Tuesday, May 5, 2015

Buck Up or Pack Up Najib

Seperti diramal, Barisan Nasional berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Rompin namun sokongan kepada parti yang menguasai kerajaan Pahang dan Pusat itu merosot pada PRK kali ini. Pada PRU13 BN memperolehi 65.5% undi popular manakala PAS 32.6%. Pada PRK hari ini undi popular BN menyusut 4.8% kepada 60.7% manakala PAS meningkat ke 38%. Peratusan keluar mengundi PRK hari ini cuma 74% berbanding PRU13 85.9%. Jumlah pengundi berdaftar 53294.

Penurunan 12% jumlah pengundi PRK hari ini berbanding PRU disebabkan:

1. Hari mengundi jatuh pada hari Selasa, sehari selepas cuti hujung minggu panjang. Pengundi yang tinggal di luar kawasan tidak dapat balik menunaikan tanggungjawab.

2. Protes rakyat Rompin terhadap BN pimpinan Mohd Najib Abd Razak.

Pada PRU13 BN memperolehi 56% undi manakala PAS 27.8% dari jumlah 53596 pengundi berdaftar. PRK kali ini BN cuma memperolehi 44.4% undi manakala PAS kekal 27.8% dari jumlah 53294 pengundi berdaftar. Pengurangan hampir 12% sokongan terhadap BN berbanding PRU13 menyamai penurunan jumlah pengundi keseluruhan.

Ini jelas menunjukkan penolakan terhadap BN makin ketara, bermula dengan pengundi Rompin, kubu kuat BN. Penyokong BN memilih memulau PRK malah tidak mustahil mereka mengundi PAS sebagai tanda protes.

Penolakan ini disebabkan faktor-faktor berikut:

1. Pengenalan GST oleh kerajaan Pusat. Di sebalik jaminan PM dan Menteri-Menteri kerajaan Pusat cukai baharu ini mampu menurunkan berpuluh ribu harga barangan pengguna dan meningatkan pendapatan negara, GST terbukti sebaliknya. Semenjak diperkenalkan sebulan lalu ia telah membebankan rakyat khususnya kelompok berpendapatan sederhana rendah dan rendah. Pengundi Rompin rata-ratanya peneroka tergolong dalam kelompok tersebut.

2. Felda dan rumah mampu milik. Selepas Felda diasingkan dan dijadikan syarikat global FGV, ramai peneroka menghadapi kerugian apabila saham dilanggan mereka jatuh merudum di pasaran terbuka. Lebih parah kebanyakan peneroka meminjam untuk melabur. Rumah mampu milik untuk keluarga peneroka yang dijanjikan Najib pada PRU13 tidak dipenuhi, PRK kali ini Najib berkempen lagi janji kitar semula.

3. Serangan Dr Mahathir Mohamad. Isu-isu dibangkitkan Dr Mahathir yang melibatkan Najib dan Rosmah Mansur mutakhir ini turut membantu mengurangkan sokongan kepada BN. Pengundi Rompin yang terbiasa menolak mentah-mentah isu dijuarai pemimpin PR mulai memberi perhatian dan mengambil perduli perihal salahlaku dan salahguna kuasa pemimpin BN khususnya PM dan 'pack of wolves'nya.

Ringkasnya, pengundi Rompin kebanyakkannya berpendidikan dan berpendapatan sederhana rendah dan rendah itu sudah berani memberikan mesej yang sangat jelas kepada Najib dan Regim supaya berhati-hati dengan tindak tanduk mereka selepas ini.  

Sungguhpon PAS berjaya mengurangkan hampir separuh majoriti BN ia tidak bermakna pengundi Rompin menerima pendekatan PAS lewat ini khususnya sikap Haji Abd Hadi Awang dan geng ustaz terhadap perlaksanaan hudud dan layanan mereka ke atas rakan gabungan PKR dan DAP.

Slogan 'Satu undi untuk PAS = satu undi tolak GST' benar-benar terkesan di hati pengundi Rompin. Dan dengan ketiadaan Presiden PAS semasa kempen di samping mengelak berbicara dan mempromosi Enakmen Jenayah Syariah Kelantan, ia berjaya bukan sahaja mengembalikan sokongan akar umbi PAS malah mempengaruhi penyokong BN yang memprotes Najib.

Tahniah dan pujian patut diberi kepada Pesuruhjaya PAS Pahang Tuan Ibrahim Tuan Man yang berjaya membawa isu GST dan Felda serta mengawal isu hudud  dengan baik semasa berkempen.

Pengundi Rompin telah menyampaikan mesej mereka kepada BN melalui peti undi. Khamis ini giliran pengundi Permatang Pauh pula untuk memberikan isyarat lebih kuat dan lantang kepada Najib dan kuda-kudanya.

Anak-anak muda di perantauan, kembalilah ke Permatang Pauh dan tingkatkan majoriti kemenangan PKR. Satu undi untuk PKR = Satu undi menolak Najib dan kerajaan angkuh! Jika Najib tidak buck up (tunduk), Najib perlu pack up (kemas dan berambus)!

No comments:

Post a Comment