambah digit menunjukan akaun tersebut dimiliki oleh Rameli Musa, Pengerusi KTMB.

Apa kaitan Rameli Musa dengan penyelesaian luar mahkamah Hadi dan Clare? Dan di antara Nasrudin Hassan atau Americk Sidhu, siapa yang berbohong?

Penafian demi penafian dari pembohongan demi pembohongan pimpinan PAS akan berlarutan hingga ke mana? Di mana dan apa penamatnya?

Terlalu sukarkah bagi golongan yang selalu bertempik urusan dosa pahala, amal makruf nahi mungkar dan takutkan Allah, untuk mengakui pembohongan, meminta maaf  secara terbuka dan bertaubat?

Bukti RM1.4 Juta

Sarawak Report mengesahkan menerima sejumlah RM1,422,980.00 sebagai penyelesaian luar mahkamah ke atas tuntutan  balas Clare Rewcastle Brown kepada Abd Hadi Awang. Pembayaran dibuat kepada peguam Americk Sidhu.

Clare mendedahkannya melalui posting terbaru portal Sarawak Report.


Surat dan salinan cek berkaitan penyelesaian disertakan bersama.




Pendedahan Clare tersebut bagi menjawab penafian Takiyuddin Hassan bahawa Hadi dan PAS membayarnya.

Mengenali pendirian dan kaedah Hadi dan PAS berurusan dengan pihak yang tidak bersetuju dengan mereka, menarik balik saman dan membayar pampasan selepas perkiraan peluang mereka menang adalah tinggi bukanlah pilihan.



Namun dalam kes tuntutan balas Clare, ia menampakkan sisi lain mereka.

Tindakan Hadi menarik balik saman ke atas Clare dan membayar lebih RM 1.4 juta sebagai penyelesaian luar mahkamah tuntutan balas Clare kepada Hadi hanya membuktikan:

1) kebenaran laporan Sarawak Report berlakunya subahat antara PAS dan UMNO.

2) penafian demi penafian berlakunya kerjasama dan pembiayaan antara PAS dan UMNO adalah pendustaan besar oleh pimpinan terhadap jemaah, penyokong dan bangsa.

3) tuduhan demi tuduhan bahawa isu kerjasama dan pembiayaan antara PAS dan UMNO adalah fitnah dicipta Parti Amanah Negara, Democratic Action Party dan Parti Keadilan Rakyat adalah pembohongan jahat oleh pimpinan ke atas kepercayaan jemaah, prinsip politik dan sistem keadilan.

Persoalannya kini penafian demi penafian dari pembohongan demi pembohongan pimpinan PAS akan berlarutan hingga ke mana? Di mana dan apa penamatnya?

Jawaban kepada adegan "matang dan sejahtera" pimpinan terserah dan tergantung kepada jemaah dan penyokong PAS sendiri.

Adakah mereka akan bangun mempersoalkan integriti dan kemampuan pimpinan sedia ada untuk terus mengemudi parti?

Adakah mereka akan menuntut perletakan jawatan atau meninggalkan parti tanda protes terhadap aksi-aksi pembohongan-penafian selama ini?

Adakah mereka akan membuat laporan kepada pihak berkuasa atau mengambil tindakan mahkamah terhadap mana-mana pemimpin parti?

Atau adakah mereka akan terus menyokong dan membela pimpinan dengan menerima "pengakuan" dan "pendedahan" terbaharu seolah tindakan terdahulu tiada memberi kesan ke atas mereka?

Semoga masih ada antara mereka mahu mengunakan aqal dan berfikir serta melihat apa yang telah diperlihatkan Tuhan kepada mereka.