Wednesday, April 29, 2015

Langkah Pertama

Gejala salah laku, salah guna kuasa, syok sendiri, bodoh sombong dan keras kepala di kalangan pemimpin politik dan negara lewat ini makin menjadi-jadi. Halnya ini berlaku kerana pemimpin tersebut merasakan jawatan disandang adalah hak mutlak mereka. Pemimpin sebegini  jika dibiar lama di kerusi kuasa mampu mendedahkan rakyat dan negara kepada pelbagai natijah memudaratkan.

Sifat jujur dan amanah sudah terhakis di kalangan pemimpin negara. Apa yang dijanji semasa kempen sama sekali berbeda dengan apa yang dikotakan selepas pilihanraya. Selepas rakyat memberi sokongan dan mandat, mereka tidak berlengah mengambil kesempatan.

Memperoleh kuasa 2/3 di Parlimen membolehkan Dr Mahathir Mohamad menghilangkan taring Badan Pencegah Rasuah, merantai ketelusan badan kehakiman dan membelenggu pasukan keselamatan manakala Abdullah Ahmad Badawi melumpuhkan kebebasan Suruhanjaya Pilihanraya dan meluaskan kuasa Jabatan Perdana Menteri. Campur tangan melampau Eksekutif ke atas sistem keadilan dan keselamatan merosakkan konsep pemisahan dan sempadan kuasa yang termaktub di dalam Perlembagaan. Tidak hairanlah ketika ini Mohd Najib Abd Razak terus berdaya melemahkan fungsi institusi-institusi awam, manfaat dari kejahilan Dr Mahathir dan Abdullah.

Kesannya sistem pentadbiran negara menjadi sangat berkecamuk, tidak efisien dan tiada kesalingan. Ini berlaku kerana Dr Mahathir, Abdullah dan Najib telah menolak nilai-nilai dan corak kepimpinan tiga Perdana Menteri terdahulu.

Sungguhpon ramai beranggapan kegilaan yang melanda negara sudah sampai ke tahap diluar kawalan namun ia bukanlah sesuatu yang tidak mampu lagi dibendung atau diubah. Pemimpin terdahulu mampu mengamalkan pentadbiran bersih, cekap dan amanah, baik di dalam parti mahupon dalam kerajaan. Mereka mendidik diri dan anak buah mereka mempraktikkan sifat-sifat kepimpinan terpuji.

Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj, Abdul Razak Hussein dan Hussein Onn meletakkan kepentingan negara dan rakyat di maqam tertinggi. Tiada istilah 'saya' sebaliknya 'kami' dalam merencana masa depan negara. Mereka tidak mengambil kesempatan dan tidak meraih keuntungan buat diri dan keluarga di sebalik segala 'privileges' selaku ketua negara.

Mereka tidak berkompromi soal kedaulatan, keselamatan dan kemakmuran. Mereka mendahulu dan mengutamakan kebajikan rakyat dalam pelan-pelan pembangunan. Mereka mengurus dan mengagihkan khazanah di laut dan darat secara berhemah dan saksama. Mereka tidak memberi ruang penyamun memanipulasi dan membolot kekayaan negara.

Mereka membuktikan bahawa negara berbilang kaum ini mampu ditabir urus dengan baik tanpa memerlukan nasihat dan campur tangan asing. Suku kaum di Malaysia Barat dan Malaysia Timur boleh bergantung harap dan percaya kemampuan pemimpin Melayu. Rakyat di Semenjung dan di Kepulauan Borneo boleh bekerjasama dan saling memerlukan.

Semua ini  mampu dicapai dan dilaksana bila pemimpin jujur dengan jawatan dan amanah kepada tanggungjawab mereka. Mereka tidak mengingkari ikrar perlantikan tidak juga menyalahguna kedudukan yang ada pada mereka.
 
Langkah pertama memulih dan membina semula negara Malaysia adalah dengan membetulkan kesilapan Dr Mahathir dan Abdullah. Negara perlu mengubah sistem demokrasi ala UMNO-Barisan Nasional kepada sistem demokrasi sebenar. Wakil rakyat-wakil rakyat sedia ada dari kedua-dua pihak penyokong dan pembangkang perlu berubah (sekalipon melalui desakan) dan kembali memainkan peranan sebenar mereka; berkhidmat kepada 'tuan mereka' yakni rakyat (bukannya kepada parti atau individu tertentu) dan berpegang teguh kepada ikrar perlantikan mereka.

Mereka perlu memperkasakan perkara-perkara berikut: 
 
1. Rakyat melantik kerajaan. Parti, perikatan atau gabungan yang mendapat majoriti sokongan (undi popular) dalam pilihanraya umum layak membentuk kerajaan. Ini membatalkan amalan terdahulu yakni parti, perikatan atau gabungan yang memenangi kerusi Parlimen/DUN terbanyak membentuk kerajaan.
 
2. Rakyat melantik Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Jawatan-jawatan ini dipertandingkan seperti negara-negara demokrasi. Jika tidak dipilih secara langsung oleh rakyat, lantikan ke jawatan tersebut perlu melalui proses pengundian atau konsensus ahli-ahli berhormat parti, perikatan atau gabungan yang memenangi pilihanraya. Ini membatalkan amalan tradisi Presiden dan Timbalan parti dominan secara otomatik menjadi Perdana Menteri dan Timbalan. Ketetapan ini dapat membendung amalan rasuah politik, pilih bulu dan hutang budi menjadi alat meraih kedudukan, kuasa dan pengaruh.
 
3. Majlis Raja-Raja melantik Pegawai Tertinggi Negara. Lantikan ke jawatan Ketua Setiausaha Negara, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya, Pengerusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, Ketua Audit Negara, Ketua Hakim Negara, Ketua Polis Negara dan Panglima Angkatan Tentera perlu melalui proses pemilihan ketat oleh DYTM-DYTM Majlis Raja-Raja. Ini membatalkan amalan jawatan-jawatan tersebut dilantik Yang Dipertuan Agong (pada hakikatnya hanya meng'endorse' pilihan Perdana Menteri).
 
4. Memperkasakan Parlimen. Institusi-institusi seperti Perbendaharaan, SPAM, SPR, SPRM, JAN, PDRM dan ATM bertanggungjawab kepada Jawatankuasa Khas Parlimen. Ini membatalkan amalan badan-badan tersebut diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri atau Kementerian Dalam Negeri yang diketuai Perdana Menteri. Ketetapan ini melicinkan urusan pentadbiran negara serta mengurangkan keperluan penubuhan Majlis-Majlis, Jabatan-Jabatan  serta jawatan-jawatan yang bersifat bertindih atau duplikasi sekaligus mengurangkan karenah birokrasi dan perbelanjaan pengurusan negara.

Langkah-langkah di atas dipercayai mampu meminima salah guna kuasa di kalangan pemimpin selain memastikan badan-badan perundangan, kehakiman dan keselamatan negara benar-benar bebas dan berwibawa serta tidak menjadi alat kepada mana-mana pemimpin dan ahli politik.
 
Meletak dan mempraktikkan asas sistem demokrasi sebenar di atas sistem sedia ada memerlukan penjelasan menyeluruh kepada rakyat Malaysia. Ia memerlukan masa untuk difahami dan diterima. Ia boleh bermula dengan ahli-ahli yang berhormat lebih dahulu memahami dan menerimanya. InshaAllah adalah tidak mustahil suatu hari nanti Malaysia akan kecapi semula keamanan dan kemakmuran selepas kita berani mengorak Langkah Pertama.

No comments:

Post a Comment