Tuesday, July 28, 2015

PM vs TPM. Muhyiddin Out!

Seperti dijangka Haji Muhyiddin Yasin dan Haji Mohd Shafie Afdal digugurkan dari kabinet Mohd Najib Abd Razak. Penyusunan kabinet memperlihatkan 4 Menteri sedia ada tersingkir diganti dengan 7 Menteri baharu. Selain Muhyiddin dan Shafie, Hassan Malek and S Palanivel turut digugurkan. Di antara keempat mereka Muhyiddin lah yang paling malang apabila dipecat 2 jawatan sekaligus yakni Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan. Namun Muhyiddin kekal sebagai Timbalan Presiden UMNO.
 
Najib, dalam kenyataannya sebentar tadi menjelaskan penyusunan kabinet (pemecatan Muhyiddin dan Shafie) antara lain adalah untuk menguatkan kerajaan dan memantapkan parti dalam menghadapi PRU14 tidak lama lagi. Bukan lagi rahsia Muhyiddin dan Shafie antara pemimpin kerajaan dan parti paling lantang mengkritik 1MDB. Najib sudah tidak dapat lagi menyorok mukanya yang merah berapi. Dengan ternyah nya Muhyiddin dan Shafie dari kerajaan dapat mengembalikan seri wajahnya dan lena tidurnya.
 
Penyusunan terbaharu ini tidak lebih hanyalah amaran Najib kepada pemimpin UMNO-BN agar tidak berpaling tadah darinya serta pengajaran kepada bekas pemimpin dan veteran UMNO yang menentangnya, khususnya Dr Mahathir Mohamad bahawa beliau tidak selemah yang disangka.
 
Kebetulan penyusunan kabinet berlaku hampir serentak dengan penamatan khidmat Abd Ghani Patail sebagai Peguam Negara sungguhpon persaraan wajibnya bermula Oktober 2015. Ghani adalah salah seorang dari 4 ahli 'Task Force' yang sedang menyiasat salah laku dalam 1MDB serta anak syarikat Kementerian Kewangan yang lain. Selain Peguam Negara, keanggotaan 'Task Force' terdiri dari Pengerusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, Ketua Polis Negara dan Gabenor Bank Negara. Najib adalah Menteri Kewangan dan Pengerusi Jemaah Penasihat 1MDB. 
 
Kebetulan juga penyusunan menyaksikan 4 ahli Jawatankuasa Kira-Kira Negara dari Barisan Nasional termasuk Pengerusinya yang vokal terhadap 1MDB selama ini Nur Jazlan Mohamed dilantik ke kabinet Najib sebagai Menteri dan Timbalan Menteri.
 
Penyusunan ini jelas memperlihatkan Najib sedang memperkuatkan pengaruhnya serta menyelamatkan dirinya dari serangan dalaman. Penyusunan ini menyebabkan inkuiri Jawatankuasa Kira-Kira Negara terhadap 1MDB ditunda sehingga Parlimen bersidang semula dan melantik ahli baharu. Penangguhan ini memberi cukup masa kepada Najib dan penasihatnya mengerakkan langkah 'mengawal keadaan'. 
 
Kurang 4 jam berita pemecatan tersebut sudah kedengaran cakap-cakap umum di media sosial dan warung kopi bahawa sejarah Musa Hitam vs Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim vs Dr Mahathir Mohamad bakal berulang. Melihatkan perselisihan terbuka Najib-Muhyiddin semenjak PRU13 tidak mustahil terbawa kepada pertentangan lebih kompleks selepas ini.
 
Sungguhpon ada yang beranggapan Muhyiddin tiada daya juang sekental dan tiada pengaruh sekukuh Musa dan Anwar namun ramai tetap berharapan pemecatan ini tidak melemahkannya terus menjuarai isu 1MDB. Andai kata Muhyiddin memilih beralah dan menikus diri, Dr Mahathir dan veteran sudah pasti tidak akan berdiam diri kerana sangat terbuak kemarahan dari tindakan terbaharu Najib dan angkatannya yang semakin angkuh lagi melampaui batas itu. Perkiraan pemerhati politik, serangan 'knock-out' akan digerakkan tidak lama lagi. Inilah 'final countdown'.
 
Pemecatan Muhyiddin dari kerusi Timbalan Perdana Menteri bukanlah suatu yang mengejutkan. Sekiranya Muhyiddin melatah dengan tindakan Najib dan memilih menentangnya bukan juga sesuatu yang memeranjatkan. Kisah pecat dan tentang Anwar dan Dr Mahathir masih segar di ingatan ramai. Kisah mereka sepatutnya menjadi teladan kepada Muhyiddin, Ahmad Zahid Hamidi dan mana-mana ahli politik di Malaysia. Jika kita bersekongkol dengan pesalah, suatu hari kita pasti akan kalah.
 
Menyingkap sejarah, Muhyiddin antara yang paling lantang mendesak anak alim Pulau Pinang Haji Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan Perdana Menteri dan Presiden UMNO selepas kekalahan teruk BN pada PRU12 lalu. Rakan-rakan Majlis Tertinggi yang bersamanya suatu masa dahulu mendesak Abdullah bersara dari politik hari ini mendesak cucu alim Johor ini pula meletakkan jawatan. Karma, iya kan?
 
Samada tindakan Najib memecat Muhyiddin dan Shafie, Timbalan Presiden dan Naib Presiden UMNO dari kerusi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kanan adalah betul dan bertepatan dengan kehendak rakyat minoriti dan akar umbi hanya boleh dipastikan dengan bertanyakannya kepada rakyat. Caranya adalah dengan mengadakan PRN di negeri-negeri dikuasai Regim Najib.
 
PRN Johor, Terengganu, Perak dan Kedah bakal menjadi referendum penerimaan atau penolakkan kepimpinan Najib dan barisan kabinetnya. PRN juga dijadikan pengadilan dan penerimaan Malaysia terhadap manifestasi perjuangan Najib-Regim dan golongan pro rakyat sebelum menghadapi PRU14.
 
Jika PRN benar-benar berlaku dalam masa terdekat diharapkan ia mampu memberi petunjuk dan menamatkan segala kekusutan di dalam parti UMNO amnya dan negara khususnya. Diharapkan juga, jika PRN berlaku lebai-lebai parti 'ulama' yang pro Najib tidak melibatkan diri. Penyertaan lebai-lebai hanya akan memudaratkan 'outcome' referendum serta merisikokan perjuangan rakyat. Ternyata pertandingan 3 penjuru hanya akan memenangkan calon Najib, seperti yang berlaku di 6 kerusi DUN dan 1 kerusi Parlimen pada PRU13 antara calon UMNO-PKR-PAS.

Ramai berharap senario terbaharu negara ini akan mengundang reaksi Istana. Rakyat sedang menunggu dengan penuh pehatian titah DYTM Sultan Negeri-Negeri Melayu. Jika Muhyiddin vs Najib tidak berlaku, Raja-Rakyat vs Regim akan berlaku. Dan jika berlaku ia akan menjadi antara catatan terpenting sejarah Malaysia moden.

Friday, July 24, 2015

Surat Terbuka Buat Timbalan Presiden. Cukup Sudah!

Ustaz, minta dipanjangkan pesanan ini kepada rakan Lebai dalam jemaah PAS. Minta mereka berhenti keluar kenyataan bodoh dan ugutan ba'iah terhadap pemimpin GHB. Ia tidak lebih memperlihatkan sisi buruk dan keterdesakkan mereka.
 
PAS tidak menang jika rakyat tidak undi. PAS tidak berkempen jika rakyat tidak menderma dan membantu jentera. PAS tidak berkuasa jika rakyat tidak mahukan mereka. Rakyat undi kerana idea 'PR', 'PAS For All' dan 'Negara Berkebajikan', bukan PAS versi Syeikh Besar Hadi Awang.
 
Yang mengundi PAS bukan semuanya ahli PAS. PRU13 PAS raih lebih 1.4 juta undi popular ketika keahlian parti kurang 1 juta. Dan bukan semua ahli PAS mengundi PAS. Jika semua ahli mengundi PAS nescaya Kedah tidak kembali ke pangkuan UMNO-BN.
 
Wakil PAS menang PRU13 kerana matlamat Putrajaya bukan matlamat hudud. Wakil PAS menang PRU13 kerana Manifesto Bersama bukan Dalil Hadi. Wakil PAS menang PRU13 kerana PKR (Anwar Ibrahim) dan DAP.
 
Berhenti bersikap taqabur dan lupa diri. PAS menang undi popular tercorot tapi lagak seperti terhebat dan terkuat. Lagi mahu mencatur politik tanahair. Haji Haron Din memandang rendah Anwar Ibrahim sebagai calon PM PR. Haji Hadi memandang rendah Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon MB Selangor. Pengampunya pula berasa beliau ada kaliber PM.
 
Terengganu, kubu kuat Haji Hadi tidak berjaya ditawan kerana rakyat tempatan sendiri menolak beliau asas apa rakyat Malaysia perlu mengangkatnya jadi PM?
 
Sikap dan perlakuan Haji Hadi dan proksinya langsung tidak membantu meringankan beban dan cabaran dihadapi rakyat dan negara. Kepetahan berceramah (mengarah) sahaja tidak memadai untuk menjadi pemimpin nasional. Kehebatan Ilmu Tauhid sahaja tidak melayakkannya untuk mengurus negara.
 
Jika wakil rakyat PAS yang memilih menyokong GHB perlu letak jawatan alasannya mereka menang atas tiket PAS, Haji Hadi dan proksi patut letak jawatan kerana menang atas jenama dan tiket PR.
 
Jangan berselindung di sebalik pertandingan tiga penjuru ketika terkinja-kinja untuk bersama UMNO. Rakyat sudah tahu strategi jijik ini!