Monday, February 18, 2019

PAS Difitnah

Selepas pengakuan demi pengakuan dari pembohongan demi pembohongan, pimpinan PAS terus mempertahankan tindakan-tindakan mereka dengan lebih banyak pembohongan. 

Dalam kes Nik Abduh berbohong mengenai audio pengakuan PAS terima dana UMNO, Presiden PAS Abd Hadi Awang berfatwa "wajib" berbohong demi menjaga maslahat.



Dua hari sebelum itu Takiyuddin Hassan menegaskan Nik Abduh tidak berbohong mengenai audio sebaliknya cuma tidak mengesahkannya, walaupon catatan Facebook Nik Abduh pada Mac 2018 tegar menafikan audio adalah dirinya dan mengaitkan penyebaran itu kerja jahat Amanah.



Kenyataan Setiausaha Agong itu bercanggahan dengan Murshidul Am Hashim Jasin yang mengakui Nik Abduh berbohong kerana mengelak PAS dari teruk difitnah.



Murshidul Am kata Nik Abduh berbohong, Presiden kata wajib berbohong, Setiausaha Agong pula  kata tidak bohong. Jadi siapa antara mereka yang tidak berbohong? Terdahulu, mereka telah berbohong mengenai pemilik suara audio. Mereka juga berbohong mengenai isi audio tersebut.


Kenapa mereka berbohong dan sanggup mengaitkan tindakan itu diwajibkan agama? Kenapa mereka terus menafikan pengakuan pemimpin muda mereka sendiri bahawa mereka telah menerima dana UMNO? Dan kenapa mereka terus mengaitkan pengakuan itu dengan fitnah musuh?

Pemerhati yang selalu mengkaji kaedah dan strategi politik PAS mudah faham motif tindakan pimpinan PAS. Namun akar umbi yang wala mengkhinzir buta tidak mampu membaca muslihat.

Akar umbi PAS tidak akan sedar Hadi dan kumpulan Taliban mengkafirkan UMNO, mengharamkan sembelihan ahli UMNO, memulau majlis ahli UMNO dan mengadakan solat jemaah dua imam jika tidak kerana peristiwa Mamali yang berpunca dari Amanat Haji Hadi.

Akar umbi PAS tidak akan tahu Hadi dan kumpulan pro Melayu mahu menubuhkan kerajaan PAS-UMNO di Selangor pasca PRU12 jika tidak kerana tindakan Murshidul Am Nik Abd Aziz Nik Mat memecat Pesuruhjaya Negeri Dr Hassan Ali. Dalam nada ketegasan Almarhum sanggup meludah ke muka sesiapa sahaja yang terus berhajat mengheret PAS bekerjasama dengan UMNO.

Akar umbi PAS juga tidak akan tahu Hadi dan kumpulan pro UMNO  melamar Ketua UMNO Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah jawatan PM andai Pakatan Rakyat menang PRU13 jika tidak kerana tentangan kumpulan professional PAS yang tidak bersetuju Hadi menafikan hak Anwar Ibrahim. Ketegasan kumpulan professional menghormati konsensus PR menyebabkan mereka tersingkir secara berjemaah dalam pemilihan parti 2015 seterusnya meninggalkan PAS dan menubuhkan Amanah.

Akar umbi PAS tidak akan tahu Hadi dan pimpinan pro UMNO menerima dana secara langsung dan tidak langsung dari Mohd Najib Abd Razak jika tidak kerana laporan Sarawak Report dan audio didedahkan ahli parti sendiri.

UMNO yang kini PAS dekati adalah UMNO yang sama PAS tolak semenjak tahun 70an. Perlembagaan dan strategi berpolitik UMNO masih sama dari tahun 40an hingga sekarang, kemudaratan dibawa UMNO masih besar, semakin teruk di bawah Abdullah Ahmad Badawi, lebih buruk di bawah Najib. Dan UMNO di bawah Ahmad Zahid Hamidi/Mohamad Hassan hari ini tiada beza seperti PAS di bawah Hadi sebelum tertubuhnya Pakatan Rakyat.

PAS memilih untuk bekerjasama dengan UMNO, pimpinan PAS menerima dana dan jawatan dari UMNO, tetapi Amanah dan DAP pula dipersalahkan. Mengapa pimpinan PAS terus bercakap seolah mereka difitnah? Mengapa mereka terus berbohong? Tidakkah mereka sedar Allah melaqnat para pendusta?

No comments:

Post a Comment