Friday, May 12, 2017

Putus Tahaluf Siyasi PAS-PKR

Sah Talak

11 May 2017 adalah satu lagi tarikh bersejarah buat PAS. Selepas 2 tahun berteka teki tentang nasib tahaluf siyasi yang tersisa hasil penubuhan Pakatan Rakyat akhirnya Majlis Syura Ulama menyokong pilihan Muqtamar untuk putus dengan PKR.

Penceraian ini menyebabkan tiada lagi hubungan politik di antara PAS dan PKR, sepertimana putusnya hubungan PAS-DAP selepas geng Taliban 'memenggal' DAP berdalilkan kafir dan khinzir pada Muqtamar 2015 sekaligus membawa kepada pemecatan beramai-ramai JKKK PAS di bawah kerajaan negeri Pulau Pinang. Walaupon pada awalnya PAS berkeras dan menentang tindakan Ketua Menteri Lim Guan Eng namun mereka terpaksa akur dan menerima hakikat bahawa jawatan yang mereka sandang adalah atas dasar lantikan dan prerogatif pentadbir negeri. Malah PAS tidak layak bercakap besar dan berlebih-lebih terhadap jawatan kerana dengan kelayakan hanya 1 kerusi DUN, secara prorata PAS sebenarnya diberi lebih banyak jawatan berbanding rakannya PKR. Kelebihan ini hasil keakraban Guan Eng dan Timbalan Presiden PAS Mohamad Mohd Sabu.

Namun lain pula kesnya di Selangor. Belumpon sempat PR berkubur PAS pusat dan negeri sudah berkeras mahu kekal dalam posisi kerajaan negeri, dari sebesar-besar jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, ke Pengarah dan Pegawai Tinggi anak-anak syarikat kerajaan negeri, pegawai Jabatan dan Majlis Agama Negeri, ahli Majlis Kerajaan Tempatan pegawai hingga ke sekecil-kecil jawatan Jawatankuasa Qariah Mesjid dan JKKK. Antara hujah PAS dalam mempertahankan jawatan mereka ialah kerana mandat rakyat, menyelamatkan Islam dan maslahah ummah.

Bertegas Kekal Jawatan

PRU13 PAS dan DAP masing-masing memenangi 15 kerusi, manakala PKR 14 kerusi dan UMNO 12 kerusi. Namun selepas pemecatan wakil PKR dan DAP, tertubuhnya Parti Amanah Negara (Amanah) serta kematian wakil BN komposisi DUN Selangor berubah kepada 13:14:13:2:11:2 (PKR:DAP:PAS:Amanah:UMNO:Bebas). Ringkas cerita walaupon PAS tersingkir dari kerajaan negeri Pakatan Harapan masih kekal mentadbir dengan komposisi 13:14:2 (PKR:DAP:Amanah) dan pembangkang membentuk komposisi 13:11:2 (PAS:UMNO:Bebas)

DAP yang lebih mirip falsafah politiknya dengan PKR lebih senang menyerahkan jawatan Menteri Besar kepada parti Anwar Ibrahim berbanding parti Abd Hadi Awang. Sungguhpon begitu atas semangat setiakawan dan kesaksamaan PKR dan DAP bersetuju memberi lebih kerusi Ahli Majlis Mesyuarat dan jawatan penting anak syarikat kerajaan negeri kepada PAS, yang kebanyakkannya mensyaratkan bangsa Melayu dan agama Islam sebagai kelayakkan. Kaedah pembahagian tersebut masih kekal ke saat ini.

Jawatan-jawatan yang disandang PAS kesemuanya adalah jawatan lantikan pentadbir negeri. Gelaran ADUN dan jawatankuasa parti tidak melayakkan mereka secara automatik ke atas mana-mana jawatan kerajaan negeri. Apatah lagi selepas PAS memutuskan hubungan politik dengan PKR. Secara konvensyennya ADUN PAS bukan lagi sebahagian dari kerajaan negeri yang kini ditadbir wakil PKR, DAP dan Amanah. Sepertimana diucapkan Almarhum Nik Abd Aziz Nik Mat kepada ADUN Semangat 46 ketika krisis politik Kelantan 1996 - "jika mereka bermaruah mereka akan meletakkan jawatan dalam kerajaan negeri".

Sekiranya mandat rakyat yang menjadi punca mereka kekal PAS perlu beringat bahawa mereka bertanding PRU13 atas jenama PR dan mandat yang mereka terima adalah mandat kepada PR. Malah tidak semua yang mengundi calon PAS kerana PAS. Semangat kesatuan, matlamat bersama dan ikrar menumbangkan Regim oleh PR yang menyebabkan 51% rakyat yang keluar mengundi memilih mana-mana calon selain UMNO-BN, termasuk PAS. Mandat rakyat diberikan kepada calon dan pakatan yang iqlas berjuang dan sanggup menentang kezaliman dan kecurangan UMNO-BN terhadap rakyat, bukan yang 'makan keliling', 'cukup sekadar menjadi penasihat' atau teruja menjadi 'king maker'.

Sekiranya alasannya menyelamatkan Islam, jawatan peringkat negeri tidak banyak memberi kelebihan kepada PAS dalam usaha meningkatkan syiar dan memperkasakan Islam. Lihat sahaja Kelantan sebagai contoh. Kerajaan PAS Kelantan tidak berupaya mengerakkan rancangan mereka secara total. Ini kerana kuasa, kudrat dan kewangan berada pada kerajaan Persekutuan berbanding kerajaan negeri.

Dan sekiranya maslahah ummah menjadi sandaran, tidak banyak risalah dakwah yang disebarkan PAS selama mereka menjadi parti politik dan dakwah. Kerja dakwah di Malaysia lebih banyak dilakukan Perkim, ABIM, PPIM dan NGO Islam seangkatannya, kumpulan tabligh dan pertubuhan berpengkalan antarabangsa berbanding jemaah PAS. PAS lebih banyak berada di mesjid, madrasah dan sekolah agama serta menganjurkan majlis ilmu untuk memperkukuhkan kekuatan dan melebarkan pengaruhnya dari tujuan menjaga maslahah ummah.

Jemaah PAS terlalu banyak berpolitik. Ada qariah mengeluh majlis dikelola orang PAS lebih banyak caci maki dan fitnah dari menyebar ilmu ibadah dan muamalah. Saya sendiri sudah tidak berminat ke mesjid atau mursolla mengikuti kuliah Maghrib takut-takut masa tersia-sia mendengar hanya kebencian dihemburkan kepada pesaing politik mereka.

Maka ramai pemerhati berpendapat ketegasan PAS untuk kekal dalam kerajaan negeri Selangor tidak lain hanyalah manfaat kebendaan dan mengukuhkan pengaruh.

Di Selangor jawatan datang dengan imbuhan dan habuan besar. Selain gaji, bonus atau fee tinggi, terdapat manfaat perumahan, perubatan, pendidikan, pelaburan dan pinjaman menarik kepada pemegang jawatan dan keluarga. Di Selangor juga terdapat bertimbun-timbun projek untuk dilobi. Selangor adalah negeri termaju dan terkaya di Semenanjung.

Sekiranya selepas semua kekecohan dan huuhaa-raaraa ini PAS terus kekal di Selangor ianya tidak lain hanyalah kerana ehsan kerajaan Pakatan Harapan yang dianggotai 'Islam liberal' PKR dan Amanah serta Cina sekular DAP.

Azmin Ali dan PAS

Azmin senada dengan Pesuruhjaya PAS Selangor, baik bekas (Iskandar Abd Samad) mahupon yang baru dilantik (Sallehin Mukhyi) yang mahu kekal dalam kerajaan negeri di semua peringkat jawatan.

Adakah Azmin bertindak demikian kerana menjaga jawatannya? Matematik mudah, sekiranya PAS membentuk pakatan dengan UMNO, Bebas dan 2 pembelot dari PKR atau DAP dengan komposisi 13:11:2:2 kerajaan PH Selangor akan tumbang dan Azmin akan kehilangan kerusi kuasa.

Boleh jadi diplomasi Azmin terhadap PAS kerana terhutang budi. Jawatan disandangnya adalah ehsan PAS, di sebalik keputusan dan kuasa melantik MB adalah prerogatif Sultan Selangor. Untuk rekod, PKR dan DAP mencalonkan Dr Wan Azizah Wan Ibrahim sebagai MB dan Azmin adalah pilihan kedua ketika kemelut jawatan MB melanda Selangor lebih dua tahun lalu.

Kelunakan Azmin terhadap PAS boleh jadi juga satu bentuk ugutan kepada PKR. Menjadi rahsia terbuka pasukan Rafizi Ramli tidak sebulu dengan pasukan Azmin. Ini terbukti apabila Rafizi lasak menentang pasukan Azmin. Adam Rosly antara korban pertembungan antara Timbalan dan Naib Presiden paling berpengaruh ini.

Tidak semua ADUN PKR Selangor berdiri di belakang Presiden. Jika Rafizi yang direstui Dr Wan Azizah terus menyerang pasukan Azmin maka semakin hampirlah Selangor mendapat kerajaan baharu. Hanya 2 wakil PKR bertindak keluar parti dan membentuk pakatan dengan PAS-UMNO-Bebas kerajaan PH Selangor akan tumbang.

Senario Azmin keluar parti berlaku hanya jika Azmin dikekalkan jawatan MB oleh pakatan PAS-UMNO-Bebas. Dan jika Azmin sanggup melakukannya PAS tidak menuntut kerusi MB, memadai lebih kerusi Ahli Majlis Mesyuarat. UMNO hilang kelayakkan kerusi MB kerana PAS-Azmin menguasai majoriti. Mohd Najib Abd Razak tiada masalah menyokong strategi ini. Melemah dan menjatuhkan PH 'at all costs' adalah matlamat utamanya. Noh Omar dan UMNO Selangor akan didiamkan Najib yang mahu memberi muka kepada Abd Hadi Awang yang lama berkehendakan negeri Selangor. ADUN Bebas juga barangkali tidak keberatan menyokong kerana berbalaslah dendam terhadap PKR dan DAP yang menyingkirkan mereka.

Berasaslah tuntutan Najib di Facebook bahawa Selangor bakal mendapat kerajaan baharu sebelum PRU14. Halangannya cuma nilai tawaran membelotkan ADUN PKR dan DAP serta menundukkan satu dua ADUN PAS yang menentang usaha merampas Selangor melalui pintu belakang.

Pilihan Pakatan Harapan

Apakah pilihan yang Pakatan Harapan ada untuk menangani situasi terbaru ini? Jawabnya cuma 3 iaitu melalui rombakan Kabinet negeri, bubar DUN atau tukar MB.

Ketua Umum dan Presiden PKR, Setiausaha Agong DAP, Presiden Amanah serta Pengerusi dan Presiden Bersatu perlu mendesak Azmin menstruktur semula Kabinet negeri dengan meminggirkan PAS dari jawatan negeri sekalipon senario terkini memperlihatkan peluang untuk merombak atau tidak adalah sama banyak.

Merombak Kabinet negeri adalah prerogatif MB. Jika Azmin tunduk kepada desakan rombakan maka komposisi baharu PH Selangor ialah 13:14:2. Dan jika rombakan berlaku peluang Amanah untuk berjaya di Selangor pada PRU14 semakin cerah kerana jawatan disandang PAS akan dipangku Amanah sekaligus membolehkan Amanah melebarkan pengaruhnya. Melainkan Azmin tidak senang dengan peningkatan sokongan terhadap pasukan Mat Sabu, rombakan tidak akan berlaku. Atau sekiranya berlaku musuh PAS ini tidak beroleh sebarang jawatan sepertimana dihajati lebai-lebai PAS. Perasaan tidak senang Azmin dengan kemajuan Amanah di Selangor bersebab. DAP lebih akrab dengan pemimpin Amanah berbanding Azmin. Keakraban ini, jika tidak dikawal, bakal mengugat jawatannya kelak.

Jika Azmin tidak tunduk kepada arahan partinya, kebarangkalian PH kehilangan Selangor makin tinggi. Selain kemungkinan Azmin atau wakil PKR-DAP keluar parti membentuk pakatan bersama PAS-UMNO-Bebas, sabotaj PAS dari dalam boleh berlaku bila-bila masa. Muqtamar baru-baru ini jelas memperlihatkan sikap marah meluap, benci bengis dan bermusuhnya PAS terhadap DAP, Amanah dan PKR. Selagi PAS memegang jawatan penting dan bebas berada dalam kerajaan, selama itulah risiko sabotaj wujud. Ini tidak boleh dipandang enteng. Ia boleh mencetuskan krisis lebih besar seterusnya melemah dan menjatuhkan PH.

Pilihan kedua yang PH ada ialah membubarkan Dewan Undangan Negeri untuk memberi laluan kepada Pilihanraya Negeri. Ini juga satu lagi cabaran. Membubarkan DUN terletak kepada kesanggupan Azmin, persetujuan Istana dan peluang PKR kekalkan kerusi sedia ada.

Dari nada-nada Azmin lewat ini tidak menampakkan kecenderungan membubarkan DUN dan memulangkan mandat memilih kerajaan kepada rakyat sebagai jalan penyelesaian. Barangkali beliau tidak mahu menyulitkan dirinya dan parti. Kemelut jawatan MB dan terkuburnya PR dua tahun lalu memperlihatkan kaedah Istana menangani krisis politik negeri. Tuanku Sultan lebih senang menyelesaikan permasalahan melalui rundingan. Azmin bakal berdepan cabaran lebih berat meyakinkan Sultan membubarkan DUN.

Tanpa sokongan dan bantuan akar umbi PAS peluang PKR mempertahankan kerusi-kerusi yang disandang mereka agak tipis. Walaupon sumbangan PAS kepada PKR dan DAP khususnya di Selangor pada PRU13 tidak terlalu signifikan, mewujudkan pertandingan tiga penjuru pada PRN atau PRU14 memadai mengagalkan majoriti calon PKR. 

Sekiranya berlaku pertembungan PAS-PKR-UMNO atau PAS-Amanah-UMNO yang mendapat labanya adalah parti Najib. Dan PAS, yang tidak  lagi bermatlamatkan Putrajaya malah berikrar akan mempertahankan kerajaan Persekutuan sedia ada, tidak terkesan dengan pilihan bersendirian dan bertanding 3 penjuru. Jika kalah PRU, peluang geng Taliban berada dalam kerajaan Najib tetap ada. Inilah hasil strategi politik matang dan sejahtera.

Sekiranya PH merasakan jalan penyelesaian terbaik situasi Selangor adalah melalui PRN, maka mereka terpaksa menukar MB dan melantik seseorang yang bersetuju usaha pembubaran DUN. Jika Azmin terus berlunak dengan PAS dan meminggirkan parti serta rakan-rakan PH, tindakannya itu terang-terang membelakangi amanah jawatan. Ia boleh dijadikan alasan PH untuk mengusulkan pemecatannya.

Hampir 60% rakyat Selangor mengundi PR bercita-cita mengeluarkan BN dari Putrajaya. PAS hari ini bukan lagi seperti PAS pra PRU13. PAS hari ini amat mesra dengan UMNO-BN, dan kerap pula mempertahankan tindak tanduk pemimpin UMNO dan keputusan kerajaan Persekutuan sekalipon majoriti rakyat menentangnya seperti skandal 1MDB, GST dan kenaikan kos sara hidup. Pendekatan PAS ini amat bertentangan dengan mandat rakyat. Dalam pada itu PAS mengesahkan akan bertanding di kerusi-kerusi ditandingi PH dan UMNO pada PRU14. Ini menyanggah kaedah 'sure win' menumpaskan Regim Najib, yakni pertandingan 1 lawan 1.

Menurunkan Azmin barangkali lebih sukar dari menurunkan Abd Khalid Ibrahim. Memecatnya dari parti pula sama seperti PH meletakkan pedang di leher. Dengan kelebihan 2 kerusi berbanding PAS-UMNO, PH perlu mendapatkan sokongan solid dari semua ADUNnya untuk mengadap Sultan Selangor menyembah tarik sokongan atau hilang percaya terhadap Azmin.

Tidak kurang 3 ADUN PKR berdiri teguh di belakang Azmin. Berdayakah Dr Wan Azizah memujuk mereka meninggalkan safnya? Dan berjayakah Rafizi menemukan salah laku atau salah tadbir untuk menundukkan mereka dari membelot?

Apa-apa yang berlaku di Selangor akan mempengaruhi sentimen di peringkat nasional. Selangor adalah kayu ukur kemampuan dan kekuatan PH menawan dan BN mempertahan Putrajaya. Situasi politiknya komplikated. Kerusi MBnya pula berpuaka. Berhati-hatilah Pakatan Harapan dalam menyusun langkah!