Monday, August 11, 2014

Pakatan Rakyat, Regim dan Selangor

Bagaimana satu kerajaan yang menguasai 44 daripada 56 kerusi DUN boleh goyah? Seperti satu pasukan yang ada begitu ramai pemain ternama tetapi kalah dalam liga bola yang disertai. Egolah puncanya. Dan bukan itu sahaja.

Selepas agak lama 'idle' semenjak PRU13 seluruh 'tentera' Regim kembali digerakkan untuk melaksanakan matlamat utama tuannya - menjatuhkan PR 'at all cost'. Hal rumahtangga PKR dijadikan modal. Jarum-jarum sudah mencucuk. Tidak cukup seluruh media milik mereka dikerah menghentam Anwar Ibrahim anak beranak, mendomba-domba pemilihan DAP dan PKR, Pengerusi UMNO Selangor Noh Omar awal-awal tampil memberi jaminan 12 ADUNnya menyokong Khalid Ibrahim kekal MB dan hari ini Timbalan Pengerusi BN Muhyiddin Yasin mengesahkannya. Menteri Agama Jamil Khir dan bekas Timbalan Presiden PAS mesra UMNO Nasaruddin Isa senyap-senyap mengadakan pertemuan dengan Timbalan Ketua Ulama PAS Haron Din. Mualaf Cina kini Melayu Ridhuan Tee menjolok PAS merebut kerusi MB dari PKR. Terima kasih Langkah Kajang!

Khalid Ibrahim sebenarnya sudah lama tidak berparti. Semenjak March 2013 beliau berlagak seperti Presiden Selangor. Dan bila dipecat dari PKR beliau mengesahkan lagi tingkatan keangkuhannya. Tindak-tanduknya diperdongengkan barisan komradnya sepertinya beliau menjuarai rakyat. RM3 billion rezab tunai dijaja serata alam seraya Khalid Ibrahim yang paling hebat. Yang tidak dihebahkan mereka ialah bagaimana tunai sebanyak itu dikumpulkan. PKR sudah lama mengelak buka pekong di dada. Jika dicanang isu rumahtangga, busuknya mengena hidung sendiri, terutamanya hidung Anwar Ibrahim yang leka menjaga Khalid Ibrahim berbanding Azmin Ali yang setia, senior dan paling layak berada di kerusi MB. Konflik Selangor adalah balasan nilai pengorbanan Khalid kepada Anwar selama ini dan meletakkan PR dalam keadaan sangat tidak selamat.

 
Rakyat Selangor jangan melatah dan gundah gulana. Isu Khalid Ibrahim vs PKR tidak jauh beza dengan versi Haron, Abu Hassan, Muhammad Taib dan Mad Said vs UMNO. Cumanya bila ada kena mengena dengan PR amnya dan Anwar Ibrahim khususnya, otomatik ia menjadi isu universal UMNO. Ia akan disiat-siat, dilapah, dimasak seempuknya bersama banyaknya perisa (menokok tambah dan mereka-reka) dan dihidangkan kepada rakyat Malaysia. Itulah sifat semulajadi Regim yang gemar menyelinap masuk ke dalam kain orang lain serta mahir menangguk di air keruh. Tindakan Regim kali ini yang sepatutnya melumpuhkan PKR telah menjadikan PAS yang berusia tapi kurang cerdik itu lebih parah. Selepas Haji Hadi Awang secara terbuka menyokong Khalid Ibrahim dikekalkan sekalipon wakil partinya telah bermesyuarat dengan pimpinan PR dan bersetuju Selangor mendapat MB baharu, ramai ahlinya mula meragui ulama-ulama mereka sendiri. Malah ada yang berani menyerang pimpinan pusat secara terbuka.  Sekalipon golongan professional dan moderate dalam PAS memilih 'low profile' dalam konflik Selangor namun mereka mampu melakukan ribut besar 'mengajar' kumpulan yang masih berdegil meneruskan agenda Kerajaan Perpaduan sekalipon muktamar lalu sebulat suara menentangnya.
 
PAS dikuasai Tuan-Tuan yang lebih pandai dan senang berceramah dari memerintah, cukup dengan sedikit acum-mengacum menjadikan mereka kalut sehingga tergugur serban dan terangkat jubah. Kekalutan sudah lama menjadi penyakit dalam PAS. Jika tidak kerana Almarhum Haji Fadhil Noor, PAS sudah lama koma. Diingatkan sekali lagi, isu Khalid Ibrahim vs PKR adalah isu rumahtangga. Kalutnya PAS mencampuri urusan dalaman PKR antara penyebab berlakunya konflik Selangor. Jika PAS terus kalut dalam urusan rumahtangga orang lain, PAS menjadi parti yang hanya berjaya di pentas ceramah semata. Dalam konflik MB Selangor PAS merimaskan 60% pengundi Selangor yang memilih PR pada PRU13 lalu. Dan PKR sama banyak khilafnya dengan PAS. Jika Majlis Pimpinan Pusat lebih peka dan berhati-hati dalam memilih dan menyokong calon PRU sudah pasti isu berpaling tadah dan mengkhianati pengundi seperti dilakukan ADUN dan MP PKR di Perak, Pulau Pinang dan Selangor tidak berlaku.
 
PKR sekutu termuda dalam PR, banyak kelemahan dan kekurangan yang perlu segera diperbaiki. Namun itu bukan lagi alasan untuk rakyat bersimpati dengannya bila tiba hari mengundi. Sungguhpon ada yang sedia memaafkan beberapa kesilapan PKR, namun ramai penyokong Anwar Ibrahim sendiri makin lantang mempersoalkan keupayaan dan kewibawaan partinya. Sekali lagi, terima kasih Langkah Kajang! Rakyat telah diperlihatkan dengan lebih jelas - apa, siapa, kenapa dan bagaimana keadaannya ahli-ahli dan parti-parti politik sebelum dan selepas memiliki kuasa. Sekadar nasihat, jangan melabel parti-parti, baik UMNO, PAS, PKR mahupon DAP sebagai parti yang mengangkat kejahilan. Kerosakkan yang berlaku berpunca dari mereka-mereka yang menganggotainya, terutama pemimpin-pemimpinnya, yang menjadi semakin jahil (dan jahat)
 

Wednesday, July 30, 2014

Pakatan Rakyat 2014


Selepas lebih 6 tahun bersama dalam perikatan longgar Pakatan Rakyat, pemimpin PAS dan PKR telah memperlihatkan kepada umum keupayaan sebenar mereka. Budaya penyalahgunaan kuasa dan hak bersuara, sindrom penafian dan bermuka-muka, salah menyalahi dan membuka aib, tinggi diri dan bodoh sombong, berqabilah dan perkauman kian berleluasa.
 
Perlakuan mereka tidak jauh beza dengan pemimpin BN yang mereka cemuh dan musuhi. Tindak tanduk mereka menjadi contoh ikutan jemaah mereka tidak berdisiplin. Semua ini gara-gara kelemahan pucuk pimpinan yang sibuk mempertahankan matlamat peribadi dari jemaah. Tidak kira apa jua latar belakang, sebahagian mereka ini sudah lupa mereka diamanahkan ke jawatan kerana janji-janji mereka terdahulu, dan bukanlah nilai peribadi yang ada pada mereka.
 
Sedih melihatkan bagaimana parti yang ditubuhkan atas dasar dan matlamat yang suci dan didokong oleh mereka-mereka (pemimpin dan ahli terdahulu) yang jujur iqlas dalam perjuangan telah dikhianati oleh mereka-mereka yang tidak sadar di untung. Lebih menyedihkan, selepas gagal menjaga rumahtangga sendiri pemimpin yang lemah lagi sombong tersebut mengimpikan jawatan dan habuan lebih besar. Jika mereka ini gagal berubah sepenuhnya dan kembali meletakkan jemaah di atas segala matlamat lain sebelum PRU14 maka Rakyat Malaysia tidak lagi punyai pilihan alternatif kepada BN. Dan mereka itu patut berasa malu pada serban, jubah, nasihat-nasihat, janji perubahan dan kebebasan yang mereka laungkan

Wednesday, July 23, 2014

PKR vs Khalid Ibrahim dan PAS

Urusan dalaman PKR harus dilihat dari sudut kekeluargaan. Dalam hal ini biarlah ketua rumahtangga menjalankan tanggungjawabnya, melainkan jika ketua itu tidak lagi mampu menjaga aib dan menangani kelemahan, dan sekiranya meminta nasihat pandangan, moleklah PAS tampil membantu bukan mengambil kesempatan.
 
Kerusi MB Selangor telah dipersetujui bersama pimpinan utama PR milik PKR sepertimana mereka bersetuju kerusi MB Kelantan, Perak dan Kedah untuk PAS manakala kerusi KM Pulau Pinang untuk DAP. Tidak timbul isu siapa miliki lebih banyak kerusi DUN menjadi peneraju kerajaan. Dipercayai tuntutan tersebut dipengaruhi pembangkang negeri untuk memecahbelahkan kesatuan PR. Namun jika ada pemimpin dan ahli PAS yang masih membuat tuntutan tersebut ia hanyalah memperlihatkan PAS sebuah parti yang tidak berpegang pada janji dan hanya mencalarkan imej Islamik parti tersebut.
 
Anwar Ibrahim masih faktor utama kejayaan PR. Beliau pernah berada dalam kerajaan BN agak lama sebelum dipecat berbanding mana-mana bekas pemimpin BN yang menyertai PR. Beliau adalah Timbalan kepada Perdana Menteri paling lama berkhidmat dan sudah pasti beliau amat arif strategi BN dalam melemahkan lawannya termasuk menggunakan agama dan istana. Bersetuju atau tidak, PAS terhutang budi kepada Anwar kerana kejayaan mereka di DUN dan Parlimen banyak didorong olehnya sebagai pemangkin kesatuan DAP dan PAS. Tanpa Anwar tidak wujud PR dan tiada lah kerajaan PR Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor pasca PRU 2008 dan 2013. Namun selepas Anwar berjaya membawa PR ke tahap/prestasi paling cemerlang dengan menidakkan majoriti 2/3 Parlimen BN pada 2008 dan undi popular BN pada 2013, ada dikalangan pemimpin dan ahli PAS yang menuntut kredit dan menunjukkan sikap tinggi diri. Mereka bercakap-cakap seolah Anwar Ibrahim tidak lagi diperlukan. Tindakan mereka ini hanya mendorong rakyat menjauhi parti yang mengakui Islam adalah asasnya. Dalam keadaan parti yang diterajui isterinya menghadapi ujian paling berat dan serangan tanpa henti UMNO/BN PAS sebagai parti Melayu Muslim sewajarnya berdiri teguh disamping Anwar.
 
Setiap parti politik ada masalah. Bila matlamat jawatan jadi sandaran maka hilanglah pertimbangan ke atas tanggungjawab. Dan jika yang memimpin parti memiliki daya kepimpinan yang lemah parti turut menjadi lemah dan bermasalah. Ini berlaku dalam BN mahupon PR. UMNO lebih banyak isu dalaman berbanding PR namun pemimpin utamanya berjaya menanganinya secara baik (sudah tentulah RM yang banyak digunakan untuk merawat). PAS hilang Kedah kerana gagal tangani masalah antara pemimpin mereka. Mengelak dari sejarah berulang PKR terpaksa mengambil langkah berisiko untuk menukar MB Selangor. Tindakan ini perlu dilihat dari sudut keutamaannya yakni untuk berkhidmat kepada rakyat secara maksima. Tidak guna jika ada simpanan tunai RM3.8 billion jika jalan-jalan negeri berlubang dan merbahaya kepada pengguna kerana tiada seliaan sebaliknya cendorong membenarkan lebih banyak lebuhraya dibina yang mengenakan tol kepada rakyat yang sudahpon terbeban dengan kos sara hidup tinggi, masalah pengurusan sampah dan kebersihan bandar yang berlarutan, gangguan bekalan air yang tidak berkesudahan sekalipon Selangor mengalimi taburan hujan yang agak tinggi, kebajikan golongan miskin seperti rumah kos rendah dan bantuan pendidikan tidak mencapai sasarannya serta banyak lagi kelemahan yang tidak diperlihatkan.
 
BN tidak mampu menonjolkan kelemahan pentadbiran kerajaan PR yang telus seperti di Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor. Maka untuk menjatuhkan PR BN perlu melemahkan kekuatan gabungan ini dengan melaga-lagakan pemimpin-pemimpin dalam parti. Strategi Kerajaan Perpaduan dan perlaksanaan Hukum Hudud sudah cukup memecahbelahkan PAS dan PR. Sekarang mereka berpaut pula pada Khalid Ibrahim.

Khalid Ibrahim mendapat habuan penyelesaian hutang lapuknya RM66 juta dengan Bank Islam semenjak agak cendorong kepada Putrajaya daripada partinya sendiri. Tindakan bekas Ketua UMNO Bahagian itu akhir-akhir ini semakin mengiakan kata-kata pemerhati politik, PKR dua kali lima dengan UMNO. Beliau menduduki kerusi MB atas ehsan Anwar Ibrahim dan pimpinan utama PR. Jawatan MB/KM bukan seperti jawatan Presiden dan calon tidak bertanding atas kapasiti individu seperti di negara-negara republik. Maka ia bukan hak ekskusif mana-mana individu. Sungguhpun Sultan berkuasa melantik MB namun ia tertakhluk kepada keputusan kesepakatan Ahli-Ahli DUN. Individu yang mendapat sokongan majoriti Ahli-Ahli Yang Berhormat DUN maka dialah berhak menjadi MB. Khalid Ibrahim menentang mereka yang mengangkat dan menyokong beliau di kerusi MB selama ini dengan menentang keputusan parti dan sekiranya beliau memilih mengadap Sultan memohon perkenan membubarkan DUN laluan kepada Pilihanraya Negeri maka beliau tidak layak mengaku dirinya berkredibiliti dan pemimpin rakyat. Khalid Ibrahim barangkali terlupa majoriti  undi yang di menanginya di DUN Pelabuhan Klang pada PRU13 lalu tidaklah sehebat Ahli-Ahli YB PR yang lain. Dalam erti kata lain, beliau tidaklah mendapat sokongan terbanyak rakyat. 60% pengundi Selangor memilih Pakatan Rakyat sebagai sebuah kerajaan, bukan Khalid Ibrahim.  Beliau memilih menentang Wan Azizah Presiden parti yang dicalonkan Majlis Pimpinan Pusat partinya sebagai MB baru. Tindakan beliau hanyalah mengundang dua dosa besar politik. Jika PR kalah di Selangor, Khalid Ibrahim lah yang layak dipersalahkan. Dan Anwar Ibrahim juga tidak terlepas kerana terlalu mempercayai bekas pemimpin UMNO tersebut untuk jawatan MB.
 
Komen-komen berterusan di laman sosial oleh individu dan NGO akhir-akhir ini tidak mencerminkan sokongan sebenar rakyat Selangor kepada Khalid Ibrahim. Kajian terbaharu UMCedel menunjukkan tahap sokongan rakyat Selangor kepada PR berada dibawah 40% prestasi terburuk dalam tempoh 6 tahun. Ini disumbang oleh beberapa keputusan kerajaan Khalid Ibrahim yang tidak disenangi rakyat serta isu jawatan MB yang berlarutan. Namun bukanlah suatu yang menghairankan jika saban hari kita terbaca tiada yang sehebat Khalid Ibrahim untuk jawatan MB Selangor. Cybertropper diupah untuk mengambarkan kononnya beliau MB paling bijak dan tetap mendapat sokongan padu. Kesempatan terbaik diambil pihak musuh ketika lawannya berada dalam keadaan sangat kritikal. Maka tidak hairanlah kala ini BN serta NGO-NGO pro mereka secara terbuka menyokong Khalid Ibrahim. Lebih lemah MB maka peluang mereka merampas Selangor pada PRU14 lebih cerah.

Wednesday, April 30, 2014

PAS dan Sejarah Perikatannya

Sejak penubuhannya pada 1951, PAS tidak pernah putus asa dalam perjuangan politiknya. Ramai pemimpinnya menjadi mangsa kezaliman pemerintah Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional. Namun, selepas setiap ketika kezaliman dan kekejaman dirasai, seolah-olah ada pemimpin PAS yang lupa dengan apa yang pimpinan Umno lakukan terhadap parti mereka. Tetapi ramai lagi ahli-ahli PAS yang tidak lupa dengan kelicikan politik Umno.
 
1960: Menyokong ISA, Menjadi Mangsa ISA
 
Selepas darurat anti-komunis ditamatkan pada 1960, kerajaan Malaya pimpinan Tunku Abdul Rahman merasakan masih perlu ada undang-undang untuk membasmi kegiatan komunis yang dianggap masih berserpihan. Tunku berjaya memujuk parti pembangkang yang terbesar pada masa itu, PAS, dengan menjanjikan bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hanya akan digunakan terhadap komunis sahaja dan tidak akan disalahgunakan terhadap pembangkang atau mana-mana suara sah yang membantah kerajaan. PAS yang memang anti-komunis dengan mudah mempercayai janji Umno. Namun, dalam masa yang singkat sahaja, ISA digunakan terhadap pemimpin pembangkang termasuk Presiden PAS, Dr Burhanuddin Al-Helmy.
 
1973: Menyertai BN, Habis Madu Sepah Dibuang
 
Selepas pergaduhan kaum 13 Mei 1969, pemimpin Umno ketika itu Tun Razak Hussein memujuk PAS menyertai gabungan pemerintah yang baru iaitu Barisan Nasional atas alasan mahu mewujudkan era baru perpaduan melalui proses pembangunan negara. Walaupun ramai ahli PAS sedar sikap dan pendirian Umno, pimpinan PAS masih mahu duduk bersama dengan Umno dalam saf yang baru. Maka muktamar PAS pada awal 1973 meluluskan usul menyertai BN. BN menang besar dalam PRU 1974. Pemimpin PAS, Asri Haji Muda mendapat habuan menjadi menteri di peringkat pusat manakala pimpinan lain dilantik menjadi timbalan menteri dan jawatan-jawatan lain. Sewaktu zaman kegemilangan BN itu, tiada siapa di dalam kerajaan yang mahu menubuhkan negara Islam atau melaksanakan hudud. Pada masa itu juga hanya tinggal DAP dan Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM) sebagai pembangkang yang serius. Selepas Hussein Onn menjadi perdana menteri, masalah dalaman PAS di kubu kuatnya di Kelantan dijadikan isu untuk merampas kuasa. PAS dipecat daripada BN dan ia hilang kuasa di Kelantan dalam pilihan raya negeri dan kalah teruk dalam PRU 1978.
 
1982: Kepimpinan Ulama, Tanpa Kemenangan Pilihan Raya
 
Selepas kembali menjadi pembangkang, PAS hanya menang 5 kerusi Parlimen dalam PRU 1982 dan kalah teruk dengan satu kerusi sahaja pada PRU 1986. Walaupun sudah berubah menjadi parti kepimpinan ulama, kemenangan di medan pilihan raya masih kabur untuk PAS. Sebaliknya ia berlumba dengan Umno untuk menonjolkan siapa lebih Islam. Timbul aktiviti dan program untuk menunjuk-nunjuk amalan dan simbol Islam sehingga berlaku isu kafir-mengkafir di antara Umno dan PAS.
 
1988: Pengharaman Umno, Untung PAS Kerana Semangat 46
 
Perebutan kuasa dalaman Umno di antara Dr Mahtahir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah pada 1987 antara lain menyebabkan Umno diharamkan oleh mahkamah. Ia kemudian dihidupkan semula oleh puak Dr Mahathir sebagai Umno Baru manakala Ku Li terpaksa menubuhkan Parti Melayu Semangat 46 selepas usahanya mendaftarkan semula Umno ditolak oleh kerajaan. Semangat 46 mewujudkan dua gabungan, iaitu bersama parti-parti Melayu Islam seperti PAS dan Berjasa (Angkatan Perpaduan Ummah - APU) dan bersama parti-parti pelbagai kaum seperti DAP dan Parti Rakyat Malaysia serta Parti Bersatu Sabah (Gagasan Rakyat). Melalui kerjasama ini, Semangat 46 bertanding di kebanyakan kerusi Parlimen manakala PAS di peringkat negeri, khususnya di Kelantan. PAS bernasib baik apabila berjaya menawan semula Kelantan dalam PRU 1990 walaupun kedua-dua gabungan pembangkang itu gagal menegejutkan arena politik Malaysia. Setelah menang kembali di Kelantan, PAS mahu melaksanakan hukum hudud walaupun tidak ada dinyatakan dalam sebarang pendirian bersama sebelum PRU 1990. Oleh kerana perbalahan itu berpanjangan, DAP pada 1995 menarik diri dari Gagasan Rakyat yang merupakan gabungan kembar dengan APU.
 
1995: Kembalinya Kuasa BN, Pembangkang Berpecah-Belah
 
Dr Mahathir mengukuhkan kedudukan Umno-BN dengan kuasa yang ada serta undang-undang yang lebih zalim. Keadaan itu yang turut diberatkan dengan masalah dalaman pembangkang memudahkan BN menang besar dalam PRU 1995. Kekuatan Dr Mahathir termasuk menonjolkan keadaan ekonomi yang lebih baik (walaupun kemudiannya didedahkan sebagai ekonomi buih). Kebanyakan rakyat Malaysia juga membuat pilihan atas keputusan ekonomi, dan bukannya emosi atau sentimen kaum dan agama.
 
1998: Pemecatan Anwar, Untung PAS Kerana Reformasi
 
Selepas Dr Mahathir memecat timbalannya Anwar Ibrahim daripada Umno, BN dan kerajaan, dan kemudiannya memenjarakan pula, ia membangkitkan kemarahan rakyat, terutamanya orang Melayu dan golongan muda. Kemarahan rakyat diterjemahkan pula dalam satu kerjasama baru pembangkang atas nama Barisan Alternatif. Dengan menumpang semangat reformasi dan imej Anwar, PAS dalam PRU 1999 menang besar apabila mendapat 27 kerusi Parlimen dan merampas Terengganu serta mengekalkan Kelantan.
 
2001: Pengisytiharan Negara Islam, Perpecahan Pembangkang (Lagi)
 
Dalam pada pemimpin PAS akhir alaf ke-20, Fadzil Noor mahu merapatkan hubungan antara parti dalam dasar yang mejurus kepada semangat moderat, media milik Umno seperti biasa mencari jalan untuk memecahbelahkan perpaduan parti itu. Selepas Fadzil meninggal dunia, usaha allahyarham hanya tinggal kenangan. Kumpulan yang menguasai PAS selepas itu membawa cita-cita negara Islam yang "keras" berbanding semangat kerjasama dan hak saksama yang dibawakan oleh Fadzil. DAP sekali lagi keluar daripada gabungan pembangkang. Dalam PRU 2004, PAS hilang 20 kerusi Parlimen yang dimenanginya dahulu, hanya tinggal 7 sahaja. Terengganu pula kembali ke pangkuan Umno selepas PAS kalah teruk di negeri itu.
 
2008: Kemarahan Rakyat, Kebangkitan Pembangkang
 
Selepas PRU 2004, pergolakan politik lebih berkisar kepada Umno. Dr Mahathir bersara pada 2003 dan rakyat memberi mandat besar kepada Abdullah Ahmad Badawi kerana janji-janji reformasi. Tetapi apabila semua janji itu dimungkiri dan Abdullah pula dilihat sebagai takut kepada desakan kumpulan pelampau kaum (dan serangan Dr Mahathir), maka rakyat menunjukkan kemarahan mereka terhadap Umno-BN. Dalam PRU 2008, BN kalah di DUN Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor serta mengekalkan Kelantan. Kuasa majoriti dua pertiga BN di Parlimen juga dinafikan oleh pembangkang yang kemudiannya bersetuju membentuk Pakatan Rakyat selepas keputusan PRU ke-12 itu diumumkan. PAS bagaimanapun duduk di tangga ketiga pembangkang Parlimen selepas PKR yang mendapat 31 kerusi Parlimen dan DAP 28 kerusi Parlimen. PAS tetap bernasib baik mendapat kerusi menteri besar Perak walaupun ia sebagai parti minoriti kerana perlembagaan negeri hanya membenarkan orang Melayu memegang jawatan itu. DAP mendapat 18 daripada 59 kerusi manakala PKR 7 dan PAS 6. PKR pula tidak mempunyai calon MB yang "layak". Namun, difahamkan ada kalangan pemimpin PAS tidak puas hati kerana tidak mendapat banyak jawatan. Tambahan pula media milik Umno mula meniupkan api perkauman, selain pemimpin Umno menawarkan kerjasama "kerajaan perpaduan" Umno-PAS di pelbagai peringkat sejak selesai PRU12.
 
2013: Kecemerlangan Pakatan Rakyat, Tsunami Politik Baharu
 
Walaupun media kawalan Umno memainkan isu perkauman dan sering mencabar PAS agar melawan Pakatan, ia tidak dipedulikan oleh ahli dan penyokong parti. Usaha perkauman Umno ternyata gagal. Malah, semangat mahukan perubahan semakin ketara, khususnya di kalangan kaum-kaum bukan Melayu. Hasilnya dalam PRU13 pada 2013, Pakatan mencatatkan kemenangan besar dari segi peratus pengundian di mana ia mendapat 51% undi! Oleh kerana sistem persempadanan semula adalah tidak adil, maka BN terus menguasai kerusi Parlimen dan DUN. Bagi PAS pula, ia adalah prestasi yang tidak memuaskan. PAS gagal mengekalkan kuasa di Kedah kerana kelemahan pentadbiran dan hilang kerusi Parlimen dengan mengekalkan 21 sahaja.
 
2014: Hasutan Umno, Mencabar PAS Laksanakan Hudud, Umno Sendiri Tidak Berminat
 
Selepas itu semakin kuat hasutan Umno melalui pelbagai cara. Sehinggakan Umno berani mencabar PAS agar melaksanakan hudud sedangkan Umno sendiri tidak berminat untuk melaksanakannya. Buat masa ini, itulah yang sedang berlaku. Umno melalui pelbagai media yang dikuasainya terus mengejek, menguji, mengusik, menyindir dan mencabar PAS. Sejak 1960, Umno mempermainkan PAS, dan agak berjaya juga permainan politik Umno kerana Umno yang sering "menang" dengan taktik kotornya itu. Seperti yang pernah dijelaskan oleh pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang, isu hudud dilihat dalam konteks isu politik dan bukannya hukum agama - tidak akan memberi kemenangan kepada PAS dan Pakatan Rakyat yang mahu menjadikan Malaysia bersih dari rasuah, bebas dari kezaliman dan tidak lagi mengamalkan diskriminasi. Sebaliknya, isu hudud bakal memberi kemenangan kepada Umno kerana isu tersebut sudah pun membawa perbalahan sesama Pakatan dan mungkin membawa kepada perpecahan gabungan itu.
 
Di kalangan rakyat pula, sudah timbul perbalahan atas garisan Islam-bukan Islam dan Melayu-bukan Melayu sedangkan matlamat asal Pakatan ialah menggantikan BN untuk menjadi kerajaan yang lebih adil, saksama dan telus di mana rakyat menjadi tonggak, dan bukannya pemimpin dan kroni. Malah, jika diteliti, apabila isu-isu agama dibangkitkan dalam pilihanraya, ia memberi kesan buruk kepada parti-parti pembangkang. Hanya apabila isu-isu bersama dibangkitkan - ekonomi, reformasi pentadbiran, hak rakyat di peringkat tempatan serta pendedahan kelamahan dan kezaliman Umno-BN - ia menjamin kemenangan pembangkang. Ini terbukti dalam PRU 1990, 1999, 2008 dan 2013. Malah keputusan 1990, 1999 dan 2008 banyak menguntungkan PAS secara relatif. Terpulang kepada PAS untuk menilai sendiri apa yang Umno lakukan kepadanya sejak lebih 50 tahun lalu yang kesemuanya memberi untung kepada Umno semata-mata, walaupun ada sedikit cebis habuan kepada segelintir pemimpin PAS. Jika Pakatan hancur, maka Umno yang semakin angkuh sekarang akan kembali berkuasa sepenuhnya. Segala harapan untuk perubahan yang diharapkan sejak alaf baru akan lenyap sama sekali. Dan pada masa yang sama, hudud tetap tidak akan dilaksanakan oleh PAS.
 
Wan Hamidi Hamid
30 April 2014