Wednesday, February 27, 2019

RM1.4 Juta

RM 1,400,000.00. 

Itulah nilai penyelesaian luar mahkamah antara Presiden PAS Abd Hadi Awang dan Pengarang Sarawak Report Clare Rewcastle Brown. Ia didedahkan Anwar Ibrahim semasa berkempen di Semenyih.




Penyelesaian ini berkaitan tuntutan Hadi terhadap Clare atas tuduhan PAS menerima dana UMNO dan tuntutan balas Clare terhadap Hadi.

Beberapa jam sebelum pendedahan Anwar, Takiyuddin Hassan menafikan PAS pernah membuat sebarang bayaran kepada Clare.




"Pihak yang menuntut iaitu Abdul Hadi Awang, tidak membayar apa-apa bayaran ataupun kos kepada pihak defendan untuk penyelesaian kes ini di luar mahkamah".

"Pas menganggap kenyataan presiden PKR tersebut adalah langkah terdesak beliau bagi mengalihkan pandangan rakyat dari isu ‘krisis keyakinan’ parti-parti dalam Pakatan Harapan terhadap pengerusi mereka, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga Perdana Menteri Malaysia" tambahnya lagi.

Siapakah yang berbohong, Anwar atau Takiyuddin? 

Jika pendedahan Anwar adalah benar persoalannya kini mengapa Hadi membayar Clare setelah beliau menarik balik saman?  Adakah bermaksud laporan Clare adalah benar? Bukankah selama ini pimpinan PAS tegar menyatakan di mursalla, media masa dan sosial, perhimpunan hatta di majlis ilmu bahawa mereka telah difitnah, tuduhan PAS (pimpinannya) terima dana UMNO adalah suatu pembohongan jahat dan mereka berada di pihak yang benar?

Di manakah Hadi mendapatkan dana membayar Clare sedangkan punca Hadi menarik balik samannya adalah kerana keterbatasan kewangan? Adakah ianya hasil kutipan derma? Jika tidak dari mana datangnya?

Jika pendedahan Anwar adalah fitnah, Hadi mesti pantas menyamannya demi menjaga maruah diri dan parti yang makin teruk tercalar selepas pendedahan Sarawak Report dan isu audio Nik Abduh. 

Saman dalam negara tidak memerlukan perbelanjaan besar. Malah saya percaya ramai pengamal undang-undang khususnya para wala'un sanggup mewakilinya "fisabilillah" tanpa mengenakan bayaran demi menentang "kejahatan" Anwar ini. 

Kegagalan Hadi dan PAS berbuat demikian hanya menguatkan tuduhan mereka adalah ahli politik yang gemar berdusta. Umum mula khuatir akan ada lagi siri bohong syarie demi maslahat selepas ini.

Monday, February 25, 2019

Siasatan SPRM


Ketua Pesuruhjaya SPRM Mohd Shukri Abdull telah mengesahkan bahawa setakat 24 Februari 2019 pihaknya tidak menemui bukti dakwaan RM90 juta dana 1MDB masuk ke akaun PAS. Kenyataan itu dibuat selepas penyiasat SPRM meneliti akaun bank.

Susulan kenyataan SPRM tersebut Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata ia membuktikan segala tohmahan dan dakwaan yang dibuat kepada parti terbabit adalah pembohongan dan fitnah.


Tambahnya lagi ia adalah perancangan jahat ke atas PAS bertujuan untuk memburukkan imej dan integriti parti tersebut terutama menjelang PRU14 lalu.

Beliau turut memberi amaran PAS akan mengambil segala tindakan mengikut undang-undang sekiranya ada lagi pihak yang meneruskan fitnah seumpamanya terhadap mereka.

Namun kenyataan pantas PAS berkaitan pengesahan tersebut dikecam ramai pengamal undang-undang dan pemerhati politik. Ini kerana siasatan SPRM masih berjalan dan setakat kenyataan itu dibuat penelitian hanya melibatkan akaun bank rasmi PAS. SPRM tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai dakwaan dana masuk ke akaun pemimpin dan ahli.

Terdahulu beberapa pemimpin PAS telah dipanggil memberi keterangan, antaranya Nik Abduh Nik Abd Aziz dan Nasharudin Mat Isa.

Ramai berpendapat PAS tidak layak mengeluarkan kenyataan seolah telah dibersihkan SPRM. Malah mengaitkan tuduhan berkaitan dana UMNO sebagai fitnah merupakan satu pembohongan jahat ketika siasatan sedang berjalan. Alasan difitnah telah digunakan pimpinan untuk menutup pembohongan mereka ketika audio Nik Abduh mengaku menerima dana UMNO tersebar luas.

Ramai turut mempersoalkan tujuan SPRM mengeluarkan kenyataan tersebut di tengah-tengah proses siasatan.

Mengapakah SPRM mengaitkan siasatan dengan dana 1MDB sedangkan laporan dibuat atas dakwaan berlakunya rasuah politik antara PAS dan UMNO? 

Mengapakah SPRM tidak menyiasat dakwaan dan bukti-bukti Husam Musa dan Mohd Rafizi Ramli PAS terima dana daripada UMNO?

Apakah kejanggalan ini ada kaitan dengan pertemuan Dr Mahathir Mohamad dan Abd Hadi Awang minggu lalu? Atau ada kaitan dengan keanggotaan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM?

Rakyat sedang menantikan adegan seterusnya. Siapa bantu siapa?


Saturday, February 23, 2019

Cadangan Kadar Tol


Pejabat Perdana Menteri mengumumkan, selaras dengan manifesto Pakatan Harapan  pada PRU14, untuk mengambil alih konsesi lebuhraya bertol dan menghapuskan tol secara berperingkat.

Sebagai permulaan kerajaan berhajat mengambil alih lebuhraya sekitar Lembah Kelang iaitu LDP, SPRINT, KESAS dan SMART yang mana Gamuda Berhad adalah pemegang saham majoriti. Tidak dinyatakan samada rundingan masih berjalan atau sudah dimuktamadkan antara kerajaan dan syarikat konsesi tersebut.

Pengambilalihan itu membolehkan kerajaan mengantikan mekanisma tol sedia ada dengan

1) mengenakan caj kesesakan yang sama dengan kadar tol sedia ada pada waktu puncak selama 6 jam sehari

2) menghapuskan tol pada waktu luar puncak antara 11 malam hingga 5 pagi

3) memberikan diskaun sehingga 30% (boleh jadi 5% atau 10%) ke atas kadar sedia ada pada waktu biasa

Ramai berpendapat langkah terbaharu kerajaan ini tidak dapat menjustifikasi bagaimana ia mampu mengurangkan kos sara hidup rakyat. 

Majoriti pengguna lebuhraya menggunakannya kerana

1) sifat dan keperluan pekerjaan yang mengkehendaki mereka bergerak dan berkenderaan seperti petugas jualan, pemasaran, penghantaran barang dan seumpamanya.

2) waktu pekerjaan mereka tidak fleksibel maka masa perjalanan mereka di lingkungan waktu puncak.

3) pengangkutan awam di kejiranan mereka kurang effisen dan efektif atau langsung tiada akses.

4) kos dan masa penggunaan pengangkutan awam tidak banyak beza dari berkenderaan sendiri.

Kakitangan awam dan majoriti pekerja swasta bertugas dari 8 pagi hingga 6 petang. Bagi yang berkeluarga 2 jam sebelum dan selepas waktu kerja digunakan untuk menghantar dan mengambil anak ke dan dari pusat jagaan atau sekolah selain digunakan untuk perjalanan pergi dan pulang dari pejabat.

Tidak semua syarikat pengangkutan termasuk bas dan kargo beroperasi di luar waktu puncak. Syarikat seperti RapidKL dan perkhidmatan parcel beroperasi antara 5 pagi hingga 12 malam. Siapa yang mendapat manfaat pemansuhan tol 11 malam hingga 5 pagi?


Cadangan Rakyat Marhaen

Dengan mengambil kira kondisi kewangan negara, cabaran undang-undang serta keutamaan perbelanjaan, suka saya mencadangkan alternatif berikut sebagai usaha mengurangkan kos sara hidup rakyat:

1) Penurunan kadar tol ke atas semua jenis kenderaan di semua lebuhraya Lembah Klang, Utara Selatan dan Jambatan Pulau Pinang. 

Kadar tol diturunkan secara berperingkat seperti berikut:

i) 3 tahun pertama turun 30% atau lebih

ii) 3 tahun kedua turun +10% 

iii) 4 tahun ketiga turun +20%.

2) Diskaun 50% kadar tol ke atas semua jenis kenderaan di semua lebuhraya dan jambatan seluruh negara pada musim perayaan. 

Diskaun diberikan sebagai insentif kepada inisiatif rakyat pulang ke kampung merai keluarga dan bercuti dalam negara selain cabaran memandu di waktu paling sesak. Diskaun untuk sehari sebelum, pada hari-hari perayaan dan sehari selepas.

3) Pelarasan kadar tol ke atas semua jenis kenderaan berat seperti bas, lori, jentera angkut dan seumpamanya. 

Kadar tol sedia ada tidak munasabah berbanding 'wear and tear' infrastruktur oleh kenderaan berat. Kos selenggaraan kesan guna kenderaan berat jauh lebih tinggi berbanding kenderaan ringan seperti kereta. Kadar baharu tol sepatutnya dikenakan mengikut purata berat dengan muatan kenderaan berat.

4) Pelarasan Caj Jalan Raya untuk kenderaan asing dari Thailand, Singapura dan Indonesia. 

i) 3 tahun pertama naik 100%

ii) 3 tahun kedua naik +100%

iii) 4 tahun ketiga naik +200% 

Kadar CJR tahun-tahun berikutnya bergantung kepada kondisi kewangan negara.

Pelarasan caj sehingga 300% adalah adil dan praktikal. Ini kerana selain kadar tol baharu yang rendah, kenderaan asing turut menikmati harga petrol dan diesel (atau elektrik) negara yang rendah. Pelancong asing yang merasakan caj ini terlalu membebankan akan memilih pengangkutan awam tempatan. Selain kesesakan ia mampu mengurangkan kemalangan dan meningkatkan pendapatan rakyat dan negara.

5) Pemansuhan sekatan perjalanan ke atas semua jenis kenderaan berat di semua lebuhraya pada waktu-waktu puncak. 

Kenderaan berat dibenarkan mengguna semua lebuhraya pada bila-bila masa dengan syarat pemanduan hanya di:

i) lorong paling kiri (kecuali memotong) bagi lebuhraya 2 atau 3 lorong atau

ii) dua lorong paling kiri (termasuk memotong) untuk lebuhraya 4 atau 5 lorong

Kompaun RM1,000 dikenakan ke atas pemandu atau syarikat pengangkutan yang ingkar. Ia bertujuan mendisiplinkan pemandu selain mengurangkan risiko kemalangan.

6) Pemansuhan tol ke atas semua jenis kenderaan di semua lebuhraya Lembah Klang, Utara Selatan dan Jambatan Pulau Pinang pada tahun 2030. 

7) Peningkatan cukai jalan mulai tahun 2030 bagi menampung kos operasi dan selenggara lebuhraya sejajar dengan pencapaian Malaysia status negara maju.

Mengapa perlu tempoh 10 tahun untuk memansuhkan tol di lebuhraya Lembah Kelang, Utara Selatan dan Jambatan Pulau Pinang? 10 tahun adalah tempoh yang relevan untuk kerajaan:

1) menambah serta meningkatkan mutu  jaringan perkhidmatan awam sedia ada seperti bas, keretapi, kapal terbang dan feri serta infrastrukturnya.

2) mewujudkan perkhidmatan baharu seperti BRT, tram, light rail, kereta kabel, teksi air, hyperloop dan seumpamanya di kota-kota utama seluruh negara.

3) mewujudkan alternatif kepada kenderaan gasoline sekaligus mengurangkan pencemaran dari pelepasan karbon dan plumbum ke udara.

4) mewujudkan stesen pengecaj berkuasa solar sekaligus mengurangkan kebergantungan tenaga dan hasil negara kepada bahan fosil.

dan paling utama

5) menstabil kondisi dan mengukuhkan posisi kewangan negara. Negara berpendapatan tinggi mampu menyediakan perkhidmatan awam bertaraf dunia di seluruh negara.

Penurunan 30% dari kadar tol RM1.50 sehala dapat menjimatkan rakyat RM200 setahun. Bukankah ini lebih baik dari BSH RM100? Pembayaran pengambilalihan lebuhraya (secara adil dan saksama dengan menilai semula perjanjian asal demi kepentingan awam) dapat ditebus semula dalam 5-10 tahun tempoh kutipan tol.

Sumber kewangan negara dari pendapatan selain tol dapat disalurkan kepada sektor paling memerlukan seperti pendidikan dan kesihatan. Pendidikan percuma dari pra sekolah hingga ke universiti perlu dilaksanakan segera demi membentuk rakyat berintelek, berkemahiran dan berdaya saing selain berintegriti dan berhemah. 

Begitu juga kesihatan awam. Usaha pencegahan berterusan dan agresif ke atas gejala penyakit kronik dan berjangkit memerlukan kos tinggi.

Rakyat sihat aqal dan tubuh badan menjamin kemajuan dan kesejahteraan negara. Pendidikan percuma dan rawatan kesihatan yang murah mendalamkan poket dan membesarkan kuasa beli rakyat.


Thursday, February 21, 2019

Lain Dahulu Lain Sekarang

Kebelakangan ini kenyataan demi kenyataan pemimpin PAS condong membela Dr Mahathir Mohamad. Kesungguhan mereka itu dikatakan lebih agresif dan terdepan dari partinya sendiri Bersatu.

Tidak pula kedengaran mana-mana pemimpin kanan Bersatu mengeluarkan kenyataan samada terangan atau kiasan bahawa terdapat pakatan sulit di antara PKR, DAP dan Amanah untuk menyingkirkan Dr Mahathir dari kerusi PM melalui usul undi tidak percaya. 

Sebaliknya Presiden, Timbalan, Ketua Pemuda hingga ke wartawan junior PAS lebih pantas bersimulasi komplot tersebut yang bakal berlaku pada sidang Mac 2019. Pakar-pakar kajian dan dasar mereka bernujum Dr Mahathir menghadapi kesukaran mentadbir negara kerana dikongkong dan ditekan Anwar Ibrahim dan sekutunya DAP. Mereka merasakan Dr Mahathir memerlukan pembelaan walaupon Pengerusi PH itu mengulangi komponen Pakatan Harapan bekerjasama erat. Pembelaan mereka ke tahap dibuktikan dengan surat ikrar sokongan.

Mengapa tiba-tiba mereka mahu membela Dr Mahathir, seperti kata Hadi, menjadi lilin membakar diri? Sedangkan kurang setahun lalu dan tahun-tahun sebelumnya seluruh regim Taliban, dari Murshidul Am hingga ke ahli biasa, yang ketika itu berbahagia makan sepinggan tidur sebantal dengan regim Mohd Najib Abd Razak, mencelanya saban waktu. 








Sumber: Harakah dan MalaysiaKini

Mereka lebih banyak menyerang peribadi dari polisi dan pentadbirannya. Lantaran gelaran seperti diktator, licik, penipu, perosak, zolim, nyanyuk, mat jenin, Muslim lemah, munafiq dan seumpamanya sentiasa dihembur kepadanya. Tindakan secara berjemaah itu tiada lain untuk mengagalkannya kembali ke Parlimen, apalagi menyandang jawatan PM sekali lagi.

Pendekatan jemaah Taliban ke atas Dr Mahathir berubah 360° selepas SPRM membuka kertas siasatan dan mengambil keterangan dari beberapa pemimpin PAS dan PH berkenaan dana UMNO. Dana itu punca berubahnya pendekatan mereka ke atas Najib dan UMNO sebelum ini dari keras terpacak kepada lunak mesra.

Ringkasnya selagi mana ia memberi manfaat dan perlindungan kepada sebahagian mereka, soal maruah boleh terkesamping. Berdalil dan bernas agama adalah ratib wajib dalam menghalalkan setiap langkah dan pusingan U mereka, hinggakan berbohong menjadi kewajiban.

Lain dahulu lain sekarang. Demi menjaga maslahat katanya. Maslahat siapa, Allah s.w.t lebih tahu.


Tuesday, February 19, 2019

Pertemuan


1. Pertemuan Dr Mahathir dan Hadi

Abd Hadi Awang, Takiyuddin Hassan dan Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar sekali lagi mengadap Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Al Bukhary. Ketika ditanya wartawan sejurus pertemuan itu Hadi menjelaskan ianya bagi membincangkan kerjasama lanjut antara kerajaan negeri dan pusat termasuk isu royalti.

Namun keesokannya Dr Mahathir mendakwa Hadi menuntut jawatan Persekutuan di negeri-negeri ditadbir PAS. Sebagai balasan PAS menarik balik sokongan kepada UMNO khususnya pada PRK Semenyih. Malah PAS menzahirkannya secara bertulis.



Dr Mahathir terpaksa mendedahkan hasil pertemuan itu kerana PAS tidak menepati janji. PAS bersama UMNO pada hari penamaan calon PRK Semenyih yang ditandingi Bersatu.


Terperangkap dengan pendedahan Dr Mahathir, di sidang media bersama pemimpin UMNO Takiyuddin menjelaskan sokongan bertulis itu adalah ikrar PAS kepada Dr Mahathir menghalang usaha sulit menyingkirkannya dari kerusi PM, bukannya pengakuan menarik sokongan PAS kepada UMNO.




Hadi mengelak untuk mengesahkan pendedahan Dr Mahathir dan Takiyuddin itu. Tiga kenyataan berbeza dari tiga pemimpin di pertemuan tersebut. Maka siapa antara mereka yang berbohong?

Dengan mengambil kira kenyataan Hadi bahawa wajib berbohong dalam menjaga maslahat (kepentingan diri dan jemaahnya) dan kenyataan Takiyuddin bahawa Nik Abduh tidak berbohong, saya yakin rakyat lebih mempercayai Dr Mahathir.

Persoalannya kini, baik di kalangan penyokong PH mahupon PAS, apakah ada agenda lain PAS bertemu Dr Mahathir? Apakah cuma kebetulan pertemuan berlaku sejurus penemuan terbaharu siasatan SPRM isu dana UMNO? Tidak dapat tidak ramai merasakan ianya untuk selamatkan saki baki maruah PAS.

2. Bantu Membantu

PAS menerima tidak kurang RM200 juta dana dari Mohd Najib Abd Razak, samada secara langsung atau tidak. Siasatan SPRM yang masih berjalan semakin memberi petunjuk salur jalur dana tersebut. Dana sebesar itu punca pimpinan sanggup berbohong dan menfitnah musuh.

Dan demi menutup aib diri, mendiamkan akar umbi dan menghalang musuh menjaja kemungkaran mereka, Hadi sanggup melutut kepada seteru politik zaman berzamannya.

Dr Mahathir hanya berbincang jika ada potensi 'win-win situation'. Berurusan dengannya mesti menawarkan balasan atau ganjaran. Tidak mustahil pada pertemuan itu PAS menawarkan jaminan membantu mendominankan Bersatu. 

Melakukannya amatlah mudah bagi PAS kerana dendam ke atas PKR, DAP dan Amanah terlalu tebal, hanya terbalas dengan menyaksikan kejatuhan trio pengasas Pakatan Harapan. Manakala bagi Dr Mahathir-Bersatu tawaran ini suatu yang tidak boleh ditolak ketika sokongan rakyat kepada partinya jauh di belakang UMNO, PKR, DAP dan PAS.

Untuk mengaburi mata akar umbi akan perubahan mendadak sikap PAS terhadap Dr Mahathir, seperti biasa, geng Taliban akan mencandukan alasan 'kuasa Islam' dan 'kesatuan ummah'. Mereka berhujah sokongan mereka tiada lain demi menjaga hak orang Islam mengepalai negara dan memonopoli jawatan-jawatan penting, sepertimana ketika perubahan mendadak sikap mereka terhadap Mohd Najib Abd Razak-UMNO pasca PRU12. Soal kemampuan, keadilan dan kebertanggungjawaban adalah perkara kedua.

Tidak hairanlah mengapa PAS tidak mencela tindakan beberapa pemimpin UMNO yang mengkhianati undi dengan menyertai Bersatu. Berbeda sekali ketika beberapa bekas pemimpinnya meninggalkan parti menubuhkan Amanah dan menyertai PKR.

Bukan rahsia menenggelamkan pengaruh PKR, DAP dan Amanah adalah matlamat Dr Mahathir dan Hadi. Mereka sama-sama mahu menyelamatkan parti mereka yang semakin hari dipertikai akar umbi dan ditolak rakyat. Jika tidak mampu menambah atau mengembalikan keyakinan rakyat kepada Bersatu dan PAS, menghalangnya berpindah ke parti trio cukup memadai.

Kuasa yang disandang PKR, DAP dan Amanah tidak boleh dirampas sewenangnya kerana PH ditubuhkan oleh trio tersebut, Bersatu memohon menyertainya setahun kemudian. PH diberi mandat besar rakyat pada PRU14 kerana peranan dan sumbangan berpuluh tahun pemimpinnya berjuang mengagalkan kebobrokan BN. Peranan Bersatu berperatusan kecil. Maka apa cara untuk menghalang peningkatan dan merampas sokongan kepada trio? 

Rakyat pantas menolak pemimpin dan parti yang dikaitkan dengan isu moral termasuk khianat dan mungkir janji. Anwar Ibrahim dijatuhkan dengan tuduhan moral. Tuduhan moral akan dimainkan sekali lagi.

Adakah suatu kebetulan Dr Mahathir mengeluarkan kenyataan kesetiaannya kepada PH bakal teralih jika PKR, DAP dan Amanah membelot kepada negara? Apakah maksud membelot Dr Mahathir tersebut? Dan adakah hanya kebetulan ikrar sokongan PAS ke atas Dr Mahathir menyusul dan timbul ditengah-tengah penafian Anwar Ibrahim dan pemimpin DAP dan Amanah berlakunya konflik  antara mereka dan Dr Mahathir?

Semua ini adalah sebahagian gerakan mewujud dan menyerapkan persepsi  ke atas penyokong dan rakyat bahawa sebahagian pemimpin PKR, DAP dan Amanah adalah individu-individu yang tidak bermoral, banyak muslihat dan tidak boleh dipercayai. Ia juga gerakan mewujudkan persepsi bahawa Bersatu dan PAS adalah mangsa, lantas membesarkan ruang simpati dan sokongan rakyat ke atas mereka.

Ini adalah permulaan kepada langkah mengasingkan kuasa, jawatan dan sumber dari PKR, DAP dan Amanah. Kekosongan yang ditinggalkan mereka akan diisi penyokong strategik Dr Mahathir, termasuklah pembelot dari PKR, DAP,  Amanah, PAS dan UMNO.

Pertemuan sudah berlaku. Strategi sudah diatur. Tunggu 'full execution' nya sahaja. Persoalan besar - adakah ianya bermoral?

Monday, February 18, 2019

PAS Difitnah

Selepas pengakuan demi pengakuan dari pembohongan demi pembohongan, pimpinan PAS terus mempertahankan tindakan-tindakan mereka dengan lebih banyak pembohongan. 

Dalam kes Nik Abduh berbohong mengenai audio pengakuan PAS terima dana UMNO, Presiden PAS Abd Hadi Awang berfatwa "wajib" berbohong demi menjaga maslahat.



Dua hari sebelum itu Takiyuddin Hassan menegaskan Nik Abduh tidak berbohong mengenai audio sebaliknya cuma tidak mengesahkannya, walaupon catatan Facebook Nik Abduh pada Mac 2018 tegar menafikan audio adalah dirinya dan mengaitkan penyebaran itu kerja jahat Amanah.



Kenyataan Setiausaha Agong itu bercanggahan dengan Murshidul Am Hashim Jasin yang mengakui Nik Abduh berbohong kerana mengelak PAS dari teruk difitnah.



Murshidul Am kata Nik Abduh berbohong, Presiden kata wajib berbohong, Setiausaha Agong pula  kata tidak bohong. Jadi siapa antara mereka yang tidak berbohong? Terdahulu, mereka telah berbohong mengenai pemilik suara audio. Mereka juga berbohong mengenai isi audio tersebut.


Kenapa mereka berbohong dan sanggup mengaitkan tindakan itu diwajibkan agama? Kenapa mereka terus menafikan pengakuan pemimpin muda mereka sendiri bahawa mereka telah menerima dana UMNO? Dan kenapa mereka terus mengaitkan pengakuan itu dengan fitnah musuh?

Pemerhati yang selalu mengkaji kaedah dan strategi politik PAS mudah faham motif tindakan pimpinan PAS. Namun akar umbi yang wala mengkhinzir buta tidak mampu membaca muslihat.

Akar umbi PAS tidak akan sedar Hadi dan kumpulan Taliban mengkafirkan UMNO, mengharamkan sembelihan ahli UMNO, memulau majlis ahli UMNO dan mengadakan solat jemaah dua imam jika tidak kerana peristiwa Mamali yang berpunca dari Amanat Haji Hadi.

Akar umbi PAS tidak akan tahu Hadi dan kumpulan pro Melayu mahu menubuhkan kerajaan PAS-UMNO di Selangor pasca PRU12 jika tidak kerana tindakan Murshidul Am Nik Abd Aziz Nik Mat memecat Pesuruhjaya Negeri Dr Hassan Ali. Dalam nada ketegasan Almarhum sanggup meludah ke muka sesiapa sahaja yang terus berhajat mengheret PAS bekerjasama dengan UMNO.

Akar umbi PAS juga tidak akan tahu Hadi dan kumpulan pro UMNO  melamar Ketua UMNO Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah jawatan PM andai Pakatan Rakyat menang PRU13 jika tidak kerana tentangan kumpulan professional PAS yang tidak bersetuju Hadi menafikan hak Anwar Ibrahim. Ketegasan kumpulan professional menghormati konsensus PR menyebabkan mereka tersingkir secara berjemaah dalam pemilihan parti 2015 seterusnya meninggalkan PAS dan menubuhkan Amanah.

Akar umbi PAS tidak akan tahu Hadi dan pimpinan pro UMNO menerima dana secara langsung dan tidak langsung dari Mohd Najib Abd Razak jika tidak kerana laporan Sarawak Report dan audio didedahkan ahli parti sendiri.

UMNO yang kini PAS dekati adalah UMNO yang sama PAS tolak semenjak tahun 70an. Perlembagaan dan strategi berpolitik UMNO masih sama dari tahun 40an hingga sekarang, kemudaratan dibawa UMNO masih besar, semakin teruk di bawah Abdullah Ahmad Badawi, lebih buruk di bawah Najib. Dan UMNO di bawah Ahmad Zahid Hamidi/Mohamad Hassan hari ini tiada beza seperti PAS di bawah Hadi sebelum tertubuhnya Pakatan Rakyat.

PAS memilih untuk bekerjasama dengan UMNO, pimpinan PAS menerima dana dan jawatan dari UMNO, tetapi Amanah dan DAP pula dipersalahkan. Mengapa pimpinan PAS terus bercakap seolah mereka difitnah? Mengapa mereka terus berbohong? Tidakkah mereka sedar Allah melaqnat para pendusta?

Wednesday, February 13, 2019

Dana UMNO: Fitnah Amanah Bohong Nik Abduh

Cerita PAS terima dana dari UMNO kembali menjadi panas awal tahun 2018 apabila audio berdurasi 23 minit dikaitkan dengan AJK PAS Pusat Nik Abduh Nik Abd Aziz tersebar. Audio tersebut merekodkan pengakuan Nik Abduh pimpinan menerima dana.



Sejurus tersebar, Nik Abduh melalui laman Facebooknya menafikan suara tersebut adalah beliau malah menuduh ianya propaganda dan fitnah jahat Parti Amanah Negara (Amanah) menjelang PRU14.

Bukan rahsia PAS mahu bekerjasama (ta'awun) dengan UMNO selepas kumpulan Ustaz menguasai pemilihan parti pada Muqtamar 2015. Ia menjadi kenyataan selepas mantan Timbalan Presiden Nasharudin Mat Isa dilantik CEO sebuah NGO pro Mohd Najib Abd Razak. Rentetan dari itu pimpinan utama PAS mula mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang berlembut malah memihak UMNO. Dari sini bermulanya episod pemberian 'nafkah'.




Terdahulu daripada itu, pada 21 April 2017 Abdul Hadi Awang dalam menafikan pendedahan eksklusif Sarawak Report bertarikh 6 Ogos 2016 bahawa PAS menerima tidak kurang RM90 juta dana UMNO telah mengheret editornya Clare Rewcastle Brown ke mahkamah di London. Tindakan Hadi tersebut kononnya demi mempertahankan maruah parti selain membuktikan kebenaran.


Dari awal lagi PAS begitu yakin menang. Keyakinan mereka bertambah selepas mahkamah London mengistiharkan Hadi menang lima permohonan interlokutori kes dan memerintahkan Sarawak Report membayar kos RM156,000.

Kejayaan menuntut kos (bukan menang kes) dari Sarawak Report digendang di setiap siri jelajah dan perhimpunan parti, tiada lain untuk membakar semangat akar umbi bahawa pimpinan berada di pihak yang benar lantas meningkatkan semangat fisabilillah penyokong menderma untuk fee peguam Carter Ruck.


Namun segala keseronokan dan semangat juang menentang 'fitnah jahat' PAS menerima dana UMNO menjadi anti klimaks apabila pada 1 Februari 2019 Hadi menarik balik saman ke atas Sarawak Report. Pelbagai alasan diberikan termasuk soal kos dan faktor masa untuk meneruskan perbicaraan di luar negara selain isu teknikal seperti plaintif adalah dirinya sedangkan tuduhan ke atas parti.




Tidak lama selepas penarikan itu Setiausaha Agong PAS mengesahkan suara audio pengakuan terima dana UMNO adalah Nik Abduh.


Selepas hampir setahun menafikan dan menuduh penyebaran audio adalah kerja jahat Amanah, Nik Abduh akhirnya mengakui beliau berbohong mengenainya. Alasannya ialah demi mengelakkan fitnah ke atas parti. Malah beliau mengaitkan tindakannya itu direstui pimpinan tertinggi.


Pengakuan demi pengakuan dari pembohongan demi pembohongan mengenai dana UMNO sebenarnya bukanlah anti klimak kepada episod drama ini. Watak baharu akan muncul dan adegan lebih mendukacitakan bakal berlaku.

Kenyataan dan tindakan berbolak balik pimpinan PAS ada kaitan dengan perkembangan terbaharu siasatan SPRM. Jikapon SPRM tidak menyiasat atau jikapon maklumat siasatan tidak didedahkan kepada umum kerana faktor strategi politik Dr Mahathir, sebahagian besar rakyat Malaysia khususnya pengundi bukan Melayu dahulu lagi mempercayai laporan Sarawak Report hal dana ini. Tindakan PAS 'merujuk' dan 'mengintimi' UMNO meyakinkan pemberian 'nafkah' sudah berlaku.

Persoalan yang berlegar kini ialah adakah akar umbi PAS akan terus menyokong dan membela pimpinan dengan menerima pengakuan dan penjelasan terbaharu tersebut seolah tiada kesan ke atas mereka atau adakah akar umbi PAS akan bangun mempersoalkan integriti dan kemampuan pimpinan untuk terus mengemudi parti?

Saya skeptik akar umbi PAS yang terkenal dengan sikap wala' keras akan membantah tindakan pimpinan, menuntut perletakan jawatan atau lebih drastik, meninggalkan parti tanda protes terhadap aksi-aksi pembohongan-penafian selama ini.

Saya simpati kepada para wala'un dan wartawan lidah rasmi PAS Harakah yang tegar mempertahankan pemimpin sekalipon pelbagai maklumat dan fakta dihadapkan di depan mata mereka. Bukannya tidak bijak, cumanya mereka cendorong kepada pesona sensasi para penunggang agama.

Seandainya wala'un mahu membaca, menyelidik dan berfikir mereka pasti dapat membeda yang fitnah dan yang bohong. Dan mereka awal-awal lagi sedar Nik Abduh berbohong.

Monday, February 11, 2019

Logik


Dana dari UMNO adalah motivasi kewangan kepada pimpinan PAS agar mempengaruhi akar umbi untuk menolak PH. Pujuk memujuk bukan kerja mudah, apatah lagi sekadar berbekal air liur. Berpuluh tahun ahli PAS dididik menentang 'kafir' UMNO, menterbalikkan asas keras ini agak sukar tanpa 'penawar'.

Strategi UMNO menghadapi PRU14 lalu ialah memecahkan undi Melayu kepada tiga iaitu Barisan Nasional, Pakatan Harapan dan Gagasan Sejahtera. Mohd Najib Abd Razak mati-mati merasakan strategi itu bakal menguntung dan memenangkan BN. Keyakinannya itu bersandarkan hakikat UMNO kurang tergugat dengan penubuhan PPBM, tidak seperti ketika tertubuhnya PKN (kini PKR). Sokongan majoriti ahli kepada UMNO masih bulat.

Strategi PAS pula ialah menarik sebanyak mungkin undi Melayu atas pagar bermodalkan candu 'negara dan pentadbiran Islam'. Menang PRU bukan matlamat utama PAS. Kita boleh rujuk ucapan-ucapan pemimpinnya pra pilihanraya. Barangkali sudah terbiasa kalah PAS selesa kekal membangkang. 

PAS amat sinonim sebagai parti tin milo. Berpuluh tahun PAS bergantung kepada derma ahli untuk menjalankan aktiviti parti dan kempen pilihanraya. Tin milo bergerak di mesjid, surau, majlis, pasar siang, pasar malam, hatta di majlis persendirian ahlinya. Namun senario itu jelas kurang kelihatan semenjak 2015.

Kempen PRU14 PAS adalah yang paling mewah dan bergaya dalam sejarah parti itu. Pemimpinnya pula bermewah-mewah dengan kenderaan mahal dan rumah besar. Senarai panjang pemimpin terlibat, pemilikan dan nilai RM sudah lama didedahkan Sarawak Report dan diviralkan blogger PH. Mustahil kemewahan sekelip mata ini penangan tin milo.

Maka logik segala tindakan berlembut dan bersantun, merujuk dan memujuk antara UMNO dan PAS ialah kerana adanya pemberian 'nafkah'. UMNO memang memberi dana kepada PAS. Melainkan keluarga DiRaja Arab Saudi, yang tidak disenangi Abd Hadi Awang, menghulurkan derma.

Nota: Tidak sabar menunggu pendedahan SPRM mengenai jejak wang ratusan juta yang masuk ke akaun bank pemimpin dan parti PAS. Mohon dedahkan slip bank in, pemindahan telegrafik dan tunai tangan. Senyum.

Sunday, February 3, 2019

Cyber Trooper

Berbanding cyber trooper UMNO-PAS yang kebanyakannya terbukti kurang keupayaan berfikir, mengkaji dan kritis, yang menulis bersandarkan kehendak majikan mereka yang menetapkan agenda perkauman dan agama sebagai isi utama, dan mengabaikan tanggungjawab terhadap kesan penulisan mereka, cyber trooper PH pula kebanyakannya berpengalaman dalam perkara subjek, yang menulis berlandaskan input dari sumber-sumber sahih dalam dan luar negara, dan sedar serta berani berdepan risiko undang-undang kerana mempertahankan perkongsian mereka.

Pra PRU14 cyber trooper PH mempunyai banyak input untuk menyerang BN, terima kasih kepada Mohd Najib Abd Razak dan geng jahanamnya. Fakta-fakta berkaitan 1MDB, SRC, KWAP, LTH dan LTAT digunakan sepenuhnya. Maklumat kecurangan kerajaan di entiti-entiti tersebut tersebar luas dan dicapai cyber trooper PH. Pembocoran maklumat dipercayai dilakukan 'inner circle' BN yang sudah muak dengan kebobrokan Najib. Maklumat yang disebarkan pula tinggi KESAHIHANNYA. 

Media asing khususnya di  negara barat tidak akan menyiarkan berita mengenai 1MDB sekiranya tiada ketulenan maklumat. Cyber trooper PH, bersandar kepada keprofessionalan journalis asing, hanya mengkongsikannya dengan menterjemah ke bahasa ibunda, memadankan turutan dan kaitan kes serta menviralkan di jaringan media. Mereka berani berbuat demikian kerana ilmu dan pengalaman yang mereka ada meyakinkan mereka perkongsian tersebut di landasan benar.

Namun selepas menang PRU14, cyber trooper PH seolah kehilangan punca untuk menulis. Isu-isu kecurangan kerajaan terdahulu terlalu banyak dimainkan dan mula memutik kebosanan di kalangan rakyat dan cyber trooper sendiri. Mereka merasakan tidak beretika untuk terus menyerang BN kerana ia bukan lagi pengubal dan pelaksana polisi, bukan juga pengurus kewangan dan harta negara. Isu-isu jenayah dan sivil pemimpin dan penyokong BN kini adalah urusan mahkamah dan masyarakat. 

Lantas fakta apa lagi yang tinggal untuk dijadikan bahan cyber trooper PH menulis? Sembilan bulan mentadbir tidak banyak pembaharuan dilakukan kerajaan. Tiada angka positif yang boleh dibangga (atau seperti diharapkan). Banyak rundingan dengan pihak luar terus berada di bawah terma kerahsiaan. Malah maklumat yang disebarkan kerajaan berbeda dengan yang dilaporkan pihak berkepentingan dan media asing. Tindakan-tindakan kerajaan bukan saja membangkitkan keresahan malah skeptik cyber trooper PH sendiri. Namun bukan namanya cyber trooper jika menyerang dokongan sendiri.

Maka sebahagian besar mereka memilih menjadi idle, melainkan sekerat dua yang bersifat penjilat dan penyembah, yang memuji-muji ke atas perkara-perkara atau tangungjawab asas dan usaha-usaha kecil Menteri-Menteri. Spesis ini cerdik tetapi bernafsu tinggi.

Ada sebahagian lagi, yang beransur merasakan apa yang mereka lakukan pra PRU sesuatu yang sia-sia, mula mengkritik keras kerajaan. Momentum cyber trooper PH mengkritik kerajaan makin hari makin meningkat dan tidak menampakkan tanda-tanda ia akan perlahan dan berhenti.

Tidak mustahil mereka juga seghairah Raja Troll dan cyber trooper pembangkang sekiranya kerajaan PH terus berlagak seperti BN di era 90an dan awal milenium. Boleh bayangkan kesan bilamana dua kumpulan cyber trooper bergabung. Kebinasaan!