Friday, May 15, 2015

Asteroid dan Asset Rakyat-Negara

TRX Asset Negara

Rancangan asal tapak Tun Razak Exchange (dahulunya dikenali Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur) sebelum dijual kepada 1MDB adalah Putrajaya menjual tanah tersebut kepada Pelaburan Hartanah Berhad, sebuah syarikat Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera.

Selepas Mohd Najib Abd Razak mengambil alih jawatan Perdana Menteri dari Abdullah Ahmad Badawi rancangan tersebut terbantut. Tanah prima terletak di segi tiga emas Kuala Lumpur itu sebaliknya dijual kepada anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan Diperbadankan pada harga RM64/kaki persegi, jauh lebih rendah berbanding nilai pasaran.

Beberapa hari lalu 1MDB mengumumkan tanah tersebut akan dimajukan sebuah syarikat hartanah Indonesia. Persoalannya dengan termeterai urusniaga tersebut adakah tanah kerajaan yang asalnya diperuntukkan untuk pembangunan ekonomi Bumiputera itu akan tergadai?
 
Tabung Haji dan Takaful Malaysia
 
Tabung Haji Properties, anak syarikat milik penuh Lembaga Tabung Haji telah membeli sebahagian plot TRX pada kadar tidak masuk aqal yakni hampir RM2800/kaki persegi. Pengerusi TH Abd Azeez Abd Rahim mulanya menafikan transaksi tersebut. Namun apabila pemimpin PR serta pencarum mendesak selepas kebocoran maklumat pelaburan TH dalam 1MDB, beliau kemudiannya membuat pusingan U dan mengesahkan.

Tekanan menjadi semakin besar khususnya dari pencarum memaksa Najib mengarahkan TH menjual tanah tersebut, kurang sebulan selepas pembeliannya dengan alasan mengambil kira sensitiviti pencarum. Persoalannya kenapa sebelum membuat transaksi TH tidak menimbang soal sensitiviti? Di mana penasihat TH yang terdiri daripada Pengerusi Majlis Fatwa dan ulama-ulama UMNO?

Adakah cuma kebetulan jual-beli plot tanah TRX antara TH dan 1MDB yang dibuat secara tunai penuh tersebut kurang sebulan dari salah satu bon diterbitkan 1MDB 'due' membayar kuponnya? Adakah cuma kebetulan nilai jual-beli dan nilai kupon bon adalah sama? Inilah asas persepsi umum urusan jual-beli tersebut hanyalah bertujuan membantu 1MDB menjelaskan beban faedah pinjamannya.

TH memaklumkan penjualan semula tanah tersebut membolehkan mereka beroleh keuntungan RM5 juta. Namun pemimpin PR menegaskan TH sebenarnya mengalami kerugian disebabkan cukai dan kos guaman yang dikenakan ke atas penjualan.

Kebocoran maklumat turut mendedahkan Tabung Haji juga telah melabur RM1 billion dalam sukuk terbitan 1MDB. Pencarum mempersoalkan ke mana uwang tersebut dilaburkan 1MDB, adakah ia juga bakal berakhir tanpa dapat dikesan? Adakah pencarum terpaksa menanggung kerugian?

Selepas insiden pembelian tanah 1MDB pencarum mula meragui keboleh-percayaan dan keprofesionalan pengurusan TH. Tambah lagi mereka mendapati ahli lembaga pengarah dan penasihat TH adalah individu-individu sama terlibat secara langsung dengan 1MDB. Ismee Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Tabung Haji adalah ahli Lembaga Pengarah 1MDB. Johan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dan Timbalan Pengarah Urusan Tabung Haji adalah Pengerusi anak syarikat 1MDB iaitu 1MDB Edra Energy Sdn Bhd, Manakala Dr. Abdul Samad Haji Alias, Ahli Panel Pelaburan Tabung Haji adalah Ahli Panel Penasihat 1MDB.

Takaful Malaysia, anak syarikat milik BIMB Holdings Berhad semalam mengakui meminjamkan RM85 juta kepada 1MDB (dahulunya TIA) melalui sukuk jangka panjang 40 tahun yang matang pada tahun 2039. Sukuk tersebut menjanjikan kupon 5.25% setahun. Namun semalam Pengarah Urusannya memaklumkan Takaful Malaysia belum menerima apa-apa bayaran semenjak 2009.

Oleh kerana ia melibatkan pelaburan dana orang Islam oleh entiti berteraskan Syariah, kita berminat mendengar hujah ulama-ulama seperti Haji Abd Hadi Awang, Lebai-Lebai PAS dan para mufti. Apa hukumnya perbuatan syubahah dan konflik kepentingan dalam urusniaga-urusniaga tersebut.

 
Konsortium Perbankan
 
Konsortium perbankan diterajui Deutsche Bank yang meminjamkan USD975 juta (RM3.6 billion) kepada 1MDB kini berusaha menuntut semula seluruh pinjaman tersebut, 4 bulan lebih awal dari tarikh matang September 2015.

Pinjaman diluluskan selepas 1MDB mencagarkan simpanan tunainya melalui Brazen Sky, salah satu unit BSI Singapura berjumlah USD1.1 billion. Dilaporkan sebelum pinjaman tersebut dimeterai Kerajaan Malaysia telah mengeluarkan surat sokongan (satu bentuk jaminan).

Berita tersebar di Kota Singa konsortium perbankan memilih membuat tuntutan awal setelah mendapati 1MDB melanggar syarat maklumat dan sedang disiasat pihak berkuasa Singapura. Strait Times Singapura melaporkan simpanan USD1.1 billion yang dijadikan cagaran pinjaman sebenarnya tidak wujud. Disebabkan khuatir transaksi ini akan mengundang lebih banyak masalah maka konsortium perlu menamatkan perjanjian lebih awal.
 
Diketahui umum 1MDB menghadapi pelbagai masalah dari awal penubuhannya. Perniagaannya tidak memberi pulangan baik, asset dimilikinya tidak mudah dilupuskan dan keadaan kewangan tidak mampu menampung beban hutang besar kerana mempunyai masalah aliran tunai.

Persoalannya, jika 1MDB gagal menghalang tuntutan awal tersebut, dari mana ia hendak mendapatkan sejumlah RM3.6 billion untuk membayar semula pinjamannya? Kerisauan ini telah lama ditimbulkan pemimpin PR seperti Rafizi Ramli, Tony Pua dan Hanipa Maidan. Malangnya mereka dituduh gila publisiti dan hanya pandai menfitnah PM dan 1MDB oleh pemimpin dan pemuja Regim.
 
 
Anak Abd Razak vs Anak Abd Razak

Pengerusi Kumpulan CIMB Mohd Nazir Abd Razak semalam menggesa pihak pengurusan dan lembaga pengarah 1MDB meletakkan jawatan kerana dilihat tidak bertanggungjawab menangani dakwaan salah urus kewangan syarikat bermasalah itu. Nazir menambah, mereka sepatutnya segera melantik juruaudit bebas dan bukan hanya menunggu tindakan daripada ketua audit negara.
 
Bagi pemimpin dan pemuja Regim mereka melihat kenyataan Nazir itu tidak lebih hanya strategi korporat semata. Mereka mencari pelbagai alasan untuk mempertahankan 1MDB.
 
Mereka perlu membuka mata hati untuk melihat, Nazir boleh sahaja memberi pandangannya terus kepada Mohd Najib Abd Razak, Perdana Menteri yang juga Pengerusi Penasihat 1MDB. Nazir tidak perlu bercakap kepada media untuk menegaskan idea korporatnya. Tindakannya itu berupa bola tanggung kepada Najib.
 
Ini bukan kali pertama Nazir 'berlaga angin' dengan abang sulungnya itu. Sebelum ini Nazir dan saudaranya yang lain membuat pengakuan bersama menafikan kenyataan agen propaganda Putrajaya bahawa Najib dan Rosmah mewarisi kekayaan keluarga untuk melayakkan diri mereka menjalani gaya hidup mewah ala bangsawan. Ringkasnya jika saudara sendiri selalu tidak 'sebulu', benarlah ada sesuatu yang sangat tidak kena dengan Presidente Del Bugisee itu.
 
Selepas tanah-tanah rizab Melayu, saham-saham Bumiputera, kini giliran asset-asset kerajaan pula. Kabinet membiarkan Najib berhemah seperti seorang Presiden. Wakil rakyat BN pula menjadi 'rubber stamp' kepada aktiviti pelupusan hak-hak bangsa Melayu dan Bumiputera.
 
Ini berlaku saban hari di depan mata kepala pemimpin dan pemuja Regim dan mereka membenarkan ia berulang tanpa tentangan. Paling mendukacitakan ramai pula bangsa Melayu mempercayakan mereka ini dengan harta benda, uwang ringgit dan masa depan anak bangsa.
 
Sebagai warga prihatin seperti yang lain, saya memberi amaran kepada Putrajaya - jangan sentuh dana rakyat dalam KWSP, KWAP, PNB dan TH untuk menyelamatkan penyamun! Saya dan keluarga ada bahagian dalam dana-dana simpanan tersebut. Asteroid ciptaan Najib-UMNO jangan dibiarkan berlanggar dengan harta rakyat dan negara. Kita mesti menghalangnya!

 

No comments:

Post a Comment