Tuesday, October 5, 2021

Khianat 2.0

Sedari dahulu lagi saya tidak sokong usaha menjatuhkan kerajaan melalui kerja khianat wakil rakyat yang melompat. Saya amat menentang amalan paling tadah Ahli Palimen (AP) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menang atas tiket UMNO di Semenanjung dan Sabah melompat ke Bersatu dan Warisan sejurus selepas PRU14.

Saya juga amat menentang tindakan AP dan ADUN PKR, DAP dan Amanah melompat ke Bersatu dan menjadi bebas pro PN selepas Bersatu secara en bloc meninggalkan PH untuk bersama BN dan PAS menubuhkan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Kedah, Perak, Melaka, Johor dan Sabah.

Wakil rakyat yang melompat/keluar parti lebih jijik dari tindakan parti berjemaah keluar sebuah pakatan. PAS keluar Pakatan Rakyat (PR) dan Bersatu keluar Pakatan Harapan (PH) adalah hasil keputusan majoriti. Majlis Tertinggi (MT) diberi mandat oleh ahli untuk buat keputusan. Itulah fungsi demokrasi - beri hak memilih kepada pemilih dan beri kuasa kepada individu/kumpulan yang dipilih.

Adapun demokrasi pilihanraya PRU/PRN memberi kuasa kepada individu dengan undi majoriti. Berbeda dengan pemilihan parti, kuasa wakil rakyat dibatasi syarat dan kehendak pengundi. Wakil rakyat dipilih dan digajikan rakyat, bukan oleh parti/kerajaan. Klausa 'kebebasan berpersatuan' sebetulnya tak terpakai pada AP/ADUN.

Umpama apabila dilantik dan digajikan majikan A maka pekerja tak boleh memilih untuk berkhidmat dengan majikan B namun pada masa yang sama berpaut kontrak dan gaji dari majikan A. AP/ADUN yang melompat/keluar parti secara terang menentang konsep tersebut dan kehendak majoriti, melainkan majoriti memberikannya hak berbuat demikian.

Kegagalan PH menyegerakan Akta Lompat Parti atau Akta Pilihanraya Pecat semasa berkuasa adalah kesilapan paling mengecewakan. Tanpa kedua-dua akta ini wakil rakyat kekal berdaya dalam budaya "mendagangkan" kerusi mereka demi habuan dengan mana-mana pembida. Pelobi dengan RM tertinggi pastinya menang, tanpa perlu bersusah-susah meyakinkan ribuan pengundi supaya menerima tindakan "berubah hati" AP/ADUN yang melompat.

Saya pernah mencadangkan beberapa pembaharuan pilihanraya dan amalan berkerajaan yang perlu disegerakan kerajaan PH pada 2018. Baca di sini. Malangnya it fell on deaf ears.

Krisis terbaru di Melaka adalah hasil kegagalan PH, PN dan BN menyegerakan pembaharuan. Apabila berkuasa masing-masing bagai hilang political will mengutamakan janji-janji memperkasa pengundii seperti dilaungkan mereka sebelum ini. Selagi tiada akta mencegah selagi itu Langkah Sheraton dan seumpamanya akan berulang. Mangsanya adalah pengundi.

Jika PH menerima pengkhianat BN dan PH terdahulu semata-mata untuk menubuh kerajaan Melaka ia menjadikan PH tiada beda dengan BN dan PN. Kurang 2 tahun mandat penggal ini bakal berakhir langkah PH sepatutnya lebih berhati-hati. Tapi malangnya kerakusan "strategis" sudah membutakan minda dan jiwa sebahagian barisan pemimpinnya.

Apa pun alasan, samada strategi politik, manfaat peluang atau tebus maruah, menerima pengkhianat pengundi untuk membentuk kerajaan BUKAN pilihan yang patut ada dalam pakatan reformasi. Jika alasannya kerana Ismail Sabri gagal hormati MoU, PH sepatutnya serah kepada pengundi mengajarnya pada PRU15. Malah PH boleh pada bila-bila masa menarik diri dari MoU tersebut.

Dan jika menerima pengkhianat BN di Melaka adalah usaha timbal balas kepada tindakan khianat kem Mahiaddin Yasin dan Azmin Ali atau, satu bentuk amaran kepada kem Mahathir Mohamad dan Shafie Afdal, memilih pendekatan ini ketika PRU semakin hampir hanya beri mudarat kepada PH. Musuh berjaya mewujudkan persepsi PH = BN dan PN. 

Sekiranya kerana ini ramai pengundi yang layak memilih memulau bukan sahaja PRN Melaka bahkan PRU15, PH pasti bakal mengigit jari untuk kembali merampas Putrajaya.

Tidak salah menerima bekas pemimpin dan ahli UMNO menyertai PH selepas DUN Melaka dibubarkan. Yang salah ialah menerima kerana mahu meletakkan mereka sebagai calon PH pada pilihanraya mengejut Melaka tanpa terlebih dahulu menguji kesetiaan mereka terhadap roh dan perjuangan Reformasi.

Namun menerima semula malah mencalonkan pengkhianat kejatuhan PH sebelum ini untuk PRU/PRN akan datang adalah suatu kesalahan dan kesilapan terbesar pimpinan PH. Mereka ini hanya akan mencalit najis pada PH dan busuknya akan  kekal berpanjangan.



Friday, October 1, 2021

Logo PH atau PKR

 


Kenapa Majlis Presiden Pakatan Harapan tak ambil pendekatan dengar pandangan akar umbi? Mereka di lapangan lebih tahu sentimen di bawah dan mereka juga yang akan usung logo/bendera ketika berkempen.

Buat lah kajian mudah seperti berikut:

1. Logo lebih sesuai diguna PH pada PRU15 nanti:

A. PH
B. PKR
C. DAP
D. Parti masing-masing

2. Alasan anda:

A. Demi kesepakatan
B. Lebih dikenali
C. Kurang persepsi negatif
D. Lain-lain

3. Perlukah PH bekerjasama dengan Warisan, Pejuang dan Muda?

A. Perlu. Tanding di bawah 1 logo
B. Perlu. Elak bertanding sesama sendiri
C. Tidak perlu. Pertandingan banyak penjuru beri kelebihan kepada PH
D. Tidak perlu. Pemimpin Warisan, Pejuang dan Muda tidak boleh dipercayai