Thursday, September 13, 2018

PRK Port Dickson

1. PRK Port Dickson satu pembaziran. 

Ini kerana setiap kali diadakan PRK jentera pilihanraya digerakkan, berpuluh ribu poster dan bendera digantung, pentas ceramah didirikan, makan-minum dihidangkan, belanja penginapan dan pengangkutan dikeluarkan, gula-gula ditaburkan dan banyak lagi. Ia melibatkan pembelanjaan besar.

Pemimpin parti politik yang berhujah ianya membazir maka molek sangat mereka tidak menurunkan calon.

Tiada pertandingan bermakna tiada pengundian. Maka SPR tidak perlu mengerakkan pasukannya dan tidak berlaku perbelanjaan untuk PRK. Ia menjimatkan dana rakyat. Ringkasnya kita menghantar Dr Anwar ke Parlimen tanpa sebarang kos. 

Menjadikan Dr Anwar MP tidak mengubah kedudukan Dewan Rakyat. PH masih majoriti. UMNO-PAS kekal membangkang.

2. PRK dan demokrasi.

Mengikut Perlembagaan sekiranya seorang MP meletakkan jawatan maka SPR perlu mengadakan PRK. 

Namun pembangkang menggunakan pembaziran sebagai isu. Mereka adalah individu-individu sama yang mendesak bekas MP PAS yang menyertai Amanah meletak jawatan untuk diadakan PRK pada 2015.

Selain pembangkang, sebahagian penyokong kerajaan juga mempersoalkan keperluan dan masa PRK ini diadakan. Kumpulan yang tidak sebulu dengan Dr Anwar menimbulkan soal ketelusan dan demokrasi.

Mereka ini gagal membangkitkan halangan undang-undang pra PRU14 dan rencana BN yang bersungguh menghalang Dr Anwar berada di Parlimen. Mereka juga gagal mematuhi konsensus disepakati ke semua komponen PH dan Warisan pra PRU14 yang bersetuju menuntut Dr Anwar mendapatkan pengampunan penuh diRaja, dikembalikan ke Parlimen dan diangkat sebagai PM ke 8. 

PRK Port Dickson ini adalah sebahagian dari proses yang dirancang Majlis Presiden PH sejak Januari 2018, bukannya perkara baharu seperti dicanang Zuraida Kamaruddin dan geng kartel PKR.

3. PH di Putrajaya kerana kesabaran Dr Anwar Ibrahim. 

Sekiranya Dr Anwar tidak memberikan rakyat alternatif kepada BN dengan menubuhkan PH, tidak memaafkan Dr Mahathir Mohamad, tidak mencadangkannya sebagai PM interim, tidak bekerjasama dengan Bersatu dan Warisan, tidak mendamaikan bekas pemimpin UMNO dan DAP, nescaya hari ini Regim Mohd Najib Abd Razak masih kekal berkuasa.

Ramai pemimpin politik dan pegawai tinggi kerajaan kurang senang dengan Dr Mahathir yang sebelum ini memimpin seperti diktator. Mereka skeptik dengan kesungguhannya menjayakan agenda reformasi institusi dan sistem pentadbiran negara. Beberapa 'hiccup' dalam 100 hari pertama pentadbiran PH mengesahkan kebimbangan mereka.

Dr Mahathir juga ada sejarah tidak lunak dengan Istana. Semenjak dibebaskan Dr Anwar lebih kerap mengadap dan mendapat kunjungan Sultan-Sultan berbanding Dr Mahathir. Itu kecendorongan Istana. Urusan Negeri-Pusat menjadi sukar sekiranya Istana dan Putrajaya saling tidak mempercayai. Dr Anwar menjadi jambatannya.

Suka atau tidak Dr Anwar adalah arkitek muafakat dan kejayaan PR dan PH. Beliau memiliki keupayaan menyatukan dan memimpin gabungan parti-parti pelbagai latarbelakang dan perjuangan. Kerajaan dan rakyat memerlukannya di Parlimen, khususnya sekarang ketika Dr Mahathir dikhabarkan kerap lupa dan uzur. 

Ini bukan soal menjadikan Parlimen Malaysia medan politik anak beranak, bukan juga soal berebut jawatan PM. PRK Port Dickson adalah untuk memastikan kelancaran pentadbiran dan pemulihan negara dari kerosakan sistem, yang mana Dr Mahathir Mohamad adalah sebahagian puncanya.

No comments:

Post a Comment