Sunday, July 15, 2018

GST Sifar vs Harga Barang

Pensifaran GST mampu menurunkan harga barang. GST dikenakan di setiap peringkat. Maksudnya dari pembekal, pengeluar, pengedar, pemborong dan peruncit terdapat kadar 6% GST yang dikenakan dan terpaksa ditanggung pengguna/pembeli. Pensifaran sudah semestinya mampu menurunkan harga. Contoh terbaik harga kenderaan persendirian. 

Dari jenama Eropah seperti BMW, Mercedes, Audi dan VW hingga ke jenama Asia seperti Toyota, Nissan, Honda, Mitsubishi, Proton dan Perodua semuanya mengalami penurunan harga yang sangat ketara. Perbedaan harga lama dan baru mencapai belasan ribu ringgit. "Tax holiday" disebabkan pensifaran GST dan ketiadaan SST ini benar-benar menguntungkan pengguna. Tetapi bukan semua barang menunjukkan trend serupa seperti harga kenderaan. Ramai mengadu selepas pensifaran GST harga barang masih kekal malah ada sebahagian lagi makin naik. Kenapa ini terjadi?

1. Ketelusan perniagaan. Ia merupakan tunggak utama dalam menentukan kejayaan penurunan harga barang. Pemain industri otomobil di Malaysia rata-rata syarikat antarabangsa yang terkenal berpegang teguh kepada konsep ketelusan dalam perniagaan. Industri seperti otomobil lebih transparent berbanding industri pendidikan dan perkhidmatan. Harga produk mereka lebih straight forward. Apabila kerajaan menentukan kadar sifar% pada GST, industri otomobil antara terawal mengambil langkah menurunkan harga.

2. Ketegasan kerajaan. Kegagalan sebahagian besar peniaga menurunkan harga barang selepas pensifaran GST bergantung kepada ketegasan tindakan pemerintah. Pakatan Harapan dilihat masih berlunak dengan peniaga khususnya pembuat, pengeluar, pengedar dan peruncit barangan keperluan pengguna hasil tempatan. Bukan rahsia kebanyakkan peniaga di Malaysia adalah penyokong Pakatan Harapan semasa menjadi pembangkang. Dasar-dasar ekonomi kerajaan Barisan Nasional sebelum ini melembabkan ekonomi sekaligus memberi kesan kepada peniaga.

Bertegas dengan para penderma kempen pilihanraya parti politik adalah perkara terakhir yang mana-mana kerajaan yang berdiri kerananya akan lakukan. Ia tidaklah sukar, hanya bergantung kepada sejauh mana keberanian kerajaan dalam menegakkan undang-undang. Pakatan Harapan masih belum menunjukkan keberanian tersebut.

3. Sikap pengguna. Pengguna adalah sebahagian dari sistem jual beli, sistem pencukaian dan sistem ekonomi negara. Pengguna memainkan peranan terpenting. Di Malaysia kesedaran pengguna ke atas hak-hak mereka sebagai pembeli masih terbatas. Adapon yang faham akan hak mereka, kesungguhan mempertahankan hak tersebut masih nipis di kalangan majoriti. Perbedaan kecil antara harga lama dan baru tidak memberi banyak kesan kepada pengguna. 

Sekiranya harga menjamah satu set hidangan di restoran nasi kandar masih tidak turun, walaupon harga baru sepatutnya mengalami penurunan 60sen - 1 ringgit, pengguna memilih tidak memprotes kerana tidak ketara pengurangannya. Sedangkan keuntungan yang dikaut pengusaha restoran secara salah tersebut adalah tinggi setiap hari. Tiada protes dari pengguna dan tindakan dari pihak berwajib maka peniaga berlengah menurunkan harga barang.

Pengguna lebih teruja memprotes perbedaan harga yang besar seperti harga kenderaan. Kegagalan syarikat pengedar otomobil menurunkan harga menyebabkan seluruh pengguna termasuk persatuan akan membuat bising.

Pengguna mesti memainkan peranan menekan bukan sahaja peniaga malah kerajaan untuk mengambil tindakan menurunkan harga barang dan mengheret pesalah sistem pencukaian ke muka pengadilan. Ia adalah hak dan peranan pengguna yang sering diabaikan dalam sistem ekonomi.