Wednesday, July 1, 2020

Calon PM PH 2.0

1. Hal calon PM Pakatan Harapan 2.0 sebenarnya perkara mudah. Para pemimpin hanya perlu bawa usul kepada ahli akar umbi parti masing-masing - PKR, DAP dan PAN. Boleh adakan EGM atas talian, atau peringkat cawangan untuk mohon mandat baharu hala tuju parti, samada pakatan membentuk kerajaan perlu diketuai individu tak berparti Dr Mahathir Mohamad atau Pengerusi PH Anwar Ibrahim. Cakap-cakap seorang dua pemimpin parti tertentu tentang siapa lebih layak bukan mewakili suara majoriti.

2. Sekiranya majoriti akar umbi mahu Dr Mahathir mengetuai usaha rampasan kuasa maka Anwar perlu berlapang dada dan segera satukan saf PH. Andai sebaliknya, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu mesti akur dan segera perkukuhkan parti masing-masing untuk hadapi PRU15 bersama PKR. Samada Dr Mahathir dan Mohd Shafie Afdal-PWS mahu bersama PH kalahkan Perikatan Nasional itu perkara kedua.

3. Sebelum PPBM secara rasmi menyertai PH keutuhan PKR, DAP dan PAN sudah pon berada di tahap optimal. Dr Mahathir dan Daim Zainuddin menyedari keupayaan dan kemampuan PH menjatuhkan BN lama sebelum PRU14, masakan mereka sanggup menjilat ludah-ludah mereka. PPBM memilih PH kerana sedar kekuatan akar umbi, terbukti bilamana ia menang 13 kerusi Parlimen kerana bantuan jentera PKR, DAP dan PAN. Logik lah Dr Mahathir sanggup jadi "pijak semut pon tak mati" sebelum pilihanraya.

4. Pasca PRU14 Dr Mahathir dan Shafie mampu berdiri pacak kerana sokongan pelacur-pelacur politik. Tetapi mereka berdua terlupa bahawa pelacur-pelacur ini kerjaya mereka tidak lain hanya memuaskan pelanggan. Siapa bayar lebih maka khidmatnya lebih baik. Hari ini tindakan menerima pelacur politik menghantui dan membebani mereka. Pelacur mengajar makna karma.

5. PH ditubuhkan dari keringat pejuang-pejuang yang luhur hatinya bukan sahaja bersungguh menjatuhkan regim zolim malah untuk menukar seluruh sistem korup dan tenat. Berpuluh tahun mereka berusaha dengan sabar dan tabah, tak sedetik berubah tekad dan usaha walau ditekan apalagi bila dijanjikan habuan.

6. Namun sebahagian kecil pejuang bila berpeluang menjayakan hasrat tersebut dengan kuasa berada di tangan mereka diperdaya dan dikuasai budaya korup dan tenat itu. Tak keterlaluan mengatakan sikap mereka lebih huduh dari regim. Kasihan akar umbi yang berharap. Harapan yang diberi palsu belaka.

7. Kerana taksub untuk berkuasa semula (baca menjawat Menteri) mereka memperlihatkan kehuduhan dalam membuat keputusan. Urusan semudah siapa patut pimpin pakatan cukup membuatkan mereka terlondeh kain dan seluar. 1 jawatan, 4 bulan, 3 nama! Ini belum lagi bincang soal ancaman ketenteraan dari kuasa besar dunia.

8. Kepada pemimpin parti-parti PH, kembalilah kepada matlamat penubuhan parti anda. Anda pemimpin parti politik, bukan parti Tupperware. Parti anda didokong oleh ahli, yang menyertai parti dan mengangkat anda kerana janji-janji perubahan berkerajaan yang anda laung-laungkan. Seandainya anda memilih memihak individu atau kumpulan yang berkali-kali mencalar janji-janji politik maka anda seharusnya berasa malu dan sila angkat kaki.

9. Ramai lagi pemimpin yang layak berada posisi anda untuk mengemudi parti agar matlamat dicapai, yakni menukar sistem bernegara yang korup dan tenat, yang digagalkan oleh sebahagian dari anda ketika 22 bulan berkuasa kerana percayakan pendatang dalam PH. Kerana anda gagal teladani sejarah jatuhnya Melaka akar umbi pula menjadi mangsa.

10. 4 bulan tersia-sia hanya untuk tentukan siapa patut jadi ketua. Inikah jenis pemimpin yang rakyat marhaen patut harapkan untuk tadbir negara, terutamanya di saat 1 dunia berdepan tekanan pandemik, kejatuhan ekonomi dan ketegangan diplomatik? Kami sudah, cermin anda sudah memberikan anda jawapan?