Sunday, February 3, 2019

Cyber Trooper

Berbanding cyber trooper UMNO-PAS yang kebanyakannya terbukti kurang keupayaan berfikir, mengkaji dan kritis, yang menulis bersandarkan kehendak majikan mereka yang menetapkan agenda perkauman dan agama sebagai isi utama, dan mengabaikan tanggungjawab terhadap kesan penulisan mereka, cyber trooper PH pula kebanyakannya berpengalaman dalam perkara subjek, yang menulis berlandaskan input dari sumber-sumber sahih dalam dan luar negara, dan sedar serta berani berdepan risiko undang-undang kerana mempertahankan perkongsian mereka.

Pra PRU14 cyber trooper PH mempunyai banyak input untuk menyerang BN, terima kasih kepada Mohd Najib Abd Razak dan geng jahanamnya. Fakta-fakta berkaitan 1MDB, SRC, KWAP, LTH dan LTAT digunakan sepenuhnya. Maklumat kecurangan kerajaan di entiti-entiti tersebut tersebar luas dan dicapai cyber trooper PH. Pembocoran maklumat dipercayai dilakukan 'inner circle' BN yang sudah muak dengan kebobrokan Najib. Maklumat yang disebarkan pula tinggi KESAHIHANNYA. 

Media asing khususnya di  negara barat tidak akan menyiarkan berita mengenai 1MDB sekiranya tiada ketulenan maklumat. Cyber trooper PH, bersandar kepada keprofessionalan journalis asing, hanya mengkongsikannya dengan menterjemah ke bahasa ibunda, memadankan turutan dan kaitan kes serta menviralkan di jaringan media. Mereka berani berbuat demikian kerana ilmu dan pengalaman yang mereka ada meyakinkan mereka perkongsian tersebut di landasan benar.

Namun selepas menang PRU14, cyber trooper PH seolah kehilangan punca untuk menulis. Isu-isu kecurangan kerajaan terdahulu terlalu banyak dimainkan dan mula memutik kebosanan di kalangan rakyat dan cyber trooper sendiri. Mereka merasakan tidak beretika untuk terus menyerang BN kerana ia bukan lagi pengubal dan pelaksana polisi, bukan juga pengurus kewangan dan harta negara. Isu-isu jenayah dan sivil pemimpin dan penyokong BN kini adalah urusan mahkamah dan masyarakat. 

Lantas fakta apa lagi yang tinggal untuk dijadikan bahan cyber trooper PH menulis? Sembilan bulan mentadbir tidak banyak pembaharuan dilakukan kerajaan. Tiada angka positif yang boleh dibangga (atau seperti diharapkan). Banyak rundingan dengan pihak luar terus berada di bawah terma kerahsiaan. Malah maklumat yang disebarkan kerajaan berbeda dengan yang dilaporkan pihak berkepentingan dan media asing. Tindakan-tindakan kerajaan bukan saja membangkitkan keresahan malah skeptik cyber trooper PH sendiri. Namun bukan namanya cyber trooper jika menyerang dokongan sendiri.

Maka sebahagian besar mereka memilih menjadi idle, melainkan sekerat dua yang bersifat penjilat dan penyembah, yang memuji-muji ke atas perkara-perkara atau tangungjawab asas dan usaha-usaha kecil Menteri-Menteri. Spesis ini cerdik tetapi bernafsu tinggi.

Ada sebahagian lagi, yang beransur merasakan apa yang mereka lakukan pra PRU sesuatu yang sia-sia, mula mengkritik keras kerajaan. Momentum cyber trooper PH mengkritik kerajaan makin hari makin meningkat dan tidak menampakkan tanda-tanda ia akan perlahan dan berhenti.

Tidak mustahil mereka juga seghairah Raja Troll dan cyber trooper pembangkang sekiranya kerajaan PH terus berlagak seperti BN di era 90an dan awal milenium. Boleh bayangkan kesan bilamana dua kumpulan cyber trooper bergabung. Kebinasaan!

No comments:

Post a Comment