Thursday, March 30, 2017

Rang Undang-Undang Persendirian Marang

Ketua Penerangan PAS yang juga Ahli Parlimen Temerloh tidak faham bagaimana Parlimen berfungsi.

Rang undang-undang (RUU) persendirian tidak akan menjadi undang-undang sekiranya ia tidak dibentang dan diluluskan oleh kerajaan yang memerintah. Sangat jarang berlaku RUU dicadang dan dibentang pembangkang akan menjadi undang-undang negara. Mengapa? Kerana hanya kerajaan yang memerintah mempunyai kuasa majoriti. Majoriti menentukan undang-undang diluluskan. Dan secara konvensyennya mana-mana kerajaan di dunia tidak memberi ruang kepada pesaing memperlihatkan kelebihan dan keupayaan mereka mengurus negara tambah lagi melalui rang undang-undang persendirian.

Di Malaysia untuk mengubal sesuatu undang-undang baharu atau meminda mana-mana undang-undang sedia ada mesti mendapat majoriti mudah di Dewan Rakyat. BN mempunyai kuasa majoriti di Parlimen tetapi bukan semua wakilnya yang membentuk blok kerajaan beragama Islam. Di sinilah bermula (dan berakhirnya) masalah Cadangan Pindaan Akta Mahkamah Syariah yang diusulkan Yang Berhormat Marang. Pada 17 Mac 2017 Perdana Menteri memaklumkan kerajaan akan mengambil alih RUU tersebut, namun pada 29 Mac 2017 memutuskan sebaliknya. Cadangan pindaan kekal sebagai RUU Persendirian.

Perdana Menteri memberi alasan tidak mendapat konsensus dari parti-parti komponen BN punca kerajaan tidak mengambil alih RUU tersebut dan menyerahkan kepada budi bicara Speaker Dewan Rakyat menentukan nasibnya. Kenyataannya itu sudah dijangka ketika majoriti parti komponen awal-awal lagi secara terbuka menolak cadangan pindaan. Untuk tidak mengeruhkan keadaan Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama pantas menyanggah tohmahan musuh politik dengan mendakwa tidak mengambil alih tidak bermakna RUU tidak disokong kerajaan. Ketua Penerangan PAS pula dalam nada memujuk hati memaklumkan tidak kisah siapa pon yang membawa RUU tersebut malah telah bersedia dalam semua keadaan dan optimistik ianya akan berjaya dilaksanakan suatu hari nanti.

Dengan penolakkan terbuka parti komponen BN cubaan PAS dan UMNO membawa cadangan pindaan hampir menemui kegagalan. Melainkan mereka mewujudkan desakan ke atas wakil rakyat beragama Islam.

Ringkasnya PAS dan UMNO memerlukan undi wakil rakyat Muslim dari PKR, DAP, Amanah dan Bersatu. Cabarannya ialah bagaimana RUU Marang akan disokong parti pembangkang yang lain ketika pemimpin PAS terus ghairah mencela, menjatuh dan menghukum mereka. Saban hari pemimpin kanan parti-parti pembangkang dicemuh dan dihukum jemaah PAS kononnya menentang undang-undang Allah ketika Akta Mahkamah Syariah 100% buatan manusia yang mana pindaan dicadangkan PAS tidak juga memenuhi tuntutan syariah kecuali hukuman sebat 100 kali. Bertitik tolak dari cadangan pindaan ini timbul huru hara dalam jemaah Islam sehingga budaya takfiri (menghukum kafir terhadap saudara Islam yang lain) terbit kembali.

Sejak peringkat awal lagi cadangan pindaan ini dilihat ramai pemerhati sekadar alat parti-parti politik menyelamatkan kedudukan mereka berbanding keperluan memperkukuhkan Mahkamah Syariah itu sendiri. Ini dibuktikan melalui tindak tanduk pemimpin parti-parti tersebut.

Abd Hadi Awang telah diberi laluan untuk membentangkan RUUnya sebanyak dua kali pada dua Persidangan Parlimen berturut-turut namun meminta ditangguhkan. Dalam pada itu beliau memilih Padang Merbok untuk membentangkannya. Dari Himpunan Hijau ke Himpunan Ungu. Semasa perhimpunan Hadi dan golongan lebai tidak juga memperincikan cadangan pindaan walaupon himpunan tersebut dianjurkan khusus untuk menjelaskannya. Apa yang berlaku mereka berceramah memetik ayat-ayat Quran menghentam parti pembangkang yang lain dalam majlis yang dipenuhi kecaman, laungan dan tawa senda. Yang akan meluluskan pindaan adalah wakil rakyat di Dewan Rakyat bukannya peserta himpunan. Namun inilah budaya politik PAS pasca kemangkatan Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat.

Manakala Mohd Najib Abd Razak mengambil kesempatan dari keterdesakan PAS mengumpul semula kekuatan selepas penghijrahan berjemaah golongan progresif ke Amanah dan ketika ahli UMNO pro Dr Mahathir Mohamad berhijrah berjemaah ke Bersatu yang semakin bertapak di kawasan majoriti Melayu, selain tuduhan-tuduhan ke atas diri dan pentadbirannya yang semakin merunsing dan menekan, memaksa UMNO menghulurkan tangan persahabatan kepada PAS. Masing-masing saling memberi tongkat dan menjadi tali hayat kepada satu sama lain.

'You scratch my back I scratch yours', itulah agenda sebenar mereka yang berselindung di sebalik cadangan memperkasa Mahkamah Syariah.

UMNO mampu mendaulahkan Islam dan memperkasakan Mahkamah Syariah seawal tahun 2004 ketika Imam Islam Hadhari Abdullah Ahmad Badawi menguasai 5/6 majoriti di Parlimen. Malah lama sebelum itu BN yang sentiasa menguasai 2/3 majoriti boleh sahaja meminda Akta lapuk tersebut. Tetapi ini tidak berlaku kerana ketika UMNO kuat mereka tidak perlu agenda dan bantuan parti agama. Dan majoriti Muslim UMNO mahu berpegang kepada asas Malaysia sebuah negara sekular yang mana Perlembagaan dan undang-undangnya diasaskan penjajah.

PAS telah lama menjadikan agenda Hudud perjuangan politiknya. Hudud punca PAS berperang besar dengan DAP yang membawa kepada kematian Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat. Hudud jugalah punca PAS kalah mega di Terengganu PRU11. Dan kerana Hudud lah PAS dipaksa menjadi parti kerdil tahun 2004 walaupon hampir seusia UMNO. 

Namun cabaran PAS berpolitik dan usaha menarik sokongan rakyat menjadi lebih mudah bilamana agenda Hudud tidak lagi didendangkan. Belajar dari pendekatan Abdullah dengan Islam Hadharinya, PAS mundur setapak ke belakang maju dua tapak ke hadapan. Hudud disimpan rapat-rapat Dewan Ulama. Sebagai ganti idea Negara Berkebajikan dan PAS For All digagas dan dijenamakan. Idea-idea lebih molek dan lebih lunak untuk direalisasikan itu kurang disenangi para lebai.

Para lebai sedar Malaysia sebuah negara sekular yang mana Perlembagaan dan undang-undang adalah warisan kolonial dan mereka tetap berhajatkan Hudud dilaksanakan seiring undang-undang British yang menjadikan Malaysia negara pertama di dunia mengamalkan dua set undang-undang. Namun langkah mereka buntu bilamana Nik Abd Aziz berkenan dan menyokong idea dipelopori golongan progresif. Disebabkan menghormati kehebatan ilmu dan pengaruh beliau di senantaro dunia para lebai menghibernasikan agenda Hudud. Bukan dilupuskan, tetapi direhatkan.

Idea Negara Berkebajikan dan PAS For All ternyata agenda perjuangan terbaik PAS. Tidak pernah dalam percaturan dan sejarah politik PAS berjaya mengetuai kerajaan di 3 negeri Kelantan, Kedah dan Perak selain memenangi kerusi Parlimen dan DUN di negeri paling maju Selangor. Malah buat pertama kali juga begitu ramai pemimpin PAS dilantik sebagai EXCO kerajaan negeri di luar Kelantan manakala ahlinya diberi jawatan besar di syarikat-syarikat berkaitan kerajaan/anak syarikat kerajaan negeri serta dipilih sebagai ahli majlis kerajaan tempatan dan ketua kampung. 

Ini termaterialisasi kerana sumbangan besar golongan progresif yang mencetus dan mengerakkan idea permodenan PAS bermula di era Presiden Fadzil Noor dan Murshidul Am Nik Abd Aziz sehingga berjaya menarik ramai golongan professional dan muda menyertai PAS dan politik. Juga kerana adanya kompromi hebat dari PKR dan DAP sebagai rakan Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat. 

Malangnya kejayaan besar PAS tidak bertahan lama. Dan pencapaian itu tidak cukup untuk menyeka perbalahan dan persengketaan baharu di antara PAS dan DAP, lebai dan liberalis.

Barangkali tidak berpuas hati dengan tahap penguasaan dan jawatan sedia ada golongan lebai mengorak langkah merampas apa yang mereka rasakan sebagai hak mereka. Langkah mereka semakin agresif selepas kemangkatan Nik Abd Aziz. 

Halangan pertama para lebai untuk menyandang jawatan lebih tinggi dan besar (termasuk Perdana Menteri dan Menteri Persekutuan) seandainya PR berjaya menawan Putrajaya adalah golongan progresif dan professional yang disenangi Almarhum. Lalu golongan ini disingkirkan secara blok dalam muktamar. Hadi dan lebai berjaya selangkah ke depan.

Halangan kedua adalah keakraban PKR dan DAP selepas PR dibubarkan. Kemunculan Amanah tidak menekan berbanding PKR (dan kini tambah Bersatu) kerana sokongan ke atas bekas pemimpin dapat dikawal dengan menanam paranoia dan prejudis di kalangan jemaah PAS bahawa golongan progresif adalah barua DAP. Golongan lebai sedar jika PKR dan Bersatu cendorong kepada DAP peluang mereka melebar dan mengukuhkan kedudukan akan terbantut. Lalu PKR, Bersatu dan DAP dilaga-lagakan dengan bantuan rakan taawunnya UMNO mengunakan senjata bangsa dan agama. Namun sehingga kini usaha memisahkan PKR dan Bersatu dari DAP dan Amanah gagal. Lantas lebai menyerang PKR dan Bersatu secara rasis dan religis sehingga terbit label tunggangan Cina dan kafir, sepertimana diperlakukan ke atas Amanah. PAS tetap tidak berjaya memecahkan pakatan utama pembangkang, Bersatu secara rasmi memohon menyertai Pakatan Harapan.

Halangan ketiga adalah kedudukan Malaysia sebagai negara sekular dan urusan berkaitan hal ehwal Islam terletak di bawah bidang kuasa Raja-Raja Melayu. Kesukaran PAS mendapatkan sokongan bukanlah berpunca dari keengganan parti kompenan BN menyokong sebaliknya pengaruh sekularisma dalam prinsip perjuangan parti-parti. UMNO mempunyai 88 wakil di Dewan Rakyat manakala PAS 14. Pakatan PAS dan UMNO hanya memerlukan 10 undi lagi. PAS terlalu selesa dengan janji Najib dan percaya Presiden UMNO itu mampu melakukan perkara magikal ke atas sebahagian wakil BN yang cendorong kekalkan sekularisma Malaysia. Di tambah sesetengah negeri mengawal keras kebebasan PAS di mesjid dan pusat ilmu malah meminggir mereka dari jawatankuasa agama, tidak seperti di Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor. Keterbatasan ini merumitkan pengukuhan pengaruh dan kedudukan PAS di negeri-negeri selatan Semenanjung dan Borneo.

Selepas kegagalan mendepani halangan kedua dan ketiga Hadi dan lebai bertaut kepada UMNO yang memegang tampuk kuasa Persekutuan dan lebih rapat dengan Istana. Alasan apa lagi yang lebih baik dan kurang impak untuk bekerjasama selepas bertahun lama kedua-dua parti bermain politik kebencian melainkan hujah ukhuwah Islamiah dan kuasa Islam? Itulah modal dijaja untuk mendapatkan sokongan akar umbi menyokong usaha kerjasama antara dua parti majoriti Melayu.

Ketika senjata bangsa sudah tidak dapat memukau penyokong dan pengundi atas pagar untuk bersama mereka maka senjata agama diguna. Ketika agenda Hudud terbukti akan melemah dan menjauhkan PAS dari persada politik negara malah mampu mengheret UMNO jatuh bersama maka Akta Mahkamah Syariah dipertaruhkan. Allah sebaik-baik perancang. Ada sahaja halangan baharu muncul di saat getir. Keputusan kerajaan membatalkan hasrat membawa RUU bukanlah klimaks drama PAS dan UMNO. Banyak lagi babak mengujakan akan menyusul. Bila sudah terdesak macam-macam boleh berlaku. Tunggu dan lihat.