Wednesday, April 12, 2017

PM Abd Hadi Awang

Pesuruhjaya PAS Perak mencalonkan Presiden partinya sebagai Perdana Menteri. Cadangannya berlandaskan strategi PAS bertanding dan menang semua 80 kerusi Parlimen, dan bergabung dengan UMNO yang diconggak menang 40 kerusi dan parti komponen negeri Borneo 45 kerusi. 

Cadangan itu terang-terang kurang realistik. PRU13 PAS bertanding 73 kerusi di bawah jenama Pakatan Rakyat, dengan aura Murshidul Am Almarhum Nik Abd Aziz Nik Mat dan pertandingan satu lawan satu dengan BN, hanya mampu meraih 21 kerusi. PRU14 diramalkan berlaku pertembungan 3 penjuru  di antara Barisan Nasional-Pakatan Harapan-Gagasan Rakyat, mampukah PAS menambah bilangan kerusi atau senario terbaik mengekalkan kerusi sedia ada?

Dan seandainya keajaiban berlaku conggakan PAS tepat, bagaimana Hadi mampu menjadi PM jika BN (UMNO dan parti negeri Borneo) memiliki majoriti (85 kerusi) dalam kerajaan campuran? Apakah Hadi akan mendapat undi wakil bukan Islam untuk menjadi Perdana Menteri negara sekular Malaysia? Dan apakah Hadi seorang PM material?

Pra PRU13 Hadi pernah berucap jika Pakatan Rakyat menang pilihanraya beliau mahu berhenti berpolitik dan ke laut menjadi nelayan. Beliau juga pernah menegaskan dirinya tidak kemaruk kuasa dan lebih senang diangkat menjadi penasihat kerajaan. 

Muktamar lalu nadanya berlainan pula. Gegar gempita Hadi dan geng Taliban bercakap (baca mengugut) mahu bertanding semua kerusi Parlimen termasuk disandang rakan tahaluf PKR dan musuh tradisi DAP. Kemudian beliau turunkan kepada angka 40 ketika berucap di suatu majlis ilmu di Terengganu yang menyentuh isu pembahagian kerusi dan negeri dengan UMNO, kemudian semalam Naib Presiden Idris Ahmad menaikkannya ke 80 kerusi. Lewat ini mereka kerap juga menyuarakan hak jawatan PM.

Inilah Presiden parti yang berfatwa haram sembelihan dan batal solat berimamkan orang UMNO. Inilah juga Presiden parti yang rapat dengan talibarut UMNO yang dipecat Almarhum Nik Abd Aziz Nik Mat kerana mahu menubuhkan kerajaan perpaduan PAS-UMNO Selangor pasca PRU12. Inilah Presiden parti yang bersetuju Ketua Bahagian UMNO Gua Musang menjadi Perdana Menteri jika PR menang PRU13 ketika majoriti sepakat calonnya Anwar Ibrahim.

Inilah Presiden parti yang selalu membelakangi mesyuarat dan keputusan secara syura Majlis Presiden Pakatan Rakyat. Inilah Presiden parti yang membarua, menganjing, mengkufur dan menyingkirkan rakan-rakannya yang mengangkat PAS kepada kedudukan, kekuatan dan pencapaian tertinggi dalam sejarah kewujudan parti. 

Inilah Presiden parti yang mengundi berkecuali di Dewan Rakyat dan diam seribu bahasa bilamana Mohd Najib Abd Razak melaksanakan GST, menghapuskan subsidi minyak masak, petrol, gula dan tepung, merampas peruntukan pendidikan dan kesihatan, menjual asset negara kepada kapitalis warga asing, mewujudkan hutang tambahan (baca tanggungan rakyat) MYR50,000,000,000.00 dari satu syarikat ditubuhkan kerajaan dan menyebabkan nilai Ringgit susut di bawah 4 kepada 1 Dollar Amerika.

Inilah Presiden parti yang mempertahankan Syiah Iran ketika dunia Islam mengutuk persekongkolan mereka dengan Regim Bashar Al Assad yang membunuh lebih 400,000 dan merempatkan 11,000,000 Muslim Syria sebagai pelarian.

Dan jemaahnya yang mengaku mengamalkan Islam shumul mahukan beliau menjadi Perdana Menteri. Sakit otak jika dilayan, iya kan?