Friday, May 29, 2015

Parti atau Pengundi

PAS vs DAP

PAS dan DAP nampaknya tidak berganjak dengan pendirian mereka. Dua rakan gabungan Pakatan Rakyat ini tidak menunjukkan sedikitpon keinginan mengalah, atau paling tidak berhenti menyerang satu sama lain buat seketika. Hampir setiap hari pemimpin kedua-dua parti berbalas tuduhan dan cemuhan. Samada sedar atau tidak mahu sedar 'perang terbuka' sesama mereka sebenarnya tidak memberi keuntungan kepada PR.

Pesanan Ketua Pembangkang yang juga Presiden PKR agar kedua-dua parti memasuki 'tempoh bertenang' langsung tidak dihiraukan. DAP bertegas bahawa berdiam terhadap 'salah laku' Presiden PAS tidak membantu menyelamatkan PR manakala PAS pula berkeras DAP  terlalu biadap dan perlu berhenti mencampuri urusan dalaman mereka khususnya menjelang Muqtamar kali ini.

Jika mendengar hujah-hujah pihak berbalah kita merasakan ada asas kebenaran pertikaian mereka. DAP dari mula bertegas masalah dalaman PR berpunca daripada seorang individu. 'Serangan' DAP terhadap PAS lebih berkisar kepada sikap Haji Hadi sebagai ketua parti dan pemimpin tertinggi PR.

Masalah mulai timbul semenjak Haji Hadi membelakangi keputusan Majlis Pimpinan Pusat PR. Ia bermula apabila Haji Hadi berkeras meletak calon bertindih dengan PKR di beberapa kerusi DUN dan Parlimen pada PRU13 lalu. Haji Hadi juga berkeras menentang keputusan pertukaran Menteri Besar Selangor Khalid Ibrahim yang disepakati PKR, DAP serta beberapa pemimpin kanan PAS. Haji Hadi memilih berdiam ketika majoriti pemimpin PR mengutuk konspirasi Fitnah 2 Anwar Ibrahim yang membawa kepada pemenjaraan Ketua Umum PKR dan calon Perdana Menteri PR itu.

Kemuncaknya Haji Hadi membawa Rang Undang-Undang Persendirian ke Dewan Rakyat yang mana pengubalannya membuka ruang kepada perlaksanaan Enakmen Jenayah Syariah Kelantan, tanpa perbincangan dan persetujuan rakan-rakan gabungan. Kecendorongan meneruskan idea Kerajaan Perpaduan bersama UMNO menambahkan lagi kekecewaan ramai terhadapnya.
 
Episod 'berpaling tadah' Haji Hadi yang disuarakan DAP tersebut mengambarkan Haji Hadi seorang pemimpin bermasalah. Selain sukar bergerak sebagai satu pasukan, beliau juga bukan 'team player' dan tidak berwawasan. Beliau lebih tertumpu pada matlamat jangka pendek yakni menghidupkan semula 'hudud' ketika ramai mengakui perlaksanaannya di negara masyarakat majmuk adalah mustahil. Demi mencapai matlamatnya itu Haji Hadi sanggup berlembut dengan UMNO yang terus 'bermain silap mata' ketika sebahagian besar pemimpin parti Melayu liberal itu terangan menolaknya.

Ketika negara berdepan krisis ekonomi, hutang negara terus membarah, salahguna kuasa dan salah laku Regim terus berleluasa, ketegangan antara agama dan kaum makin meruncing, gejala sosial makin membimbangkan, keselamatan awam dan sempadan negara makin dikompromi serta kos sara hidup terus membelenggu rakyat kebanyakan, Haji Hadi hanya melihat hudud dan kepimpinan ulama jawaban kepada segala cabaran-cabaran ini.

Ketika DAP melihat Haji Hadi seorang yang bermasalah, PAS berkeras tindakan DAP mencemuh dan memutuskan hubungan dengan Presiden mereka melampaui adab bertahaluf. Geng ustaz khususnya dari negeri kelahiran Haji Hadi lantang mempertahankan beberapa tindakan unilateral yang dibuat Naib Ketua (Asia Tenggara) Kesatuan Ulama Sedunia itu. Bagi PAS tindakan mempersoal konsep 'wala' kepada ulama menyamai taraf biadap dan kurang ajar.

Enakmen Jenayah Syariah Kelantan diluluskan sebelum PR ditubuhkan. Enakmen tersebut adalah cita-cita pemimpin PAS negeri dan hasrat rakyat yang mengundi mereka. Menentang perlaksanaan Enakmen tersebut samalah seperti menghina hak majoriti yang memilih PAS menerajui Kelantan selama 6 penggal. DAP yang sering melaungkan mereka pengamal demokrasi menunjukkan mereka bukanlah pihak yang menghormati semangat demokrasi.

PAS bertegas Enakmen tersebut terkhusus kepada masyarakat Muslim di Kelantan, bukan di peringkat Persekutuan. Jika cara Haji Hadi mengangkat perlaksanaan Enakmen punca DAP menentang ia tidak bermakna mereka boleh memperlekeh undang-undang Syariah. Selepas alasan teknikal diguna kini mereka berhujah ia tidak terkandung dalam Dasar Bersama/Buku Jingga, hanya setelah UMNO sedia berkerjasama merealisasikan Enakmen tersebut.

Dan jika benar Hudud hanyalah alat Haji Hadi dan geng ustaz memperkukuh kedudukan mereka, dengan mengelak berkonfrantasi DAP lah yang mendapat manfaat besar daripadanya. Lambat laun umum akan mengetahui 'kisah benar' dan DAP beroleh laba berupa sokongan bangsa Melayu kerana bersikap 'gentleman'. Namun anak beranak Lim memilih bertindak keterlaluan.

Perbalahan antara mereka kini memasuki fasa 'too personal' dan 'too emotional'. Ugutan memutuskan kerjasama dengan Haji Hadi dan PAS, cemuhan terhadap agamawan pro Haji Hadi serta tentangan berterusan terhadap usaha perlaksanaan Enakmen Jenayah Syariah Kelantan, di samping lawatan politik ke negara Timur Tengah 'kilang' ulama masa depan PAS berforum bersama siswa-siswi serta berceramah di pentas terbuka di negeri Serambi Makkah mempertikai hak kerajaan negeri mengubal dan melaksana undang-undang hanya menyerlahkan sikap keterlaluan mereka.

Ketika PAS sedang bersiap sedia untuk Muqtamar 2015 yang menyaksikan pertandingan semua jawatan penting DAP terus menyerang Haji Hadi. Selama lebih setengah abad pemilihan PAS hanya pemimpin UMNO dan media Regim yang berminat mengkritik dan memberi liputan serta menjadi medan kepada segelintir pihak mengadu dumba. Tindakan DAP mencemuh Haji Hadi pra-pemilihan mirip strategi media Regim dalam usaha mempengaruhi keputusan perwakilan. Ini sudah mencampuri urusan dalaman.

Sekiranya PKR mampu bersikap berkecuali urusan dalaman PAS-DAP, sepertimana PAS terhadap DAP, maka tiada sebab DAP tidak boleh berbuat demikian. Tindakan anak beranak Lim membenarkan persepsi umum bahawa parti liberal itu kini terlalu lantang dan semakin angkuh. Kelantangan dan keangkuhan mereka makin tidak bertempat dan hanya memburukkan lagi keadaan.

 
Parti atau Pengundi

Menjadi rakan gabungan dalam pakatan longgar PR tidak memberi kelebihan kepada mana-mana parti atau pemimpin menjadi dominan. PR bukan sebuah pertubuhan politik berdaftar, tiada perlembagaan, tiada struktur pentadbiran serta tiada keahlian terus. Disebabkan kekangan ini rakan gabungan bergantung kepada apa jua kekuatan yang ada untuk mendominasi dan memperluaskan pengaruh.

Bersandarkan rekod PRU13 DAP memenangi kerusi Parlimen terbanyak dengan 38 dari jumlah 89 berbanding PKR-PAS, PKR memenangi undi popular tertinggi dengan 40.1% dari jumlah 5.624 juta pengundi berbanding DAP-PAS manakala PAS mempunyai keanggotaan berdaftar terbesar dengan lebih 1 juta berbanding PKR-DAP.

Jika mengguna-pakai hujah yang dijuarai PR bahawa undi popular adalah faktor kemenangan sesuatu pertandingan atau pemilihan, maka PKR memiliki kelebihan. Lantas tidak perlulah dipersoal jika jawatan Ketua Pembangkang dan Perdana Menteri PR diserah kepada Anwar Ibrahim dan kini Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Suka atau tidak majoriti pengundi memilih gabungan PKR-PAS-DAP pada PRU13 bukan kerana mereka merasakan gabungan ini lebih baik berbanding gabungan sedia ada, sebaliknya mereka terlalu membenci dan menolak secara total UMNO-BN. Malah ketika PRU lalu pengundi PR menganggap cuma Anwar (sebagai satu institusi) mampu menjatuhkan Regim yang zalim.

Jika dari awal lagi rakyat menyedari kerjasama antara PAS-DAP hanyalah 'one night stand', pemimpin DAP dan PAS tidak akan berada di kedudukan selesa seperti hari ini. Kemungkinan besar BN berjaya meraih semula majoriti 2/3 kerana penyokong PR yang kecewa memulau proses mengundi. Senario ini bakal berlaku pada PRU14 jika perbalahan PAS-DAP tidak ditamatkan segera.

Ketika negara menghadapi masalah urus tadbir dan UMNO-BN berdepan krisis kepercayaan, PR perlu mengambil kesempatan ini meningkatkan kepakaran dan mempamerkan 'added value' di samping segera meminimakan kelemahan dan kekurangan mereka. Ini bermula dengan menunjukkan ketegasan.

Biarpon Haji Hadi dan geng ustaz memandang rendah keupayaan pemimpin wanita dan muda, dalam kes perbalahan PAS-DAP ini Dr Wan Azizah dan timbalannya Mohamed Azmin Ali harus tampil berani memberi kata dua kepada mana-mana pemimpin yang bertindak memudaratkan gagasan yang diasaskan suaminya dan disokong majoriti rakyat itu. Pemimpin bertelagah harus diberi amaran keras. Jarang sekali ahli atau penyokong parti menimbulkan kegelisahan dan menyebabkan perbalahan, sebaliknya pemimpin mereka yang degil lagi sombong.

Sebagai parti yang menjadi tulang belakang PR, PKR bukan sahaja 'orang tengah' sebaliknya ketua kepada keluarga besar. PKR telah membuktikan ia layak menjadi ketua selepas menunjukkan prestasi memberansangkan semenjak dua PRU lalu. PKR memangkin kekuatan rakyat, memperkukuh demokrasi serta meletakkan PR di landasan terbaik sehinggalah Anwar dipenjarakan buat kali kedua.

Dengan keterbatasan sumber kewangan dan akses kepada peruntukan perbendaharaan, rata-rata pemimpin dan wakil rakyat PKR berjaya menghidupkan style kepimpinan sederhana yang ditagih umum. Berbekalkan pengalaman menganggotai pentadbiran Persekutuan dan berjawatan dalam UMNO-BN suatu masa dahulu, pemimpin PKR mampu mentadbir negara dengan lebih baik berbanding DAP-PAS. Kerajaan Selangor boleh dijadikan ukuran kekuatan PKR.

Dalam membuat ketegasan dan keputusan melibatkan rakan gabungan PKR harus meletakkan kepentingan pengundi PR di atas segala pertimbangan. PKR pernah berhutang budi kepada PAS khususnya semasa hayat Almarhum Haji Fadhil Noor kerana Reformasi tidak akan berjaya tanpa dokongan dan simpati bekas Presiden itu terhadap Anwar. PKR juga berhutang budi kepada DAP yang memilih Khalid/Mohamed Azmin sebagai Menteri Besar berbanding PAS yang memiliki lebih banyak kerusi DUN Selangor. Namun kisah budi tidak boleh menghalang PKR menjunjung mandat rakyat dan menyelamatkan PR.

Pemimpin PAS dan DAP sering mencabar satu sama lain meninggalkan Pakatan Rakyat. Mereka menganggap keanggotaan mereka lebih penting berbanding yang lain. Barangkali kedua-duanya terlupa mereka tidak layak mempersoal kesetiaan dan menentukan nasib rakan mereka. Pakatan Rakyat adalah cetusan idea dan inisiatif Anwar dan PKR. Jika mereka tidak lagi selesa dengan matlamat asal penubuhannya adalah lebih baik mereka membawa diri.

Melihat kenyataan pemimpin PAS dan DAP ke belakangan ini kedua-dua belum bersedia membawa keluar parti mereka dari PR. Mereka sedar mereka tidak mampu berada di posisi sekarang dan membentuk kerajaan jika bersendiri tanpa rakan gabungan. Lantas inilah masanya PKR meminta rakan gabungan mengulangi ikrar taat setia mereka kepada rakyat dan PR. Inilah masanya PKR menetapkan syarat yang lebih jelas. Jika mereka mahu kekal dalam PR mereka mesti mendahulukan matlamat rakyat.

PRU14 bakal berlangsung paling lewat Mac 2018. PR ada kurang 33 bulan untuk menghadapi pilihanraya. Sekiranya selepas Muqtamar PAS dan DAP kekal bersama PR maka pembahagian kerusi Parlimen dan DUN perlu dilakukan segera supaya parti-parti yang bertanding dapat memberi fokus kepada pengundi mereka.

Gabungan wakil rakyat PKR, DAP dan sebahagian dari PAS terbukti berjaya memainkan peranan besar di peringkat nasional. Mereka secara kolektif mampu melakukan 'check and balance' dan memberi tekanan kepada Regim BN. Isu-isu penting melibatkan kepentingan rakyat dan negara diperjuangkan sebaik mungkin di Dewan Rakyat. Namun agak mengecewakan penglibatan golongan konservatif PAS agak minima dek keterbatasan pengetahuan, pengalaman dan kemahiran dalam urusan ekonomi, kewangan, pembangunan dan pendidikan.
 
Oleh kerana golongan konservatif telah membuat pengakuan Putrajaya bukanlah matlamat mereka malah mereka mengiakan dengan menunjukkan prestasi hambar di Dewan Rakyat, maka amat wajar mereka dikecualikan bertanding PRU akan datang. Mungkin mereka berfungsi dengan baik di Majlis Daerah atau Majlis Agama dan dapat menumpukan sepenuh masa serta tenaga kepada usaha tarbiah dan daqwah seperti yang mereka inginkan.
 
Golongan profesional yang telah membuktikan keupayaan mereka sebagai wakil rakyat yang efisien perlu dikekalkan. Nama-nama seperti Dr Abd Rani Osman dan Mohammad Nizar Jamaluddin perlu berada di Dewan Rakyat di samping wakil rakyat sedia ada seperti Kamaruddin Jaffar, Dr Mohd Hatta Mohd Ramli, YM Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, Mohamed Hanipa Maidin, Dr Dzulkefli Ahmad, Khalid Abd Samad dan Dr Mujahid Yusuf Rawa.
 
Suatu tindakan merugikan jika pengalaman dan kemahiran mereka tidak dimanfaatkan untuk pembangunan dan kemajuan ummah. Malah ianya suatu tindakan sia-sia jika mereka digugurkan hanya kerana bukan golongan konservatif. Demi bangsa Melayu dan rakyat Malaysia, PAS perlu dinafikan hak bertanding di kerusi tertentu sekiranya mengabaikan kepentingan golongan profesional yang telah banyak menyumbang selama ini. 
 
Sekiranya PAS atau DAP memilih meninggalkan PR maka golongan profesional dan golongan pro-rakyat boleh bertanding atas tiket PKR. PR harus mencari jalan mengelak persaingan tiga penjuru dengan PAS-DAP yang sudah pasti akan menguntungkan UMNO-BN. Melainkan PAS dan DAP memang berhajat memenang dan mengekalkan Regim di Putrajaya, hanya Tuhan sahaja layak memberi rahmat keampunan kepada mereka.
 
Baik PKR, PAS mahupon DAP, pemimpin dan ahli perlu menilai semula matlamat dan usaha mereka. Adakah Pakatan Rakyat milik mereka atau pengundi (rakyat)? Jika mereka memilih parti maka mereka tidak layak bertanding pada PRU dan tidak berhak mengaku mewakili rakyat! 

No comments:

Post a Comment