Wednesday, April 29, 2015

Langkah Pertama

Gejala salah laku, salah guna kuasa, syok sendiri, bodoh sombong dan keras kepala di kalangan pemimpin politik dan negara lewat ini makin menjadi-jadi. Halnya ini berlaku kerana pemimpin tersebut merasakan jawatan disandang adalah hak mutlak mereka. Pemimpin sebegini  jika dibiar lama di kerusi kuasa mampu mendedahkan rakyat dan negara kepada pelbagai natijah memudaratkan.

Sifat jujur dan amanah sudah terhakis di kalangan pemimpin negara. Apa yang dijanji semasa kempen sama sekali berbeda dengan apa yang dikotakan selepas pilihanraya. Selepas rakyat memberi sokongan dan mandat, mereka tidak berlengah mengambil kesempatan.

Memperoleh kuasa 2/3 di Parlimen membolehkan Dr Mahathir Mohamad menghilangkan taring Badan Pencegah Rasuah, merantai ketelusan badan kehakiman dan membelenggu pasukan keselamatan manakala Abdullah Ahmad Badawi melumpuhkan kebebasan Suruhanjaya Pilihanraya dan meluaskan kuasa Jabatan Perdana Menteri. Campur tangan melampau Eksekutif ke atas sistem keadilan dan keselamatan merosakkan konsep pemisahan dan sempadan kuasa yang termaktub di dalam Perlembagaan. Tidak hairanlah ketika ini Mohd Najib Abd Razak terus berdaya melemahkan fungsi institusi-institusi awam, manfaat dari kejahilan Dr Mahathir dan Abdullah.

Kesannya sistem pentadbiran negara menjadi sangat berkecamuk, tidak efisien dan tiada kesalingan. Ini berlaku kerana Dr Mahathir, Abdullah dan Najib telah menolak nilai-nilai dan corak kepimpinan tiga Perdana Menteri terdahulu.

Sungguhpon ramai beranggapan kegilaan yang melanda negara sudah sampai ke tahap diluar kawalan namun ia bukanlah sesuatu yang tidak mampu lagi dibendung atau diubah. Pemimpin terdahulu mampu mengamalkan pentadbiran bersih, cekap dan amanah, baik di dalam parti mahupon dalam kerajaan. Mereka mendidik diri dan anak buah mereka mempraktikkan sifat-sifat kepimpinan terpuji.

Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj, Abdul Razak Hussein dan Hussein Onn meletakkan kepentingan negara dan rakyat di maqam tertinggi. Tiada istilah 'saya' sebaliknya 'kami' dalam merencana masa depan negara. Mereka tidak mengambil kesempatan dan tidak meraih keuntungan buat diri dan keluarga di sebalik segala 'privileges' selaku ketua negara.

Mereka tidak berkompromi soal kedaulatan, keselamatan dan kemakmuran. Mereka mendahulu dan mengutamakan kebajikan rakyat dalam pelan-pelan pembangunan. Mereka mengurus dan mengagihkan khazanah di laut dan darat secara berhemah dan saksama. Mereka tidak memberi ruang penyamun memanipulasi dan membolot kekayaan negara.

Mereka membuktikan bahawa negara berbilang kaum ini mampu ditabir urus dengan baik tanpa memerlukan nasihat dan campur tangan asing. Suku kaum di Malaysia Barat dan Malaysia Timur boleh bergantung harap dan percaya kemampuan pemimpin Melayu. Rakyat di Semenjung dan di Kepulauan Borneo boleh bekerjasama dan saling memerlukan.

Semua ini  mampu dicapai dan dilaksana bila pemimpin jujur dengan jawatan dan amanah kepada tanggungjawab mereka. Mereka tidak mengingkari ikrar perlantikan tidak juga menyalahguna kedudukan yang ada pada mereka.
 
Langkah pertama memulih dan membina semula negara Malaysia adalah dengan membetulkan kesilapan Dr Mahathir dan Abdullah. Negara perlu mengubah sistem demokrasi ala UMNO-Barisan Nasional kepada sistem demokrasi sebenar. Wakil rakyat-wakil rakyat sedia ada dari kedua-dua pihak penyokong dan pembangkang perlu berubah (sekalipon melalui desakan) dan kembali memainkan peranan sebenar mereka; berkhidmat kepada 'tuan mereka' yakni rakyat (bukannya kepada parti atau individu tertentu) dan berpegang teguh kepada ikrar perlantikan mereka.

Mereka perlu memperkasakan perkara-perkara berikut: 
 
1. Rakyat melantik kerajaan. Parti, perikatan atau gabungan yang mendapat majoriti sokongan (undi popular) dalam pilihanraya umum layak membentuk kerajaan. Ini membatalkan amalan terdahulu yakni parti, perikatan atau gabungan yang memenangi kerusi Parlimen/DUN terbanyak membentuk kerajaan.
 
2. Rakyat melantik Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Jawatan-jawatan ini dipertandingkan seperti negara-negara demokrasi. Jika tidak dipilih secara langsung oleh rakyat, lantikan ke jawatan tersebut perlu melalui proses pengundian atau konsensus ahli-ahli berhormat parti, perikatan atau gabungan yang memenangi pilihanraya. Ini membatalkan amalan tradisi Presiden dan Timbalan parti dominan secara otomatik menjadi Perdana Menteri dan Timbalan. Ketetapan ini dapat membendung amalan rasuah politik, pilih bulu dan hutang budi menjadi alat meraih kedudukan, kuasa dan pengaruh.
 
3. Majlis Raja-Raja melantik Pegawai Tertinggi Negara. Lantikan ke jawatan Ketua Setiausaha Negara, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya, Pengerusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, Ketua Audit Negara, Ketua Hakim Negara, Ketua Polis Negara dan Panglima Angkatan Tentera perlu melalui proses pemilihan ketat oleh DYTM-DYTM Majlis Raja-Raja. Ini membatalkan amalan jawatan-jawatan tersebut dilantik Yang Dipertuan Agong (pada hakikatnya hanya meng'endorse' pilihan Perdana Menteri).
 
4. Memperkasakan Parlimen. Institusi-institusi seperti Perbendaharaan, SPAM, SPR, SPRM, JAN, PDRM dan ATM bertanggungjawab kepada Jawatankuasa Khas Parlimen. Ini membatalkan amalan badan-badan tersebut diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri atau Kementerian Dalam Negeri yang diketuai Perdana Menteri. Ketetapan ini melicinkan urusan pentadbiran negara serta mengurangkan keperluan penubuhan Majlis-Majlis, Jabatan-Jabatan  serta jawatan-jawatan yang bersifat bertindih atau duplikasi sekaligus mengurangkan karenah birokrasi dan perbelanjaan pengurusan negara.

Langkah-langkah di atas dipercayai mampu meminima salah guna kuasa di kalangan pemimpin selain memastikan badan-badan perundangan, kehakiman dan keselamatan negara benar-benar bebas dan berwibawa serta tidak menjadi alat kepada mana-mana pemimpin dan ahli politik.
 
Meletak dan mempraktikkan asas sistem demokrasi sebenar di atas sistem sedia ada memerlukan penjelasan menyeluruh kepada rakyat Malaysia. Ia memerlukan masa untuk difahami dan diterima. Ia boleh bermula dengan ahli-ahli yang berhormat lebih dahulu memahami dan menerimanya. InshaAllah adalah tidak mustahil suatu hari nanti Malaysia akan kecapi semula keamanan dan kemakmuran selepas kita berani mengorak Langkah Pertama.

Monday, April 27, 2015

Nasib Melayu (Bahagian 1)

Dr Mahathir Mohamad
 
Kenyataan Dr Mahathir Mohamad di Forum Bicara Negarawan anjuran PERKASA yang dinaunginya tidak menampakan bibit-bibit penyesalan dan keinginan untuk berubah dan merubah.
 
Ketika Dr Mahathir mendedahkan serangan ke atas Mohd Najib Abd Razak tidak lebih kerana sayangkan UMNO beliau hanya membangkitkan kegelisahan umum terhadap hala tuju dan masa depan negara. Ugutan kerasnya Pakatan Pakyat akan mengali dan menghukum segala kerosakan yang dilakukan UMNO jika mereka memerintah nanti cukup mengambarkan bahawa keutamaan (baca ketakutan) Dr Mahathir dari pelbagai skandal melibatkan Najib yang turut mendedahkan negara kepada bahaya hanya demi  menyelamatkan parti dan individu tertentu.

Dr Mahathir mengiakan tanggapan dan tohmahan umum bahawa kerosakan yang berlaku di bumi Malaysia berpunca dari tangan-tangan pemimpin UMNO-BN. Dr Mahathir juga mengiakan UMNO Baharu yang ditubuhkannya lebih penting dari rakyat dan negara. Tidak hairanlah ketika negara berada di ambang keruntuhan  beliau sanggup membakul sampahkan cadangan kerjasama dengan Pakatan Rakyat sebaliknya memilih Timbalan Presiden UMNO Muhyiddin Yasin mengantikan Najib berbanding pemimpin berintegriti paling dihormati YM Tengku Razaleigh Hamzah.
 
Barangkali Dr Mahathir merasakan Muhyiddin mampu meneruskan matlamat 'menyelamatkan bangsa Melayu' versinya sepertimana beliau mempercayakan Abdullah Ahmad Badawi dan Mohd Najib Abd Razak suatu ketika dahulu. Dr Mahathir sedar jika beliau menyokong Razaleigh sebagai Perdana Menteri samalah seperti menyerahkan kerajaan Persekutuan kepada Pakatan Rakyat dan perkara yang paling ditakutinya yakni 'pendedahan salah laku pemimpin UMNO hingga di lubang cacing' oleh Anwar Ibrahim bakal menjadi kenyataan.

Pengunduran Najib tidak memberi banyak manfaat kepada rakyat. Selagi 'the root cause' tidak dicari dan diperbetulkan selagi itulah corak pentadbiran negara tidak akan berubah sekalipon sepuluh PM dari kalangan UMNO bersilih ganti. Setuju atau tidak 'the root cause' telah dimulakan Dr Mahathir Mohamad sendiri dan hanya beliau mampu membetulkannya. Beliaulah yang membenarkan budaya 'bangsawan Melayu', gejala rasuah dan salahguna kuasa berleluasa, keruntuhan sistem keadilan, hilang percaya terhadap pasukan keselamatan serta kelemahan institusi awam. Semua ini menyuburkan jenayah kolar putih dan kolar biru. 
 
Siapapon yang menang antara Dr Mahathir dan Najib, rakyat jualah yang bakal menanggung akibatnya. 
 
 
Nasib Melayu
 
Jika makcik pakcik dan datuk nenek di kampung dan pendalaman memilih mempercayai cerita-cerita agen 'si putar alam' dengan menerima bulat-bulat 'kebenaran' dari sumber-sumber 'tepat lagi benar' rangkaian media milik Regim kita tidaklah berasa terhina, tidak juga memandang rendah malah boleh memaafkan kegelojohan-keghairahan mereka berkongsi buah minda mempertahankan golongan sufaha (kata banyak untuk safih yakni bodoh atau kurang bijak).
 
Namun adalah sungguh menghampakan dan jelik melihat bakal pemimpin negara - adik-adik di universiti-universiti tempatan khususnya UiTM yang mendapat 'pendidikan kelas dunia'  serta kakitangan awam (saya memilih 'awam' dari 'kerajaan' untuk mengingatkan mereka dibayar menguruskan keperluan rakyat bukan kerajaan) yang ramai berbangsa Melayu beribu-bapa Melayu golongan Bumiputera itu mudah sekali dipancing mindanya. Mereka pula mudah menerima asakan psikologi supaya sentiasa bercuriga dan bermusuh dengan kaum lain ketika 'hero bangsa' yang mentarbiah 'Melayu didahulukan' selalu sahaja sebantal dan setilam dengan tauke dan taiko Cina dan India.

Lebih menghampakan, anak-anak Melayu menjunjung julang Mohd Najib Abd Razak  dan 'pack of wolves'nya mempertahan anak Cina si Jho Low (mastermind 1MDB) dan geng Mamak (yang makin ramai di bahagian pentabdiran dan pembendaharaan negara) yang bukan berbangsa Melayu bukan juga Bumiputera menentukan hala tuju bangsa dan negara. Anak-anak Melayu sebegini yang membenarkan dongengan (pembohongan) lanun-lanun harta negara bahawa hanya percayakan UMNO negara akan aman, selamat, makmur dan berkat.

Malangnya Malaysia. Ada satu bangsa yang menjadi penguasa dan pentadbir di negara ini dari dahulu mereka mudah diperdaya. Lebih menyedihkan mereka tidak mahu belajar dari peristiwa-peristiwa yang berlaku ke atas nenek moyang serta tanahair mereka. Mereka memilih meletakkan masa depan harta, nyawa dan agama mereka di tangan hipokrit 'lebih Melayu dari Melayu' yang  menyamun kekayaan dan menodai  kedaulatan negara demi manfaat peribadi dan keluarga. Halnya ini boleh berlaku kerana bangsa tersebut lebih gemar bercakaran sesama sendiri, sekalipon isu-isu picisan, lalu mereka mengabaikan perkara-perkara lebih memberat seperti jati diri dan masa depan anak cucu mereka dan negara.

Wahai Melayu, sampai bila mahu terus diperdaya? Tidakkah mereka kasihan nasib anak-anak mereka sekarang? Tidakkah mereka takut akan nasib pewaris mereka di hari kemudian?

Thursday, April 23, 2015

Pakatan Rakyat Yang Lemah Pakatannya

Kerjasama Dengan Dr Mahathir Mohamad

Ramai berasa sedikit kecewa apabila Mantan Perdana Menteri membuat kenyataan beliau tidak akan bekerjasama dengan pembangkang untuk menekan Mohd Najib Abd Razak melepaskan kerusi kuasa.

Semenjak kenyataan beliau bersendirian menentang kerosakkan yang melanda UMNO khususnya dan negara amnya seperti tersiar di chedet.cc mendapat maklum balas mengujakan dari rakyat, Dr Mahathir berjaya membuktikan tindakannya menyerang Najib adalah tepat. Selain ribuan rakyat Malaysia pelbagai lapisan umur, pendidikan dan kaum memberi sokongan di Facebook dan Blognya, selebriti terkemuka Siti Nurhaliza Tarudin dan Rozita Che Wan, bekas MB Selangor yang kini Penolong Ketua Penerangan PAS Muhammad Mohd Taib dan Pengerusi Pemikir yang juga abang Timbalan Perdana Menteri Aziz Yasin turut menyokong usaha Dr Mahathir.

Sokongan bertambah kuat apabila Muhyiddin Yasin secara terbuka memuji tindakan Dr Mahathir yang 'selalu berkata benar', penasihat DAP Lim Kit Siang dan Naib Presiden PAS Husam Musa menyatakan kesediaan bekerjasama dengannya dan terbaharu adik Perdana Menteri Mohd Nazir Abd Razak memuatnaik lagu Michael Jackson You Are Not Alone dalam Facebooknya.

Boleh jadi kerana sokongan di luar jangkaan itu Dr Mahathir berani membakul sampahkan cadangan bekerjasama dengan PR. Barangkali juga penafian dan penolakkannya itu adalah satu lagi strategi 'buying time' Dr Mahathir yang sedang menyiapkan elemen kejutan kepada Najib.

Apa pon perancangan Dr Mahathir samada beliau bersendiri atau sedang mengadakan pakatan, pemimpin dan penyokong PR terutama dari PKR dan DAP tidak boleh 'take for granted' serta mengambil pendekatan tunggu dan lihat.  Saya mengabaikan PAS kerana geng ustaz  tidak berminat bekerjasama menentang Najib kerana dendam lama terhadap Dr Mahathir. Tambahan  desakan terbaharu Dr Mahathir agar rakyat tidak terpedaya dengan Hukum Hudud versi PAS mengukuhkan lagi alasan berkecuali. Geng ustaz lebih senang mewujudkan kesatuan dengan 'golongan yang dahulu mereka kafirkan' demi memenuhi impian 'golongan mulia suci tinggi darjatnya'. Ini buktikannya klik sini.

PKR dan DAP perlu terus memainkan peranan mereka membongkar salah laku Najib dan 'pack of wolves'nya demi seluruh rakyat Malaysia. Rafizi Ramli, N Surendran, Tony Pua, Mohamed Hanipa Maidin serta beberapa lagi pemimpin parti yang lantang membela kepentingan dan nasib rakyat mesti disokong dan dibantu. Kempen-kempen tekanan ke atas Regim mesti diperluas dan diperkuatkan.

Selain itu usaha-usaha mendedahkan penginayaan Regim ke atas pemimpin PR dan orang awam kepada organisasi perundangan dan hak asasi kemanusiaan antarabangsa mesti diteruskan. Duta-Duta luar perlu diberikan maklumat terkini penyalahgunaan kuasa oleh parti pemerintah. Majoriti rakyat sudah tidak menaruh percaya kepada sistem kehakiman dan pasukan keselamatan negara untuk berfungsi seadil dan sebaiknya. Mereka kini bergantung harap sokongan dan desakan antarabangsa untuk terus menekan Najib serta mengekang kerosakkan lanjut berlaku di bumi Malaysia.

Kerjasama Rakan Gabungan

Tidak perlu kajian saintifik membuktikan Pakatan Rakyat berdepan masalah semenjak sebelum PRU13 lagi. Tempoh setahun dua lalu PR mampu membendung permasalahan mereka kerana masih mempunyai nahkoda yang berjaya membawanya meredah  taufan besar sekaligus meredakan kegelisahan majoriti rakyat. Namun disebabkan cabaran yang ditempuhnya terlalu hebat mengakibatkan berlaku banyak kerosakan. Kerosakan-kerosakan  yang tidak segera dibaiki itu semakin memudaratkan selepas Anwar Ibrahim dipenjara. Kini bahtera PR mulai tenggelam. Jika pemimpin PR masih tidak sepakat melakukan langkah drastik dan nahkoda tidak segera diganti bahtera yang membawa amanah 52% rakyat Malaysia akan karam sebelum sempat berlayar.

Seperti dijelaskan posting terdahulu PR menghadapi 'tumor', punca rakyat makin kecewa dengannya. Belumpon reda kekecewaan gagal membentuk kerajaan Persekutuan sekalipon PR meraih majoriti undi popular, percakaran, cemuh mencemuh dan tuding menuding antara pemimpin yang berlarutan dan semakin membarah menambah kesalan. Rakyat makin muak dengan pertelingkahan umum DAP-PAS-PKR. Ia disebabkan kedegilan dan keegoan 'dinasor' pemimpin-pemimpin senior rakan gabungan.

Percakaran terbuka rakan gabungan PR kini di tahap 'malignant'. Masing-masing mencari dan membuka aib serta salah menyalahi satu sama lain. PKR yang hampir bersengketa dengan PAS gara-gara pertindihan pertandingan kerusi DUN dan Parlimen serta jawatan PM dan MB Selangor kini terjerat di tengah-tengah. Menyokong PAS bermakna menafikan sokongan dan bantuan  DAP selama ini. Menyokong DAP bermakna mengiakan cakap-cakap 'pelampau' geng ustaz dan UMNO bahawa ia barua Cina yang sanggup menjual agama.

Tidak hairanlah kerana mengambil pendekatan tidak memihak PKR kini dibelasah kanan kiri. Tambah lagi dengan ketiadaan Ketua Umum geng ustaz terus meletakkan segala punca permasalahan PR serta perbalahan dalaman mereka ke atas PKR. Tuduhan-tuduhan Melayu liberal, tali barut, tidak bijak bekerja dan banyak lagi dilempar kepada pemimpin parti Anwar Ibrahim itu. Manakala ahli dan pemimpin di kalangan mereka yang cenderung dengan PKR dilabel barua, parasit, liberal, Erdogan, Anwarinas dan bermacam lagi gelaran kasar. Tidak cukup itu PKR dan DAP dituduh menaja individu tertentu di kalangan mereka untuk merosakan rumahtangga serta menjatuhkan 'golongan mulia suci tinggi darjatnya'.

Ketika golongan professional sibuk mempertahankan negara dari dijual 'golongan yang dahulu mereka kafirkan' geng ustaz pula semakin aktif menyerang dan menjatuhkan sesiapa yang tidak wala' kepada 'ulama kepada seluruh ulama' mereka. Agenda peribadi 'golongan mulia suci tinggi darjatnya' lebih utama dari memperjuangkan ketelusan pengurusan dana rakyat dan kekayaan negara, mempertingkatkan taraf hidup dan ekonomi rakyat serta mengukuhkan keselamatan sosial dan negara.

DAP mengalami 'masalah keluarga' ketika pemilihan 2013. PKR juga berhadapan nasib serupa ketika pemilihan tahun lepas. Namun apa yang berlaku ketika mesyuarat tahunan dan pemilihan jawatan kedua-dua parti tersebut tidak lebih bagai ribut dalam cawan. Selepas segalanya selesai puak-puak bertelagah bagai carit-carit bulu ayam lambat laun bercantum jua. Berbeda dengan PAS, ketegangan yang berlaku bagaikan retak menanti belah, telur di hujung tanduk.

Bagi geng ustaz, segala masalah parti mereka berpunca dari pihak ketiga. Perbalahan dan perpecahan di antara pemimpin dan penyokong geng ustaz dan golongan professional adalah dosa ciptaan rakan gabungan. Penubuhan badan bukan kerajaan PasMa bertujuan meneruskan keseinambungan perjuangan Almarhum Haji Fadhil Noor dan Almarhum Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat adalah dosa ciptaan rakan gabungan. Penarikan sokongan terhadap mereka oleh rakyat baik Muslim mahupon bukan Muslim juga dosa ciptaan rakan gabungan.

Pengedaran risalah tanpa nama semasa pemilihan peringkat kawasan mengaib dan menjatuhkan golongan professional adalah kerja-kerja musuh Islam dan PR. Penulisan 'anonymous' atas talian dan laman sosial menghina dan mencela golongan professional adalah usaha-usaha musuh Islam dan PR. Perbalahan dan persengketaan dua puak berkonfrantasi adalah taktik-teknik musuh Islam dan PR. Pendek kata semuanya adalah pekerjaan orang luar dan tiada kea mengena dengan geng ustaz. 

Tindak tanduk geng ustaz memperlihatkan hanya merekalah yang benar dan betul terjamin tempat di syurga, tidak ubah seperti PAS sebelum penjenamaan dan peremajaan oleh Almarhum Haji Fadhil Noor.

Bagi kebanyakan pemerhati yang mengikuti perkembangan pemilihan PAS tahun ini rata-rata mengakui muqtamar bakal berlangsung Jun nanti adalah sangat getir. Bukan kerana serban-serban besar berjaya menguasai kawasan yang dahulunya dinaungi golongan professional, bukan jua kerana taktik risalah dan penulisan yang banyak membela geng ustaz dengan menyerang golongan professional, akan tetapi kerana parti yang tidak pernah gagal mempromosikan diri mereka pembela agama Islam ini adalah penentu kedudukan dan hala tuju PR selepas muqtamar.  

Khalayak umum skeptikal jawatankuasa baharu PAS nanti akan 'add value' kepada perjuangan PR. Mereka memandang sinis jenama 'PAS for All', 'Negara Berkebajikan' dan 'Bersetuju untuk tidak bersetuju' sekadar penyedap telinga dan alat kempen pilihanraya. 

Mereka percaya membiarkan PAS menguruskan perbedaan dengan rakan gabungan mengikut kaedah geng ustaz tidak akan menyembuh penyakit dalam PR. Mereka percaya PR kini kesuntukkan masa untuk meraih semula sokongan. Langkah drastik perlu dilaksanakan.

Pilihanraya kecil Rompin dan Permatang Pauh bakal menjadi referendum sejauh mana penerimaan rakyat ke atas 'performance' dan pendekatan PAS dan PKR selama ini. PAS akan menggunakan PRK mempromosi Hudud Kelantan manakala PKR akan membangkitkan isu 1MDB, SRC International, GST dan Akta-Akta kejam yang baharu dipinda dan diluluskan.

Komposisi pengundi dua kerusi Parlimen tersebut majoriti berbangsa Melayu. Calon-calon juga berbangsa Melayu. Rompin kerusi luar bandar manakala Permatang Pauh separa bandar. PAS berpengaruh di kawasan luar bandar manakala PKR di separa bandar dan bandar. PAS kukuh di kerusi majoriti Melayu manakala PKR kerusi campuran. Dua PRK ini cukup molek dijadikan barometer PR.

Referendum lebih berkesan jika kempen dua PRK kali ini difokuskan. Rompin ditandingi PAS mengenengahkan isu keagamaan manakala Permatang Pauh ditandingi PKR mengenengahkan isu negara. Lebih bagus jika gerak-kerja kempen mereka dilakukan secara sendirian, masing-masing tanpa bantuan PAS dan PKR.

Sekiranya PAS kalah dengan majoriti lebih besar berbanding PRU13 maka geng ustaz perlu mengkaji semula pendekatan Hudud, kerjasama dengan UMNO, kepimpinan ala-Taliban serta Tahaluf Siyasi dalam PR. Dan sekiranya  PKR menang dengan majoriti lebih kecil maka PKR harus mengkaji semula pendekatan terlalu berkompromi, semangat 'kamikaze' sebahagian pemimpinnya serta kerjasama politik dengan PAS. Malah tidak keterlaluan jika keputusan PRK nanti dijadikan kata dua keberadaan PAS dalam PR.

'Ulama kepada seluruh ulama' PAS sudah lama mengistihar perang dengan sahabat-sahabat rakan gabungan. Ucapan-ucapan dan tindak tanduknya mutakhir ini cukup memperlihatkan taraf kematangan berpolitiknya. Budaya ugut, cerca cela, keras kepala, tiada hormat dan toleransi bukan sahaja mencederakan partinya sendiri malah PR secara keseluruhan. PKR dan DAP tidak boleh lagi mengambil risiko bekerjasama dengan pemimpin dan kumpulan yang memuja 'kualiti' sedemikian jika mahu menyelamatkan PR.
 
Sepertimana pendapat golongan professional, muqtamar kali ini akan memperlihatkan wajah dan budaya baharu PAS. Melihat situasti sekarang wajah dan budaya baharu itu bukanlah sesuatu yang diimpi dan diharapkan penyokong dan pemimpin PR. Namun itu tidak boleh menjadi penghalang PR mengukuhkan diri dan meneruskan perjuangan.
 
Golongan professional yang kena kawtaw 'golongan yang hanya mencari keredhaan Allah, bukan Putrajaya' jangan berputus asa. Barangkali hayat perjuangan mereka pendek bersama PAS tetapi tidak di persada politik negara. Kebijaksaanan, kesungguhan, ketekunan dan ketelusan perjuangan mereka mungkin tiada nilai di mata geng ustaz namun tidak pada pandangan umum.
 
Golongan professional pernah bersusah susah membangunkan PAS ketika Almarhum Haji Fadhil Noor melahirkan gagasan perjuangan baharu. Mereka pernah berkali-kali jatuh dan bangun. Ramai percaya adalah tidak menjadi kesukaran bagi mereka untuk mengumpul kembali dan menyalurkan kekuatan mereka untuk meneruskan keseinambungan perjuangan Tuan Guru-Tuan Guru sebenar. Ramai percaya pemimpin seperti Muhammad Nizar Jamaluddin, Dr Rani Osman, Mohemad Hanipa Maidin, Kamaruddin Jaafar, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad dan ramai lagi masih diperlukan bersama-sama rakan gabungan PR memimpin negara.

Sekiranya mereka memilih meneruskan usaha memimpin negara maka golongan professional mempunyai tiga pilihan. Pertama kekal dalam PAS menunggu masa menyingkir (atau disingkirkan) geng ustaz. Kedua keluar PAS dan menyertai parti politik lain. Ketiga menubuhkan parti baharu yang menjunjung roh-roh perjuangan Almarhum Ustaz Fadhil dan Almarhum Tuan Guru Nik Aziz dan menjadi anggota baharu PR. 

Hanya dengan cara ini Pakatan Rakyat yang kini lemah akan beroleh semula kekuatan pakatannya dan kembali ke landasan asal. Hanya dengan cara ini Barisan Nasional mampu ditumbangkan pada PRU14. Wallahualam
 

 

Friday, April 17, 2015

Mantan PM dan Mantan TPM (Bahagian 2)

Saya percaya ramai tidak teruja jika Dr Mahathir Mohamad memilih bergandingan dengan Tengku Razaleigh Hamzah. Ramai beranggapan gandingan tersebut tidak memiliki cukup kekuatan dan tidak mampu menumbangkan Regim Naj-Ros.
 
Sekalipon sudah lapan penggal menjadi Ahli Parlimen, veteran UMNO paling lama berkhidmat itu kurang mendapat sokongan dalam UMNO khususnya dari barisan pemimpin muda. Beliau juga kurang disenangi pemimpin PR kecuali serban-serban besar dalam PAS. Lewat ini beliau lebih banyak bercakap dari bertindak proaktif serta kerap mengambil pendekatan selamat membuatkan penyokong kedua-kedua pihak tidak lagi melihat Ku Li seorang PM material.
 
Diakui Ku Li pemimpin yang bersih, jujur dan berkebolehan. Tapi kebolehannya itu sesuai di zaman sebelum Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri. Kerosakkan mega yang melanda negara hari ini hanya boleh didepani dan ditangani oleh 'most charismatic and caliber leader', yang tahu rahsia 'in and out' Regim dan strategi-strategi mereka. Suka atau tidak kita hanya ada satu nama.
 
Kita boleh tidak suka tentang dirinya. Kita boleh menelan bulat-bulat berita negatif mengenainya. Tetapi kita tidak boleh menafikan kehebatannya sebagai pemimpin. Anwar Ibrahim telah berdepan serangan tiga generasi Perdana Menteri. Bila bercakap tentang generasi, ia termasuk seluruh barisan Kabinet, parti-parti komponen, pegawai tinggi dan jentera kerajaan.
 
Belum ada dalam sejarah politik negara seorang pemimpin diuji dan diperlakukan sehebat rupa. Hanya Anwar Ibrahim mampu berdepan serangan tanpa henti dari luar dan dalam. Malah ia sedikitpon tidak melemahkan semangat dan mengurangkan daya juangnya sekalipon dari sebalik tirai besi. 
 
Kenyataan keras siasatan segera ke atas syarikat milik penuh Kementerian Kewangan 1MDB oleh Najib, Pengerusi PAC, Khairy dan beberapa kerat Ketua Bahagian tidak lebih hanyalah wayang. Setiap kali Dr Mahathir melepaskan pelurunya, Najib dan 'pack of wolves'nya bertindak balas seolah mereka perduli dan sedia menangani skandal-skandal yang menjadi pertikaian umum.

Jika mereka tidak mampu berwayang, mereka memilih berhujah dengan alasan-alasan yang 'insane' dan tidak ilmiah. Lebih dramatik, mereka menggunakan undang-undang tinggalan penjajah untuk menutup mulut pengkritik. Tragedi berganda MH370 dan MH17, harga petrol dan perlaksanaan GST sudah cukup menunjukkan betapa mereka mahir bersandiwara. Mereka sendiri mengundang reaksi negatif rakyat. Drama-drama mereka ini tidak akan berhenti sehinggalah mereka "diberhentikan" oleh Allah.
 
Sekalipon Jho Low dibawa pulang dan disoal siasat penglibatannya dalam skandal 1MDB, yakinlah ia tidak akan menjawab persoalan utama dan tidak mampu menyelesaikan penyelewengan seterusnya mengurangkan beban hutang negara. Apa sudah jadi dengan skandal-skandal berpuluh billion ringgit sebelum ini? Untuk rekod tiada mana-mana Menteri, Pegawai Kanan Kerajaan, pemimpin politik serta tokoh korporat yang didakwa, dibicara dan dipenjara sepantas perlakuan ke atas Anwar Ibrahim.
 
Jika benar Dr Mahathir mulai insaf kezaliman dilakukannya terhadap bumi Malaysia selama ini dan merasakan inilah masanya untuk memperbetul segala kepincangan dimulakannya, ia adalah usaha amat murni yang mesti disokong. Dr Mahathir sedar, umum perlu sedar membersihkan kesilapan berpuluh tahun bukanlah suatu langkah mudah. Prosesnya mengambil masa panjang dan memerlukan pemimpin yang memiliki kecekalan dan nafsu yang tinggi untuk memikulnya.

Tuesday, April 14, 2015

Mantan PM dan Mantan TPM (Bahagian 1)

Di kalangan pemerhati politik ada bisik-bisik mengatakan telah berlaku rundingan di antara Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim. Tidak dapat dipastikan sejauh mana kebenarannya. Jikapon benar berlaku ia bukanlah suatu berita yang mengejutkan.
 
Rundingan tersebut dikatakan berlaku sebelum Dr Mahathir Mohamad dan Dr Siti Hasmah Ali menziarah jenazah Almarhum Ibrahim Abd Rahman di rumahnya di Country Height minggu lalu. Walaupon Dr Mahathir yang turut ditemani Ahmad Zahid Hamidi hanya berkunjung sekejap namun Dr Siti Hasmah tinggal agak lama menemani Dr Wan Azizah.

Dalam politik tiada yang mustahil. Ketika ini Dr Mahathir bersendirian menghadapi serangan balas Mohd Najib Abd Razak dan 'pack of wolves'nya. Dr Mahathir sedar beliau tidak boleh mencatur langkah ke atas Najib sebagaimana dilakukannya ke atas Abdullah Ahmad Badawi. Di zaman Imam Islam Hadhari itu berkuasa tidak wujud persekongkolan besar lagi kukuh seperti yang ada sekarang.

Abdullah kurang senang memberi manfaat wang ringgit dan projek kepada Ketua-Ketua Bahagian seperti dilakukan Presiden sekarang. Lantaran peraih-peraih laba tersebut selalu juga kurang senang dengan Abdullah menyebabkan sokongan kepadanya tidak lebih hanya suam-suam kuku. Dan ketika rapuhnya sokongan pemimpin akar umbi kepadanya Dr Mahathir dengan pantas dan mudah menewaskan dan menunjukkan Abdullah jalan keluar dari Sri Perdana. Dalam masa sama Najib mempelajari banyak teladan darinya.

Dr Mahathir mendakwa Najib lebih lemah dari Abdullah. Najib gagal mengurus kewangan negara, gagal memacu ekonomi, gagal menjaga keamanan dan perpaduan, gagal serba serbi. Di sebalik segala tohmahan tersebut Najib berjaya membuktikan sebaliknya, sekurang-kurangnya dua perkara ini. Pertama Dr Mahathir salah bila menganggap Najib lemah. Kedua Dr Mahathir salah bila menganggap Najib mudah ditundukkan.
 
Najib mempunyai kemahiran dan kebolehan yang mana-mana Mantan PM tidak ada, yakni memusatkan sokongan kepadanya 'at all cost'. Majlis Tertinggi UMNO, Menteri Kabinet, Majlis Tertinggi Parti komponen BN serta Pegawai Tinggi Kerajaan mengistihar sokongan terbuka kepadanya. Veteran-veteran UMNO yang dahulunya rapat dengan Dr Mahathir mudah dijinak dan dialihkan sokongan mereka.
 
Najib berjaya memperlihatkan kepada umum, melalui perjumpaan-perjumpaan talian hayat dengan pemimpin politik dan sayap parti, dicanang di media-media milik Regim bahawa dia masih memperolehi sokongan. Sekalipon yang berhimpun berduyun-duyun dan berikrar taat setia itu cuma kurang 1% dari jutaan pendokong parti pemerintah. Namun itu tidaklah penting kerana Najib berjaya membuat Dr Mahathir kini bersendirian.
 
Maka pilihan apa lagi yang Dr Mahathir ada?
 
Umum mengakui zaman Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri merupakan suatu pengalaman hebat catatan sejarah negara.  Kerjasama antara mereka membuahkan manfaat kemakmuran dan keharmonian seluruh rakyat Malaysia. Ekonomi, sosio politik dan budaya mengukuh dan berkembang baik. Perselisihan antara mereka pula mencetuskan mudarat perpecahan dan permusuhan seluruh rakyat Malaysia. Ekonomi, sosio politik dan budaya turut runtuh bersama.
 
Dr Mahathir sedar, Anwar juga sedar. Tiada lain membolehkan mereka kembali bekerjasama melainkan mereka membuang jauh sifat angkuh dan cemburu terhadap satu sama lain. Dalam situasi mendesak yang menimpa negara seperti sekarang, mereka harus bersegera melupakan perbedaan dan bersatu pada titik persamaan, yakni menyelamatkan ibu pertiwi.
 
Persoalannya mengapa Dr Mahathir mesti memilih Anwar sedang beliau boleh sahaja membina perikatan dengan seteru lain yang bebas merdeka? YM Tengku Razaleigh masih Ahli Parlimen dan terangan bersetuju bergembling tenaga dengannya. Musa Hitam masih aktif dalam persada politik dan cakap-cakapnya mampu membuatkan ahli UMNO berfikir dua kali. Manakala Abdullah Ahmad Badawi masih berbisa sekalipon bersara dari politik. Mereka bertiga bukan calang-calang orang, masih berpengaruh dan mampu membuatkan Najib tidak lena tidur. Barangkali pada Dr Mahathir mereka tidak memilik keupayaan dan kesungguhan, erti kata lain aura seperti Anwar. Mereka bertiga bukannya Titan.
 
Sekalipon jasadnya dipenjarakan rohnya terus bersama rakyat. Sokongan terhadap Anwar tidak mudah luntur. Nadi perjuangannya diteruskan penyokongannya yang terdiri dari pelbagai lapisan kaum, usia dan kelayakkan. Bukan hanya dari partinya PKR, Anwar memperoleh sokongan ahli dan pemimpin parti DAP dan PAS yang berharap beliau menjadi PM suatu hari nanti.
 
Beliau juga masih berpengaruh dalam UMNO. Legasi yang ditinggalkannya tidak mudah dihapuskan. Mereka hanya menanti masa yang sesuai untuk melontarkan sokongan secara terbuka kepadanya. Bagaimana mampu PR berjaya meruntuhkan ego BN dengan menidakkan undi popular dan mengugat moralnya jika tidak kerana sabotaj ahli UMNO sendiri. Namun segala kekuatan sokongan ini tidak bererti dan tidak dapat diterjemahkan dalam bentuk undi jika Anwar terus berada di belakang tirai besi. Anwar perlu dibebaskan.
 
Anwar tidak boleh berlengah untuk menyelamatkan negara. Beliau tidak boleh menunggu sehingga PR merampas Putrajaya pada PRU14. Dr Wan Azizah, Nurul Izzah, Nurul Nuha dan yang lain-lain tidak boleh terus menyimpan dendam terhadap kezaliman Dr Mahathir ke atas mereka. Inilah masanya memaafkan dan melupakan. Jika Anwar di pentas terbuka pernah menyatakan kemaafannya kepada Dr Mahathir, keluarganya juga mampu.
 
Mengapa Anwar mesti memilih Dr Mahathir dari Najib?
 
Najib bukan individu yang boleh dipercayai lagi. Najib memperdaya Anwar berkali-kali. Selepas memungkiri janjinya yang dilafaz di hadapan  Naib Presiden Indonesia Yusuf Kala sebagai pengantara Agenda Rekonsilasi Nasional, Najib terus membuat onar. Akta Hasutan dikekalkan dan berduyun pengkritik dan pemimpin PR ditangkap dan didakwa di bawah akta tersebut. Dan Anwar pula sekali lagi direhatkan di Istana Sungai Buloh selepas bersetuju membantunya menewaskan Dr Mahathir.
 
Najib bukan hanya memungkiri Anwar malah seluruh rakyat. Najib memungkiri janjinya menjadikan Malaysia lebih aman, makmur dan sejahtera. Negara berdepan keadaan ekonomi yang tenat, hutang yang membarah, penyalahgunaan kuasa yang berleluasa, ketegangan antara kaum dan agama yang meruncing, pencerobohan sempadan yang tidak terkawal dan jenayah berat yang menggila. Najib tidak menunjukkan tanda-tanda beliau menginsafi kesilapan dan kelemahannya. Najib tidak akan berundur.
 
Sebaliknya Dr Mahathir sudah tidak berkepentingan. Beliau tidak lagi berkuasa di dalam parti dan kerajaan. Umum lebih mempercayai tindakannya menyerang Najib lebih kepada mempertahankan kepentingan negara dari kepentingan peribadi. Jikalah benar tuduhan Dr Mahathir pernah meminta anaknya diangkat ke herarki tertinggi, ramai mempercayai Muhkriz Mahathir sendiri akan menolaknya. Ini kerana Muhkriz menyedari beliau tidak memiliki sokongan untuk berada di kerusi kuasa lantas permintaan Dr Mahathir itu bukan lagi isu.
 
Ada pendapat mengatakan serangan Dr Mahathir ada kaitan dengan kegagalan mendapatkan habuan untuk anak-anaknya dan konflik Dr Mahathir-Najib hanya untuk mengalih perhatian umum terhadap Akta Pembenterasan Terrorisma, Akta Hasutan dan sebagainya, saya pula melihatnya dari perspektif lebih positif.
 
Di usia 90an, barangkali Dr Mahathir mulai insaf kezaliman yang dilakukannya terhadap bumi Malaysia selama ini. Barangkali Dr Mahathir merasakan inilah masanya untuk memperbetulkan segala kepincangan yang dimulakannya. Barangkali Dr Mahathir mulai sedar kekuatan yang ada pada Anwar Ibrahim yang tidak ada pada dirinya atau mana-mana pemimpin lain.
 
Jika benar rundingan tersebut berlaku dan akan membuahkan khabaran gembira kepada seluruh rakyat Malaysia tidak lama lagi, saya terdahulu memanjat shukur kepada Allah. Dan sekiranya rundingan tersebut tidak atau belum berlaku, saya berdoa moga Allah memaqbulkan hajat rakyat Malaysia yang mengharapkan ia menjadi kenyataan. Semoga Mantan Perdana Menteri dan Mantan Timbalan Perdana Menteri ini dapat bersatu menyelamatkan bumi Malaysia tercinta. Tiada yang mustahil jika kita percaya pada janji-janji Allah.

 

Monday, April 13, 2015

Dikawal Yang Tidak Lagi Terkawal

Memangnya dari dulu, sebelum beliau menjawat jawatan Perdana Menteri saya sudah mempercayai teori Mohd Najib Abd Razak dikawal pihak ketiga. Lebih perit bila menyedari Perdana Menteri terakhir dari UMNO ini dikawal oleh banyak pihak. Tidak seperti Abdullah Ahmad Badawi yang hanya terikat dengan budak-budak Tingkat 4, anak sulung Abd Razak Hussein dikawal regim dalam dan luar negara. Ini antara asasnya:

1. Pelaburan luar negara. Semenjak Najib menduduki kerusi kuasa berpuluh billion wang negara telah dibawa keluar melabur di pasaran antarabangsa. Pengurus dana kekayaan negara Khazanah, pengurus pelaburan awam Permodalan Nasional Berhad, pengurus dana wang pekerja Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Kumpulan Wang Amanah Pekerja, syarikat berkaitan kerajaan Petronas, Tenaga Nasional Berhad, Telekom Malaysia Berhad, Sime Darby dan Felda Holding, semua entiti tersebut rancak mengandakan pelaburan mereka di luar negara.
 
Adalah tidak salah untuk melabur di luar negara jika pelaburan tersebut memberi manfaat dan pulangan besar kepada rakyat dan negara. Samada Najib separa sedar atau selera risikonya semulajadi amat tinggi, sejarah merekodkan Malaysia bukanlah pelabur asing yang bijak. Kita banyak kali mengalami kerugian dalam projek-projek usahasama sebelum ini.
 
Masih ingat perusahaan automotif MV Agusta, perladangan di Indonesia dan pelaburan hartanah di Eropah? Terbaharu projek usahasama minyak Petronas di Canada dan pelaburan-pelaburan syarikat milik penuh Kementerian Kewangan 1MDB dan SRC International. Hampir ke semua syarikat-syarikat tersebut mengalami renjatan pulangan malah ada yang menanggung kerugian besar, yang berpunca samada  salah strategi pelaburan, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dana.

Kerugian pelaburan syarikat-syarikat ini di pasaran antarabangsa memberi kesan negatif kepada Ringgit dengan nilainya terus menyusut berbanding matawang utama dunia. Malah rakyat terkesan secara langsung apabila import menjadi semakin mahal ketika pengeluaran tempatan tidak mampu menampung keperluan yang semakin meningkat manakala eksport menjadi semakin murah ketika matawang asing dan ekonomi mereka semakin mengukuh dan berkembang. 
 
Tidak dapat dipastikan samada Bank Negara gagal menasihati Najib, atau Kementerian Kewangan yang diketuainya gagal berfungsi atau beliau  secara sengaja tidak memperduli laporan-laporan tersebut, Najib terus mengepam keluar wang tanpa rasa bersalah. Tidakkah semua ini mendorong kepada tanggapan Najib mementingkan selain rakyat dan bumi Malaysia tercinta? Siapa lagi lebih berkepentingan terhadap negara ini?

2. Hal ehwal dalaman negara. Bukan lagi rahsia berbillion dana awam diguna mempromosi Mohd Najib Abd Razak sebagai Perdana Menteri. Kempen-kempen promosi diri dan pilihanraya beliau ala Presiden Amerika itu menelan belanja cukup besar. Konsultan Israel meraih hasil lumayan hanya untuk idea jenama 1 Malaysia yang terbukti gagal mencapai matlamatnya menyatupadukan rakyat Malaysia lalu memusatkan sokongan ke atasnya, vice-versa. Konsultan asing beroleh hasil lumayan memperkenal idea tabur wang pakej 1 Malaysia, BR1M dan segala 1M-nya.
 
Konsultan asing dibayar lumayan untuk setiap pelaburan dan urusniaga 1MDB di luar negara. Konsultan asing dibayar lumayan untuk pembelian aset ketenteraan dan peningkatan sistem pertahanan negara. Konsultan asing dibayar lumayan untuk membawa Barack Obama ke Kuala Lumpur. Konsultan asing dibayar lumayan melobi Putrajaya ke kerusi tidak tetap Majlis Keselamatan PBB.
 
Tindakan Najib yang bergantung kepada punahsihat  "bijak pandai" asing tersebut hanya mengesahkan cakap-cakap umum bahawa Menteri-Menteri dan Pegawai-Pegawai Tinggi Kerajaan yang ramai itu semuanya dungu belaka tidak layak mengurus hal ehwal negara. Tidakkah semua ini mendorong kepada tanggapan Najib mementingkan selain rakyat dan bumi Malaysia tercinta? Siapa lagi lebih berkepentingan terhadap negara ini?

3. Ekonomi. Dalam keadaan pendapatan negara semakin tenat dan hutang negara semakin membarah Najib terus ligat berbelanja. Setiap kali Najib diserang penyakit ultra shopaholic kumpulan tuan-tuan saudagar besar yang boleh dikira dengan jari itu pula beroleh habuan projek-projek mega. 


Tuan-tuan saudagar ini menguasai hampir keseluruhan industri di Malaysia, dari kewangan, pengangkutan, perkhidmatan, pertanian, perladangan, perlombongan, kesihatan dan telekomunikasi. Tuan-tuan ini selalu menghulur bantuan kewangan dan sokongan moral ketika diminta Najib. Lantas tidak memeranjatkan pusing-pusing mereka ini terus meraih dan mengawal hasil kekayaan negara. 
 
Penyokongnya pula, majoriti golongan luar bandar yang sering disemai dan dibajai sentimen perkauman malah tebal pula asobiyahnya hanya beroleh BR1M dan segala 1M yang sangat kecil nilainya. Tidakkah semua ini mendorong kepada tanggapan Najib mementingkan selain rakyat dan bumi Malaysia tercinta? Siapa lagi lebih berkepentingan terhadap negara ini?
 
Seperti dikatakan Dr Mahathir Mohamad terlalu banyak skandal melekat pada batang tubuh Najib. Skandal-skandal inilah yang ditakuti bukan sahaja empunya badan malah gerombolan penyamun harta negara. Jika skandal ini tidak diuruskan dengan 110% kesempurnaan ianya akan merebahkan mereka dan segala yang berkait dengan mereka.

Ketika ramai rakan-rakan pimpinan parti terus menjarakkan diri darinya, Najib tiada lagi pilihan selain terus meminta perlindungan dari penaung-penaung yang setia mengawalnya.

Di zaman golongan kapitalis adalah Raja permintaan Najib itu sudah tentulah tidak akan dipenuhi secara percuma. Konsep ufti, yang terpakai di zaman dahulu kala menjadi cara penyelesaian utama kepada segala permasalahannya.
Lantas berbelanjalah berbillion untuk selamat dari tersingkir sekalipon yang dibelanjakan bukan hak miliknya, sebagai balasan untuk kekal di kerusi kuasa. Sekalipon beliau kekal tanpa kuasa, sekalipon dengan menjual anugerah Tuhan ke atas tanah tumpah darahnya!

Friday, April 3, 2015

Mantan PM dan Legasi

Ramai pemerhati politik tidak nampak silver lining dari perbalahan terbuka Dr Mahathir Mohamad dan Mohd Najib Abd Razak. Serangan Dr Mahathir terhadap Najib berlaku saban hari semenjak PRU13 tetapi mereka tetap meraikan satu sama lain di majlis-majlis rasmi. Sandiwara barangkali.
 
Sudah sifatnya jarang bersetuju dengan mana-mana Timbalan dan pengantinya. Dari Musa Hitam, Ghaffar Baba, Anwar Ibrahim, Abdullah Ahmad Badawi hingga ke Mohd Najib Abd Razak. Ke semua mereka ini tidak pernah sempurna di mata beliau kerana gagal mengikut telunjuk dan kemahuannya. Malah beliau juga dikaitkan punca kejatuhan Tunku Abd Rahman dan Hussein Onn. Itulah Dr Mahathir Mohamad.
 
Tidaklah salah jika kehendak dan kemahuannya itu terbaik buat seluruh rakyat Malaysia. Misalnya projek landasan elektrik berkembar utara selatan yang diasaskannya namun dibatalkan Abdullah dua tahun kemudian. Jikalah projek tersebut disiapkan mengikut perancangan rakyat hari ini mempunyai lebih pilihan dan tidak terbeban dengan peningkatan kos pengangkutan awam, kesan pasaran harga minyak dunia dan perjanjian kenaikan toll oleh pemegang konsensi saban tahun. Sekalipon projek tersebut menguntungkan kroninya yakni Syed Mokhtar Al Bukhari namun ia tetap memberi manfaat kepada rakyat bawahan. Hari ini kos projek tersebut meningkat berlipat kali ganda kesan pembatalannya pada 2004.
 
Kemarahan Dr Mahathir terhadap Abdullah bertempat. Selepas projek tersebut dihidupkan semula oleh Najib pada 2008 sejumlah besar dana awam terpaksa disalurkan membiayai sambungan projek usahasama swasta tersebut. Di tambah 'saguhati' untuk orang tengah yang kebanyakkannya tuan-tuan saudagar UMNO, maka kos keseluruhan telah menjadi sangat tidak rasional. Begitu juga kemarahan Dr Mahathir terhadap Najib berkaitan 1MDB. Bukan kerana syarikat tersebut dipenuhi kroni dan proksi Najib, akan tetapi kerana selain gagal membuat keuntungan syarikat bermasalah tersebut terus bergantung kepada dana awam dan pinjaman korporat. Risiko kerugiannya amat tinggi dan hutangnya yang bertambah banyak bakal ditanggung rakyat hingga ke anak cucu mereka.
 
Namun sehebat manapon isu pembaziran dan kerugian pelaburan dana awam melibatkan Abdullah dan Najib yang hebat diperkatakan kini tidaklah memberi kesan gigatik kepada rakyat kerana mereka telah terbiasa. Jika skandal PKFZ bukan suatu kesilapan malah terlepas dari sebarang tohmahan, serangan dan tindakan, apa yang membuatkan IMDB berbeza?
 
Skandal PKFZ berlaku di hujung zaman pentadbiran Dr Mahathir dan di dalam pengetahuannya namun tiada tindakan drastik diambil beliau. Jadi umum mempersoal mengapa sekarang beliau menghentam cara Najib mengendali syarikat bermasalah 1MDB, ketirisan dan salahguna kuasa? Bukankah beliau yang mendidik para pengantinya strategi dan kepakaran membolehkan penyamun dana awam kebal di sisi undang-undang?
 
Dr Mahathir cenderung mengaitkan kegagalan MAS disebabkan Brahim, syarikat penyaji makanan dalam kabin yang ada kaitan dengan Abdullah. Bukankah konsep melibatkan anak beranak atau kenalan rapat dalam projek atau syarikat berkaitan kerajaan ini dimulakan Dr Mahathir sendiri?
 
Kita tidak lupa kegagalan dan kerugian besar syarikat-syarikat berkaitan kerajaan seperti BBMB, MAS, Maminco, Renong, Tongkah, Konsortium Perkapalan dan Perwaja ada kaitan dengan penglibatan anak beranak dan kenalan rapatnya sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri. Kita juga tidak lupa kegagalan perdagangan mata wang asing oleh Bank Negara juga dibawah pentadbirannya. Jumlah segala kerugian tersebut bernilai berpuluh billion. Semenjak bila kegagalan Perdana Menteri lain menjadi suatu kesalahan tetapi kegagalannya boleh dilupakan?
 
Selepas beliau meletak jawatan sebagai Perdana Menteri ramai mulai mengangkat Dr Mahathir sebagai ikon kepimpinan. Banyak legasi fizikal ditinggalkannya menjadi kebanggaan negara seperti Putrajaya, KLCC, KLIA dan banyak lagi. Namun bagi segelintir golongan dewasa yang membesar dan meniti zaman pentadbirannya dengan penuh penelitian adalah sukar untuk mengiktiraf semua sumbangannya. Legasi moral yang ditinggalkan Dr Mahathir lebih besar impaknya dan bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan. Kesilapan ini menjadi bebanan berat yang terpaksa dipikul rakyat hari ini. Antara kelemahan atau kesilapan utamanya ialah:
 
Pertama. Menghalalkan amalan memberi dan menerima 'hadiah' dikalangan ahli politik dan penjawat awam. Kerana kecenderungannya membenarkan amalan tersebut kerajaan Malaysia hari ini diiktiraf sebagai antara paling korup di dunia. Rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa yang sudah tidak terbendung kini bermula dari era pentadbirannya. Pihak penguatkuasa berkaitan 'dirantai' lantas gagal berfungsi secara efektif dan bertindak proaktif ke atas jenayah moral tersebut. Dr Mahathir lah yang melemahkan fungsi BPR (kini SPRM) dengan meletakkan badan tersebut di bawah Jabatan Perdana Menteri yang dipenuhi ahli-ahli politik.
 
SPRM sewajibnya menjadi sebuah badan yang diletak dibawah Parlimen atau Majlis Raja-Raja. Hanya dengan itu ia mampu menjadi badan bebas yang berwibawa, cekap, dihormati dan digeruni. Begitulah juga dengan SPR. Selagi badan-badan tersebut berada di bawah Jabatan Perdana Menteri selama itulah ia kekal menjadi alat ahli politik.
 
Begitu juga keadaannya bilamana banyak Suruhanjaya, Kementerian atau Jabatan baharu diwujudkan untuk menempatkan kenalan rapat, ahli politik 'seasoned' dan saudara mara mereka. Selain meningkatkan kos pengurusan kerajaan Persekutuan, makin banyak jabatan kerajaan ditubuhkan makin bertambah karenah birokrasi dan proses sesuatu urusan. Makin bertambah proses bermakna makin bertambah kakitangan dan makin tinggilah peluang dan tingkatan rasuah. Malaysia mempunyai nisbah kakitangan kerajaan kepada rakyat antara tertinggi di dunia. Ini dosa peninggalan Dr Mahathir Mohamad.
 
Kedua. Menghalalkan kakitangan kerajaan terlibat dalam perniagaan melalui ahli keluarga terdekat. Inilah yang menyebabkan berlakunya keraksasaan kronisme dan proksisme dalam kerajaan hari ini. Menteri, pemimpin politik, pegawai tinggi kerajaan malah ahli biasa parti politik menagih dan menuntut bahagian dalam projek-projek kerajaan seolah projek tersebut adalah hak mereka. Bila terikat dengan pembudayaan politik+perniagaan+keluarga=manfaat peribadi maka sistem tender terbuka menjadi sejarah di Malaysia.
 
Ekonomi negara tertumpu hanya kepada mereka ini. Dan mereka hanyalah kurang 1% dari saiz 60% Bumiputera Malaysia. Tidak hairanlah selepas hampir 60 tahun merdeka dan selepas pelbagai dasar dan rancangan ekonomi diperkenalkan Bumiputera masih jauh ketinggalan berbanding kaum Cina dan India. Bagaimana Daim Zainuddin, Syed Mokhtar, Mokhzani dan ramai lagi Puterabumi menjadi kaya raya bukanlah kerana magik. Ini dosa peninggalan Dr Mahathir Mohamad.
 
Ketiga. Menuruti kedegilan dan keegoan. Kerana degil dan ego untuk menjadi Perdana Menteri menyaksikan UMNO Asal diharamkan, UMNO berpecah dan kekuatan Melayu tergugat. Kerana degil dan ego mempertahankan proksi dan kroni telah mencetuskan permusuhan terbuka antara beliau dan Anwar, menyebabkan Timbalannya yang paling bijak itu berputih mata dan merengkok dalam tahanan dua kali, seterusnya menyaksikan perpecahan bangsa Melayu, keruntuhan institusi kehakiman dan lunturnya kepercayaan rakyat terhadap pasukan keselamatan. Kerana degil dan ego Abdullah tidak berpeluang membuktikan kekuatan sebenarnya dan terpaksa berpuas hati menjadi PM sepenggal. Dan kerana degil dan ego menendang Abdullah untuk menaikkan Najib rakyat dipaksa berdepan kepincangan lebih besar kerana mempunyai Perdana Menteri paling lemah dan tidak kompiten. Manakala golongan pengampu, pemfitnah dan penyamun bertapak kukuh dan berkuasa dalam kerajaan hingga ke hari ini. Ini dosa peninggalan Dr Mahathir Mohamad.
 
Di sebalik cerita-cerita dan bukti-bukti kehebatan dan kejayaan seseorang pemimpin mentadbir sebuah negara terselit jua kisah-kisah kelemahan dan kegagalannya. Dr Mahathir bukan maksum, beliau hanya manusia biasa yang pernah melakukan kesilapan, bersifat cemburu dan berkecil hati. Cumanya beliau Mahaberat untuk mengakuinya. Jika Dr Mahathir sanggup melentur sedikit, mengakui kesilapannya dan bersedia memperbetulkan kepincangan yang dimulakannya nescaya Malaysia boleh kembali ke era kegemilangannya sekitar awal 90an.
 
Tidak siapa boleh menafikan gandingan Dr Mahathir Mohamad-Anwar Ibrahim adalah yang terbaik dalam sejarah. Bangsa Melayu dipandang tinggi dan berdaya saing dalam ekonomi. Jenayah dan masalah sosial terkawal. Ramai pemimpin politik dan pengikut mereka mengasimilasi diri ke dalam  pengaruh imej dan pewarakan Islamik ditonjolkan Anwar. Malah ramai juga yang mula mendidik diri mendekati Allah mencontohi Anwar anak beranak.
 
Ketika Dr Mahathir terlalu sibuk merancang dan membangunkan negara, Anwar pula membantunya membentuk sahsiah dan keterampilan masyarakat Malaysia. Rakyat merindui saat keseinambungan tersebut.
 
Jika kita menyorot kembali sejarah jatuh bangun bangsa Malaysia, satu teladan agung boleh kita pelajari dan amalkan darinya iaitu membuka pintu hati dan berlapang dada. Tunku Abd Rahman, Abd Razak Hussein dan Hussein Onn adalah bekas pemimpin-pemimpin tertinggi negara yang selalu membuka pintu hati dan berlapang dada. Ketika mereka melihat diri mereka berada keterdepan dari keupayaan rakyat pantas mereka kembali ke sisi rakyat untuk menongkah cabaran seiring bersama. Dan ketika mereka melihat keupayaan mereka terbatas dan tidak mampu lagi memberi kekuatan kepada rakyat mereka berlapang dada meninggalkan kerusi kuasa dan menyerahkannya kepada yang lebih berkelayakkan.
 
Sebaiknya ketika beliau gagal mengurus masalah rasuah, ketirisan dan salahguna kuasa di kalangan anak buahnya Dr Mahathir sepatutnya membenarkan Anwar membantunya. Malangnya beliau bersekongkol menentang usaha-usaha Anwar untuk menjadikan Malaysia lebih bersih.
 
Hari ini di usia 90an masih belum terlewat untuknya membantu Malaysia kembali ke landasan lebih baik. Dr Mahathir hanya perlu memaafkan dirinya dan memaafkan keegoan Anwar demi menyelamatkan bangsa dan negara. Tiada siapa akan membantah malah ramai akan merai kegembiraan kiranya Dr Mahathir dan Anwar saling memaafkan, melupakan sejarah hitam antara mereka berdua dan bergandingan semula memimpin negara.
 
Penyatuan dapat menguatkan bangsa Melayu serta masyarakat majmuk Malaysia, mengembalikan semula kepercayaan umum terhadap sistem demokrasi berperlembagaan. Apabila asas sebuah negara diletakkan di sebaik-baik tempatnya, yang lain-lain akan kembali baik secara otomatik. Keadilan dapat ditegakkan, ekonomi dapat dipertingkatkan, pendidikan dapat diperkasakan, kerukunan dan kesepakatan dapat diteguhkan. InshaAllah.
 
Dan tiba saat itu negara menjadi aman, makmur dan sejahtera. Saat itu juga penyamun-penyamun dana awam dengan rela hati menyerahkan kembali hasil menyamun mereka demi bergerak bersama angkatan lama yang baharu Dr Mahathir Mohamad-Anwar Ibrahim. Bukankah itu yang terbaik untuk semua?