Saturday, January 26, 2013

Laksanakan Tanggungjawab Anda Anak Muda (Bahagian 2)


KEKUATAN EKONOMI

Di bawah pentadbiran kerajaan Perikatan/BN Persekutuan Tanah Melayu, Malaya dan Malaysia melalui beberapa fasa pertumbuhan. Di bawah kepimpinan Tunku Abd Rahman Putra (semoga Allah merahmati rohnya), diikuti Abd Razak Hussein (semoga Allah merahmati rohnya), kemudiannya Hussein Onn (semoga Allah merahmati rohnya), seterusnya Mahathir Mohamad, Abdullah Ahmad Badawi dan sekarang Mohd Najib Abd Razak masing–masing menyumbang kepada pembentukkan dan pembangunan negara.

Tunku menerajui usaha kesatuan dan keharmonian antara kaum, tuntutan kemerdekaan dari penjajahan British serta pembangunan pusat-pusat bandar dan pembentukkan Persekutuan Malaysia, Abd Razak Hussein mengasaskan Dasar Ekonomi Baru mengimbangi jurang sosio ekonomi lapisan kaum, Hussein Onn pula meneruskan legasi ketuanya terdahulu di samping meningkatkan sektor industri. Era Mahathir  Mohamad meletakkan Malaysia status negara membangun paling disegani. Abdullah Ahmad Badawi mengasaskan moderisasi agama dan integrasi wilayah manakala Mohd Najib Abd Razak mengangkat Transformasi dan jati diri bangsa.

Pentadbiran Mahathir Mohamad menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan fizikal paling signifikan. Kombinasi jaminan keamanan dan keselamatan, kelambakan sumber yang murah seperti tenaga kerja separa dan terlatih serta bekalan material asas, kemudahan infrastruktur seperti jaringan lebuhraya, pelabuhan dan lapangan terbang terbaik, insentif cukai dan rebat, pengurangan karenah birokrasi serta lain-lain lagi telah memastikan ekonomi berkembang pesat saban tahun. Malaysia menjadi pilihan pelabur asing di rantau Asia. Pertumbuhan pesat industri berasaskan teknologi meletakkan Malaysia antara pengeksport utama dunia barangan elektronik. Penggunaan teknologi dalam sektor pertanian mengangkat Malaysia sebagai antara pengeluar utama komoditi seperti kelapa sawit dan getah.

Mahathir Mohamad memimpin Malaysia mengharungi 2 kitaran kemelesetan dan kejatuhan ekonomi dunia. Kecekapan mengurus negara membolehkan beliau kekal menjadi Perdana Menteri selama 5 penggal. Namun selepas 21 tahun di puncak dan selepas gagal merawat wabak berjangkit kronik dalam partinya UMNO beliau memutuskan untuk berehat. Legasi Mahathir Mohamad terlalu hebat, sukar ditandingi pengantinya.
 
Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri Malaysia ke 5 kerana ‘seniority’ dan imej bersih beliau. Sumbangannya kepada pembangunan negara kurang diperkatakan kerana hanya sepenggal lebih menduduki kerusi nombor 1. Biarpun telah mengasaskan pelan pembangunan wilayah-wilayah Imam Hadhari ini dikaitkan dengan kelemahan pentadbiran lantaran membawa kepada kepincangan perlaksanaan gagasannya.

Mohd Najib Abd Razak mengambil alih dan dipaksa bekerja keras memulihkan persepsi rakyat terhadap kemampuan BN untuk terus mengemudi kestabilan ekonomi. Sejurus menjadi Perdana Menteri beliau memperkenalkan agenda-agenda nasional yang rata-rata merupakan idea lama bernafas baru untuk memastikan BN kekal relevan sebagai pengurus negara. Ada pendekatan dan keputusan dibuatnya mencontohi amalan ‘flip flop’ Abdullah Badawi. Lantaran ramai mempersoalkan kemampuannya bekerja seperti Mahathir Mohamad, paling tidak pon lebih baik dari Abdullah Ahmad Badawi. Mampukah beliau mendahulukan rakyat dari isteri, keluarga, parti dan rakan politik beliau? Mampukah beliau mengutamakan pencapaian dari habuan kekayaan dan kemewahan negara? Mampukah pasukannya mencapai KPI yang dijanjikan, bukan sekadar kosmetik menjelang pilihanraya?

Mohd Najib Abd Razak mewar-warkan angka-angka positif membuktikan pencapaian memberangsangkan dalam suasana lesu ekonomi dunia impak kegagalan kapitalisma di Eropah dan Amerika. Namun angka tersebut tidak lebih sekadar ‘camouflage’ melindungi fakta lebih besar. Disebabkan ramai rakyat Malaysia tidak mempunyai asas rencah ekonomi negara maka apa yang dihebahkan media menghasilkan tindak balas reaktif kecuali dalam soal pemberian BR1M dan bantuan-bantuan kecil 1 Malaysia yang lain. Peranan Belanjawan yang dibentangkan saban tahun dan kesannya dalam jangka masa panjang tidak menjadi fokus rakyat kebanyakkan.

Peratusan KDNK positif menunjukkan peningkatan Ringgit bagi keseluruhan pengeluaran dan perkhidmatan tempatan. Ia juga bermaksud peningkatan permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan tempatan. Namun ia tidak mengindikasikan ekonomi sesebuah negara itu utuh dan teguh. Pencapaian KDNK negara  tahun lalu berada sekitar 5% berbanding Singapura 2.9% namun ia tidak bermaksud ekonomi Malaysia lebih stabil dari negara Kota Singa itu yang merupakan pusat kewangan rantau ASEAN.

Negara ekonomi berdaya saing misalnya Jepun memiliki nilai eksport tinggi berbanding import. Bila nilai eksport tinggi ia dapat meningkatkan dan mengekalkan nilai Ringgit berbanding mata wang asing. Sungguhpun negara mempunyai nilai eksport melebihi import iaitu RM58.7 billion berbanding RM49.4 billion (setakat November 2012) namun perbezaan purata tahun ke tahun agak marginal. Kelebihan nilai eksport disumbang petroleum dan bahan mentah industri yang diproses, dirawat atau dipermudahkan di luar negara dan diimport semula.

Beberapa tahun kebelakangan ini pasaran modal negara kehilangan daya tarikan dan daya saing di peringkat antarabangsa serta terpaksa bergantung pada pelabur tempatan termasuklah Perbadanan serta Syarikat Berkaitan Kerajaan untuk merancakkan kegiatan ekonomi. Demi memastikan aktiviti pelaburan berjalan lancar kerajaan Mohd Najib Abd Razak melaksanakan suntikan modal berterusan. Ketika dana Perbendaharaan sudah kering beliau memilih menawarkan pelbagai bon dan sukuk kerajaan di dalam dan luar negara untuk mendapatkan sumber kewangan.

Budaya perbelanjaan secara defisit (hutang) berlebihan mendedahkan negara kepada risiko muflis pada tahun 2019 (rujuk kenyataan Menteri Kanan Idris Jala). Pentadbiran selama 51 tahun gabungan Tunku Abd Rahman, Abd Razak Hussein, Hussein Onn, Mahathir Mohamad dan Abdullah Ahmad Badawi menghasilkan hutang terkumpul negara sebanyak RM230 billion. Namun setelah Mohd Najib Abd Razak mengambil alih dalam tempoh kurang 5 tahun beliau telah mengandakan hutang kepada lebih RM600 billion. Jumlah ini termasuk off budget agencies atau pinjaman korporat yang dijamin kerajaan.

Sepanyol, antara negara benua Eropah yang berdepan risiko muflis terjerumus ke dalam konflik ekonomi hasil perbelanjaan luarbiasa kerajaan berbanding pendapatannya menyebabkan hutang negara membuncit. Tatkala kerajaan gagal mengawal dan mengurus hutang melampau rakyat yang terpaksa menanggungnya. Pencen pesara dikurangkan 20%, pasaran kerja mengecut dan lebih 50% anak muda menganggur, kos rawatan dan ubat-ubatan ditanggung sepenuhnya rakyat, kawalan kredit yang ketat dan lain-lain lagi. Sekiranya ada ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam pengurusan kewangan oleh kerajaan BN negara telah lama menikmati surplus (lebihan) dan rakyat dapat menikmati pengagihan kekayaan dengan adil.

Lebih 2 juta warga Indonesia, 1 juta warga Pakistan, Bangladesh, Nepal, Myammar, Vietnam dan Filipina serta puluhan ribu professional dan pelajar asing dari pelbagai benua yang memasuki negara secara sah mahupun tanpa izin membeli barangan dan menggunakan perkhidmatan yang disubsidikan untuk rakyat Malaysia sewenang-wenangnya. Sepuluh tahun lalu ketika kadar KDNK lebih tinggi, cuma 1 juta warga asing di Malaysia. Ini menjelaskan dua perkara. Pertama – subsidi ke atas barangan keperluan asas dimanfaat bukan warganegara dan pendatang asing sedang mereka tidak mengeluar cukai sebanyak rakyat negara ini. Kedua – kestabilan KDNK negara turut disumbang perbelanjaan bukan warganegara.

Majoriti pendatang asing dulunya bekerja sebagai buruh binaan, buruh ladang dan pembantu rumah. Namun kebelakangan ini peluang mereka diperluas ke sektor perkhidmatan makanan, perhotelan, hiburan, keselamatan komersial, pendidikan, hinggakan ke professional. Tidak kurang yang bersenang-senang menjadi pelacur, ‘escort’, gigolo, samseng dan ‘pekerjaan’ penyumbang peningkatan gejala jijik dan keruntuhan sosial. Mereka sewenangnya mengguna pas lawatan sosial dan pelajar. Majikan tempatan mengambil kesempatan ‘kelonggaran’ tersebut menggaji warga asing. Untuk menampakkan tindakan mereka ‘reasonable’ majikan memberi alasan pekerja tempatan tidak terlatih, pemalas, kurang disiplin, tidak berminat, kos upah tinggi yang hanya meningkatkan kos pengeluaran atau perkhidmatan serta banyak lagi.

Tindakan berterusan ‘mengimport’ pekerja warga asing seolah menyusu kera di hutan sedang anak dipangkuan mati kelaparan. Makanya di mana logik pengangguran berada di bawah paras 3.5%? Kenapa membenarkan kemasukkan begitu ramai pendatang asing sedangkan ramai remaja serta graduan tempatan menganggur? Di kota metropolitan Kuala Lumpur dan Johor Baharu rakyat tempatan bekerja di bawah penyeliaan warga asing. Adakah Mohd Najib Abd Razak berani mengurangkan kemasukan pekerja asing sekaligus tidak memberi muka kepada pemain sektor untuk mengaut keuntungan melampau dan mengembalikan peluang pekerjaan serta meningkatkan taraf hidup rakyat? Patutkah Mohd Najib Abd Razak terus menyembunyi fakta dan bermain silap mata semua unjuran negatif demi menutup kelemahan pentadbirannya?

Dasar Pensyarikatan Malaysia acuan Mahathir Mohamad tersasar dari matlamatnya. Di era pentadbirannya beliau memperbadankan agensi-agensi kerajaan. Ada sebahagiannya ditransformasikan secara total menjadi entiti swasta seperti Malaysian Airline System MAS, Malaysian International Shipping Corporation MISC, Pelabuhan Klang, Melaka, Pulau Pinang dan Johor, Padi Beras Nasional BERNAS, Sarawak Electricity Supply Corporation SESCO, Lembaga Pembangunan Tanah Sabah, Perbadanan Pembangunan Bandar UDA, Akademi Laut Malaysia, Institut Kerjaraya Malaysia IKRAM, FELCRA, Perbadanan Nasional PERNAS, Jabatan Bekalan Air Negeri dan sebagainya. Projek penswastaan ini tidak memberikan keuntungan kepada kerajaan dan rakyat disebabkan kegagalan pemantauan, kelemahan urus tadbir serta salahguna kuasa pihak pengurusan.

Umum mengetahui bagaimana RM10.4 billion wang rakyat diguna untuk menyelamatkan Bank Bumiputera Malaysia Berhad BBMB berkali-kali. RM2 billion wang pembayar cukai diguna untuk menyelamatkan Tongkah perusahaan milik Mokhzani Mahathir, RM10 billion kerugian Perwaja Steel di era Eric Chia, RM8 billion kerugian MAS di era Tajudin Ramli, RM12 billion menyelamatkan Renong/UEM di era Halim Saad, RM3.3 billion wang KWSP dan KWAP diguna membeli saham TimeDotCom tidak dilanggan, RM6 billion menyelamatkan PUTRA dan STAR LRT, RM1 billion pampasan pembatalan Empangan Bakun, RM250 juta pampasan pembatalan Jambatan Bengkok, RM500 juta kerugian penjualan saham Agusta, RM540 juta menyelamatkan POS Malaysia serta banyak lagi.

RM33.8 bilion kerugian Bank Negara Malaysia dalam pelaburan matawang asing antara tahun 1989 hingga 1993 kecuali pada tahun 1990 mencatatkan keuntungan kecil RM2.5 bilion. Tindakan pelaburan matawang asing oleh Daim Zainuddin dan Nor Mohamad Yackup masing-masing Menteri Kewangan dan Pembantu Gabenor BNM mengakibatkan kerugian dana awam bernilai RM31.3 bilion.

Tindakan-tindakan tidak bijak tersebut tidak boleh berlaku di era Mohd Najib Abd Razak kerana rakyat sekarang sangat teliti dalam hal-hal pembaziran dan salah guna kuasa. Selain itu musuh utama iaitu globalisasi akan menyusup masuk dan merubah keutuhan dan kedaulatan sesebuah negara. Persaingan merebut kek ekonomi domestik dan antarabangsa menjadi terlalu sengit di antara pemain industri tempatan dan luar negara. Sistem kapitalis, yang sangat berlawanan dengan tuntutan agama menjadi tunjang mereka dan dasar permainan ini. Tidak hairanlah jika wang dan kekayaan menjadi senjata pernaklukan alaf baru.

Mahathir Mohamad membudaya dan mewariskan amalan autokratik baik di dalam kerajaan mahupun sektor korporat, membiarkan amalan rasuah bermaharajalela, mengkhususkan ruang ekonomi kepada golongan terpilih selain mengkayakan ahli keluarga mengguna tiket Bumiputera.

Agenda pengkorporatan Bumiputera tertumpu kepada Syed Mokhtar Al Bukhari. Beliau memiliki empayar dalam sektor pertanian melalui perusahaan beras dan gula bernilai berbillion ringgit. Beliau juga menguasai sektor pengangkutan melalui pelabuhan Tanjung Pelepas Johor, dan terbaharu Putrajaya meluluskan cadangan pengambilalihan dermaga tertua dan paling strategik di Malaysia pelabuhan Pulau Pinang serta sistem keretapi KTMB yang mempunyai asset terkumpul bernilai RM52 billion.

Beliau mempunyai kepentingan terbesar dalam Malaysian Mining Corporation MMC syarikat pembangunan infrastruktur yang kini dalam rangka menyiapkan landasan elektrik berkembar Ipoh-Padang Besar bernilai RM16 billion dan Gemas-Johor bernilai RM8 billion. Selain itu joint-venture bersama Gamuda telah menyiapkan Projek Pengurusan Banjir SMART bernilai RM1.9 billion dan kini memulakan pembinaan projek My Rapid Transit MRT bernilai RM8.2 billion. Anak syarikat MMC, Malakoff Corporation (juga milik Syed Mokhtar) sedang menyiapkan loji Janakuasa Arang Batu Tanjung Bin bernilai RM5 billion.

Atas dasar perkongsian ekonomi saksama, YTL diberikan perjanjian 21 tahun melalui 2 ‘power plant’nya membekalkan tenaga kepada TNB pada harga premium walaupun kos pengeluarannya disubsidikan oleh Petronas dan rakyat. Umum mengetahui hubungan rapat pengasas YTL dengan Mahathir Mohamad. Perusahaan anak beranak Yeoh Tiong Lay dan Yeoh Sock Ping juga dianugerahkan projek 1Bestarinet bernilai RM8 billion. Mereka tidak mempunyai pengalaman dan kepakaran menguruskan projek teknologi maklumat sebaliknya tertumpu pada sektor hartanah dan pembangunan melalui YTL Land & Development dan YTL Cement, sektor telekomunikasi melalui YES, sektor perhotelan melalui YTL Hotels dan sektor janakuasa melalui YTL Power International.

Tatparanandam Ananda Krishnan menguasai sektor penyiaran melalui Astro, sektor satelit angkasa melalui MEASAT, sektor minyak dan gas melalui Bumi Armada, sektor telekomunikasi melalui Maxis, sektor kuasatenaga melalui Powertek, sektor perkhidmatan melalui Pan Malaysian Pools dan Tropical Islands serta sektor hartanah. 

Ketiga-tiga individu ini terlalu berpengaruh dalam kerajaan masakan Mohd Najib Abd Razak tidak dapat lari dari terus menganugerahkan pelbagai projek mega berbillion ringgit kepada syarikat-syarikat mereka. Tindakan Mohd Najib Abd Razak memusatkan projek-projek menghadkan peluang ahli korporat Melayu dan kaum lain untuk bersaing secara adil dan berkembang maju. Beliau telah membangkitkan rasa tidak puas hati bukan sahaja dikalangan ahli korporat dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia malah rakyat Malaysia umumnya. Tidakkah beliau risau tindakannya itu mampu menghilangkan rasa percaya dan mengundang bantahan rakyat terhadapnya lewat ini melalui peti undi?

Penjualan Maju Expressway, lebuhraya KL-Putrajaya sepanjang 26km dimana ¾ kos pembinaanya dibiayai dana awam telah memperkaya Sahid Mohamed RM1.1 billion sekiranya Putrajaya menghalalkan geran RM0.98 billion yang diberikan. Raja Farhana anak gadis Menteri Wilayah Persekutuan Raja Nong Chik berusia 26 tahun mendapat kontrak RM30.8 juta melalui Istijuara Sendirian Berhad membekalkan kelengkapan untuk Institut Kemahiran Belia Negara Bandar Penawar Johor secara rundingan terus dengan Kementerian Belia dan Sukan. Konsortium George Kent yang gagal dalam penilaian teknikal, kewangan dan syarat kontrak kepada 5 pembida teratas dianugerahkan projek sambungan LRT Ampang bernilai hampir RM1 billion walaupun mulanya dinafikan Mohd Najib Abd Razak dan Pengerusi Konsortium tersebut Tan Kay Hock. Ketua Wanita UMNO Selangor Raja Ropiaah Raja Abdullah terlibat dengan skandal penjualan tanah kerajaan yang bukan miliknya.

Sistem Penguatkuasaan Automatik AES dikendalikan 2 syarikat swasta yang meraih keuntungan berupa komisyen dari setiap saman yang dikeluarkan. Semenjak beroperasi pada September 2012 lebih 400,000 saman dikeluarkan kepada pesalah jalanraya. Pengswastaan pengurusan keselamatan dan undang-undang berkaitan lalulintas ini membangkitkan kemarahan penyokong kerajaan dan pembangkang. Rakyat tidak menolak secara total pelaksanaannya sebaliknya menuntut kaedah dan keberkesanannya dikaji semula supaya benar-benar mencapai matlamat mengurangkan kadar kemalangan, tidak menganiaya pengguna jalanraya serta tidak menjadi medium mengaut keuntungan oleh pihak pengendali.

Mengikut statistik hari ini hampir 9 juta bangsa Melayu berpendapatan kurang RM18,000 setahun. Kehidupan mereka bergantung kepada amalan kredit atau pinjaman, seperti pepatah gali lubang tutup lobang berhutang untuk bayar hutang. Kos saraan semakin tinggi saban hari sedangkan pendapatan meningkat sekitar 1-3% setahun menjadikan inflasi musuh utama kestabilan ekonomi mereka. Secara purata mereka membelanjakan hampir 70% pendapatan bulanan ke atas pinjaman kereta dan perumahan, selebihnya untuk saraan. Di bandar-bandar utama kos sewa, harga rumah kediaman, kos saraan dan kos pendidikan berada pada tahap tidak masuk akal. Apa usaha dan tindakan kerajaan BN membendung dan mengurangkan tekanan inflasi ke atas golongan ini?

Pemilikan Bumiputera dalam ekuiti menyusut saban hari. Dari tahun 1984 hingga 2001, kerajaan menawarkan lebih RM52 billion saham kepada Bumiputera namun kini berbaki RM2 billion. Saham yang diberikan kepada persendirian telah dilupuskan demi mengaut keuntungan melalui skim AliBaba. Apa tindakan kerajaan Mohd Najib Abd Razak membendung gejala pemborongan saham-saham oleh bukan Bumiputera dan bagaimana meningkatkan semula penguasaan Bumiputera dalam ekuiti?

Dasar Automotif Negara yang diwar-warkan tidak memberikan apa-apa kelebihan melainkan keuntungan berganda kepada pengusaha, pengimport serta pembiaya pinjaman. Dengan dasar ‘perlindungan industri automobil tanahair’ rakyat tidak mempunyai pilihan selain terpaksa membayar lebih dari sekali ganda dari kos pengeluaran model tempatan dan hampir dua kali ganda bagi model antarabangsa yang diakui lebih tinggi kualiti dan panjang jangka hayatnya. Lebih malang sehingga kini rakyat Malaysia terpaksa mensubsidi pembelian kereta tempatan oleh rakyat asing di negara mereka kerana dasar lapuk kerajaan berusia 30 tahun untuk mempopularkan produk nasional di mata dunia. Lantaran rakyat mula memandang serius komitmen PR yang turut disokong Persatuan Automobil Malaysia untuk menurunkan harga kereta dan AP sekiranya berjaya menawan Putrajaya.

Kebergantungan negara kepada sumber gas dan petroleum, barangan elektronik, kelapa sawit dan getah sebagai eksport utama suatu yang membimbangkan. Shukurlah hari ini Petronas masih mampu menyumbang RM70 billion (baca RM70,000,000,000.00) kepada pendapatan kerajaan dengan nisbah 95% kerajaan Persekutuan 5% kerajaan Negeri. Namun mampukah Petronas terus menyumbang tika stok gas asli dan minyak mentah negara menyusut saban hari.

Pemain utama industri mula memindahkan operasi mereka ke negara jiran. Pengeluar barangan elektronik di negara kita rata-rata merupakan pelabur asing. Jika pelabur memilih mementingkan keuntungan semata, puluhan ribu rakyat berpotensi kehilangan mata pencarian. Dasar ekonomi terbuka China dan kestabilan politik rantau ASEAN menjadi ‘penghalang’ usaha mengekalkan pelabur asing. Myammar mendapat perhatian dunia semenjak kerajaan junta berkompromi dan bersedia mengamalkan dasar demokrasi serta amalan pentadbiran yang amanah. Amerika dan negara-negara Eropah mula menunjuk minat untuk melabur di sana. Tawaran sumber mereka sebaik tawaran Malaysia ketika lewat 80an dan awal 90an. Apa tindakan Mohd Najib Abd Razak menghalang ‘penghijrahan’ besar pelabur asing dari Malaysia?

PROTON (sebelum Januari 2012 kerajaan Malaysia melalui Khazanah Berhad merupakan pemegang saham utama) memilih negara China sebagai hub mengeluarkan model terbaru untuk pasaran eksport. Sekiranya pengurusan baru PROTON bersungguh dengan rancangan ini nasib ribuan pekerjanya di kilang pengeluar Shah Alam dan Tanjung Malim akan terabai.

Malaysia merupakan negara beriklim khatulistiwa, tanahnya subur sepanjang tahun. Kesuburan negara mampu mengalakkan pertubuhan dan kemajuan dalam sektor pertanian. Masih banyak komposisi tanah tidak diusahakan. Sekiranya ditebus-guna sebaik negara Kanada dan Jepun ianya mampu menambah pendapatan negara sekaligus melonjakkan KDNK, menyediakan peluang pekerjaan, mengawal harga keperluan asas serta meminimakan pencemaran alam sekitar. Negara berkemampuan menjadi pengeluar produk agro bermutu dan berdaya saing seperti ternakan tenusu lembu dan kambing, burung unta, ikan dan udang air tawar, buah-buahan serta sayur-sayuran tanpa perlu bergantung kepada import.

Ketika era Abdullah Ahmad Badawi dana besar telah diwujudkan mengalakkan pengeluaran hasil penternakan dan pertanian. Sebanyak RM256 juta geran kerajaan dianugerahkan kepada NFC syarikat milik keluarga Ketua Wanita UMNO Shahrizat Jalil dari tahun 2008 – 2009. Pinjaman dan geran tersebut sepatutnya digunakan untuk membiak ternak lembu daging (projek fidlot) agar dapat menampung keperluan dan permintaan pasaran tempatan. Apa yang berlaku, dengan jumlah sebesar suku billion ringgit hanya 4000 ekor lembu (ditolak 110 ekor lembu mati sebelum disembelih) berjaya diternak untuk tempoh dua tahun tersebut. Mengikut perkiraan kos menternak seekor lembu oleh NFC ialah RM4,500. Kos yang terlalu tinggi itu menyebabkan lembu NFC tidak mampu bersaing dengan lembu tempatan yang jauh lebih murah.

Dari dana NFC, RM830 ribu digunakan sebagai kos lawatan-lawatan luar negara dan keraian pengarah-pengarah syarikat (suami dan anak-anak Shahrizat Jalil). Sejumlah RM534 ribu diguna membeli kereta mewah Mercedes, RM3.37 juta membeli dua bidang tanah di Putrajaya, RM3 juta diberikan sebagai subsidi kepada Meatworks syarikat milik keluarga Shahrizat Jalil, RM10 juta dipindah ke syarikat milik mereka di Singapura untuk membeli kondominium mewah di sana, RM9.8 juta digunakan membeli sebuah kondominium mewah One Menerung Bangsar, RM9.7 juta dijadikan jaminan untuk mendapatkan pinjaman peribadi dan dibelanjakan membeli hartanah-hartanah di EcoCity Bangsar di atas nama peribadi mereka sekeluarga serta lain lain lagi. Jumlah geran sebesar itu mampu membantu dan mewujudkan 1,000 penternak mengusaha projek fidlot secara individu.

Kementerian Kewangan meluluskan sejumlah RM165 juta untuk projek pembekalan benih padi negara untuk tempoh 2013-2014. Menteri Pertanian, Noh Omar telah mengeluarkan tender pada Mac 2012 sedangkan ketika itu tempoh tender sedia ada masih berbaki 9 bulan. Kuota keseluruhan benih padi negara adalah 80,000 tan metrik. Rakan sahabat Noh Omar menguasai 45,000 tan dengan Kilang Beras Seri Merbok S/B memperoleh 22,000 tan, Haji Md Nor Haji Abd Hamid S/B memperoleh 20,000 tan manakala Padi Pukal Parit 7 S/B memperoleh 3,000 tan. Agensi Kerajaan seperti BERNAS dan KADA yang terlibat secara langsung dalam industri padi mempunyai loji masing-masing berkapasiti 10,000 tan dan 6,000 tan malah mematuhi syarat-syarat tender tidak berjaya. Sekiranya berlaku sesuatu kepada syarikat-syarikat tersebut krisis makanan yang serius bakal melanda negara.  
  
Inilah kesannya bila projek yang sepatutnya memanfaatkan rakyat diberi tanpa saluran bidaan dan tender yang betul, dianugerahkan kepada entiti yang tidak berkemampuan dari segi pengalaman, pengetahuan, kemahiran dan sokongan kewangan serta paling malang bila dimonopoli menteri dan ahli keluarga. Rundingan terus menutup pintu rezeki korporat Melayu berkelayakkan. Amalan tender terbuka hanya berlaku di negeri-negeri PR. Tidak hairanlah kontraktor Melayu kroni UMNO marah sangat pada Ustaz Nik Abd Aziz Nik Mat, Ustaz Azizan Abd Razak, Lim Guan Eng dan Khalid Ibrahim kerana peluang mereka mendapatkan kontrak bergantung sepenuhnya kepada merit.

BN mengutamakan sektor perusahaan mudah dengan hasil lumayan seperti pembalakkan. Keghairahan membalak memberi kesan langsung ke atas alam sekitar. Penerokaan hutan secara berleluasa mencemarkan sumber air, menceroboh habitat liar, menyebabkan hakisan dan tanah runtuh selain menjejaskan keseimbangan ekosistem. Kegiatan pencerobohan hutan simpan semakin menjadi-jadi kebelakangan ini. Sesetengah pihak terlibat menghalalkan penebusan rezab hutan simpan. Di Negeri Sembilan misalnya sepanjang tahun 2006 - 2011 lebih 8,600 hektar tanah hutan simpan dibatalkan status untuk tujuan pembalakkan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dipengerusikan Menteri Besar Mohamad Hassan. Pembalakan haram pula berlaku diluar kawalan terutamanya di Kedah, Pahang, Sabah dan Sarawak. Apa tindakan drastik kerajaan Mohd Najib Abd Razak dan pihak berwajib dalam mengekang aktiviti pencerobohan hutan simpan dan pembalakan haram?

Oleh kerana perniagaan balak memang menguntungkan ramai ahli politik-korporat menceburkan diri. Ketua Menteri Sabah Musa Aman dikaitkan dengan tuduhan meluluskan lesen pembalakan bernilai RM400 juta kepada syarikat berkaitan keluarga. Sekitar tahun 2009 beliau menerima manfaat RM40 juta dari saudagar balak Micheal Chia yang membalak di negeri kaya biodiversiti itu. Beliau menafikannya dan menegaskan wang itu berupa sumbangan politik. Menteri Law De Facto Nazri Aziz dituduh bersengkongkol apabila mengugurkan tuduhan rasuah terhadap Musa Aman ketika terdapat bukti-bukti sahih Musa dan anak beliau Nadim Nazri mendapat manfaat dari keakraban dengan saudagar balak tersebut. 

Piawaan yang terlalu ketat oleh kerajaan China menyebabkan Lynas Corp memilih Malaysia untuk projek nadir bumi bernilai RM2.5 billion di luar Australia. Selepas kerajaan negeri Terengganu menolak cadangan pembangunan kilang di Telok Kalong, Lynas Corp memilih Pusat Perindustrian Gebeng dan kekal beroperasi di situ. Pelaburan asing ini dikatakan menyedia 600 peluang pekerjaan tetap dan kontrak kepada anak tempatan selain pemindahan teknologi serta pengalakkan aktiviti penyelidikan. Sebagai ganti kerajaan Mohd Najib Abd Razak meluluskan pengecualian cukai pendapatan statutori selama 12 tahun. Sungguhpun mendapat tentangan dari ahli politik, aktivis alam sekitar dan penduduk tempatan, projek nadir bumi Lynas Advanced Materials Plant diteruskan.

Projek tersebut bakal mengestrak lebih 1 juta meter padu sisa pepejal beradioaktif. Arang batu yang dibawa masuk dari Mount Weld Australia mengandungi thorium dan uranium yang merupakan bahan radioaktif. Thorium boleh memudaratkan kesihatan untuk selama 14 juta tahun, jauh lebih lama dari kesan penguraian uranium. Sehingga kini tiada pengesahan arahan mandatori di mana sisa pepejal tersebut akan dilupuskan. Sudahkah ia dibawa keluar semenjak projek itu mula beroperasi? Sekiranya benar sisa diangkut keluar melalui jalan air untuk dilupuskan di sebuah pulau rahsia adakah langkah-langkah keselamatan wajib telah dipenuhi demi mengelakkan kejadian pencemaran sisa radioaktif di perairan negara?

Transperancy International berpengkalan di Berlin yang bertanggungjawab melakukan penyelidikan ke atas 183 negara dan mengeluarkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) melaporkan pada 2012 terdapat sedikit peningkatan kedudukan Malaysia iaitu ke 54 berbanding 60 tahun lalu. Namun peningkatan ini bukan disumbang peningkatan usaha kerajaan dalam membanteras amalan rasuah kerana berlaku penurunan dari segi skor. Semenjak mengambil alih kerajaan Mohd Najib Abd Razak gagal menyamai atau memperbaiki rekod ke 37 dipegang Abdullah Ahmad Badawi sejurus dilantik sebagai Perdana Menteri pada 2003.

Dilaporkan Global Financial Integrity badan pemerhati kewangan berpengkalan di Washington dalam laporan menjejaki aliran modal merekodkan tahap pengaliran wang haram dari Malaysia pada tahun 2010 sangat membimbangkan. Laporan terbaru mendapati lonjakan dramatik iaitu dari USD30.41 billion (RM93 bilion) pada 2009 kepada USD64.38 billion (RM196.8 billion) pada 2010 menjadikan aliran terkumpul dalam tempoh sepuluh tahun sebanyak RM1.27 trillion (baca RM1,273,000,000,000) telah dibawa keluar dari negara. Jumlah ini disumbang oleh gejala modal haram, pengelakkan cukai, amalan rasuah atau komisyen, dadah dan lain-lain. Ini meletakkan Malaysia kedua tertinggi di dunia selepas gergasi ekonomi Asia China.

Kerajaan PR tidak mempunyai dana-dana (baca kemewahan) seperti kerajaan BN. Di sebalik segala kekurangan dan kesempitan PR mampu menguruskan negeri secara berhemat.

Kecekapan pentadbiran setahun jagung kerajaan PR Pulau Pinang berjaya menngeluarkan Majlis Perbandaran Seberang Perai dari senarai muflis malah melunaskan hutang tinggalan bekas Ketua Menteri Koh Tsu Koon sebanyak RM630 juta.  Ketua Menteri Lim Guan Eng berjaya membawa masuk lebih RM10 billion Pelaburan Terus Asing (FDI). Beliau mengubah corak Belanjawan negeri yang deficit dari tahun 2000 hingga 2008 kepada surplus melebihi RM138 juta pada tahun 2011.

Begitu juga kerajaan PR Kedah telah melangsaikan hutang tinggalan UMNO selain meningkatkan pendapatan tahunan sektor pembalakan dari RM9 juta pada 2008 kepada RM80 juta pada 2011 dengan kuota keluasan tebangan yang sama iaitu 2,340 hektar setahun ditetapkan kementerian berkaitan. Keterbatasan sumber kewangan tidak menghalang Menteri Besar Ustaz Azizan Razak membina Universiti Insaniah dengan prasarana setanding institut pengajian tinggi kelolaan kerajaan Persekutuan. Lebih menarik, pembinaannya melibatkan hanya 60% dari kos taksiran awal Kementerian Pengajian Tinggi.

Meskipun sering dilabel negeri termiskin dan termundur di Semenanjung, KDNK 6.9% Kelantan adalah keempat tertinggi dalam negara di belakang Selangor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia menegaskan Melayu Kelantan lebih kaya dari Melayu Johor kerana kos saraan penduduk negeri selatan Semenanjung itu terlalu tinggi impak pembangunan Wilayah Iskandar.

Di Selangor sekalipun konsensi pengurusan air terawat dipegang entiti swasta rakyat menikmati 20 meter padu air percuma setiap bulan malah selepas 4 tahun inisiatif tersebut dilaksanakan belum lagi memufliskan seperti yang diramal pembangkang negeri. Menteri Besar Khalid Ibrahim menghalang SYABAS menaikkan tarif air semenjak tahun 2008 walaupun ada peruntukkan membenarkan tariff dikaji.

Di sebalik segala usaha Puncak Niaga mengaut keuntungan dari perusahaan air di negeri paling maju tersebut sehingga sanggup mengsabotaj bekalan air Khalid Ibrahim berjaya menguruskan pengkhianatan mereka dengan bijak. Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri menetapkan syarat perkongsian bijak di antara kerajaan negeri dan Persekutuan - pengambilalihan pengurusan asset air oleh kerajaan negeri untuk kelulusan pembinaan Loji Rawatan Air Hulu Langgat 2. Dengan itu kerajaan negeri dapat meneruskan pemberian air percuma.

Pendapatan negeri bertambah kepada RM2.5 billion dalam tempoh kurang 5 tahun berbanding RM760 juta pentadbiran berpuluh tahun BN. Ketua Audit Negara memuji tatacara pengurusan perbelanjaan dan penstrukturan hutang negeri. Bekas Menteri Besar Khir Toyo dan bekas Menteri Pengangkutan Ling Liong Sik meramalkan Najib Razak tidak mampu menawan semula negeri tersebut kerana ketokohan dan kebersihan pentadbiran Menteri Besarnya.

Negeri-negeri PR mampu menyediakan kemudahan kepada rakyat negeri seperti perumahan awam kos rendah dan sederhana mampu milik, akses jalanraya ke desa dan pendalaman, perkhidmatan jalur lebar awam percuma di tempat tumpuan di bandar, bantuan kewangan untuk perniagaan dan pengajian serta banyak lagi.
                                                                                                                                      
Melihatkan kepada kemampuan PR mentadbir 2 negeri termaju serta negeri kurang hasil seperti Kedah dan Kelantan dengan baik dan berhemah, tidak mustahil PR mampu mengemudi pentadbiran dan mengurus hasil kekayaan negara jauh lebih baik dari BN.

Langkah PR dalam Belanjawan Alternatif 2013 yang merancang menubuhkan entiti PetroSabah, PetroSarawak, PetroTerengganu dan PetroKelantan untuk mengalakkan kerajaan dan anak negeri terlibat langsung dalam perusahaan petroleum negara boleh meransangkan pertumbuhan ekonomi setempat. ‘Pengembalian’ hak urus dan untung carigali kepada anak tempatan dari dimonopoli kroni dan pengusaha luar satu langkah dinamik yang harus dipuji.

Lebuhraya Utara Selatan merupakan lebuhraya terpenting menghubungkan negeri-negeri pantai barat Semenanjung. Banyak bandar-bandar baru tumbuh sejajar dengan lebuhraya tersebut. Langkah penghapusan tol lebuhraya ini ditambah pengurangan harga minyak petrol dan diesel mampu merancakkan sektor ekonomi setempat disamping mengurangkan kos barang keperluan asas, caj elektrik serta banyak lagi.

Perlaksanaan gaji minimum RM1,100 sebulan mampu meningkatkan taraf hidup rakyat tempatan sekaligus mengurangkan import dan kebergantungan kepada pekerja asing. Pertambahan 1 juta peluang pekerjaan dari cadangan pemerkasaan pengangkutan awam dan pendidikan vokasional serta pemecahan monopoli perusahaan telekomunikasi, makanan rugi, farmaseutikal dan tenaga mampu meninggikan lagi taraf ekonomi negara.

Penurunan harga kereta melalui pengurangan duti eksais secara berperingkat-peringkat dapat mengurangkan hutang rakyat malah mampu mengalakkan tabungan. Pendidikan dan perkhidmatan wad percuma mampu memberi nilai tambah dalam hidup rakyat yang terkesan dengan peningkatan kos saban tahun kos dua keperluan ini.

Ketika rakyat mempunyai taraf hidup yang lebih baik, pendapatan tetap serta ekonomi keluarga yang utuh, banyak masalah yang berkait rapat dengan kekurangan ini secara langsung dapat diselesaikan seperti masalah jenayah curi, ragut dan rompak, masalah sosial kerana tekanan hidup dan banyak lagi.
 
Tidakkah rakyat berhak mendapatkan perkhidmatan terbaik dari kerajaan yang mereka pilih dan pemimpin yang mereka amanahkan untuk menjaga bukan sahaja keamanan malah kestabilan?

No comments:

Post a Comment