Monday, May 11, 2015

Singa Cedera


Ketika seekor singa tercedera dan menjadi lemah, ketika itulah hyena membuka langkahnya.

Selain Menteri dan Timbalan Menteri Persekutuan yang terkenal dengan kenyataan-kenyataan yang amat 'maslan' dan 'hassan' yang sering mengundang cemuh dan cela rakyat, semalam Ketua Menteri Sabah Musa Aman mengumumkan pemimpin BN negeri berdiri teguh dibelakang Mohd Najib Abd Razak untuk kekal sebagai Perdana Menteri.

Tidaklah memeranjatkan kenyataan sebegini keluar dari mulut pemimpin UMNO ketika perhimpunan mega bersama Presidente Del Bugisee itu. Beberapa perhimpunan 'misi pertahanan' sebelum ini turut memperlihatkan 'kesan emosi' serupa. Semua sedia maklum ianya tidak lebih sekadar wayang. Jika tidak masakan Najib terus menunjukkan simptom klimaks tertekan.
Pemimpin dan penyokong berhimpun bersolidariti untuknya, dalam masa sama mereka jualah yang mempertikai dan menghentamnya. Kini makin ramai berani tampil memulas perut Najib. Muhyiddin Yasin, Mohd Shafie Afdal, Hishamuddin Hussein, Khairy Jamaluddin dan beberapa Ketua Bahagian, selain Dr Mahathir Mohamad, Daim Zainduddin dan pemimpin PR yang lantang terhadapnya.
 
Selepas satu demi satu perjumpaan dan perhimpunan menghasilkan natijah sama - tidak meningkatkan sokongan dan mengembalikan kepercayaan terhadapnya, jelas menunjukkan yang datang berhimpun tidak lebih kerana dipaksa atau dibayar. Dalam keadaan Najib tidak ubah seperti seekor singa cedera, ketika kantung negara terus kering hutang negara terus membarah, habuan untuk sokongan adalah logiknya. Mangsa tidak tunduk kepada pemangsa yang cedera, justeru alasan dipaksa-terpaksa-memaksa tidak relevan.
 
Umum menyedari Najib Perdana Menteri yang gemar berbelanja mewah, dan yang dibelanjakannya itu semua milik orang. Khazanah negara dan harta rakyat seolah milik peribadinya. Najib, selaku Menteri Kewangan membelanjakan uwang negara seperti tiada tanggungjawab ke atasnya. Saban tahun Najib memohon perbelanjaan tambahan menampung ketidak-kompetensinya sebagai pengurus perbendaharaan negara.
 
Sikapnya yang jahil boros itu membolehkan pemimpin BN yang lebih bijak dari komrad Ahmad Maslan, Hassan Malik dan Ismail Sabri kini mengorak langkah. Sokongan Musa dan pemimpin Sabah bukan sokongan menkhinzir buta. Najib kini terdesak. Inilah masanya permintaan apapon ditagih pemimpin Sabah pasti ditunaikannya. Kerana itulah Najib mengaku di Sabah 'I owe you'.
 
Dalam UMNO tiada lagi sokongan dan perjuangan iqlas. Jika ada habuan adalah haruan dan adalah sokongan. Masalahnya Najib bukan dari keturunan berharta seperti yang dikhabar agen propagandanya. Dia menggunakan khazanah negara dan harta rakyat untuk melebarkan pengaruhnya dan kekal di kerusi kuasa.
 
Kaedah Najib bertahan mudah - uwang membeli percaya. Mudah pada Najib, bahaya pada nusa bangsa. Kebuncitan hutang kini ditahap kronik. Salahguna kuasa ditahap 'insane'. Sistem demokrasi berperlembagaan semakin tidak berfungsi. Malaysia tidak memerlukan PR untuk menjadikannya republik, Presidente Del Bugisee itu telahpon merealisasikannya.
 
It takes one for one. Najib mungkin terus disokong 140 Ketua Bahagian untuk kekal Presiden UMNO akan tetapi BN bakal kehilangan lebih banyak sokongan dan kepercayaan rakyat. 7% penyokong mereka beralih arah memadai menumbangkan BN pada PRU14.
 
Najib berdaya memberi habuan kepada Ketua Bahagian, namun beliau tiada upaya menyuap jutaan rakyat Malaysia agar mempertahankannya. Tidak hari ini, esok lusa Najib tersungkur rebah jua! Itulah taqdir singa yang cedera.
 

 

No comments:

Post a Comment