Saturday, November 12, 2016

Tidak Khianat?

PAS tidak pernah khianat dalam pakatan pembangkang, malah parti Islam itu sentiasa menghormati adab dan akhlak berpakat. Presidennya, Abdul Hadi Awang berkata ketika berada dalam pakatan PAS sentiasa teguh dengan dasar dan matlamat yang wajib dihormati semua pihak.

"Dalam sejarah pakatan dengan pihak lain, PAS tak pernah khianat (dalam apa-apa pakatan), sehingga PAS dipecat daripada BN (pada 1978) dan terkini, DAP memecat PAS daripada Pakatan Harapan (PR)," katanya dalam satu kenyataan semalam. Menurutnya, PAS sentiasa bersabar menghadapi perangai parti lain yang campur tangan dalam urusan dalaman sehingga ada yang 'meredah masuk ke dalam bilik rumah PAS'. Sinar Harian 12 November 2016

Peristiwa-peristiwa berikut barangkali mampu menjawab kenyataan terbaharu Haji Hadi.

1. PAS bekerjasama dengan UMNO secara sulit di Selangor untuk menubuhkan kerajaan negeri, membelakangi mandat rakyat dan tahaluf dengan PKR-DAP pasca PRU12. Haji Hadi salah seorang yang terlibat mengasaskan Kerajaan Perpaduan UMNO-PAS dan dibantu Hassan Ali dan Nasaruddin Mat Isa

2. PAS meletakkan 7 calon bertindih sekaligus mewujudkan pertandingan 3 penjuru dengan PKR di kerusi Parlimen dan DUN pada PRU13. PKR kalah semua kerusi, BN menang bergaya

3. PAS memilih YM Tengku Razaleigh Hamzah wakil rakyat UMNO calon Perdana Menteri andai PR berjaya ke Putrajaya pada PRU13, membelakangi keputusan majoriti dalam Pakatan Rakyat yang mengangkat Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri

4. PAS bersekongkol dengan Abd Khalid Ibrahim memecat EXCO PKR dan DAP, menyebabkan PR Selangor lumpuh, kerajaan negeri hampir runtuh dan PRN nyaris berlaku

5. PAS menyebabkan kemelut jawatan Menteri Besar Selangor berpanjangan apabila menentang Dr Wan Azizah Wan Ibrahim yang dipilih majoriti PKR dan DAP sebagai penganti sedangkan PKR dan DAP tidak pernah campurtangan urusan PAS melantik Menteri Besar Kedah, Perak, Kelantan dan Terengganu

6. PAS memulau PRK Permatang Pauh dan Kajang yang ditandingi PKR malah berkempen menentang rakan tahalufnya itu

7. PAS mengheret Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang dipimpin DAP dan PKR ke mahkamah kerana tidak berpuas hati tindak balas dilucutkan jawatan ahli Majlis dan JKKK selepas Muqtamar memutuskan hubungan dengan DAP

8. PAS meletakkan 3 calon bertindih sekaligus mewujudkan pertandingan 3 penjuru dengan PKR pada PRN Sarawak. PKR kalah semua kerusi, BN menang bergaya

Mana satu dari 8 perkara di atas bukan pekerjaan khianat?


Wednesday, November 2, 2016

Politik Tamak

Sebagai penyokong tegar Pakatan Rakyat pada dua PRU terdahulu, apa yang dilakukan Haji Abd Hadi Awang dan geng Taliban pada hemat saya bukan sebarangan kesalahan yang senang-senang boleh dimaafkan. Mereka mengangkat diri sebagai 'ulama', menjual jenama 'pewaris Anbia' selain memasarkan partinya 'PAS for All' kepada rakyat berbilang bangsa dan agama secara muslihat demi kuasa, adalah suatu perbuatan khianat dan menjatuhkan imej Islam sebagai agama yang benar yang tiada muslihat dan tiada paksaan.

Kenyataan terbaharu Murshidul Am dan Presiden PAS yang bercanggahan dengan kenyataan asal mereka awal bulan lalu sudah diduga dan boleh dibaca rancangannya. Ini kerana lisan dan perbuatan lebai-lebai PAS setahun dua ini kerap berbolak balik. Selepas dengan angkuh dan riak menunjukkan 'muscle' kemampuan dan kesediaan bertanding pelbagai penjuru dengan Pakatan Harapan dan selepas sandiwara RUU355 memakan diri, minggu ini mereka berdua berlembut mahukan rundingan dengan parti pembangkang lain untuk menjayakan matlamat satu lawan satu pada PRU14. Seperti biasa kesediaan mereka berunding datang dengan klausa; Murshidul Am menetapkan 'kerjasama demi agama Allah' manakala Presiden mensyaratkan 'jangan ganggu rumahtangga kami'.

Demi Agama Allah

Sekiranya PAS benar-benar mahu menegakkan Islam di Malaysia matlamat itu sebenarnya boleh dicapai lama dahulu. PAS sudah 60 tahun dipersada dakwah negara, pernah berada dalam kerajaan Perikatan dan Pakatan Rakyat. Pengalaman mereka sangat luas. Dan tempoh sepanjang itu sepatutnya menjadikan kerja dakwah PAS lebih tersusun, strategi dakwah berkembang, berinovasi dan berkesan sekaligus mampu membesarkan pengaruh. Keadaan ini hampir terealisasi ketika Almarhum Nik Abd Aziz Nik Mat dan Almarhum Haji Fadhil Noor selaku Murshidul Am dan Presiden bergandingan bersama golongan agamawan dan professional yang menganggotai Jawatankuasa Pusat. 'Demi agama Allah' telah disemai dan dibaja dengan baik dalam masyarakat secara lunak dan bijaksana. Pendekatan PAS ketika itu diiktiraf dan disegani kawan dan lawan, perjuangannya makin disokong pelbagai lapisan usia dan latar belakang pendidikan, profesion dan kepercayaan. Keahliannya meningkat berlipat ganda dalam tempoh 5 tahun sekaligus menimbulkan ketakutan dalam UMNO kerana PAS dilihat alternatif terbaik mengantikan Regim.

Namun semua usaha lunak dan bijak itu rosak binasa selepas geng Taliban kembali menguasai kepimpinan. Kaedah 'demi agama Allah' mereka mundur ke belakang, keras dan menekan. Majlis-majlis anjuran mereka kembali ke era 70an dan 80an, dipenuhi amarah, celaan, fitnah dan hukuman.

Jika sebelum ini sebahagian besar pendakwah PAS atau 'tabligh' masuk ke serata cerok kampung dan pedalaman untuk berdakwah, namun kini mereka lebih selesa duduk di kerusi empuk di dalam masjid, mursalla, majlis dan pejabat menunggu jemaah datang kepada mereka. Jika sebelum ini pendakwah PAS banyak merendah diri dalam ketinggian ilmu dan pekerti namun kini bahasa dan perlakuan mereka keras dan mendabik dada dengan sedikit ilmu yang mereka ada.  

Kerja-kerja masuk kampung kini diambil alih Mubaligh Kristian. Tidak hairanlah agama Kristian semakin berkembang dan dianuti bukan sahaja suku-suku kaum di Sabah dan Sarawak malah di kalangan orang asal, kaum Cina dan India di Semenanjung.

Mubaligh Kristian masuk ke kampung dan pedalaman melakukan ziarah rumah ke rumah. Mereka terdiri daripada anak-anak muda yang cantik rupa paras, bersih tubuh badan, sempurna pemakaian tinggi pula santunnya. Ini amat berlawanan dengan sebahagian besar lebai-lebai yang buruk penampilan dan pekerti. Kaedah Mubaligh Kristian lebih mirip kehendak dakwah Pesuruh Allah sedangkan lebai-lebai PAS keras dan menekan ala Taliban.

'Demi agama Allah' sepatutnya lebih berjaya ketika PAS semakin mesra dengan UMNO. Murshidul Amnya dilantik Pengerusi Majlis Perundingan Islam tajaan Putrajaya. PAS tidak perlu bersusah-susah bertanding pilihanraya dan tidak perlu menang kerusi DUN dan Parlimen untuk menegakkan Islam. Majlis Syura dan Majlis Ulama yang tidak cukup anggota, tenaga dan masa untuk berdakwah khususnya masa kini ketika negara dilanda begitu banyak musibah sosial, tidak perlu berpenat lelah bermesyuarat siang malam merencana strategi dakwah. Kemesraan dan jawatan hasil taawun dengan UMNO sepatutnya memudahkan lebai-lebai PAS memusat dan memindahkan kepakaran dan pengalaman mereka.

Kemesraan Hadi dan Najib yang disamakan seperti adik beradik itu sepatutnya juga memberi ruang yang luas kepada lebai-lebai PAS, khususnya yang gemar mengumpul 'sampul' selepas tazqirah, usrah dan kuliah, untuk masuk ke jabatan-jabatan Persekutuan dan stesen-stesen media untuk berdakwah.

Dengan keberadaan Malaysia dalam kelompok 10 tertinggi dunia pengamal rasuah, juga 10 tertinggi dunia statistik kemalangan maut selain antara tertinggi dunia hutang isi rumah dan antara tertinggi dunia pengidap penyakit kencing manis dan darah tinggi, isu-isu tadi mampu membuatkan lebai-lebai PAS tidak habis bercakap, sesi tazqirah mereka tidak habis dijadual selain pendapatan mereka tidak akan putus kerana berdakwah kepada kakitangan kerajaan yang berjumlah lebih 1 juta itu dan rakyat yang berjumlah 30 juta.

Malangnya ini tidak berlaku. PAS tidak mahu kaedah 'demi agama Allah' sebegitu. Hadi dan geng Taliban mahukan kuasa. Dengan kuasa mereka mampu menghukum. Mereka merasakan diri mereka berada di maqam tertinggi ketika mereka malas dan gagal menyebarkan ilmu (berdakwah). Fikirkan, apakah mereka ini layak menjawat Pengubal Undang-Undang (ahli DUN dan Parlimen) berlandaskan cara mereka berfikir dan bertindak lewat ini?

Jangan Ganggu Rumahtangga Kami

PAS pernah memegang tampuk kuasa eksekutif sepenggal di Terengganu, Kedah dan Perak dan masih memegangnya di Kelantan. Ketika PAS menang bergaya di negeri-negeri tersebut atas mandat rakyat kepada Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat sehingga melayakkan mereka jawatan Menteri Besar, tiada mana-mana parti yang menganggu rumahtangga PAS. Malah sekalipon wakilnya adalah minoriti di Perak, kerusi MB diserahkan kepada PAS. Lebai-lebai PAS dibantu mengurus negeri oleh profesional dari PKR dan DAP. Namun bilamana DAP dan PKR mengetuai Pulau Pinang dan Selangor, lebai-lebai PAS lah yang menganggu rumahtangga Pakatan atas alasan 'demi agama Allah'. Di Pulau Pinang PAS berkali-kali menyerang DAP sehingga hampir melumpuhkan JKKK dan Jabatan Agama manakala di Selangor kerajaan Pakatan Rakyat hampir runtuh kerana geng Taliban mahukan Kerajaan Perpaduan dengan UMNO.

Selain Perak, ketiga-tiga negeri yang pernah dipimpin lebai-lebai PAS tidak menunjukkan teladan yang baik. Mereka memunggah hasil bumi serakus Regim, kurang perduli kebajikan rakyat yang susah dan tertekan, tidak juga mengurangkan kadar gejala sosial dan jenayah dadah, seksual, curi-rompak dikalangan umat Islam. Pengalaman mencatatkan mengangkat lebai-lebai ke jawatan Wakil Rakyat dan Pentadbiran Kerajaan TIDAK menjaminkan negeri atau negara menjadi lebih maju, makmur, selamat dan berjaya.

Matlamat satu lawan satu bukan sekadar untuk PRU. Kita bercakap soal menentukan pentadbiran Persekutuan dan Negeri, soal menentukan dasar-dasar kerajaan yang mengutamakan rakyat, soal penyatuan dan kesepakatan kaum-kaum, soal kemakmuran ekonomi, soal pembangunan seimbang bandar dan luar bandar, soal keselamatan sosial dan sempadan, soal pendidikan dan kesihatan, soal kebebasan dan keharmonian. Ini semua bakal ditentukan oleh pemenang PRU14.

Sekiranya BN kekal sebagai Kerajaan Persekutuan pada PRU14 maka rakyat boleh melupakan soal kebajikan mereka. Najib dan Regimnya akan terus melaksanakan polisi-polisi gila. BN wajib dijatuhkan.

Untuk menjatuhkan BN rakyat perlu menolak calon-calonnya dalam PRU. Namun jika calon selain BN bukan alternatif terbaik maka siapa yang patut rakyat pilih? Umum mula menyamakan sikap dan kualiti pemimpin PAS dengan UMNO, kedua-duanya lima kali dua. Tidak mustahil pengundi yang murka dengan kedua-dua parti tersebut akan memulau pilihanraya di kawasan yang ditandingi hanya parti-parti tersebut. Sekiranya ini berlaku peluang BN dikalahkan adalah tipis.

Bagaimana negara akan mendapat dasar-dasar yang baik lagi bermanfaat jika rakyat terpaksa mengangkat wakil-wakil yang gemar u-turn, berlawan arus, mengelak mesyuarat penting, ponteng perbahasan, selain gemar pendekatan cerca cela dan panas baran?

Bagaimana satu kerajaan gabungan akan berfungsi dengan baik sekiranya ada sebahagian dari anggotanya mengangkat matlamat Presiden partinya lebih tinggi dari mandat rakyat, yang tidak mampu membedakan peranan sebagai wakil rakyat dan wakil parti, yang gagal mengutamakan tanggungjawab sebagai ahli kerajaan atau Dewan dari parti?

Kepercayaan saya kepada geng Taliban terhakis sepenuhnya selepas kemangkatan Almarhum Nik Abd Aziz dan Tragedi Jun. Pesanan saya kepada parti-parti pembangkang sedia ada kukuhkan saf Pakatan Harapan tanpa bergantung kepada PAS. Sekiranya PAS sadar kedudukan dan denyut nadi perjuangan rakyat Hadi tidak akan mengenakan syarat-syarat untuk bekerjasama menumpaskan Regim.

Gabungan PKR-DAP-Amanah-Bersatu-Warisan memadai untuk menjatuhkan Najib dan Regimnya. Pakatan ini hanya perlu sebulat suara dan bersatu hati, bersepakat dalam perjuangan dan mengutamakan rakyat dan negara dari parti dan pemimpin. Dan selagi PAS tidak 'mengila babi' meletakkan calon di kerusi-kerusi ditandingi Pakatan Harapan, PRU14 Najib dan Regimnya akan binasa.

Melihat perkembangan mutakhir ini ramai mulai sedar sikap panas baran dan sifat angkuh Hadi dan geng Taliban lah yang sebenarnya menganggu rumahtangga PAS. Halnya itu makin ramai jemaah menjarakkan diri dari parti dan lebai-lebai. Pengundi bandar tekad tidak akan lagi memilih calon PAS manakala pengundi tidak berparti dan ahli UMNO yang kecewa lebih senang dengan Amanah dan Bersatu. Sekiranya PAS bertanding PRU tanpa sokongan PH atau UMNO peluang mereka untuk menang hampir tiada. Di zaman maklumat tanpa sempadan rakyat tidak sejahil sebahagian lebai-lebai dalam menilai dan menentukan siapa lebih layak berada di kerusi dakwah dan kerusi kuasa.

'Ulama' angkuh yang merasakan parti mereka mampu bersendiri kini tersungkur dan mengharap tangan PKR atau UMNO untuk memapah mereka berdiri. Selepas drama RUU355 tidak berjaya, lebai-lebai yang terpukul dan terkencing dengan janji Najib, terpaksa menadah muka menahan celaan jemaah sendiri. Dipatuk lagi di lubang yang sama walaupon setelah diberi peringatan adalah satu pengalaman paling hina, kesannya mereka terpaksa u-turn lagi dan mengharap ehsan kumpulan yang pernah mereka ugut dan cela.

Sekiranya saya di kerusi ketua parti-parti pembangkang saya pastikan pisang tidak akan berbuah dua kali. Lebai-lebai PAS wajib berbai'ah tidak akan bersifat tamak, angkuh dan khianat dengan perjanjian, jika mahu bersama PH.



Dan sekiranya Dr Wan Azizah Wan Ibrahim, Mohamad Mohd Sabu, Lim Guan Eng, Muhyiddin Yasin dan Mohd Shafie Afdal cuai dalam mengendalikan PAS kali ini kerana tamakkan kemenangan pilihanraya, rakyat akan menghukum mereka dan parti mereka dengan memenangkan Regim, samada dengan memulau pilihanraya, merosakkan kertas undi atau memilih calon BN. Peringatan waspada dengan keghairahan 'merujuk' PAS ada kebenarannya. PAS dan UMNO kini tiada beda. Dan pengundi sudah serik dikencing lagi!