Wednesday, March 6, 2019

Tersungkur Lebih Awal

Dengan mengukur kemampuan dan pencapaian semasa wakil rakyat PH serta menganalisa perkembangan terkini parti-parti kerajaan dan pembangkang, adalah tidak mustahil menyaksikan Pakatan Harapan tersungkur lebih awal. Berikut adalah antara faktor penyumbang:

1. Dr Mahathir Mohamad

Umum mengetahui Dr Mahathir keluar dari persaraan dan kembali ke politik kerana dan hanya kerana ingin menyingkirkan Regim Mohd Najib Abd Razak.

Dr Mahathir tidak mampu melakukannya sendirian. Beliau mesti bekerjasama dengan musuh Najib. The enemy of my enemy is my friend. Lalu Dr Mahathir menghantar wakil ke penjara dan secara peribadi mengadap Anwar Ibrahim di mahkamah membawa salam pendamaian dan hajat besar. Anwar menyambut salam itu bersyarat.

Dr Mahathir memilih berunding dengan PH berbanding Gagasan Sejahtera kerana gabungan yang diketuai Anwar mendapat kepercayaan dan sokongan majoriti rakyat Malaysia sejak PRU12 lagi. PH bersifat nasional, didokong dan disokong rakyat pelbagai kaum. Komposisinya mirip BN.

Manakala GS berupa gabungan parti-parti nasionalis Melayu. Selain PAS, ia dianggotai Ikatan dan Berjasa. Ia didominasi PAS. Namun PAS tidak sekuat UMNO. Parti Islam itu juga makin kehilangan pengaruh selepas tertubuhnya Parti Amanah Negara. Penyokongnya tertumpu di dua negeri Pantai Timur. Dendam kesumat pimpinannya terhadap Dr Mahathir menyukarkan sebarang usaha rundingan.

Dr Mahathir bersungguh mahu Regim Najib dipenggal. Berkompromi dengan Anwar tidak lebih untuk memecahbelahkan kesepaduan dan melebarkan keretakan UMNO. Gerak kerjanya mesti dilunaskan orang dalam. Mendapatkan bantuan untuk itu tidak menjadi masalah. Sokongan akar umbi UMNO kepadanya masih kuat kerana nostalgia 23 tahun memimpin parti itu.

Selepas mengumumkan keluar UMNO kali kedua dan menubuhkan Parti Peribumi Bersatu Malaysia, Dr Mahathir memohon menjadi komponen ke 4 PH.

Beliau menubuhkan Bersatu dan bekerjasama dengan PH hanya untuk memberi tekanan maha hebat kepada pimpinan UMNO supaya segera menyingkirkan Regim Najib. Malangnya sebahagian besar mereka terlalu terikat dengan Najib dan tiada kekuatan untuk membantunya.

Semua itu menyebabkan sebahagian pemimpin cawangan dan bahagian secara terbuka dan berjemaah mempertikai kredibiliti Najib selaku Presiden UMNO, malah berani menuduhnya sebagai liabiliti dan mendesaknya melepaskan jawatan sebelum PRU.

Andai strategi pertikaian, desakan dan protes tersebut tidak cukup kuat untuk menurunkan Najib sebelum pilihanraya, Dr Mahathir akan menggunakan keputusan PRU.

Dengan menjangkakan BN menang tipis pada PRU14 dan mencatatkan keputusan lebih buruk dari PRU13 ia akan menjadi bahan kepada akar umbi lebih agresif menyingkir Najib sebagaimana berlaku ke atas Abdullah Ahmad Badawi pasca PRU12. Dr Mahathir meletakan harapan tinggi pada Perhimpunan Agung UMNO 2018 sebagai penentu kemuncak usahanya, lebih tinggi dari partinya sendiri.

Namun ternyata Dr Mahathir tidak perlu tunggu PAU untuk menyingkirkan Najib. Regim Najib disingkirkan rakyat melalui peti undi.

PRU14 menyaksikan BN hilang Putrajaya selain Kedah, Perak, Melaka, Negeri Sembilan, Johor dan Sabah kepada PH manakala Terengganu kepada PAS. BN kalah teruk di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan. BN hanya mengekalkan Perlis dan Pahang. Kekalahan ini memaksa Pengerusi BN menyerahkan kuasa kepada Timbalannya. Najib turun tanpa rela.

Dr Mahathir sendiri tidak menjangkakan kekalahan BN. Kejayaan PH memperoleh majoriti mudah mengejutkan bukan sahaja Dr Mahathir malah pimpinan Bersatu dan UMNO. Kemenangan ini seterusnya diperkuatkan dengan sokongan beberapa MP BN yang keluar parti menjadi Bebas.

Dr Mahathir masih sayangkan UMNO Baharu, parti yang diasaskannya selepas UMNO asal diharamkan pasca krisis 1988. Kasihnya Dr Mahathir kepada UMNO seperti seorang ayah kepada anak.

Ini dibuktikan dengan beberapa siri perjumpaan dengan pimpinan UMNO termasuk Ahmad Zahid Hamidi, Mohamad Hasan, Ismail Sobri Yaakob, Hishamuddin Hussein, Annuar Musa, Tengku Adnan Mansor, Noh Omar dan Anifah Aman. Walaupon dinafikannya, ramai menghidu Dr Mahathir bercita-cita untuk kembali ke pangkuan UMNO.

Sekiranya Dr Mahathir berterusan merindui dan mengintai UMNO, bukan hanya PKR, DAP dan Amanah berasa syak dan kecewa dengannya, malah partinya sendiri Bersatu akan prejudis dan mengambil langkah luar jangka ke atasnya.

2. Sokongan musuh


Ramai pemerhati politik dan penyokong kerajaan melihat tindakan PAS dan UMNO menyatakan sokongan mereka kepada Dr Mahathir untuk terus memimpin negara tiada lain kerana mengharap ehsan kasihannya terhadap segala subahat dan jenayah mereka lakukan sebelum ini.

Bagai mengantuk disorong bantal, Dr Mahathir pula memerlukan sokongan tersebut sebagai lonjakan semangat dan kekuatan untuk melengah atau mengabaikan konsensus Majlis Presiden dan janji kepada pengundi akan penyerahan kuasa kepada Anwar kurang 15 bulan dari sekarang.

Kes-kes SPRM ke atas pimpinan PAS adalah satu bentuk amaran kepada kelancangan dan kebiadapan mereka terhadap Dr Mahathir sebelum ini. Mereka cuma ada dua pilihan - tunduk atau berdepan lagi tekanan.

Hashim Jasin, Ahmad Yaakob, Abd Hadi Awang, Takiyuddin Hassan, Nasruddin Hassan, Dr Ahmad Shamsuri Mohktar dan ramai lagi yang dahulu mencemuh dan mengaibkan Dr Mahathir dengan pelbagai tuduhan kini berlunak, tidak menyerang malah memuji-muji tindakan Dr Mahathir. Tidak cukup dengan itu mereka memberikan sokongan bertulis kepadanya kekal di kerusi PM.

Kes-kes jenayah terhadap Najib dan sekutu kerasnya juga satu bentuk amaran kepada pimpinan UMNO. Tunduk atau berdepan serangan KO.

Dr Mahathir amat sinonim dengan strategi mengumpul dan menyimpan x-file. Bila tiba masa beliau menggunakannya ke atas pencabar. Porfolio x-file nya merangkumi individu, pertubuhan dan institusi.

Rata-rata pimpinan UMNO hidup mewah dan kaya raya berhasil dari salahlaku dan salahurus, jika tidak menipu atau mencuri barangkali kerana mengorbit PM/Presiden. Mereka mengendong "heavy baggage". Isi baggage mereka ada di pengetahuan Dr Mahathir.

UMNO sebagai sebuah parti politik telah melanggar pelbagai peruntukan Akta Pertubuhan 1966. Pembatalan atau pengharamannya hanya selangkah dari nyata.

Dengan keupayaan x-file, apakah Dr Mahathir akan kompromi dosa-dosa (ke atas dirinya, ummah, masyarakat dan negara) pimpinan PAS dan UMNO yang lalu serta berpaling dari Manifesto PRU demi meraih sokongan untuk kekal di kerusi kuasa?

3. Kelantangan DAP

Beberapa pimpinan negeri dan pusat DAP agak lantang menentang cadangan menerima Bersatu ke dalam PH. Mereka turut menentang pencalonan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Kelantangan mereka berterusan ke saat ini. Dr Boo Cheng Hau, mantan Pengerusi DAP Johor mendesak Dr Mahathir meletakan jawatan kerana gagal memenuhi Manifesto.

Sumber dalaman PH mendedahkan hubungan Dr Mahathir dan Lim Guan Eng kini makin keruh. Ini gara-gara ketegasan Guan Eng untuk tidak memenuhi tuntutan beberapa Menteri ketika merangka dan membentangkan Belanjawan 2019.

Menteri DAP yang lain turut berani menyangkal cadangan Dr Mahathir dalam mesyuarat Kabinet. Ini tidak berlaku ketika MCA, MIC dan Gerakan berada dalam Kabinet PM ke 4.

Hubungan pimpinan DAP dengan Bersatu juga tidak sebaik dengan PKR dan Amanah. Ini berpunca dari permusuhan lama antara mereka ketika Bersatu masih UMNO. Dendam dan hasad mereka terhadap UMNO terlalu tebal sehingga terbawa-bawa tuduhan Bersatu adalah UMNO versi 2.0.

Adakah suatu kebetulan kes-kes rasuah berkaitan pembinaan terowong dasar laut Pulau Pinang dibuka semula oleh SPRM? Atau adakah ia satu lagi bentuk amaran?

DAP tidak menunjukan tanda akan berlembut dan berhemah dengan Dr Mahathir. Lantang dan keras terpacak pimpinannya menjadi alergen kepada Dr Mahathir.

4. Krisis PKR

Hubungan antara Anwar dan Mohamed Azmin Ali tidak semesra dahulu. Episod cuka antara mereka bermula ketika Dr Wan Azizah Wan Ibrahim dinafikan jawatan Menteri Besar Selangor. Kekecewaan Anwar terhadap Azmin membesar ketika penubuhan Pakatan Harapan dan membarah ketika pengumuman Kabinet Dr Mahathir.

Permusuhan antara kem Azmin dan kem Mohd Rafizi Ramli pula diketahui kawan dan lawan. Pertelingkahan terbuka antara mereka menjadikan Pemilihan PKR 2018 sebagai yang terkotor dan terburuk dalam sejarah, tuduh menuduh, cela mencela dan mengaibkan satu sama lain mengheret kepada siri pergaduhan dan ratusan laporan polis. 

Bukan rahsia kem Rafizi lebih dekat dengan mantan Presiden dan Presiden. Namun itu tidak memberi kelebihan kepada mereka. Kedudukan kem Azmin yang menguasai jawatan kerajaan Persekutuan dan negeri serta berbekal dana besar memberi laluan mudah merangkul semua jawatan utama kecuali satu slot Naib Pengerusi dan Ketua Pemuda. Anwar kini bergantung kepada sokongan dari jawatan lantikan.

Pengaruh Azmin yang semakin kuat tidak menyenangkan bukan sahaja Presiden, kem Rafizi malah mereka yang memilih jalan tengah, termasuk veteran parti. Mereka merasakan Azmin seorang opportunis dan berisiko. Beliau sanggup melakukan apa sahaja untuk naik. Wasangka mereka terhadapnya bersebab.

Ramai tidak lupa serangan Azmin ke atas MB Selangor Khalid Ibrahim dan "keperluan kerjasama" dengan kem Rafizi menjatuhkannya, tindakannya menerima jawatan MB  Selangor membelakangi keputusan Majlis Presiden mengiktiraf Dr Wan Azizah, mengekalkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor ketika pimpinan pusat PAS dan DAP membubarkannya, mengekalkan wakil PAS berbanding memilih Amanah memenuhi jawatan negeri, menentang penubuhan Pakatan Harapan, menyokong petisyen tindakan ke atas Presiden kerana membantah penubuhan PH, menafikan bantuan kewangan kepada calon PRU selain dari kemnya, menentang pencalonan Dr Mahathir sebagai PM, menerima jawatan Kabinet Dr Mahathir sedangkan tidak dinamakan parti sebagai Menteri Persekutuan, menyangah Presiden dan rakan pimpinan secara terbuka dan sebagainya.

Dr Mahathir memberi lebih banyak jawatan Menteri kepada kem Azmin berbanding kem Rafizi sedangkan parti mencalonkan nama lain. Tindakannya itu menambah konflik dalaman PKR, sungguh kawat yang dibentuk ikan ditebat yang diadang.

Sebagai komponen terbesar sebarang ribut dalam cawannya cukup kuat menganggu ekosistem PH. Kekecewaan Anwar terhadap Azmin, ketegangan antara kem Azmin dan kem Rafizi serta tawar-menawar antara Dr Mahathir dan kem Azmin mengugat kesetiaan dan membina keretakan. Tindakan lebih agresif dari itu akan membawa kepada perpecahan, kaliberasi dan penubuhan pakatan baharu.

5. Kerjasama PAS dan UMNO



PRK Cameron Highland dan Semenyih membuktikan kesepakatan dan kesepaduan di antara dua parti Melayu terbesar nyata tidak mengecewakan. Pendekatan buang yang keruh ambil yang jernih demi "survivalship" mendapat sokongan pimpinan dan akar umbi kedua-dua parti yang sebelum ini saling memusuhi dan menjatuhkan.

UMNO dan PAS kalah banyak kerusi kepada PH kerana pertandingan 3 penjuru. Ia menjadi pengajaran buat mereka. Untuk menumpaskan PH caranya hanya satu - mesti bekerjasama secara terang-terang, tiada lagi sembunyi-sembunyi.

Seandainya kerjasama ini benar-benar menjadi dan berlanjutan hingga PRU15, kerajaan PH berdepan cabaran besar. Kedah dan Perak mungkin tumbang lebih awal manakala Negeri Sembilan, Melaka dan Johor tidak selamat.

UMNO dan PAS mesti bijak memanfaatkan "perkahwinan" ini dengan mengambil posisi bukan sahaja menyerang tetapi membina ke atas polisi-polisi kerajaan PH yang lemah dan gagal. Mereka harus berhenti bergantung kepada sentimen kaum dan agama meraih sokongan. Mereka juga mesti segera menunjukkan kesungguhan menvaksinkan "virus" dan merawat "barah" dalam keluarga besar mereka, kerana virus dan barah itu punca rakyat menolak mereka PRU lalu.

Kewujudan, kelangsungan dan ketahanan PH tergantung kepada langkah siapa lebih pantas, bijak dan berani, di antara Dr Mahathir dan Anwar, di antara meraih sokongan PAS dan UMNO dan menghormati mandat pengundi. Silap catur mereka berdua berputih mata. Jika PH tersungkur mereka yang pertama ditafakur.



No comments:

Post a Comment