Thursday, September 13, 2018

PRK Port Dickson

1. PRK Port Dickson satu pembaziran. 

Ini kerana setiap kali diadakan PRK jentera pilihanraya digerakkan, berpuluh ribu poster dan bendera digantung, pentas ceramah didirikan, makan-minum dihidangkan, belanja penginapan dan pengangkutan dikeluarkan, gula-gula ditaburkan dan banyak lagi. Ia melibatkan pembelanjaan besar.

Pemimpin parti politik yang berhujah ianya membazir maka molek sangat mereka tidak menurunkan calon.

Tiada pertandingan bermakna tiada pengundian. Maka SPR tidak perlu mengerakkan pasukannya dan tidak berlaku perbelanjaan untuk PRK. Ia menjimatkan dana rakyat. Ringkasnya kita menghantar Dr Anwar ke Parlimen tanpa sebarang kos. 

Menjadikan Dr Anwar MP tidak mengubah kedudukan Dewan Rakyat. PH masih majoriti. UMNO-PAS kekal membangkang.

2. PRK dan demokrasi.

Mengikut Perlembagaan sekiranya seorang MP meletakkan jawatan maka SPR perlu mengadakan PRK. 

Namun pembangkang menggunakan pembaziran sebagai isu. Mereka adalah individu-individu sama yang mendesak bekas MP PAS yang menyertai Amanah meletak jawatan untuk diadakan PRK pada 2015.

Selain pembangkang, sebahagian penyokong kerajaan juga mempersoalkan keperluan dan masa PRK ini diadakan. Kumpulan yang tidak sebulu dengan Dr Anwar menimbulkan soal ketelusan dan demokrasi.

Mereka ini gagal membangkitkan halangan undang-undang pra PRU14 dan rencana BN yang bersungguh menghalang Dr Anwar berada di Parlimen. Mereka juga gagal mematuhi konsensus disepakati ke semua komponen PH dan Warisan pra PRU14 yang bersetuju menuntut Dr Anwar mendapatkan pengampunan penuh diRaja, dikembalikan ke Parlimen dan diangkat sebagai PM ke 8. 

PRK Port Dickson ini adalah sebahagian dari proses yang dirancang Majlis Presiden PH sejak Januari 2018, bukannya perkara baharu seperti dicanang Zuraida Kamaruddin dan geng kartel PKR.

3. PH di Putrajaya kerana kesabaran Dr Anwar Ibrahim. 

Sekiranya Dr Anwar tidak memberikan rakyat alternatif kepada BN dengan menubuhkan PH, tidak memaafkan Dr Mahathir Mohamad, tidak mencadangkannya sebagai PM interim, tidak bekerjasama dengan Bersatu dan Warisan, tidak mendamaikan bekas pemimpin UMNO dan DAP, nescaya hari ini Regim Mohd Najib Abd Razak masih kekal berkuasa.

Ramai pemimpin politik dan pegawai tinggi kerajaan kurang senang dengan Dr Mahathir yang sebelum ini memimpin seperti diktator. Mereka skeptik dengan kesungguhannya menjayakan agenda reformasi institusi dan sistem pentadbiran negara. Beberapa 'hiccup' dalam 100 hari pertama pentadbiran PH mengesahkan kebimbangan mereka.

Dr Mahathir juga ada sejarah tidak lunak dengan Istana. Semenjak dibebaskan Dr Anwar lebih kerap mengadap dan mendapat kunjungan Sultan-Sultan berbanding Dr Mahathir. Itu kecendorongan Istana. Urusan Negeri-Pusat menjadi sukar sekiranya Istana dan Putrajaya saling tidak mempercayai. Dr Anwar menjadi jambatannya.

Suka atau tidak Dr Anwar adalah arkitek muafakat dan kejayaan PR dan PH. Beliau memiliki keupayaan menyatukan dan memimpin gabungan parti-parti pelbagai latarbelakang dan perjuangan. Kerajaan dan rakyat memerlukannya di Parlimen, khususnya sekarang ketika Dr Mahathir dikhabarkan kerap lupa dan uzur. 

Ini bukan soal menjadikan Parlimen Malaysia medan politik anak beranak, bukan juga soal berebut jawatan PM. PRK Port Dickson adalah untuk memastikan kelancaran pentadbiran dan pemulihan negara dari kerosakan sistem, yang mana Dr Mahathir Mohamad adalah sebahagian puncanya.

Retak Berbelah

Ramai menjangkakan PKR akan berpecah selepas pemilihan parti Oktober 2018. Keretakkan antara kem Mohamad Rafizi Ramli dan kem Mohamed Azmin Ali sudah tidak dapat dipulihkan.

Sekiranya perpecahan berlaku pasca pemilihan 2018, ia sekadar mengulangi krisis UMNO 1988 (wujudnya Semangat 46), krisis UMNO 1999 (wujudnya Keadilan), krisis PAS 2015 (wujudnya Amanah) dan krisis UMNO 2016 (wujudnya Bersatu dan Warisan). Perpecahan parti politik di Malaysia bukanlah perkara baharu.

UMNO bergolak pada 1988, 1999 dan 2016 namun kekal di Putrajaya. Mereka tetap berkuasa di sebalik krisis-krisis pertembungan dua kumpulan dalam parti. Pengalaman adalah kunci.

Kini giliran PKR. Perpecahan dalam parti komponen terbesar Pakatan Harapan bakal memperlihatkan antara dua, kesuburan demokrasi dan ketamakan peribadi.

Saya berharap pemimpin dan ahli PKR yang tegar DNA UMNOnya bersegera mengundur dan membawa diri. Mereka sepatutnya berasa malu bercakap mengenai ketelusan dan demokrasi ketika mereka gemar melakukan hal bertentangan. 

Mereka boleh memilih menyertai Bersatu. Atau lebih afdal kembali ke pangkuan UMNO. Bukankah mereka juga beriya-iya mahu mengekalkan PAS dalam kerajaan Selangor, yang kini merujuk dan berdamai dengan UMNO?

Amat memalukan sekiranya mereka memilih untuk kekal dalam PH, apalagi dalam PKR dan terus menyandang jawatan Menteri, EXCO dan sebagainya, di atas hasil keringat perjuangan badang-badang PH yang mereka gelarkan perosak, pemfitnah, dangkal dan sebagainya.


Wednesday, September 5, 2018

Budaya Menegur

Tegur tandanya kita sayang. Jika kita tidak tegur bererti kita tidak perduli lagi. Tidak perduli bererti sudah jauh hati. Bila jauh hati bermakna PRU15 kita ucap selamat jalan.

Di zaman beribu-ribu applikasi sosial di hujung jari kita boleh menegur pemimpin negara terus ke muka mereka, tanpa perlu menulis surat rasmi, membuat temujanji ke pejabat dan menunggu pegawainya memberi maklum balas. Manfaatkan applikasi sosial untuk menegur. Malangnya ramai yang tidak berpuas hati hanya tahu bersunggut, meroyan dan mengunyit di ruangan page peribadi mereka, tidak pula mereka majukan keraguan dan bantahan terus kepada pihak berwajib. Ianya perbuatan yang sia-sia. Ia perbuatan menghasut dan mengadu domba.

Kita boleh mempunyai kecendorongan kepada sesuatu pihak kerana alasan-alasan akademikal dan emosional. Tetapi jangan jadikan kecendorongan itu alasan menutup yang hak. Salah tetap salah. Dalam Islam, kita mesti menegur kesalahan sebelum menjatuhkan hukum. Berlaku adil paling dekat dengan taqwa. Seandainya teguran-teguran tidak diendahkan maka kita layak menghukum. Posisi kita sebagai rakyat pembayar cukai, berkuasa menghukum pemimpin bila datangnya PRU. Ketika itu, hukumlah mereka sewajarnya. Jangan kerana sentimen-sentimen tertentu kita lupa kewajipan berlaku adil.

Tiada mana-mana pemimpin dan parti politik di dunia ini maksum. Mereka tidak suci. Mereka tidak sempurna. Politik adalah kenderaan diguna mereka untuk menyempurnakan matlamat, samada matlamat yang baik atau tidak Tuhan lebih tahu. Kita yang beraqal harus sentiasa faham inilah asas mana-mana individu yang memilih "untuk memimpin".  Sangat sukar mencari yang benar-benar jujur, iqlas dan berkelayakkan. Maka kita pilih individu yang beri paling kurang mudarat.

Tegur selagi kita mampu. Jangan cepat kecewa dan beralah. Jika Dr Anwar Ibrahim boleh berjuang 20 tahun, 3 kali berumah penjara 14 tahun lamanya, kita yang mengaku lebih bijak dan arif sepatutnya lebih kental daya juangnya.

Tuesday, August 21, 2018

Cadangan Kepada Pengerusi SPR

Cadangan kepada Pengerusi SPR baharu Tuan Azhar 'Art' Harun

1. Meminda Perlembagaan menetapkan

(i) pilihanraya diadakan setiap 5 tahun (genap 60 bulan) melainkan terdapat referendum dan diperkenan Majlis Raja-Raja untuk pilihanraya awal

(ii) tempoh berkempen bagi pilihanraya umum dan negeri tidak kurang 10 hari dan tidak lebih 21 hari, pilihanraya kecil tidak kurang 5 hari dan tidak lebih 10 hari

(iii) kelayakan bertanding calon mesti berumur genap 21 tahun ke atas. Untuk bekas banduan kesalahan jenayah calon mesti terlebih dahulu mendapatkan Pengampunan Penuh oleh Majlis Raja-Raja 

(iv) pendaftaran pemilih secara otomatik untuk setiap warganegara genap umur 21 tahun

(v) status wakil rakyat yang dijatuhkan hukuman denda sivil tidak lebih RM10,000 dikekalkan DAN

2. Meminda Perlembagaan menetapkan

(i) persempadanan semula kawasan pilihanraya setiap 5 tahun dan mesti diwartakan pada pertengahan penggal pentadbiran

(ii) julat perbedaan pemilih antara kerusi Dewan Rakyat tidak melebihi 5%, antara kerusi Dewan Undangan Negeri tidak melebihi 10% DAN

3. Mengubal undang-undang: 

(i) Recalled Election untuk membolehkan pemilih memecat wakil rakyat di Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri yang menukar wadah politik atau gagal membuktikan kefungsiannya ATAU 

(ii) Imperative Mandate untuk membolehkan parti politik memecat wakil rakyat mereka di Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri yang menukar wadah politik atau gagal membuktikan kefungsiannya DAN

4. Meminda Perlembagaan membolehkan wakil rakyat yang dipecat kerana menukar wadah politik seperti perkara 3 (i) dan (ii) bertanding semula di kerusi Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri yang sama ATAU

5. Meminda Perlembagaan menetapkan:

(i) pilihanraya umum dan negeri memasukkan pertandingan memilih Ketua Eksekutif dan Timbalan Ketua Eksekutif Persekutuan atau Negeri. Regu yang memenangi kerusi Ketua Eksekutif Persekutuan atau Negeri akan:

a. memimpin kerajaan Persekutuan atau Negeri sehinggalah Parlimen atau DUN dibubarkan

b. memilih anggota dan menentukan jawatan mereka dalam Kabinet Persekutuan atau Negeri. Anggota Kabinet Persekutuan atau Negeri MESTI lah bukan anggota Dewan Negara, Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri serta MESTI lah diluluskan ke jawatan dengan majoriti mudah oleh Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri

Pertukaran wadah politik, atau pengosongan disebabkan kematian atau masalah kesihatan, atau pengosongan disebabkan tindakan undang-undang Perkara (6) ke atas Ketua Eksekutif TIDAK menjejaskan kedudukan, struktur dan fungsi Kabinet sedia ada. Timbalan akan memangku jawatan Ketua Eksekutif Persekutuan atau Negeri dan mengetuai Kabinet Persekutuan atau Negeri sehinggalah Parlimen atau DUN dibubarkan 

Sekiranya berlaku pertukaran wadah politik, atau pengosongan disebabkan kematian atau masalah kesihatan, atau pengosongan disebabkan tindakan undang-undang Perkara (6) ke atas Timbalan/Pemangku Ketua Eksekutif TIDAK menjejaskan kedudukan, struktur dan fungsi Kabinet sedia ada. Menteri atau EXCO terkanan akan memangku jawatan Ketua Eksekutif Persekutuan atau Negeri dan mengetuai Kabinet Persekutuan atau Negeri sehinggalah Parlimen atau DUN dibubarkan.

Sekiranya Kabinet Persekutuan atau Negeri tidak lagi memperolehi kepercayaan majoriti rakyat, atau secara kolektif menderhakai titah berperlembagaan Majlis Raja-Raja, atau secara kolektif mengkhianati Sistem Demokrasi Berperlembagaan, atau secara kolektif mengambil tanggungjawab moral disebabkan tindakan undang-undang Perkara (6) ke atas Ketua dan Timbalan/Pemangku Ketua Eksekutif maka seluruh anggota Kabinet Persekutuan atau Negeri MESTI lah meletakkan jawatan sekaligus Parlimen atau DUN terbubar secara otomatik DAN

(ii) pilihanraya umum dan negeri sebagai pemilihan Party Mandate atau Party Representation yakni sebagai pertandingan antara parti politik. Kerusi Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri yang dimenangi parti politik adalah milik parti sehinggalah Parlimen dan DUN dibubarkan.

Pertukaran wadah politik, atau pengosongan disebabkan kematian atau masalah kesihatan, atau pengosongan disebabkan tindakan undang-undang Perkara (6) ke atas wakil rakyat TIDAK menjejaskan kemenangan parti. Wakil rakyat baharu akan dilantik parti yang memenangi kerusi tersebut mengisi kekosongan.

Sekiranya majoriti anggota Dewan Negara, Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri tidak lagi memperolehi kepercayaan majoriti rakyat, atau menderhakai titah berperlembagaan Majlis Raja-Raja, atau mengkhianati Sistem Demokrasi Berperlembagaan, atau mengambil tanggungjawab moral disebabkan tindakan undang-undang Perkara (6) ke atas Ketua Eksekutif Persekutuan atau Negeri yang mewakili parti maka seluruh anggota Parlimen atau Dewan Undangan Negeri MESTI lah meletakkan jawatan sekaligus Parlimen atau DUN terbubar secara otomatik DAN

(iii) Proportional Representation yakni kerusi Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri ditentukan melalui jumlah undi yang diterima parti (BUKAN gabungan parti-parti) yang bertanding secara 'proportional'

Contoh: 

Parti PKR menerima 30% dari jumlah 22,000,000 pemilih 222 Kerusi Dewan Rakyat. Parti PKR memenangi  67 kerusi. 

Parti UMNO menerima 40% dari jumlah 1,000,000 pemilih 40 Kerusi Dewan Undangan Negeri. Parti UMNO memenangi 16 kerusi

Perwakilan parti PKR untuk 67 Kerusi Dewan Rakyat dan perwakilan parti UMNO untuk 16 Kerusi Dewan Undangan Negeri DITENTUKAN parti masing-masing melalui pencalonan oleh pimpinan atau pengundian oleh ahli parti samada di peringkat bahagian, negeri atau nasional ATAU

(iv) pilihanraya umum dan negeri adalah pertandingan antara individu. Kerusi Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri yang dimenangi individu adalah milik individu sehinggalah Parlimen dan DUN dibubarkan, atau perletakan jawatan secara sukarela, atau pengosongan disebabkan kematian atau masalah kesihatan, atau pengosongan disebabkan tindakan undang-undang Perkara (6) ke atas wakil rakyat

Pertukaran wadah politik TIDAK menjejaskan kemenangan wakil rakyat, tidak perlu meletakkan jawatan dan mengosongkan kerusi

6. Memperkasa undang-undang melarang:

(i) penggunaan aset, jentera dan kakitangan awam untuk tujuan berkempen oleh kerajaan caretaker DAN

(ii) pengumuman projek baharu kerajaan, pemberian derma, sumbangan, hadiah atau seumpamanya kepada pemilih ketika berkempen oleh kerajaan caretaker DAN

(iii) penggunaan agama, tokoh agama, pusat keagamaan dan ibadat, simbol keagamaan dan seumpamanya ketika berkempen oleh parti politik DAN

(iv) penggunaan agen asing atau kepakaran asing dalam perancangan, strategi, pengiklanan, komunikasi, aktiviti dan konvension kempen pilihanraya

Pelanggaran salah satu dari perkara 6 (i) hingga (iv) boleh membatalkan keputusan pilihanraya DAN

7. Mengubal undang-undang menetapkan:

(i) pengunaan alat imbasan biometrik pada hari-hari mengundi. Pengundian luar negara adalah melalui atas talian atau laman sesawang, hapuskan amalan undi pos

(ii) pemilih berdaftar mengemaskini maklumat kad pengenalan setiap 5 tahun. Kegagalan mengemaskini maklumat menyebabkan kelayakan mengundi digantung (kerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara, memperkenalkan Kad Pengenalan dengan tamat tempoh)

8. Mengubal undang-undang pendanaan parti politik, badan bukan kerajaan pro parti politik dan ahli politik; pendanaan kempen pilihanraya dan pendanaan majlis umum tajaan parti dan ahli politik. Pendanaan termasuk derma dan pinjaman kewangan; derma, wakaf dan pinjaman asset kekal dan bolehubah; tajaan hadiah dan siaran media; pemberian saguhati kempen; elaun, kelengkapan dan makanan sukarelawan dan sebagainya

9. Meminda Perlembagaan menetapkan setiap calon pilihanraya hanya boleh bertanding salah satu, samada kerusi Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri

10. Meminda Perlembagaan membenarkan Suruhanjaya Pilihanraya melaksanakan referendum ke atas dasar-dasar kerajaan Pusat dan Negeri, atau referendum untuk mencadangkan satu tarikh pilihanraya awal kepada Majlis Raja-Raja

11. Meminda Perlembagaan membenarkan Jawatankuasa Khas Parlimen Pilihanraya menyemak dan mengawasi proses pendaftaran pemilih, persempadanan semula kawasan pilihanraya, pengesahan dan pembatalan calon, pembuangan dan pengiraan undi awal dan undi umum serta pengistiharan pemenang pilihanraya

12. Memperkasa undang-undang membenarkan pemerhati tempatan dan antarabangsa memantau pilihanraya umum dan negeri

13. Meminda Perlembagaan menetapkan pelantikan Senator adalah bersandarkan jumlah penduduk. Seorang Senator mewakili setiap 250,000 - 300,000 penduduk negeri. 1/3 kuota Senator dipilih kerajaan Persekutuan dan diperkenan Yang Di Pertuan Agong manakala 2/3 kuota Senator dipilih kerajaan negeri dan diperkenan Sultan/Yang DiPertuan/Raja negeri. Senator dilantik pada pertengahan penggal pilihanraya. Tempoh jawatan Ahli Dewan Negara adalah bersamaan dengan tempoh jawatan Ahli Dewan Rakyat iaitu 5 tahun (genap 60 bulan)



Thursday, August 9, 2018

SST vs GST

Ramai yang marah-marah dengan keputusan kerajaan memansuhkan GST dan mengembalikan SST. Mereka memetik pengakuan Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa GST lebih telus dari SST.

Ada beberapa kemungkinan mengapa perkara ini berlaku.

1. Ketakutan SST lebih mudarat dari GST

Ramai bekas Menteri mempromosikan GST sebagai cukai telus yang akan menurunkan harga barang. Namun selepas setahun perlaksanaannya ternyata harga barang semakin hari semakin naik dan kuasa ringgit rakyat semakin menyusut.

Pengalaman ini membina persepsi negatif rakyat terhadap pengenalan cukai baharu oleh pemerintah.

2. Kejahilan memahami mekanisma cukai

GST adalah cukai pelbagai peringkat. Maksudnya cukai ini dikenakan hampir di semua peringkat. Dari pembekal, pembuat, pemborong, peruncit hingga ke pembeli. Barang-barang yang tidak dicukai di peringkat akhir (pengguna akhir) tidak semestinya tidak dicukai.

Sebotol minyak masak tidak dikenakan GST kepada pengguna akhir tetapi dicukai ke atas pembekal bahan dan pembuat. Begitu juga kesnya sebungkus roti. Itulah sebabnya selepas GST dilaksanakan harga minyak (selain faktor pemansuhan subsidi) dan roti tetap naik.

Majoriti barang dan perkhidmatan dalam sistem ekonomi negara dikenakan GST.

SST pula cukai satu peringkat. Ia hanya dikenakan di peringkat akhir (pengguna akhir). Kadarnya lebih tinggi berbanding GST akan tetapi jauh lebih baik dari 6% untuk setiap peringkat. SST dicukaikan sekali ke atas end product.

Berbanding GST, SST dikenakan ke atas barang dan perkhidmatan tertentu yang majoritinya dibeli dan diguna oleh kumpulan berpendapatan sederhana dan tinggi.

3. Kegagalan mengkaji

Rata-rata yang menzahirkan kemarahan adalah mereka-mereka yang

a) tidak berbelanja di zaman adanya SST maka tidak mengetahui perbedaan dan manfaatnya

b) yang berbelanja di zaman adanya SST namun melebihi tahap kemampuan dan keperluan. Pemborosan menyebabkan mereka gagal menabung sekaligus menambah beban hutang. Sedikit perubahan kepada kaedah pencukaian memberi kesan kepada situasi kewangan mereka.

Kerajaan hari ini dilihat lebih berhati-hati memberi komitmen dalam hal berkaitan polisi umum. Menteri tidak memberi jaminan dengan perlaksanaan SST harga barang lebih rendah (seperti jaminan Menteri terdahulu semasa perlaksanaan GST) namun memberi keyakinan harga barang tidak lagi melambung tinggi.

Samada GST atau SST, kerajaan terpaksa mengenakan cukai untuk kelangsungan negara. Kerajaan tidak dapat meneruskan aktiviti pemangkinan ekonomi dan kemakmuran tanpa dana mencukupi, khususnya ketika perbendaharaan menanggung beban hutang melebihi MYR800 billion.

SST masih belum dilaksanakan. Berilah keadilan kepadanya. Tempoh 12-24 bulan memadai untuk melihat kesan baik buruknya kepada ekonomi rakyat.

GST lebih telus, tetapi SST lebih adil!

Sunday, July 15, 2018

GST Sifar vs Harga Barang

Pensifaran GST mampu menurunkan harga barang. GST dikenakan di setiap peringkat. Maksudnya dari pembekal, pengeluar, pengedar, pemborong dan peruncit terdapat kadar 6% GST yang dikenakan dan terpaksa ditanggung pengguna/pembeli. Pensifaran sudah semestinya mampu menurunkan harga. Contoh terbaik harga kenderaan persendirian. 

Dari jenama Eropah seperti BMW, Mercedes, Audi dan VW hingga ke jenama Asia seperti Toyota, Nissan, Honda, Mitsubishi, Proton dan Perodua semuanya mengalami penurunan harga yang sangat ketara. Perbedaan harga lama dan baru mencapai belasan ribu ringgit. "Tax holiday" disebabkan pensifaran GST dan ketiadaan SST ini benar-benar menguntungkan pengguna. Tetapi bukan semua barang menunjukkan trend serupa seperti harga kenderaan. Ramai mengadu selepas pensifaran GST harga barang masih kekal malah ada sebahagian lagi makin naik. Kenapa ini terjadi?

1. Ketelusan perniagaan. Ia merupakan tunggak utama dalam menentukan kejayaan penurunan harga barang. Pemain industri otomobil di Malaysia rata-rata syarikat antarabangsa yang terkenal berpegang teguh kepada konsep ketelusan dalam perniagaan. Industri seperti otomobil lebih transparent berbanding industri pendidikan dan perkhidmatan. Harga produk mereka lebih straight forward. Apabila kerajaan menentukan kadar sifar% pada GST, industri otomobil antara terawal mengambil langkah menurunkan harga.

2. Ketegasan kerajaan. Kegagalan sebahagian besar peniaga menurunkan harga barang selepas pensifaran GST bergantung kepada ketegasan tindakan pemerintah. Pakatan Harapan dilihat masih berlunak dengan peniaga khususnya pembuat, pengeluar, pengedar dan peruncit barangan keperluan pengguna hasil tempatan. Bukan rahsia kebanyakkan peniaga di Malaysia adalah penyokong Pakatan Harapan semasa menjadi pembangkang. Dasar-dasar ekonomi kerajaan Barisan Nasional sebelum ini melembabkan ekonomi sekaligus memberi kesan kepada peniaga.

Bertegas dengan para penderma kempen pilihanraya parti politik adalah perkara terakhir yang mana-mana kerajaan yang berdiri kerananya akan lakukan. Ia tidaklah sukar, hanya bergantung kepada sejauh mana keberanian kerajaan dalam menegakkan undang-undang. Pakatan Harapan masih belum menunjukkan keberanian tersebut.

3. Sikap pengguna. Pengguna adalah sebahagian dari sistem jual beli, sistem pencukaian dan sistem ekonomi negara. Pengguna memainkan peranan terpenting. Di Malaysia kesedaran pengguna ke atas hak-hak mereka sebagai pembeli masih terbatas. Adapon yang faham akan hak mereka, kesungguhan mempertahankan hak tersebut masih nipis di kalangan majoriti. Perbedaan kecil antara harga lama dan baru tidak memberi banyak kesan kepada pengguna. 

Sekiranya harga menjamah satu set hidangan di restoran nasi kandar masih tidak turun, walaupon harga baru sepatutnya mengalami penurunan 60sen - 1 ringgit, pengguna memilih tidak memprotes kerana tidak ketara pengurangannya. Sedangkan keuntungan yang dikaut pengusaha restoran secara salah tersebut adalah tinggi setiap hari. Tiada protes dari pengguna dan tindakan dari pihak berwajib maka peniaga berlengah menurunkan harga barang.

Pengguna lebih teruja memprotes perbedaan harga yang besar seperti harga kenderaan. Kegagalan syarikat pengedar otomobil menurunkan harga menyebabkan seluruh pengguna termasuk persatuan akan membuat bising.

Pengguna mesti memainkan peranan menekan bukan sahaja peniaga malah kerajaan untuk mengambil tindakan menurunkan harga barang dan mengheret pesalah sistem pencukaian ke muka pengadilan. Ia adalah hak dan peranan pengguna yang sering diabaikan dalam sistem ekonomi.

Tuesday, May 22, 2018

Cadangan kepada Jemaah Menteri


Perdana Menteri

1. Pinda Perlembagaan pelantikan ke jawatan berikut mesti melalui Jawatankuasa Khas Dwi Partisan Parlimen Pemilihan Pegawai Tinggi sebelum diperkenankan Yang Dipertuan Agong

a. Ahli Suruhanjaya Pilihanraya

b. Ahli Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 

c. Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam

d. Ahli Suruhanjaya Kehakiman

e. Ahli Suruhanjaya Hak Asasi Manusia

f. Ahli Suruhanjaya Integriti

g. Ketua Polis Negara

h. Panglima Angkatan Tentera

i. Ketua Hakim Negara

j. Peguam Negara

k. Pendakwaraya Negara

l. Gobernor Bank Negara

m. Yang DiPertua Dewan Rakyat dan Timbalan

n. Yang DiPertua Dewan Negara dan Timbalan

2. Pinda Perlembagaan mewajibkan persempadanan semula kawasan Pilihanraya setiap 4 atau 5 tahun, persempadanan kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri dengan julat perbedaan pemilih antara kawasan Parlimen dan antara kawasan DUN masing-masing tidak melebihi 10% dan 5%

3. Pinda Perlembagaan menguatkuasa undang-undang pendaftaran pemilih secara otomatik untuk setiap warganegara genap umur 21 tahun, tempoh berkempen minima 5 hari maksima 20 hari, pengundian luar negara melalui talian/laman sesawang serta penglibatan wajib pemerhati/pemantau pilihanraya oleh badan pemerhati tempatan dan antarabangsa

4. Menguatkuasa undang-undang pengunaan alat imbasan biometrik pada hari-hari mengundi

5. Pinda Perlembagaan mewujudkan Majlis Mufti Negara dan jawatan Ketua Mufti Negara sebagai badan kawalselia dan pemantau Mahkamah Syariah dan Jabatan Mufti negeri, pelantikan Hakim Syarie dan kadi, urusan fatwa, piawaian halal, latihan dan pentauliahan, pendidikan, daqwah dan pengembangan syiar, pembangunan ekonomi dan zakat. JAKIM, PERKIM dan YADIM seumpamanya diletak di bawahnya

6. Pinda Perlembagaan mengkhususkan definisi Bumiputera kepada kaum Melayu dari keturunan ibu dan bapa, orang asal Semenanjung dari keturunan ibu dan bapa dan suku-suku kaum asal Sabah dan Sarawak dari keturunan ibu dan bapa

7. Pinda Perlembagaan mengintegrasi semua unit/agensi/jabatan berkaitan pendidikan, pembangunan, ekonomi, pelaburan dan pengurusan aset Bumiputera di bawah Majlis Amanah Rakyat. MARA diletakkan di bawah Jawatankuasa Khas Parlimen Kaum Bumiputera

8. Memisahkan fungsi Pendakwaraya dari jawatan Peguam Negara dan mewujudkan jawatan Pendakwaraya Negara. Semua fungsi pendakwaan di lain-lain Jabatan/Suruhanjaya disatukan di bawah Jabatan Pendakwaraya Negara

9. Mengintergrasi unit/agensi/jabatan persekutuan dan negeri yang bertindih portfolio untuk menjimatkan kos pengurusan sebanyak 30%, meminimakan karenah birokrasi dan amalan rasuah sekaligus meningkatkan produktiviti

10. Pinda Perlembagaan menghapuskan jawatan-jawatan dan kontrak kerja yang diwujudkan untuk memenuhi tuntutan politik seperti JASA dan seumpamanya. Selain menjimatkan wang kerajaan, ia mampu mengurangkan politiking di kalangan kakitangan awam

11. Mengembali dan memaksimakan budaya korporat dalam semua jabatan kerajaan untuk meningkatkan ikhtiar pembangunan kendiri secara berterusan dan mewujudkan persaingan sihat untuk berjaya di kalangan kakitangan awam serta entiti kerajaan

12. Memperluaskan skop kerja kakitangan awam di semua peringkat untuk menjadikan warga kakitangan awam 'multi-tasking' dan fleksibel dalam tugas serta kompitatif dalam peluang jawatan

13. Pinda Perlembagaan menghapuskan kuota jawatan korporat seperti Pengerusi GLC kepada pemimpin politik dan Wakil Rakyat

14. Pinda Perlembagaan menghapuskan jawatan Menteri Kedua dan Duta Khas bertaraf Menteri

15. Pinda Perlembagaan menghadkan keanggotaan Kabinet kepada maksima 20 Menteri dan 20 Timbalan ATAU maksima 30 Menteri tanpa Timbalan

16. Melantik anggota Kabinet berdasarkan pengalaman dan kelayakan dalam kerajaan atau entiti korporat. KPI Menteri dinilai setiap 6 bulan dan Menteri digugurkan dari jawatan sekiranya gagal mencapai sasaran minima untuk 2 kali penilaian


Menteri Dalam Negeri

1. Menaik taraf sistem pendaftaran kerakyatan dengan menguatkuasakan imbasan biometrik jari dan tapak tangan ke atas setiap warganegara dan penduduk tetap

2. Menguatkuasa undang-undang mewajibkan penukaran Kad Pengenalan setiap 5 tahun dengan maklumat alamat tempat tinggal, email, nombor telefon dan gambar terkini

3. Menaik taraf sistem pendaftaran keluar masuk rakyat Malaysia dan warga asing (termasuk pekerja, pelancong dan pelawat) di semua pintu masuk negara kepada sistem integrasi maklumat bersepadu

4. Menguatkuasa undang-undang mewajibkan imbasan biometrik jari dan tapak tangan setiap kali keluar masuk negara. Maklumat imbasan direkodkan di pangkalan data Jabatan Imigresen dan dikongsi dengan PDRM dan ATM untuk tujuan keselamatan

5. Membekalkan alat mudahalih dengan applikasi imbasan biometrik jari kepada pasukan PDRM dan ATM yang melakukan kawalan, rondaan dan serbuan untuk tujuan pengesahan di lokasi

6. Mengemaskini SOP tangkapan, serbuan dan siasatan PDRM mengikut piawaian antarabangsa

7. Mengintegrasi RELA, Angkatan Pertahanan Awam dan Jabatan Bomba dan Penyelamat di bawah satu entiti (Angkatan Penyelamat Malaysia APM) untuk memanfaatkan pengunaan aset, kepakaran dan kemahiran serta mengurangkan kos operasi

8. Mewujudkan peruntukan undang-undang membolehkan ahli pertubuhan politik mencabar kesahihan keputusan jawatankuasa yang bercanggahan dengan Perlembagaan pertubuhan dan negara

9. Menguatkuasa undang-undang melarang penggunaan agama, lambang keugamaan dan perkauman dalam pertubuhan politik

10. Meningkatkan keupayaan kawalan keselamatan melalui kamera litar tertutup canggih di semua kawasan perumahan, institusi-institusi pendidikan, lebuhraya dan jalanraya serta pintu-pintu masuk negara seperti di lapangan terbang, pelabuhan dan pos kawalan darat

11. Mengintegrasi semua kawalan keselamatan melalui kamera litar tertutup oleh majlis perbandaran tempatan dan syarikat keselamatan di bawah unit PDRM

12. Mewujudkan peruntukkan undang-undang mewajibkan pemaju perumahan dan infrastruktur awam menyediakan infra kamera litar tertutup dan balai mini

13. Mewujudkan balai mini di setiap kawasan kejiranan dengan 70% dari anggotanya melakukan kerja kawalan dan rondaan


Menteri Kewangan

1. Menguatkuasa sepenuhnya Akta Institusi Kewangan

2. Meningkatkan hukuman kepada Ah Long/peminjam wang tidak berlesen, eksekutif bank yang pecah amanah dan scammer

3. Meningkatkan kadar faedah bagi pinjaman sewa beli kenderaan untuk mengurangkan minat membeli kenderaan secara berlebihan 

4. Menurunkan kadar duti dan cukai bagi kenderaan elektrik import dipasang di dalam negara (CKD) kelas bawah 2000cc dan bahagian-bahagian kenderaan diimport untuk rakyat menikmati kenderaan berkualiti pada harga yang rendah

5. Menurunkan kadar duti dan cukai bagi kenderaan elektrik import sepenuhnya (CBU) untuk tujuan pengangkutan awam seperti bas, keretapi, feri dan pesawat ringan

6. Meningkatkan kadar cukai keuntungan modal ke atas penjualan aset-aset kedua dan seterusnya khususnya pemilikan bersama dan syarikat, kadar cukai pendapatan sewa dan kadar cukai keuntungan luarbiasa perniagaan


7. Menetapkan satu kadar faedah untuk Pinjaman Perumahan ke atas semua rumah kos sederhana rendah (harga jualan di bawah RM150,000). 4% adalah kadar win-win


Menteri Pendidikan

1. Mewujudkan Sistem Asas Pendidikan 5:5:5

a. Minima 5 tahun maksima 7 tahun di pengajian rendah (darjah 1 hingga 5)

b. Minima 5 tahun maksima 7 tahun di pengajian menengah (tingkatan 1 hingga 5)

c. Minima 5 tahun maksima 7 tahun di pengajian tinggi (tahun 1 hingga 5)

2. Mengembalikan versi KBSR dan KBSM dengan penambahbaikan

3. Mewujudkan sistem pembelajaran dwi-semester untuk sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi awam dan swasta

4. Mewujudkan sistem pembelajaran berasaskan 

a. 70% kurikulum + 30% kokurikulum untuk sekolah rendah dan menengah

b. 90% kurikulum + 10% kokurikulum untuk institusi pengajian tinggi awam dan swasta

5. Mewujudkan sistem penilaian berasaskan

a. 50% tugasan + 50% peperiksaan untuk kurikulum 

b. 20% kedatangan + 40% tugasan + 40% penglibatan untuk kokurikulum

Menetapkan GPA 2.00 sebagai syarat minima memasuki semester baharu. Kegagalan memenuhi syarat minima GPA menyebabkan pelajar wajib mengulangi semester yang gagal

6. Memansuhkan peperiksaan UPSR, PT3 dan SPM dan digantikan Sijil Penilaian Rendah dan Sijil Penilaian Menengah

a. Tamat pengajian rendah darjah 5 - Sijil Penilaian Rendah (SPR)

b. Tamat pengajian menengah tingkatan 5 - Sijil Penilaian Menengah (SPM)

7. Memansuhkan STPM, asasi dan matrikulasi dan digantikan Diploma, Intergrasi dan Sarjana Muda

a. Diploma -  2 tahun (anugerah Sijil) + 1 tahun (anugerah Diploma)

b. Intergrasi - 3 tahun (anugerah Diploma) + 2 tahun (anugerah Ijazah Sarjana Muda)

c. Sarjana Muda - 5 tahun (anugerah Ijazah Sarjana Muda)

8. Mewujudkan sekolah menengah aliran akademik, kemahiran dan sukan (tingkatan 1  hingga 5)

a. Sekolah Menengah Sains (Hayat, Teknologi, Kemanusiaan)

b. Sekolah Menengah Vokasional

c. Sekolah Menengah Sukan

9. Mewujudkan semula sekolah medium Bahasa Inggeris di bandar-bandar utama dan menjadikan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) sekolah medium Bahasa Inggeris

10. Menukar sekolah jenis kebangsaan kepada sekolah kebangsaan. Bahasa Cina dan Bahasa Tamil menjadi subjek pilihan di samping Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dan diajar di semua sekolah kebangsaan

11. Mengiktiraf hanya SATU sistem penilaian untuk kemasukkan ke sekolah menengah (SPR) dan institusi pengajian tinggi awam Malaysia (SPM)

12. Mewujudkan jawatan sokongan di setiap sekolah rendah dan menengah supaya guru dapat menumpu sepenuh perhatian kepada aktiviti pengajaran dan pembelajaran

a. Pegawai dan Kerani Kurikulum untuk membantu guru dalam hal-hal pentadbiran dan rekod akademi pelajar

b. Pegawai dan Kerani Kokurikulum untuk membantu guru dalam hal-hal pentadbiran dan rekod aktiviti pelajar

13. Mewajibkan semua pelajar berusia 7 tahun untuk menabung di bawah skim tabungan pendidikan dengan simpanan minima RM100

14. Mengintegrasi institusi pengajian tinggi mengikut fokus disiplin ilmu. Menukar Universiti-Universiti negeri yang mempunyai kesamaan fokus sebagai kampus cawangan kepada 8 induk yang berikut

a. Universiti Sains Malaysia (fokus kepada sains penyelidikan)

b. Universiti Pertanian Malaysia (fokus kepada sains pertanian)

c. Universiti Teknologi Malaysia (fokus kepada sains kejuruteraan)

d. Universiti Malaya (fokus kepada sains perubatan dan kemanusiaan)

e. Universiti Kebangsaan Malaysia (fokus kepada ekonomi, perniagaan, perdagangan dan kesusasteraan)

f. Universiti Islam Malaysia (fokus kepada pengajian, ekonomi dan daqwah Islam)

g. Universiti Pertahanan Malaysia (fokus kepada pertahanan awam dan negara)

h. Universiti MARA (fokus kepada pembangunan Bumiputera)

15. Membubarkan Majlis Professor Negara yang kurang efektif memangkinkan taraf akademik

16. Pemilihan Lembaga/Senat Universiti dibuat oleh SPA, bukan parti politik

17. Peruntukkan biasiswa Persekutuan kepada pelajar miskin dan pendalaman tertahluk kepada populasi, pecahan kaum dan merit di setiap negeri-negeri

a. RM300 setahun untuk pelajar rendah

b. RM600 setahun untuk pelajar menengah

c. RM2400 setahun untuk pelajar institusi pengajian tinggi awam dan RM3600 setahun untuk swasta

18. Pengambilan pelajar ke Sekolah Berasrama Penuh dan Institusi Pengajian Tinggi Awam tertahluk kepada pecahan kaum (Bumiputera 65%, bukan Bumiputera 35%) dan merit (kurikulum dan kokurikulum)

a. SBP terbuka kepada semua kaum yang cemerlang SPR


b. IPTA terbuka kepada semua kaum yang cemerlang SPM

19. MRSM dikhususkan hanya kepada pelajar Bumiputera luar bandar atau miskin yang cemerlang SPR

20. Memansuhkan yuran pengajian di semua sekolah dan institusi pengajian tinggi awam. Pelajar hanya perlu membayar yuran kokurikulum dan peperiksaan serta menanggung kos penginapan dan sara diri

21. PTPTN dikhususkan hanya kepada pelajar institusi pengajian tinggi swasta dengan had pinjaman maksima RM5000 setahun dan RM30000 sepanjang pengajian

22. Memartabat dan meninggikan penggunaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan di semua sekolah dan institusi pengajian tinggi


Menteri Pengangkutan

1. Membubarkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat dan menyerap anggotanya ke dalam JPJ

2. Menyeragamkan had pecutan di jalanraya dan lebuhraya kepada 50, 70, 90 dan 110km/j 

3. Meningkatkan had pecutan pengangkutan awam seperti bas awam dan bas persiaran kepada 90/110 km/j

4. Menghadkan bilangan pendaftaran setiap jenis kenderaan untuk setiap warganegara kepada 1:1. Hanya 1 motosikal dan 1 motokar untuk setiap seorang warganegara. Penyimpan koleksi kenderaan perlu membayar cukai koleksi motor tahunan 

a. RM200 untuk setiap tambahan motosikal di bawah 500cc


b. 
RM400 untuk setiap tambahan motosikal di atas 500cc

c. RM500 untuk setiap tambahan motokar di bawah 2000cc

d. RM1000 untuk setiap tambahan motokar di atas 2000cc

5. Menghadkan hayat kenderaan boleh pandu di jalanraya dan lebuhraya untuk

a. kenderaan peribadi kepada 10 tahun

b. kenderaan perdagangan kepada 7 tahun


Kebolehpanduan tahun-tahun selepasnya bergantung kepada keputusan pemeriksaan tahunan Puspakom

6. Meningkatkan hukuman kesalahan umum di jalanraya dan lebuhraya

a. Bagi kesalahan pecut setiap lebihan 10km/j dari had yang ditetapkan RM100 kompaun dikenakan. Contoh: bagi had pecutan 110km/j kompaun untuk kesalahan pecut 130km/j adalah RM200 manakala kompaun untuk kesalahan pecut 160km/j adalah RM500

b. Bagi kesalahan memandu secara cuai dan berbahaya kompaun minima adalah RM1000, sekiranya menyebabkan kematian hukuman minima adalah penjara 5 tahun dan denda RM10,000

c. Bagi kesalahan menyebabkan kesesakan lalulintas seperti berhenti di petak kuning, parkir di bahu jalan garisan kuning dan parkir di persimpangan kompaun minima adalah RM100 untuk kesalahan pertama, minima RM200 untuk setiap kesalahan berulang

d. Bagi kesalahan memandu tanpa lesen kompaun minima RM100 untuk kesalahan pertama, minima RM200 setiap kesalahan berulang

Kesalahan-kesalahan pecut dan sikap tidak layak mendapatkan pelarasan/diskaun kompaun bertujuan mendidik pesalah jalanraya. Kegagalan membayar kompaun menyebabkan lesen kenderaan dan cukai jalan tidak dapat diperbaharui serta waran tangkap dikenakan

7. Meningkatkan hukuman kesalahan kenderaan perdagangan

a. Bagi kesalahan muatan melebihi had yang dibenarkan kompaun minima adalah RM1000

b. Bagi kesalahan muatan yang menyebabkan kerosakkan kepada jalanraya dan pengguna yang lain kompaun minima adalah RM2000

c. Bagi kesalahan mengoperasi kenderaan tanpa lesen sah atau di dalam waktu puncak yang tidak dibenarkan kompaun minima RM3000

Kesalahan-kesalahan sikap tidak layak mendapatkan pelarasan/diskaun kompaun bertujuan mendidik pesalah jalanraya. Kegagalan membayar kompaun menyebabkan lesen kenderaan dan cukai jalan tidak dapat diperbaharui serta waran tangkap dikenakan

8. Mengemaskini sistem demerit KEJARA dan memberi keadilan kepada pengguna/pesalah kecil

9. Memperbanyakan Sistem Penguatkuasaan Otomatik (AES) di lebuhraya, jalanraya dan jambatan utama. AES diuruskan JPJ bukannya syarikat swasta

10. Mewujudkan jaringan Bus Rapid Transit (BRT) di semua lebuhraya dan jalanraya utama negara. Memperbanyak penggunaan e-BRT dan e-teksi


Menteri Ekonomi

1. Menubuhkan pasukan professional Melayu (bukan orang politik) untuk menasihati, membangunkan, menjalankan dan memantau projek perniagaan dan pelaburan di bawah geran/pinjaman kerajaan

2. Menyalurkan dana kepada MARA untuk membantu Bumiputera membangun dan mengfrancaiskan perniagaan dan pelaburan dalam bidang penternakan, pertanian dan peladangan moden, bengkel selenggara-mengecat dan kedai alat ganti kenderaan,  restoran-bakeri makanan halal dan butik pakaian

Bantuan/geran membebaskan Bumiputera dari kebergantungan daging ternakan dan perikanan, sayur-sayuran dan biji-bijian dari pengusaha luar negara. Selain mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan, ia turut meningkatkan keyakinan umum terhadap kebersihan dan kesucian produk halal negara. Ini sekaligus memulihkan kuasa ekonomi Bumiputera yang merupakan 70% pengguna/pembeli di Malaysia

3. Mewujudkan lebih banyak koperasi pembangunan dan perdagangan dimiliki sepenuhnya Bumiputera. Koperasi-koperasi ini melaksanakan projek-projek pembangunan perumahan dan komersial untuk manfaat pelabur/pencarum koperasi dan pelanggan/pembeli/penyewa yang hanya dari kalangan Bumiputera

Koperasi-koperasi ini mampu memperkasa Bumiputera dalam bidang ekonomi melalui penyaluran dana dan peluang aktif dalam pelaburan

4. Menghalang mana-mana syarikat dipelopori ahli politik dan keluarga mereka dari memohon dan menerima mana-mana dana khusus pelaburan dan perniagaan untuk Melayu Bumiputera seperti peruntukan MARA, Tekun dan seumpamanya

5. Mewujudkan hanya SATU dana dan entiti khusus untuk mengurus, mengawalselia dan membantu usahawan selain Bumiputera dalam bidang ekonomi, pertanian/perladangan dan perindustrian

6. Memperkenal model perniagaan stesen pengecaj kenderaan elektrik dari sumber tenaga solar. Memperbanyak stesen pengecaj di semua bandar utama dan mini  stesen pengecaj di luar bandar


Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani

1. Memodenkan sistem dan menambahkan projek penternakan ayam dan haiwan tenusu dengan mengunakan teknologi dan kepakaran dari Australia, New Zealand dan Eropah

2. Memodenkan sistem dan menambahkan projek perladangan kelapa sawit, kelapa, getah, nenas, tebu dan padi dengan mengunakan teknologi dan kepakaran dari Brazil dan Kanada

3. Memodenkan sistem dan menambahkan projek pekebunan sayuran dan buah-buahan menggunakan teknologi akuaponik, kebun vertical, kebun dalam bangunan dan teknologi dron

4. Memodenkan sistem dan menambahkan projek penternakan ikan, udang, ketam dan kerang dalam sangkar menggunakan teknologi akuakultur

5. Memodenkan perusahaan makanan sampingan berasaskan buah-buahan tempatan dan padi 

6. Meningkatkan pengeluaran daging ayam, lembu, kambing dan ikan serta sayuran dan buah-buahan berkualiti untuk menampung kekurangan bekalan dan nutrisi kanak-kanak

7. Meningkatkan pengeluaran kelapa sawit, getah, buah-buahan komersial, gula dan beras untuk menampung kekurangan bekalan dan meningkatkan jumlah eksport


Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan

1. Mewajibkan semua projek perumahan baharu disiapkan 70% sebelum dibuka kepada jualan

2. Mewajibkan semua projek perumahan baharu menyediakan kelas campuran

a. Kos rendah + kos sederhana

b. Kos sederhana + kos tinggi

3. Menyeragamkan kelas-kelas rumah seluruh negara

a. Kos rendah <= RM70,000

b. Kos sederhana rendah = RM70,001 hingga RM150,000

c. Kos sederhana = RM150,001 hingga RM300,000

d. Kos sederhana tinggi = RM300,001 hingga RM600,000

e. Kos tinggi = RM600,001 hingga RM1,200,000

f. Kos elit >= RM1,200,001

4. Mewajibkan semua projek perumahan baharu menyediakan infra kamera litar tertutup di pintu masuk utama, jalanraya dan dataran umum

5. Mewajibkan semua projek perumahan tinggi (5 aras ke atas) menyediakan 

a. minima 2 elevator untuk setiap blok

b. pili bomba dan peti terowong sampah untuk setiap tingkat

c. parkir bertingkat 1 motokar dan 1 motosikal untuk setiap unit

Di kawasan projek perumahan wajib disediakan

a. Dewan Serbaguna/Komuniti

b. Medan Selera

c. Pusat Asuhan

d. Pasar Mini

e. Pusat Dobi Layan Diri

f. Gym

6. Menghadkan maksima 8 unit/pintu setiap aras untuk semua projek perumahan tinggi (5 aras ke atas) baharu

7. Mewajibkan semua projek perumahan baharu berada minima 500 meter dari kabel muatan tinggi TNB, 1 km dari kawasan industri, 3 km dari kawasan penternakan serta 2 meter tinggi dari paras purata sungai dan laut

8. Membuka lebih banyak tanah untuk tujuan perumahan kos rendah, sederhana rendah dan sederhana sekitar bandar dengan akses/jaringan  pengangkutan awam yang baik

9. Mewujudkan PERBADANAN HARTANAH NEGARA (PHN)

a. Meneroka dan membangunkan projek perumahan baharu khususnya kelas kos rendah, sederhana rendah dan sederhana

b. Pemegang hak tanah untuk semua projek pajakan dan rizab Melayu

c. Pemegang rizab perumahan kelas kos rendah, sederhana rendah dan sederhana

d. Projek perumahan PHN hanya berlandas perjanjian SEWA BELI

e. Projek perumahan PHN tidak boleh dijual secara terbuka/langsung oleh penyewa/pembeli kepada pembeli baharu. Sebaliknya dijual semula kepada PHN dengan pulangan 10% - 15% keuntungan dari kadar sewa beli prorata tempoh perjanjian

f. Menyelenggara sepenuhnya semua projek perumahan kos rendah, sederhana rendah dan sederhana

f. Membubarkan PR1MA dan Syarikat Perumahan Negara

10. Mengubal undang-undang menetapkan hanya perjanjian SEWA BELI untuk kelas kos rendah, sederhana rendah dan sederhana

11. Projek perumahan kos rendah, sederhana rendah dan sederhana

a. Rumah pangsa studio

b. Rumah pangsa 2 bilik 

c. Rumah pangsa 3 bilik

d. Rumah teres satu tingkat 3 bilik

e. Rumah berkembar satu tingkat 3 bilik