Saturday, October 29, 2022

Malaysia Memilih 2022

Pilihanraya datang lagi.

Pemimpin dan jentera parti/gabungan politik makin rancak berlumba ke hulu hilir, dari lembah ke puncak, redah denai titi samudera dan hawa, masuk sawah ladang kolam dan kandang, lewat belukar sungai danau dan selat, tunggang kuda motor naik sampan helikopter, tebas hutan pacak tiang pasang bata dan salin atap, lepak warong kongsi kuih tebar roti dan tarik teh, terjah rumah ibadat bimbingan rawat dan kebajikan, hadir majlis mesyuarat dan himpunan, walkabout di pasar, taman dan perumahan - semata-mata untuk tabur janji tawar bulan bintang, memujuk keluar mengundi dan memenangi undi kita.

Resam dan etika ahli politik di musim memilih –  mesra gigih dan luar biasa kudrat mereka hingga ke hari rakyat memangkah.

Sepanjang tempoh ini rakyat dilayan seperti raja, minta lah apa barang sekali pun berikrar mereka akan kotakan. Tempoh ini juga politikus “akhirnya tersedar” dirinya hanyalah insan kerdil hina lantas merendah dan menyantun diri, pijak semut tak mati manis tutur dari gula.

Tidak salah andai rakyat mudah tercandu perubahan mendadak politikus dan penyokong mereka sepanjang kempen. Itu lumrah pilihanraya. Adat kita orang nusantara - orang berbudi kita berbahasa, adat politikus sedari dulu pula – diam-diam lepu.

Pilihanraya umum ke 15 ini, dengan pertambahan lebih 5.8 juta pemilih baharu (kali pertama), 6.5% atau hampir 1.4 juta pemilih berusia antara 18 hingga 20 tahun (belia muda) dan lebih 50% dari jumlah 21.17 juta pemilih berusia bawah 40 tahun (belia), saya turut sama merendah diri mengajak saudara saudari khususnya golongan belia melakukan perubahan mendadak - gantung adat berbudi dan memberi orang politik laluan mudah ke Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat. Keluar mengundi dan pilih wakil dan kerajaan anda, pikul tanggungjawab sehari dalam 5 tahun sepertinya untuk membuat keputusan besar dalam hidup.

Kuasa yang saya dan saudara saudari ada ini akan memutuskan siapa mengetuai Putrajaya, yang akan:

• mempertahan Perlembagaan dan Parlimen, taat pada sumpah jawatan, amanah pada kedudukan, adil, berbagi kuasa dan pertolongan antara Pusat dan negeri-negeri, memperkasa institusi perundangan dan penguatkuasaan, membebas pentadbiran awam dari caturan eksekutif, menghormati hak dan kuasa negeri, memenuhi tuntutan majoriti tanpa mengabaikan minoriti

• menentukan saiz Kabinet Persekutuan dan berapa juta tanggungan kita membayar gaji dan imbuhan bulanan mereka

• menentukan berapa ramai Menteri dilantik atas merit kelayakan, keupayaan dan pengalaman

• menghapus budaya memperbanyak dan menganugerah jawatan badan berkanun, entiti pelaburan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan demi sokongan berpaut pada kuasa

• menentukan berapa ramai ahli dewan, politikus, penjawat awam, komuniti pemodal dan pemimpin masyarakat dianugerah status sosial Datuk Seri dan Tan Sri kerana sumbangan relevan kepada rakyat

• menentukan berapa ramai pegawai tinggi awam dianugerahkan pangkat kerana merit dan kesetiaan kepada negara dan berapa ramai antara mereka menjalankan tanggungjawab penuh berprinsip, menolak campurtangan dan tidak takut pada tekanan eksekutif

• menentukan berapa banyak kes jenayah dan sivil berprofil tinggi khususnya melibatkan salahguna kuasa dan dana awam disiasat dan dihadap ke muka pengadilan tanpa pilih kasih

• menentukan berapa banyak projek-projek mega kerajaan dan usahasama kerajaan-swasta dianugerahkan secara tender terbuka kepada pembida dengan kemampuan kepakaran dan pengalaman serta tawaran nilai terbaik sekaligus menghapuskan amalan mengagih projek kepada syarikat politikus anak beranak, syarikat kroni dan proksi, syarikat berusia 2 minggu, syarikat modal RM2, syarikat tiada kepakaran dan pengalaman, syarikat pelaburan dana ala 1MDB, syarikat manipulasi peruntukan dan bantuan, syarikat subcon multi level, syarikat elak dan tidak bayar cukai, syarikat rugi tapi pengarahnya senang lenang

• menentukan berapa banyak entiti kerajaan dan berkaitan kerajaan yang bertindih (redundance) jurisdiksi dikurang atau dihapuskan sekaligus mengurangkan karenah birokrasi dan tanggungan kerajaan

• merombak struktur dan amalan perkhidnatan awam, mengintegrasi tatakelola operasi awam ke dalam teknologi

• menentukan berapa ramai anggota keselamatan berada di lapangan dan sempadan berbanding di pejabat

• menentukan berapa besar peruntukan belanjawan untuk belanja mengurus termasuk gaji, faedah jawatan, pencen dan kemudahan penjawatan berbanding belanja  pembangunan termasuk membina dan membaikpulih infrastruktur awam; berapa banyak subsidi diutamakan kepada fakir dan marhaen berbanding taikun dan kayangan; berapa besar komitmen dan hutang sediada dan hadapan kerajaan dan projek-projek dijamin kerajaan

• menentukan berapa segera usaha memulihkan nilai Ringgit sekaligus menjadikan import lebih murah dan eksport lebih menguntungkan

• menentukan berapa banyak pelabur berteknologi dan bernilai tinggi akan memindah operasi ke dalam dan mengekalkan operasi di negara ini, mewujud peluang pekerjaan berkualiti, meningkat kemahiran dan taraf hidup serta mempercepat proses menjadi negara maju

• menentukan berapa tangkas negara bergerak menyaingi dan mengatasi jiran serantau untuk kembali jadi Harimau Asia

• menentukan berapa ramai anak cucu kita mendapat pendidikan dan kemahiran yang bermutu, bersesuaian dan memenuhi keperluan pekerjaan dan tuntutan zaman

• menentukan berapa lama kebergantungan kita kepada negara luar membekal dan mencukupkan keseimbangan nutrisi rakyat

• menentukan berapa segera rakyat akan bebas dari menanggung beban dan kerugian harta benda serta kehilangan orang tersayang kerana kecuaian dan sikap sambil lewa penguasa mencegah bencana dan cabaran perubahan iklim dan ekosistem dunia

• menentukan berapa lama golongan miskin, kelainan upaya dan warga tua mendapat perkhidmatan kesihatan, rawatan dan bimbingan yang baik pada kos minima dan berpatutan

• menentukan berapa tinggi nekad dan kesungguhan kerajaan memelihara ketenteraman dan keselamatan serta kerukunan dan keharmonian awam

Kuasa yang saya dan saudara saudari ada ini menentukan siapa akan mempertahan hak kita di dalam dewan-dewan mulia.

Membuat keputusan sebesar ini memerlukan lebih dari benak rasa. Ia memaksa ikhtiar rasional dan logik akal.

Proses sistem bernegara di era ini mencabar rakyat meninggalkan tradisi memilih di atas garis dan agenda sempit partisan. Kita perlu menilai tawaran, cakna pencapaian terdahulu serta perancangan spesifik jangka pendek dan panjang calon dan parti/gabungan. Sekiranya kita cuai, lalai dan tidak mahu peduli maka negara akan terus tercicir, diabai dan dihukum sejarah.

Kita perlu melangkah sepantas perubahan data dan peta, sepantas cairnya salju di artik dan antartika jika pun tidak sepantas satelit SpaceX mengorbit angkasa dan signal telekomunikasi generasi ke 5.

Tahun 2023 adalah tahun sukar. Pakar-pakar antarabangsa meramalkan dunia bakal menghadapi kemelesetan ekonomi terburuk dan bencana luar jangka seperti banjir besar dan kemarau panjang kesan dari perang kuasa-kuasa besar ketenteraan, sekatan blok-blok utama ekonomi, kelembapan pasca pandemik serta perubahan ekstrem iklim.

Mendepani cabaran ini kita tiada pilihan selain wajib memilih pemimpin dan kerajaan yang memiliki kemahiran dan kepakaran mengelak negara terjerumus ketidakstabilan dan kepincangan ekonomi dan politik, baik di peringkat nasional, serantau mahupun global.

Polisi-polisi bijak menentukan kejayaan langkah-langkah pencegahan, pemulihan, pengembangan dan pengukuhan. Polisi-polisi bijak tercipta dari kerajaan yang cekap. Kerajaan yang cekap terdiri dari dan disokong wakil rakyat yang mahir dan bijaksana.

Pilihanraya umpama temuduga jawatan. Ada prosesnya.

Pilihanraya menjadikan kita (pemilih) sebagai bos/majikan manakala politikus ialah calonnya. Kita mengukur dan menilai keupayaan calon melalui proses, tidak terus merekrut dengan sekali temuduga. Kita perlu semak latar belakang dan hasil pemeriksaan kesihatan sebelum beri surat tawaran.

Pemilik/majikan yang bijak akan memilih pekerja yang lengkap pakejnya - gabungan visi, pengetahuan dan pengalaman, bersih amanah, kalis cabaran serta cerdas akal dan sihat tubuh badan. Calon yang teruji dan terbukti kebijaksanaan dan kesetiaan ada kelebihan.

Lazimnya pekerja lengkap pakej akan berkhidmat dengan cemerlang, meningkatkan produktiviti dan keuntungan modal, mengurang dan mengelak kerugian serta bersama-sama membina dan mengukuhkan perusahaan.

Ketika ceramah dan walkabout politikus menjual aspirasi mereka kepada kita. Tugas kita bukan sekadar mendengar dan menerima bulat-bulat sembang kencang mereka. Kita selidik dan bandingkan tawaran mereka. Kita pilih tawaran terbaik bersesuaian dengan harapan dan impian kita.

Jawatan wakil rakyat bukan jawatan sukarela dan dibayar pada kadar ehsan ikut suka. Wakil rakyat bergaji tetap, dibiayai pembayar cukai 60 bulan lamanya. Sekiranya mereka berkhidmat lebih dari 36 bulan (3 tahun) mereka layak mendapat pencen seumur hidup. Lumayan!

Gaji, imbuhan dan faedah terkumpul jawatan mereka selama tempoh itu cukup untuk menyara diri, anak dan cucu kita. Pendapatan mereka bukan calang-calang. Maka setiap sen yang dibayar dan dibelanja kepada mereka mestilah setimpal sumbangan dan kesetiaan mereka kepada rakyat dan negara. Bagaimana hendak menilai keupayaan dan kesetiaan mereka? 

Kita perlu pastikan calon mampu memberikan:

1. Jaminan hitam putih yang jelas dan spesifik, dengan tempoh masa seperti segera, sepanjang penggal, dicapai dalam 12 bulan, 24 bulan, 36 bulan atau hingga habis penggal. Bahasa politikus – manifesto. Ia memudahkan kita mempertanggungjawabkan mereka jika gagal kotakan, dolak dalih atau pusingan U

2. Tawaran mereka realistik selaras kemampuan kewangan negara, keadaan ekonomi geopolitik dan sentimen awam semasa, serta cabaran lain termasuk perubahan iklim dan alam sekitar

3. Langkah segera tangani cabaran day-to-day rakyat seperti kos sara hidup, inflasi, nutrisi, kesihatan, pekerjaan, taraf gaji, pendidikan, kemahiran, rumah mampu, penempatan sementara, pengangkutan awam, hubungan sosial dan keselamatan awam

4. Langkah proaktif melaksanakan penjimatan, ketelusan perbelanjaan, dagangan luar, hubungan diplomatik, kedaulatan, kebebasan badan perundangan, kehakiman, suruhanjaya dan institusi penguatkuasaan, pemodenan infrastruktur,  kualiti perkhidmatan awam, pemesatan teknologi tenaga diperbaharui

5. Iltizam memperkasa hak rakyat memilih memecat dan mengadili wakil rakyat dan penjawat awam yang zalim dan tidak amanah, hak kesamarataan, hak kesaksamaan - 1 orang 1 undi dan yang menang tak menang semua yang kalah tak kalah semua

Memilih kerajaan umpama mempertaruh seluruh pemilikan dan kepercayaan kita - usaha tenaga kita, untung nasib kita, harta benda kita, tanahair kita, masa depan kita dan keturunan kita. Sudah pasti kita mahu apa yang kita sandarkan menjadi lebih bernilai dan bermakna, atau setidaknya selamat dan kekal seperti sediada.

Kuasa 5 tahun sekali ini adalah hak kita. Hak menuntut diberikan khidmat terbaik, hak ditunaikan amanah dan hak memilih secara adil dan saksama. 

Gunakan hak ini sebaik, setulus dan sejujur mungkin demi masa depan yang lebih terjamin. Jangan sia-siakan diri, keluarga, masyarakat, bangsa dan negara.

Sebelum melangkah ke pusat memangkah pada hari Sabtu 19 November 2022 mohon lah petunjuk dari Tuhan agar mentakdirkan natijah terbaik dari keputusan kita.

Kepada yang masuk gelanggang berkempenlah dengan berhemah. Jauhi fitnah dan tipu daya, hujah dan kelaku jelik dan serangan peribadi.

Tanggungjawab kempen PRU15 hanya 14 hari dan berakhir di malam pengumuman keputusan oleh SPR TAPI tanggungan menfitnah selama 14 hari berkempen hanya berakhir di hari giliran amalan kita dihitung Rabbul Hakam.

Selamat berkempen dan selamat memilih!

EAH