Thursday, September 13, 2018

PRK Port Dickson

1. PRK Port Dickson satu pembaziran. 

Ini kerana setiap kali diadakan PRK jentera pilihanraya digerakkan, berpuluh ribu poster dan bendera digantung, pentas ceramah didirikan, makan-minum dihidangkan, belanja penginapan dan pengangkutan dikeluarkan, gula-gula ditaburkan dan banyak lagi. Ia melibatkan pembelanjaan besar.

Pemimpin parti politik yang berhujah ianya membazir maka molek sangat mereka tidak menurunkan calon.

Tiada pertandingan bermakna tiada pengundian. Maka SPR tidak perlu mengerakkan pasukannya dan tidak berlaku perbelanjaan untuk PRK. Ia menjimatkan dana rakyat. Ringkasnya kita menghantar Dr Anwar ke Parlimen tanpa sebarang kos. 

Menjadikan Dr Anwar MP tidak mengubah kedudukan Dewan Rakyat. PH masih majoriti. UMNO-PAS kekal membangkang.

2. PRK dan demokrasi.

Mengikut Perlembagaan sekiranya seorang MP meletakkan jawatan maka SPR perlu mengadakan PRK. 

Namun pembangkang menggunakan pembaziran sebagai isu. Mereka adalah individu-individu sama yang mendesak bekas MP PAS yang menyertai Amanah meletak jawatan untuk diadakan PRK pada 2015.

Selain pembangkang, sebahagian penyokong kerajaan juga mempersoalkan keperluan dan masa PRK ini diadakan. Kumpulan yang tidak sebulu dengan Dr Anwar menimbulkan soal ketelusan dan demokrasi.

Mereka ini gagal membangkitkan halangan undang-undang pra PRU14 dan rencana BN yang bersungguh menghalang Dr Anwar berada di Parlimen. Mereka juga gagal mematuhi konsensus disepakati ke semua komponen PH dan Warisan pra PRU14 yang bersetuju menuntut Dr Anwar mendapatkan pengampunan penuh diRaja, dikembalikan ke Parlimen dan diangkat sebagai PM ke 8. 

PRK Port Dickson ini adalah sebahagian dari proses yang dirancang Majlis Presiden PH sejak Januari 2018, bukannya perkara baharu seperti dicanang Zuraida Kamaruddin dan geng kartel PKR.

3. PH di Putrajaya kerana kesabaran Dr Anwar Ibrahim. 

Sekiranya Dr Anwar tidak memberikan rakyat alternatif kepada BN dengan menubuhkan PH, tidak memaafkan Dr Mahathir Mohamad, tidak mencadangkannya sebagai PM interim, tidak bekerjasama dengan Bersatu dan Warisan, tidak mendamaikan bekas pemimpin UMNO dan DAP, nescaya hari ini Regim Mohd Najib Abd Razak masih kekal berkuasa.

Ramai pemimpin politik dan pegawai tinggi kerajaan kurang senang dengan Dr Mahathir yang sebelum ini memimpin seperti diktator. Mereka skeptik dengan kesungguhannya menjayakan agenda reformasi institusi dan sistem pentadbiran negara. Beberapa 'hiccup' dalam 100 hari pertama pentadbiran PH mengesahkan kebimbangan mereka.

Dr Mahathir juga ada sejarah tidak lunak dengan Istana. Semenjak dibebaskan Dr Anwar lebih kerap mengadap dan mendapat kunjungan Sultan-Sultan berbanding Dr Mahathir. Itu kecendorongan Istana. Urusan Negeri-Pusat menjadi sukar sekiranya Istana dan Putrajaya saling tidak mempercayai. Dr Anwar menjadi jambatannya.

Suka atau tidak Dr Anwar adalah arkitek muafakat dan kejayaan PR dan PH. Beliau memiliki keupayaan menyatukan dan memimpin gabungan parti-parti pelbagai latarbelakang dan perjuangan. Kerajaan dan rakyat memerlukannya di Parlimen, khususnya sekarang ketika Dr Mahathir dikhabarkan kerap lupa dan uzur. 

Ini bukan soal menjadikan Parlimen Malaysia medan politik anak beranak, bukan juga soal berebut jawatan PM. PRK Port Dickson adalah untuk memastikan kelancaran pentadbiran dan pemulihan negara dari kerosakan sistem, yang mana Dr Mahathir Mohamad adalah sebahagian puncanya.

Retak Berbelah

Ramai menjangkakan PKR akan berpecah selepas pemilihan parti Oktober 2018. Keretakkan antara kem Mohamad Rafizi Ramli dan kem Mohamed Azmin Ali sudah tidak dapat dipulihkan.

Sekiranya perpecahan berlaku pasca pemilihan 2018, ia sekadar mengulangi krisis UMNO 1988 (wujudnya Semangat 46), krisis UMNO 1999 (wujudnya Keadilan), krisis PAS 2015 (wujudnya Amanah) dan krisis UMNO 2016 (wujudnya Bersatu dan Warisan). Perpecahan parti politik di Malaysia bukanlah perkara baharu.

UMNO bergolak pada 1988, 1999 dan 2016 namun kekal di Putrajaya. Mereka tetap berkuasa di sebalik krisis-krisis pertembungan dua kumpulan dalam parti. Pengalaman adalah kunci.

Kini giliran PKR. Perpecahan dalam parti komponen terbesar Pakatan Harapan bakal memperlihatkan antara dua, kesuburan demokrasi dan ketamakan peribadi.

Saya berharap pemimpin dan ahli PKR yang tegar DNA UMNOnya bersegera mengundur dan membawa diri. Mereka sepatutnya berasa malu bercakap mengenai ketelusan dan demokrasi ketika mereka gemar melakukan hal bertentangan. 

Mereka boleh memilih menyertai Bersatu. Atau lebih afdal kembali ke pangkuan UMNO. Bukankah mereka juga beriya-iya mahu mengekalkan PAS dalam kerajaan Selangor, yang kini merujuk dan berdamai dengan UMNO?

Amat memalukan sekiranya mereka memilih untuk kekal dalam PH, apalagi dalam PKR dan terus menyandang jawatan Menteri, EXCO dan sebagainya, di atas hasil keringat perjuangan badang-badang PH yang mereka gelarkan perosak, pemfitnah, dangkal dan sebagainya.


Wednesday, September 5, 2018

Budaya Menegur

Tegur tandanya kita sayang. Jika kita tidak tegur bererti kita tidak perduli lagi. Tidak perduli bererti sudah jauh hati. Bila jauh hati bermakna PRU15 kita ucap selamat jalan.

Di zaman beribu-ribu applikasi sosial di hujung jari kita boleh menegur pemimpin negara terus ke muka mereka, tanpa perlu menulis surat rasmi, membuat temujanji ke pejabat dan menunggu pegawainya memberi maklum balas. Manfaatkan applikasi sosial untuk menegur. Malangnya ramai yang tidak berpuas hati hanya tahu bersunggut, meroyan dan mengunyit di ruangan page peribadi mereka, tidak pula mereka majukan keraguan dan bantahan terus kepada pihak berwajib. Ianya perbuatan yang sia-sia. Ia perbuatan menghasut dan mengadu domba.

Kita boleh mempunyai kecendorongan kepada sesuatu pihak kerana alasan-alasan akademikal dan emosional. Tetapi jangan jadikan kecendorongan itu alasan menutup yang hak. Salah tetap salah. Dalam Islam, kita mesti menegur kesalahan sebelum menjatuhkan hukum. Berlaku adil paling dekat dengan taqwa. Seandainya teguran-teguran tidak diendahkan maka kita layak menghukum. Posisi kita sebagai rakyat pembayar cukai, berkuasa menghukum pemimpin bila datangnya PRU. Ketika itu, hukumlah mereka sewajarnya. Jangan kerana sentimen-sentimen tertentu kita lupa kewajipan berlaku adil.

Tiada mana-mana pemimpin dan parti politik di dunia ini maksum. Mereka tidak suci. Mereka tidak sempurna. Politik adalah kenderaan diguna mereka untuk menyempurnakan matlamat, samada matlamat yang baik atau tidak Tuhan lebih tahu. Kita yang beraqal harus sentiasa faham inilah asas mana-mana individu yang memilih "untuk memimpin".  Sangat sukar mencari yang benar-benar jujur, iqlas dan berkelayakkan. Maka kita pilih individu yang beri paling kurang mudarat.

Tegur selagi kita mampu. Jangan cepat kecewa dan beralah. Jika Dr Anwar Ibrahim boleh berjuang 20 tahun, 3 kali berumah penjara 14 tahun lamanya, kita yang mengaku lebih bijak dan arif sepatutnya lebih kental daya juangnya.