Tuesday, July 4, 2017

Lebai dan Campurtangan Asing

Bersungguh-sungguh para lebai hijau mengaitkan proses undang-undang negara luar ke atas dana berkaitan 1MDB sebagai campur tangan asing. Selepas Presiden, Ketua Penerangan, terkini dari Setiausaha Dewan Ulamanya. Inilah masalahnya bila mereka yang hanya mahir mengaji kitab agama berhajat besar perintah negara. Mereka memuliakan tindakan mengelirukan para wala'un dengan fatwa politik matang dan sejahtera.

Campurtangan Asing

10 negara, termasuk Amerika, Switzerland dan Singapura, yang mengambil tindakan terhadap dana berkaitan Reza Aziz dan Jho Low adalah kerana anak tiri dan sahabat Mohd Najib Abd Razak ini telah melanggar undang-undang kewangan di pusat-pusat kewangan negara-negara tersebut. 

Di bawah Akta Anti Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Terrorism (AMLCFT), yakni undang-undang antarabangsa merentasi sempadan yang terkesan di Amerika, Switzerland dan Singapura, pusat-pusat kewangan berdaftar di sini wajib melaporkan kepada Bank Negara kemasukan atau pemindahan keluar berserta maklumat sumber dan tujuan suatu transaksi berbeda matawang melebihi MYR10,000. Bagi dana berjumlah ratusan juta, 'thorough scrutiny' wajib dilaksanakan dengan melalui begitu banyak kertas kerja. Namun dalam kes melibatkan dana dari 1MDB dan SRC, berlaku begitu banyak keringanan yang mencurigakan.

Kegagalan beberapa pusat kewangan di Singapura mematuhi tuntutan AMLCFT menyebabkan pihak berwajib negara tersebut membatalkan lesen operasi dua bank antarabangsa, membekukan dana berkaitan dan mengheret beberapa pegawai atasan syarikat terbabit ke mahkamah.

Begitu juga kesnya di Amerika dan Switzerland, tindakan di ambil kerana sumber-sumber yang digunakan membeli barangan dan aset-aset serta menaja cara hidup mewah selain mendanai pembikinan filem-filem termasuk separa lucah Wolf of the Wall Street dikatakan berpunca dari jaringan wang haram, yang telah melanggar peruntukkan undang-undang negara-negara tersebut.

Tiada asas mengguna hujah campurtangan asing bilamana melibatkan perundangan rentas sempadan seperti AMLCFT. Negara-negara yang dikesan terlibat dalam jaringan wang haram wajib membantu menyiasat dan berkongsi maklumat berkaitan transaksi dan penglibatan individu-individu yang disyaki. 

Malangnya di Malaysia, Peguam Negara telah dua kali menolak permintaan rakan sejawatnya dari Switzerland untuk berkongsi maklumat. Negara-negara yang sedang menyiasat termasuk UAE tiada halangan berkongsi hasil siasatan sesama mereka untuk memudahkan tindakan selanjutnya, sebaliknya Malaysia menggunakan OSA untuk merahsiakan penemuan.

Tiada Dana Hilang

1MDB dan SRC dilaporkan berkata tiada dana syarikatnya yang hilang atau disalahguna. Semenjak bermula operasi anak syarikat milik kerajaan Malaysia (baca milik rakyat selepas Kementerian Kewangan DiPerbadankan mengambil alih) tersebut tidak mendedahkan laporan audit bebas kepada umum. Malah selepas begitu banyak kecaman dan tindakan pihak tidak berpuas hati mengenai kerahsiaan operasi dan transaksi perniagaan 1MDB, kerajaan memilih mengklasifikasikan laporan hasil siasatan Public Accounts Committee (PAC) Parlimen di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA). 

Tiga dari empat Tan Sri yang dilantik kerajaan untuk menyiasat masing-masing mewakili Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Peguam Negara dan Polis DiRaja Malaysia, organisasi-organisasi relevan di bawah AMLCFT, bekerja berjaringan menyelesaikan pertikaian umum berkenaan 1MDB telah ditamatkan perkhidmatan sebelum sempat laporan didedahkan kepada umum.

Tidak sukar membaca jika benar tiada kehilangan dan salahguna dana jika kerajaan dari awal tidak berdalih untuk mendedahkan laporan audit bebas dan PAC kepada umum.

Pendedahan laporan berserta bukti transaksi dapat menjawab kemushkilan status derma kerabat Arab Saudi dan kedudukan kewangan syarikat 1MDB dan SRC. Ia sekaligus menjawab punca bebanan hutang MYR25 billion. Ia juga sekaligus menjawab samada dana 1MDB telah dilencongkan kepada syarikat milik Reza Aziz, syarikat milik Jho Low dan syarikat proksi Jho Low di seluruh dunia.

RCI

Permintaan menubuhkan Suruhanjaya DiRaja (RCI) sudah lama didesak pemimpin parti-parti pembangkang. Rafizi Ramli, Tony Pua dan Hanipah Maidin, antara beberapa nama, telah mengusulkan keperluan RCI seawal 2013. Ketika itu lebai-lebai hijau, kecuali Tuan Ibrahim Tuan Man, lebih senang mendiamkan diri sehinggalah baru-baru ini mereka hebat dicela kerana mengaitkan campurtangan asing dengan kepincangan 1MDB. Kerana malu dipalu bukan sahaja pihak luar malah jemaah sendiri, mereka akhirnya bersetuju desakan penubuhan RCI. 

Lebai-lebai ini selalu terlepas kapal. Ketika semua ahli pembangkang menolak Belanjawan 2016 lebai-lebai memilih berkecuali malah memuji sebahagian kandungan Bajet Najib. Jikalah mereka dapat melihat dari awal (baca bijak dalam urus tadbir negara) akan kesan perbentangan Belanjawan yang memangsakan rakyat sudah pasti mereka menyertai blok pembangkang yang lain untuk menentangnya dari mula, bukannya setelah terbeban bahana GST yang kini membencanakan ekonomi rakyat.

Lebai-lebai hijau ini tiadalah kepakaran dalam susun urustadbir negeri dan negara melainkan mereka mahir beremosi dan berhujah dengan ayat-ayat Allah, ketika mereka sendiri malas menzahirkan tuntutan ayat-ayat tersebut. Selayaknya tempat mereka adalah madrasah, masjid, Jabatan Agama dan Pejabat Mufti, itupon jika mereka tidak terbawa-bawa semangat Taliban.

Bercanda sandiwara urusan agama hanya Allah nampak. Bercanda sandiwara urusan kuasa dan darjat Allah dan rakyat pon nampak. Cukup-cukuplah!