KEKUATAN EKONOMI
Di bawah pentadbiran kerajaan Perikatan/BN Persekutuan Tanah Melayu, Malaya dan Malaysia melalui beberapa fasa pertumbuhan. Di bawah kepimpinan Tunku Abd Rahman Putra (semoga Allah merahmati rohnya), diikuti Abd Razak Hussein (semoga Allah merahmati rohnya), kemudiannya Hussein Onn (semoga Allah merahmati rohnya), seterusnya Mahathir Mohamad, Abdullah Ahmad Badawi dan sekarang Mohd Najib Abd Razak masing–masing menyumbang kepada pembentukkan dan pembangunan negara.
Tunku menerajui usaha kesatuan dan keharmonian antara kaum,
tuntutan kemerdekaan dari penjajahan British serta pembangunan pusat-pusat bandar
dan pembentukkan Persekutuan Malaysia, Abd Razak Hussein mengasaskan Dasar
Ekonomi Baru mengimbangi jurang sosio ekonomi lapisan kaum, Hussein Onn pula
meneruskan legasi ketuanya terdahulu di samping meningkatkan sektor industri.
Era Mahathir Mohamad meletakkan Malaysia status negara membangun paling disegani.
Abdullah Ahmad Badawi mengasaskan moderisasi agama dan integrasi wilayah manakala
Mohd Najib Abd Razak mengangkat Transformasi dan jati diri bangsa.
Pentadbiran Mahathir Mohamad menyumbang kepada pertumbuhan
ekonomi dan pembangunan fizikal paling signifikan. Kombinasi jaminan keamanan
dan keselamatan, kelambakan sumber yang murah seperti tenaga kerja separa dan
terlatih serta bekalan material asas, kemudahan infrastruktur seperti jaringan
lebuhraya, pelabuhan dan lapangan terbang terbaik, insentif cukai dan rebat,
pengurangan karenah birokrasi serta lain-lain lagi telah memastikan ekonomi
berkembang pesat saban tahun. Malaysia menjadi pilihan pelabur asing di rantau
Asia. Pertumbuhan pesat industri berasaskan teknologi meletakkan Malaysia
antara pengeksport utama dunia barangan elektronik. Penggunaan teknologi dalam
sektor pertanian mengangkat Malaysia sebagai antara pengeluar utama komoditi
seperti kelapa sawit dan getah.
Mahathir Mohamad memimpin Malaysia mengharungi 2 kitaran
kemelesetan dan kejatuhan ekonomi dunia. Kecekapan mengurus negara membolehkan
beliau kekal menjadi Perdana Menteri selama 5 penggal. Namun selepas 21 tahun
di puncak dan selepas gagal merawat wabak berjangkit kronik dalam partinya UMNO
beliau memutuskan untuk berehat. Legasi Mahathir Mohamad terlalu hebat, sukar
ditandingi pengantinya.
Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri Malaysia ke 5 kerana
‘seniority’ dan imej bersih beliau. Sumbangannya kepada pembangunan negara
kurang diperkatakan kerana hanya sepenggal lebih menduduki kerusi nombor 1.
Biarpun telah mengasaskan pelan pembangunan wilayah-wilayah Imam Hadhari ini
dikaitkan dengan kelemahan pentadbiran lantaran membawa kepada kepincangan
perlaksanaan gagasannya.
Mohd Najib Abd Razak mengambil alih dan dipaksa bekerja keras
memulihkan persepsi rakyat terhadap kemampuan BN untuk terus mengemudi
kestabilan ekonomi. Sejurus menjadi Perdana Menteri beliau memperkenalkan
agenda-agenda nasional yang rata-rata merupakan idea lama bernafas baru untuk memastikan BN kekal relevan sebagai pengurus negara. Ada
pendekatan dan keputusan dibuatnya mencontohi amalan ‘flip flop’
Abdullah Badawi. Lantaran ramai mempersoalkan kemampuannya bekerja seperti
Mahathir Mohamad, paling tidak pon lebih baik dari Abdullah Ahmad Badawi. Mampukah
beliau mendahulukan rakyat dari isteri, keluarga, parti dan rakan politik
beliau? Mampukah beliau mengutamakan pencapaian dari habuan kekayaan dan
kemewahan negara? Mampukah pasukannya mencapai KPI yang dijanjikan, bukan
sekadar kosmetik menjelang pilihanraya?
Mohd Najib Abd Razak mewar-warkan angka-angka positif membuktikan
pencapaian memberangsangkan dalam suasana lesu ekonomi dunia impak kegagalan
kapitalisma di Eropah dan Amerika. Namun angka tersebut tidak lebih sekadar
‘camouflage’ melindungi fakta lebih besar. Disebabkan ramai rakyat Malaysia
tidak mempunyai asas rencah ekonomi negara maka apa yang dihebahkan media
menghasilkan tindak balas reaktif kecuali dalam soal pemberian BR1M dan
bantuan-bantuan kecil 1 Malaysia yang lain. Peranan Belanjawan yang
dibentangkan saban tahun dan kesannya dalam jangka masa panjang tidak menjadi
fokus rakyat kebanyakkan.
Peratusan KDNK positif menunjukkan peningkatan Ringgit bagi
keseluruhan pengeluaran dan perkhidmatan tempatan. Ia juga bermaksud
peningkatan permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan tempatan. Namun ia
tidak mengindikasikan ekonomi sesebuah negara itu utuh dan teguh. Pencapaian KDNK
negara tahun lalu berada sekitar 5% berbanding Singapura 2.9% namun ia
tidak bermaksud ekonomi Malaysia lebih stabil dari negara Kota Singa itu yang
merupakan pusat kewangan rantau ASEAN.
Negara ekonomi berdaya saing misalnya Jepun memiliki nilai
eksport tinggi berbanding import. Bila nilai eksport tinggi ia dapat
meningkatkan dan mengekalkan nilai Ringgit berbanding mata wang asing.
Sungguhpun negara mempunyai nilai eksport melebihi import iaitu RM58.7 billion
berbanding RM49.4 billion (setakat November 2012) namun perbezaan purata tahun
ke tahun agak marginal. Kelebihan nilai eksport disumbang petroleum dan bahan
mentah industri yang diproses, dirawat atau dipermudahkan di luar negara dan
diimport semula.
Beberapa tahun kebelakangan ini pasaran modal negara
kehilangan daya tarikan dan daya saing di peringkat antarabangsa serta terpaksa
bergantung pada pelabur tempatan termasuklah Perbadanan serta Syarikat
Berkaitan Kerajaan untuk merancakkan kegiatan ekonomi. Demi memastikan aktiviti
pelaburan berjalan lancar kerajaan Mohd Najib Abd Razak melaksanakan suntikan modal
berterusan. Ketika dana Perbendaharaan sudah kering beliau memilih menawarkan
pelbagai bon dan sukuk kerajaan di dalam dan luar negara untuk mendapatkan
sumber kewangan.
Budaya perbelanjaan secara defisit (hutang) berlebihan
mendedahkan negara kepada risiko muflis pada tahun 2019 (rujuk kenyataan
Menteri Kanan Idris Jala). Pentadbiran selama 51 tahun gabungan Tunku Abd
Rahman, Abd Razak Hussein, Hussein Onn, Mahathir Mohamad dan Abdullah Ahmad Badawi
menghasilkan hutang terkumpul negara sebanyak RM230 billion. Namun setelah
Mohd Najib Abd Razak mengambil alih dalam tempoh kurang 5 tahun beliau telah mengandakan
hutang kepada lebih RM600 billion. Jumlah ini termasuk off budget agencies atau
pinjaman korporat yang dijamin kerajaan.
Sepanyol, antara negara benua Eropah yang berdepan risiko
muflis terjerumus ke dalam konflik ekonomi hasil perbelanjaan luarbiasa
kerajaan berbanding pendapatannya menyebabkan hutang negara membuncit. Tatkala
kerajaan gagal mengawal dan mengurus hutang melampau rakyat yang terpaksa
menanggungnya. Pencen pesara dikurangkan 20%, pasaran kerja mengecut dan lebih
50% anak muda menganggur, kos rawatan dan ubat-ubatan ditanggung sepenuhnya
rakyat, kawalan kredit yang ketat dan lain-lain lagi. Sekiranya ada ketelusan
dan kebertanggungjawaban dalam pengurusan kewangan oleh kerajaan BN negara
telah lama menikmati surplus (lebihan) dan rakyat dapat menikmati pengagihan
kekayaan dengan adil.
Lebih 2 juta warga Indonesia, 1 juta warga Pakistan,
Bangladesh, Nepal, Myammar, Vietnam dan Filipina serta puluhan ribu
professional dan pelajar asing dari pelbagai benua yang memasuki negara secara
sah mahupun tanpa izin membeli barangan dan menggunakan perkhidmatan yang
disubsidikan untuk rakyat Malaysia sewenang-wenangnya. Sepuluh tahun lalu
ketika kadar KDNK lebih tinggi, cuma 1 juta warga asing di Malaysia. Ini
menjelaskan dua perkara. Pertama – subsidi ke atas barangan keperluan asas
dimanfaat bukan warganegara dan pendatang asing sedang mereka tidak mengeluar cukai
sebanyak rakyat negara ini. Kedua – kestabilan KDNK negara turut disumbang
perbelanjaan bukan warganegara.
Majoriti pendatang asing dulunya bekerja sebagai buruh
binaan, buruh ladang dan pembantu rumah. Namun kebelakangan ini peluang mereka
diperluas ke sektor perkhidmatan makanan, perhotelan, hiburan, keselamatan
komersial, pendidikan, hinggakan ke professional. Tidak kurang yang
bersenang-senang menjadi pelacur, ‘escort’, gigolo, samseng dan ‘pekerjaan’
penyumbang peningkatan gejala jijik dan keruntuhan sosial. Mereka sewenangnya
mengguna pas lawatan sosial dan pelajar. Majikan tempatan mengambil kesempatan
‘kelonggaran’ tersebut menggaji warga asing. Untuk menampakkan tindakan mereka
‘reasonable’ majikan memberi alasan pekerja tempatan tidak terlatih, pemalas,
kurang disiplin, tidak berminat, kos upah tinggi yang hanya meningkatkan kos
pengeluaran atau perkhidmatan serta banyak lagi.
Tindakan berterusan ‘mengimport’ pekerja warga asing seolah
menyusu kera di hutan sedang anak dipangkuan mati kelaparan. Makanya di mana
logik pengangguran berada di bawah paras 3.5%? Kenapa membenarkan kemasukkan
begitu ramai pendatang asing sedangkan ramai remaja serta graduan tempatan
menganggur? Di kota metropolitan Kuala Lumpur dan Johor Baharu rakyat tempatan
bekerja di bawah penyeliaan warga asing. Adakah Mohd Najib Abd Razak berani mengurangkan
kemasukan pekerja asing sekaligus tidak memberi muka kepada pemain sektor untuk
mengaut keuntungan melampau dan mengembalikan peluang pekerjaan serta
meningkatkan taraf hidup rakyat? Patutkah Mohd Najib Abd Razak terus menyembunyi fakta
dan bermain silap mata semua unjuran negatif demi menutup kelemahan
pentadbirannya?
Dasar Pensyarikatan Malaysia acuan Mahathir Mohamad tersasar
dari matlamatnya. Di era pentadbirannya beliau memperbadankan agensi-agensi
kerajaan. Ada sebahagiannya ditransformasikan secara total menjadi entiti
swasta seperti Malaysian Airline System MAS, Malaysian International Shipping
Corporation MISC, Pelabuhan Klang, Melaka, Pulau Pinang dan Johor, Padi Beras
Nasional BERNAS, Sarawak Electricity Supply Corporation SESCO, Lembaga
Pembangunan Tanah Sabah, Perbadanan Pembangunan Bandar UDA, Akademi Laut
Malaysia, Institut Kerjaraya Malaysia IKRAM, FELCRA, Perbadanan Nasional
PERNAS, Jabatan Bekalan Air Negeri dan sebagainya. Projek penswastaan ini tidak
memberikan keuntungan kepada kerajaan dan rakyat disebabkan kegagalan
pemantauan, kelemahan urus tadbir serta salahguna kuasa pihak
pengurusan.
Umum mengetahui bagaimana RM10.4 billion wang rakyat diguna
untuk menyelamatkan Bank Bumiputera Malaysia Berhad BBMB berkali-kali. RM2
billion wang pembayar cukai diguna untuk menyelamatkan Tongkah perusahaan milik
Mokhzani Mahathir, RM10 billion kerugian Perwaja Steel di era Eric Chia, RM8
billion kerugian MAS di era Tajudin Ramli, RM12 billion menyelamatkan
Renong/UEM di era Halim Saad, RM3.3 billion wang KWSP dan KWAP diguna membeli
saham TimeDotCom tidak dilanggan, RM6 billion menyelamatkan PUTRA dan STAR LRT,
RM1 billion pampasan pembatalan Empangan Bakun, RM250 juta pampasan pembatalan
Jambatan Bengkok, RM500 juta kerugian penjualan saham Agusta, RM540 juta
menyelamatkan POS Malaysia serta banyak lagi.
RM33.8 bilion kerugian Bank Negara Malaysia dalam pelaburan
matawang asing antara tahun 1989 hingga 1993 kecuali pada tahun 1990
mencatatkan keuntungan kecil RM2.5 bilion. Tindakan pelaburan matawang asing
oleh Daim Zainuddin dan Nor Mohamad Yackup masing-masing Menteri Kewangan dan
Pembantu Gabenor BNM mengakibatkan kerugian dana awam bernilai RM31.3 bilion.
Tindakan-tindakan tidak bijak tersebut tidak boleh berlaku
di era Mohd Najib Abd Razak kerana rakyat sekarang sangat teliti dalam hal-hal
pembaziran dan salah guna kuasa. Selain itu musuh utama iaitu globalisasi akan
menyusup masuk dan merubah keutuhan dan kedaulatan sesebuah negara. Persaingan
merebut kek ekonomi domestik dan antarabangsa menjadi terlalu sengit di antara
pemain industri tempatan dan luar negara. Sistem kapitalis, yang sangat
berlawanan dengan tuntutan agama menjadi tunjang mereka dan dasar permainan
ini. Tidak hairanlah jika wang dan kekayaan menjadi senjata pernaklukan alaf
baru.
Mahathir Mohamad membudaya dan mewariskan amalan autokratik
baik di dalam kerajaan mahupun sektor korporat, membiarkan amalan rasuah
bermaharajalela, mengkhususkan ruang ekonomi kepada golongan terpilih selain
mengkayakan ahli keluarga mengguna tiket Bumiputera.
Agenda pengkorporatan Bumiputera tertumpu kepada Syed
Mokhtar Al Bukhari. Beliau memiliki empayar dalam sektor pertanian melalui
perusahaan beras dan gula bernilai berbillion ringgit. Beliau juga menguasai
sektor pengangkutan melalui pelabuhan Tanjung Pelepas Johor, dan terbaharu
Putrajaya meluluskan cadangan pengambilalihan dermaga tertua dan paling
strategik di Malaysia pelabuhan Pulau Pinang serta sistem keretapi KTMB yang
mempunyai asset terkumpul bernilai RM52 billion.
Beliau mempunyai kepentingan terbesar dalam Malaysian Mining
Corporation MMC syarikat pembangunan infrastruktur yang kini dalam rangka
menyiapkan landasan elektrik berkembar Ipoh-Padang Besar bernilai RM16 billion
dan Gemas-Johor bernilai RM8 billion. Selain itu joint-venture bersama Gamuda
telah menyiapkan Projek Pengurusan Banjir SMART bernilai RM1.9 billion dan kini
memulakan pembinaan projek My Rapid Transit MRT bernilai RM8.2 billion. Anak
syarikat MMC, Malakoff Corporation (juga milik Syed Mokhtar) sedang menyiapkan
loji Janakuasa Arang Batu Tanjung Bin bernilai RM5 billion.
Atas dasar perkongsian ekonomi saksama, YTL diberikan
perjanjian 21 tahun melalui 2 ‘power plant’nya membekalkan tenaga kepada TNB
pada harga premium walaupun kos pengeluarannya disubsidikan oleh Petronas dan
rakyat. Umum mengetahui hubungan rapat pengasas YTL dengan Mahathir Mohamad.
Perusahaan anak beranak Yeoh Tiong Lay dan Yeoh Sock Ping juga dianugerahkan
projek 1Bestarinet bernilai RM8 billion. Mereka tidak mempunyai pengalaman dan
kepakaran menguruskan projek teknologi maklumat sebaliknya tertumpu pada sektor
hartanah dan pembangunan melalui YTL Land & Development dan YTL Cement,
sektor telekomunikasi melalui YES, sektor perhotelan melalui YTL Hotels dan
sektor janakuasa melalui YTL Power International.
Tatparanandam Ananda Krishnan menguasai sektor penyiaran
melalui Astro, sektor satelit angkasa melalui MEASAT, sektor minyak dan gas
melalui Bumi Armada, sektor telekomunikasi melalui Maxis, sektor kuasatenaga
melalui Powertek, sektor perkhidmatan melalui Pan Malaysian Pools dan Tropical
Islands serta sektor hartanah.
Ketiga-tiga individu ini terlalu berpengaruh dalam kerajaan masakan Mohd Najib Abd Razak tidak dapat lari dari terus menganugerahkan pelbagai projek mega berbillion ringgit kepada syarikat-syarikat mereka. Tindakan Mohd Najib Abd Razak memusatkan projek-projek menghadkan peluang ahli korporat Melayu dan kaum lain untuk bersaing secara adil dan berkembang maju. Beliau telah membangkitkan rasa tidak puas hati bukan sahaja dikalangan ahli korporat dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia malah rakyat Malaysia umumnya. Tidakkah beliau risau tindakannya itu mampu menghilangkan rasa percaya dan mengundang bantahan rakyat terhadapnya lewat ini melalui peti undi?
Penjualan Maju Expressway, lebuhraya KL-Putrajaya sepanjang
26km dimana ¾ kos pembinaanya dibiayai dana awam telah memperkaya Sahid Mohamed
RM1.1 billion sekiranya Putrajaya menghalalkan geran RM0.98 billion yang
diberikan. Raja Farhana anak gadis Menteri Wilayah Persekutuan Raja Nong Chik
berusia 26 tahun mendapat kontrak RM30.8 juta melalui Istijuara Sendirian
Berhad membekalkan kelengkapan untuk Institut Kemahiran Belia Negara Bandar
Penawar Johor secara rundingan terus dengan Kementerian Belia dan Sukan.
Konsortium George Kent yang gagal dalam penilaian teknikal, kewangan dan syarat
kontrak kepada 5 pembida teratas dianugerahkan projek sambungan LRT Ampang
bernilai hampir RM1 billion walaupun mulanya dinafikan Mohd Najib Abd Razak dan Pengerusi
Konsortium tersebut Tan Kay Hock. Ketua Wanita UMNO Selangor Raja Ropiaah Raja
Abdullah terlibat dengan skandal penjualan tanah kerajaan yang bukan miliknya.
Sistem Penguatkuasaan Automatik AES dikendalikan 2 syarikat
swasta yang meraih keuntungan berupa komisyen dari setiap saman yang
dikeluarkan. Semenjak beroperasi pada September 2012 lebih 400,000 saman
dikeluarkan kepada pesalah jalanraya. Pengswastaan pengurusan keselamatan dan
undang-undang berkaitan lalulintas ini membangkitkan kemarahan penyokong
kerajaan dan pembangkang. Rakyat tidak menolak secara total pelaksanaannya
sebaliknya menuntut kaedah dan keberkesanannya dikaji semula supaya benar-benar
mencapai matlamat mengurangkan kadar kemalangan, tidak menganiaya pengguna
jalanraya serta tidak menjadi medium mengaut keuntungan oleh pihak pengendali.
Mengikut statistik hari ini hampir 9 juta bangsa Melayu
berpendapatan kurang RM18,000 setahun. Kehidupan mereka bergantung kepada
amalan kredit atau pinjaman, seperti pepatah gali lubang tutup lobang berhutang
untuk bayar hutang. Kos saraan semakin tinggi saban hari sedangkan pendapatan
meningkat sekitar 1-3% setahun menjadikan inflasi musuh utama kestabilan
ekonomi mereka. Secara purata mereka membelanjakan hampir 70% pendapatan
bulanan ke atas pinjaman kereta dan perumahan, selebihnya untuk saraan. Di
bandar-bandar utama kos sewa, harga rumah kediaman, kos saraan dan kos
pendidikan berada pada tahap tidak masuk akal. Apa usaha dan tindakan kerajaan
BN membendung dan mengurangkan tekanan inflasi ke atas golongan ini?
Pemilikan Bumiputera dalam ekuiti menyusut saban hari. Dari
tahun 1984 hingga 2001, kerajaan menawarkan lebih RM52 billion saham kepada
Bumiputera namun kini berbaki RM2 billion. Saham yang diberikan kepada
persendirian telah dilupuskan demi mengaut keuntungan melalui skim AliBaba. Apa
tindakan kerajaan Mohd Najib Abd Razak membendung gejala pemborongan saham-saham oleh
bukan Bumiputera dan bagaimana meningkatkan semula penguasaan Bumiputera dalam
ekuiti?
Dasar Automotif Negara yang diwar-warkan tidak memberikan
apa-apa kelebihan melainkan keuntungan berganda kepada pengusaha, pengimport
serta pembiaya pinjaman. Dengan dasar ‘perlindungan industri automobil
tanahair’ rakyat tidak mempunyai pilihan selain terpaksa membayar lebih dari
sekali ganda dari kos pengeluaran model tempatan dan hampir dua kali ganda bagi
model antarabangsa yang diakui lebih tinggi kualiti dan panjang jangka
hayatnya. Lebih malang sehingga kini rakyat Malaysia terpaksa mensubsidi
pembelian kereta tempatan oleh rakyat asing di negara mereka kerana dasar lapuk
kerajaan berusia 30 tahun untuk mempopularkan produk nasional di mata dunia.
Lantaran rakyat mula memandang serius komitmen PR yang turut disokong Persatuan
Automobil Malaysia untuk menurunkan harga kereta dan AP sekiranya berjaya
menawan Putrajaya.
Kebergantungan negara kepada sumber gas dan petroleum,
barangan elektronik, kelapa sawit dan getah sebagai eksport utama suatu yang
membimbangkan. Shukurlah hari ini Petronas masih mampu menyumbang RM70 billion
(baca RM70,000,000,000.00) kepada pendapatan kerajaan dengan nisbah 95%
kerajaan Persekutuan 5% kerajaan Negeri. Namun mampukah Petronas terus
menyumbang tika stok gas asli dan minyak mentah negara menyusut saban hari.
Pemain utama industri mula memindahkan operasi mereka ke negara
jiran. Pengeluar barangan elektronik di negara kita rata-rata merupakan pelabur
asing. Jika pelabur memilih mementingkan keuntungan semata, puluhan ribu rakyat
berpotensi kehilangan mata pencarian. Dasar ekonomi terbuka China dan
kestabilan politik rantau ASEAN menjadi ‘penghalang’ usaha mengekalkan pelabur
asing. Myammar mendapat perhatian dunia semenjak kerajaan junta berkompromi dan
bersedia mengamalkan dasar demokrasi serta amalan pentadbiran yang amanah.
Amerika dan negara-negara Eropah mula menunjuk minat untuk melabur di sana.
Tawaran sumber mereka sebaik tawaran Malaysia ketika lewat 80an dan awal 90an.
Apa tindakan Mohd Najib Abd Razak menghalang ‘penghijrahan’ besar pelabur asing dari
Malaysia?
PROTON (sebelum Januari 2012 kerajaan Malaysia melalui Khazanah
Berhad merupakan pemegang saham utama) memilih negara China sebagai hub
mengeluarkan model terbaru untuk pasaran eksport. Sekiranya pengurusan baru
PROTON bersungguh dengan rancangan ini nasib ribuan pekerjanya di kilang
pengeluar Shah Alam dan Tanjung Malim akan terabai.
Malaysia merupakan negara beriklim khatulistiwa, tanahnya
subur sepanjang tahun. Kesuburan negara mampu mengalakkan pertubuhan dan
kemajuan dalam sektor pertanian. Masih banyak komposisi tanah tidak diusahakan.
Sekiranya ditebus-guna sebaik negara Kanada dan Jepun ianya mampu menambah
pendapatan negara sekaligus melonjakkan KDNK, menyediakan peluang pekerjaan,
mengawal harga keperluan asas serta meminimakan pencemaran alam sekitar. Negara
berkemampuan menjadi pengeluar produk agro bermutu dan berdaya saing seperti
ternakan tenusu lembu dan kambing, burung unta, ikan dan udang air tawar,
buah-buahan serta sayur-sayuran tanpa perlu bergantung kepada import.
Ketika era Abdullah Ahmad Badawi dana besar telah diwujudkan
mengalakkan pengeluaran hasil penternakan dan pertanian. Sebanyak RM256 juta
geran kerajaan dianugerahkan kepada NFC syarikat milik keluarga Ketua Wanita
UMNO Shahrizat Jalil dari tahun 2008 – 2009. Pinjaman dan geran tersebut
sepatutnya digunakan untuk membiak ternak lembu daging (projek fidlot) agar
dapat menampung keperluan dan permintaan pasaran tempatan. Apa yang berlaku,
dengan jumlah sebesar suku billion ringgit hanya 4000 ekor lembu (ditolak 110
ekor lembu mati sebelum disembelih) berjaya diternak untuk tempoh dua tahun tersebut.
Mengikut perkiraan kos menternak seekor lembu oleh NFC ialah RM4,500. Kos yang
terlalu tinggi itu menyebabkan lembu NFC tidak mampu bersaing dengan lembu
tempatan yang jauh lebih murah.
Dari dana NFC, RM830 ribu digunakan sebagai kos lawatan-lawatan
luar negara dan keraian pengarah-pengarah syarikat (suami dan anak-anak
Shahrizat Jalil). Sejumlah RM534 ribu diguna membeli kereta mewah Mercedes,
RM3.37 juta membeli dua bidang tanah di Putrajaya, RM3 juta diberikan sebagai
subsidi kepada Meatworks syarikat milik keluarga Shahrizat Jalil, RM10 juta
dipindah ke syarikat milik mereka di Singapura untuk membeli kondominium mewah
di sana, RM9.8 juta digunakan membeli sebuah kondominium mewah One Menerung
Bangsar, RM9.7 juta dijadikan jaminan untuk mendapatkan pinjaman peribadi dan
dibelanjakan membeli hartanah-hartanah di EcoCity Bangsar di atas nama peribadi
mereka sekeluarga serta lain lain lagi. Jumlah geran sebesar itu mampu membantu
dan mewujudkan 1,000 penternak mengusaha projek fidlot secara individu.
Kementerian Kewangan meluluskan sejumlah RM165 juta untuk
projek pembekalan benih padi negara untuk tempoh 2013-2014. Menteri Pertanian,
Noh Omar telah mengeluarkan tender pada Mac 2012 sedangkan ketika itu tempoh
tender sedia ada masih berbaki 9 bulan. Kuota keseluruhan benih padi negara
adalah 80,000 tan metrik. Rakan sahabat Noh Omar menguasai 45,000 tan dengan
Kilang Beras Seri Merbok S/B memperoleh 22,000 tan, Haji Md Nor Haji Abd Hamid
S/B memperoleh 20,000 tan manakala Padi Pukal Parit 7 S/B memperoleh 3,000 tan.
Agensi Kerajaan seperti BERNAS dan KADA yang terlibat secara langsung dalam
industri padi mempunyai loji masing-masing berkapasiti 10,000 tan dan 6,000 tan
malah mematuhi syarat-syarat tender tidak berjaya. Sekiranya berlaku sesuatu
kepada syarikat-syarikat tersebut krisis makanan yang serius bakal melanda
negara.
Inilah kesannya bila projek yang sepatutnya memanfaatkan
rakyat diberi tanpa saluran bidaan dan tender yang betul, dianugerahkan kepada
entiti yang tidak berkemampuan dari segi pengalaman, pengetahuan, kemahiran dan
sokongan kewangan serta paling malang bila dimonopoli menteri dan ahli
keluarga. Rundingan terus menutup pintu rezeki korporat Melayu berkelayakkan.
Amalan tender terbuka hanya berlaku di negeri-negeri PR. Tidak hairanlah
kontraktor Melayu kroni UMNO marah sangat pada Ustaz Nik Abd Aziz Nik Mat,
Ustaz Azizan Abd Razak, Lim Guan Eng dan Khalid Ibrahim kerana peluang mereka
mendapatkan kontrak bergantung sepenuhnya kepada merit.
BN mengutamakan sektor perusahaan mudah dengan hasil lumayan
seperti pembalakkan. Keghairahan membalak memberi kesan langsung ke atas alam
sekitar. Penerokaan hutan secara berleluasa mencemarkan sumber air, menceroboh
habitat liar, menyebabkan hakisan dan tanah runtuh selain menjejaskan keseimbangan
ekosistem. Kegiatan pencerobohan hutan simpan semakin menjadi-jadi kebelakangan
ini. Sesetengah pihak terlibat menghalalkan penebusan rezab hutan simpan. Di
Negeri Sembilan misalnya sepanjang tahun 2006 - 2011 lebih 8,600 hektar tanah
hutan simpan dibatalkan status untuk tujuan pembalakkan oleh Majlis Mesyuarat
Kerajaan Negeri dipengerusikan Menteri Besar Mohamad Hassan. Pembalakan haram
pula berlaku diluar kawalan terutamanya di Kedah, Pahang, Sabah dan Sarawak.
Apa tindakan drastik kerajaan Mohd Najib Abd Razak dan pihak berwajib dalam mengekang
aktiviti pencerobohan hutan simpan dan pembalakan haram?
Oleh kerana perniagaan balak memang menguntungkan ramai ahli
politik-korporat menceburkan diri. Ketua Menteri Sabah Musa Aman dikaitkan
dengan tuduhan meluluskan lesen pembalakan bernilai RM400 juta kepada syarikat
berkaitan keluarga. Sekitar tahun 2009 beliau menerima manfaat RM40 juta dari
saudagar balak Micheal Chia yang membalak di negeri kaya biodiversiti itu.
Beliau menafikannya dan menegaskan wang itu berupa sumbangan politik. Menteri Law
De Facto Nazri Aziz dituduh bersengkongkol apabila mengugurkan tuduhan
rasuah terhadap Musa Aman ketika terdapat bukti-bukti sahih Musa dan anak
beliau Nadim Nazri mendapat manfaat dari keakraban dengan saudagar balak tersebut.
Piawaan yang terlalu ketat oleh kerajaan China menyebabkan
Lynas Corp memilih Malaysia untuk projek nadir bumi bernilai RM2.5 billion di
luar Australia. Selepas kerajaan negeri Terengganu menolak cadangan pembangunan
kilang di Telok Kalong, Lynas Corp memilih Pusat Perindustrian Gebeng dan kekal
beroperasi di situ. Pelaburan asing ini dikatakan menyedia 600 peluang
pekerjaan tetap dan kontrak kepada anak tempatan selain pemindahan teknologi
serta pengalakkan aktiviti penyelidikan. Sebagai ganti kerajaan Mohd Najib Abd Razak
meluluskan pengecualian cukai pendapatan statutori selama 12 tahun. Sungguhpun
mendapat tentangan dari ahli politik, aktivis alam sekitar dan penduduk
tempatan, projek nadir bumi Lynas Advanced Materials Plant diteruskan.
Projek tersebut bakal mengestrak lebih 1 juta meter padu
sisa pepejal beradioaktif. Arang batu yang dibawa masuk dari Mount Weld
Australia mengandungi thorium dan uranium yang merupakan bahan radioaktif.
Thorium boleh memudaratkan kesihatan untuk selama 14 juta tahun, jauh lebih
lama dari kesan penguraian uranium. Sehingga kini tiada pengesahan arahan
mandatori di mana sisa pepejal tersebut akan dilupuskan. Sudahkah ia dibawa
keluar semenjak projek itu mula beroperasi? Sekiranya benar sisa diangkut
keluar melalui jalan air untuk dilupuskan di sebuah pulau rahsia adakah
langkah-langkah keselamatan wajib telah dipenuhi demi mengelakkan kejadian
pencemaran sisa radioaktif di perairan negara?
Transperancy International berpengkalan di Berlin yang
bertanggungjawab melakukan penyelidikan ke atas 183 negara dan mengeluarkan
Indeks Persepsi Rasuah (CPI) melaporkan pada 2012 terdapat sedikit peningkatan
kedudukan Malaysia iaitu ke 54 berbanding 60 tahun lalu. Namun peningkatan ini
bukan disumbang peningkatan usaha kerajaan dalam membanteras amalan rasuah kerana
berlaku penurunan dari segi skor. Semenjak mengambil alih kerajaan Mohd Najib Abd Razak
gagal menyamai atau memperbaiki rekod ke 37 dipegang Abdullah Ahmad Badawi sejurus
dilantik sebagai Perdana Menteri pada 2003.
Dilaporkan Global Financial Integrity badan pemerhati
kewangan berpengkalan di Washington dalam laporan menjejaki aliran modal
merekodkan tahap pengaliran wang haram dari Malaysia pada tahun 2010 sangat
membimbangkan. Laporan terbaru mendapati lonjakan dramatik iaitu dari USD30.41
billion (RM93 bilion) pada 2009 kepada USD64.38 billion (RM196.8 billion) pada
2010 menjadikan aliran terkumpul dalam tempoh sepuluh tahun sebanyak RM1.27
trillion (baca RM1,273,000,000,000) telah dibawa keluar dari negara. Jumlah ini
disumbang oleh gejala modal haram, pengelakkan cukai, amalan rasuah atau
komisyen, dadah dan lain-lain. Ini meletakkan Malaysia kedua tertinggi di dunia
selepas gergasi ekonomi Asia China.
Kerajaan PR tidak
mempunyai dana-dana (baca kemewahan) seperti kerajaan BN. Di sebalik segala
kekurangan dan kesempitan PR mampu menguruskan negeri secara berhemat.
Kecekapan pentadbiran
setahun jagung kerajaan PR Pulau Pinang berjaya menngeluarkan Majlis
Perbandaran Seberang Perai dari senarai muflis malah melunaskan hutang
tinggalan bekas Ketua Menteri Koh Tsu Koon sebanyak RM630 juta. Ketua Menteri Lim Guan Eng berjaya membawa
masuk lebih RM10 billion Pelaburan Terus Asing (FDI). Beliau mengubah corak
Belanjawan negeri yang deficit dari tahun 2000 hingga 2008 kepada surplus
melebihi RM138 juta pada tahun 2011.
Begitu juga kerajaan PR
Kedah telah melangsaikan hutang tinggalan UMNO selain meningkatkan pendapatan tahunan
sektor pembalakan dari RM9 juta pada 2008 kepada RM80 juta pada 2011 dengan
kuota keluasan tebangan yang sama iaitu 2,340 hektar setahun ditetapkan
kementerian berkaitan. Keterbatasan sumber kewangan tidak menghalang Menteri
Besar Ustaz Azizan Razak membina Universiti Insaniah dengan prasarana setanding
institut pengajian tinggi kelolaan kerajaan Persekutuan. Lebih menarik, pembinaannya
melibatkan hanya 60% dari kos taksiran awal Kementerian Pengajian Tinggi.
Meskipun sering dilabel
negeri termiskin dan termundur di Semenanjung, KDNK 6.9% Kelantan adalah
keempat tertinggi dalam negara di belakang Selangor, Pulau Pinang dan Kuala
Lumpur. Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia menegaskan Melayu Kelantan
lebih kaya dari Melayu Johor kerana kos saraan penduduk negeri selatan
Semenanjung itu terlalu tinggi impak pembangunan Wilayah Iskandar.
Di Selangor sekalipun konsensi
pengurusan air terawat dipegang entiti swasta rakyat menikmati 20 meter padu
air percuma setiap bulan malah selepas 4 tahun inisiatif tersebut dilaksanakan
belum lagi memufliskan seperti yang diramal pembangkang negeri. Menteri Besar
Khalid Ibrahim menghalang SYABAS menaikkan tarif air semenjak tahun 2008
walaupun ada peruntukkan membenarkan tariff dikaji.
Di sebalik segala usaha
Puncak Niaga mengaut keuntungan dari perusahaan air di negeri paling maju
tersebut sehingga sanggup mengsabotaj bekalan air Khalid Ibrahim berjaya
menguruskan pengkhianatan mereka dengan bijak. Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri
menetapkan syarat perkongsian bijak di antara kerajaan negeri dan Persekutuan -
pengambilalihan pengurusan asset air oleh kerajaan negeri untuk kelulusan pembinaan
Loji Rawatan Air Hulu Langgat 2. Dengan itu kerajaan negeri dapat meneruskan
pemberian air percuma.
Pendapatan negeri bertambah
kepada RM2.5 billion dalam tempoh kurang 5 tahun berbanding RM760 juta pentadbiran
berpuluh tahun BN. Ketua Audit Negara memuji tatacara pengurusan perbelanjaan
dan penstrukturan hutang negeri. Bekas Menteri Besar Khir Toyo dan bekas
Menteri Pengangkutan Ling Liong Sik meramalkan Najib Razak tidak mampu menawan
semula negeri tersebut kerana ketokohan dan kebersihan pentadbiran Menteri
Besarnya.
Negeri-negeri PR mampu
menyediakan kemudahan kepada rakyat negeri seperti perumahan awam kos rendah
dan sederhana mampu milik, akses jalanraya ke desa dan pendalaman, perkhidmatan
jalur lebar awam percuma di tempat tumpuan di bandar, bantuan kewangan untuk
perniagaan dan pengajian serta banyak lagi.
Melihatkan kepada
kemampuan PR mentadbir 2 negeri termaju serta negeri kurang hasil seperti Kedah
dan Kelantan dengan baik dan berhemah, tidak mustahil PR mampu mengemudi
pentadbiran dan mengurus hasil kekayaan negara jauh lebih baik dari BN.
Langkah PR dalam
Belanjawan Alternatif 2013 yang merancang menubuhkan entiti PetroSabah,
PetroSarawak, PetroTerengganu dan PetroKelantan untuk mengalakkan kerajaan dan
anak negeri terlibat langsung dalam perusahaan petroleum negara boleh
meransangkan pertumbuhan ekonomi setempat. ‘Pengembalian’ hak urus dan untung
carigali kepada anak tempatan dari dimonopoli kroni dan pengusaha luar satu
langkah dinamik yang harus dipuji.
Lebuhraya Utara Selatan merupakan
lebuhraya terpenting menghubungkan negeri-negeri pantai barat Semenanjung.
Banyak bandar-bandar baru tumbuh sejajar dengan lebuhraya tersebut. Langkah
penghapusan tol lebuhraya ini ditambah pengurangan harga minyak petrol dan
diesel mampu merancakkan sektor ekonomi setempat disamping mengurangkan kos barang
keperluan asas, caj elektrik serta banyak lagi.
Perlaksanaan gaji minimum
RM1,100 sebulan mampu meningkatkan taraf hidup rakyat tempatan sekaligus
mengurangkan import dan kebergantungan kepada pekerja asing. Pertambahan 1 juta
peluang pekerjaan dari cadangan pemerkasaan pengangkutan awam dan pendidikan vokasional
serta pemecahan monopoli perusahaan telekomunikasi, makanan rugi, farmaseutikal
dan tenaga mampu meninggikan lagi taraf ekonomi negara.
Penurunan harga kereta melalui
pengurangan duti eksais secara berperingkat-peringkat dapat mengurangkan hutang
rakyat malah mampu mengalakkan tabungan. Pendidikan dan perkhidmatan wad
percuma mampu memberi nilai tambah dalam hidup rakyat yang terkesan dengan peningkatan
kos saban tahun kos dua keperluan ini.
Ketika rakyat mempunyai
taraf hidup yang lebih baik, pendapatan tetap serta ekonomi keluarga yang utuh,
banyak masalah yang berkait rapat dengan kekurangan ini secara langsung dapat
diselesaikan seperti masalah jenayah curi, ragut dan rompak, masalah sosial
kerana tekanan hidup dan banyak lagi.
Tidakkah rakyat berhak
mendapatkan perkhidmatan terbaik dari kerajaan yang mereka pilih dan pemimpin
yang mereka amanahkan untuk menjaga bukan sahaja keamanan malah kestabilan?