Saturday, February 23, 2019

Cadangan Kadar Tol


Pejabat Perdana Menteri mengumumkan, selaras dengan manifesto Pakatan Harapan  pada PRU14, untuk mengambil alih konsesi lebuhraya bertol dan menghapuskan tol secara berperingkat.

Sebagai permulaan kerajaan berhajat mengambil alih lebuhraya sekitar Lembah Kelang iaitu LDP, SPRINT, KESAS dan SMART yang mana Gamuda Berhad adalah pemegang saham majoriti. Tidak dinyatakan samada rundingan masih berjalan atau sudah dimuktamadkan antara kerajaan dan syarikat konsesi tersebut.

Pengambilalihan itu membolehkan kerajaan mengantikan mekanisma tol sedia ada dengan

1) mengenakan caj kesesakan yang sama dengan kadar tol sedia ada pada waktu puncak selama 6 jam sehari

2) menghapuskan tol pada waktu luar puncak antara 11 malam hingga 5 pagi

3) memberikan diskaun sehingga 30% (boleh jadi 5% atau 10%) ke atas kadar sedia ada pada waktu biasa

Ramai berpendapat langkah terbaharu kerajaan ini tidak dapat menjustifikasi bagaimana ia mampu mengurangkan kos sara hidup rakyat. 

Majoriti pengguna lebuhraya menggunakannya kerana

1) sifat dan keperluan pekerjaan yang mengkehendaki mereka bergerak dan berkenderaan seperti petugas jualan, pemasaran, penghantaran barang dan seumpamanya.

2) waktu pekerjaan mereka tidak fleksibel maka masa perjalanan mereka di lingkungan waktu puncak.

3) pengangkutan awam di kejiranan mereka kurang effisen dan efektif atau langsung tiada akses.

4) kos dan masa penggunaan pengangkutan awam tidak banyak beza dari berkenderaan sendiri.

Kakitangan awam dan majoriti pekerja swasta bertugas dari 8 pagi hingga 6 petang. Bagi yang berkeluarga 2 jam sebelum dan selepas waktu kerja digunakan untuk menghantar dan mengambil anak ke dan dari pusat jagaan atau sekolah selain digunakan untuk perjalanan pergi dan pulang dari pejabat.

Tidak semua syarikat pengangkutan termasuk bas dan kargo beroperasi di luar waktu puncak. Syarikat seperti RapidKL dan perkhidmatan parcel beroperasi antara 5 pagi hingga 12 malam. Siapa yang mendapat manfaat pemansuhan tol 11 malam hingga 5 pagi?


Cadangan Rakyat Marhaen

Dengan mengambil kira kondisi kewangan negara, cabaran undang-undang serta keutamaan perbelanjaan, suka saya mencadangkan alternatif berikut sebagai usaha mengurangkan kos sara hidup rakyat:

1) Penurunan kadar tol ke atas semua jenis kenderaan di semua lebuhraya Lembah Klang, Utara Selatan dan Jambatan Pulau Pinang. 

Kadar tol diturunkan secara berperingkat seperti berikut:

i) 3 tahun pertama turun 30% atau lebih

ii) 3 tahun kedua turun +10% 

iii) 4 tahun ketiga turun +20%.

2) Diskaun 50% kadar tol ke atas semua jenis kenderaan di semua lebuhraya dan jambatan seluruh negara pada musim perayaan. 

Diskaun diberikan sebagai insentif kepada inisiatif rakyat pulang ke kampung merai keluarga dan bercuti dalam negara selain cabaran memandu di waktu paling sesak. Diskaun untuk sehari sebelum, pada hari-hari perayaan dan sehari selepas.

3) Pelarasan kadar tol ke atas semua jenis kenderaan berat seperti bas, lori, jentera angkut dan seumpamanya. 

Kadar tol sedia ada tidak munasabah berbanding 'wear and tear' infrastruktur oleh kenderaan berat. Kos selenggaraan kesan guna kenderaan berat jauh lebih tinggi berbanding kenderaan ringan seperti kereta. Kadar baharu tol sepatutnya dikenakan mengikut purata berat dengan muatan kenderaan berat.

4) Pelarasan Caj Jalan Raya untuk kenderaan asing dari Thailand, Singapura dan Indonesia. 

i) 3 tahun pertama naik 100%

ii) 3 tahun kedua naik +100%

iii) 4 tahun ketiga naik +200% 

Kadar CJR tahun-tahun berikutnya bergantung kepada kondisi kewangan negara.

Pelarasan caj sehingga 300% adalah adil dan praktikal. Ini kerana selain kadar tol baharu yang rendah, kenderaan asing turut menikmati harga petrol dan diesel (atau elektrik) negara yang rendah. Pelancong asing yang merasakan caj ini terlalu membebankan akan memilih pengangkutan awam tempatan. Selain kesesakan ia mampu mengurangkan kemalangan dan meningkatkan pendapatan rakyat dan negara.

5) Pemansuhan sekatan perjalanan ke atas semua jenis kenderaan berat di semua lebuhraya pada waktu-waktu puncak. 

Kenderaan berat dibenarkan mengguna semua lebuhraya pada bila-bila masa dengan syarat pemanduan hanya di:

i) lorong paling kiri (kecuali memotong) bagi lebuhraya 2 atau 3 lorong atau

ii) dua lorong paling kiri (termasuk memotong) untuk lebuhraya 4 atau 5 lorong

Kompaun RM1,000 dikenakan ke atas pemandu atau syarikat pengangkutan yang ingkar. Ia bertujuan mendisiplinkan pemandu selain mengurangkan risiko kemalangan.

6) Pemansuhan tol ke atas semua jenis kenderaan di semua lebuhraya Lembah Klang, Utara Selatan dan Jambatan Pulau Pinang pada tahun 2030. 

7) Peningkatan cukai jalan mulai tahun 2030 bagi menampung kos operasi dan selenggara lebuhraya sejajar dengan pencapaian Malaysia status negara maju.

Mengapa perlu tempoh 10 tahun untuk memansuhkan tol di lebuhraya Lembah Kelang, Utara Selatan dan Jambatan Pulau Pinang? 10 tahun adalah tempoh yang relevan untuk kerajaan:

1) menambah serta meningkatkan mutu  jaringan perkhidmatan awam sedia ada seperti bas, keretapi, kapal terbang dan feri serta infrastrukturnya.

2) mewujudkan perkhidmatan baharu seperti BRT, tram, light rail, kereta kabel, teksi air, hyperloop dan seumpamanya di kota-kota utama seluruh negara.

3) mewujudkan alternatif kepada kenderaan gasoline sekaligus mengurangkan pencemaran dari pelepasan karbon dan plumbum ke udara.

4) mewujudkan stesen pengecaj berkuasa solar sekaligus mengurangkan kebergantungan tenaga dan hasil negara kepada bahan fosil.

dan paling utama

5) menstabil kondisi dan mengukuhkan posisi kewangan negara. Negara berpendapatan tinggi mampu menyediakan perkhidmatan awam bertaraf dunia di seluruh negara.

Penurunan 30% dari kadar tol RM1.50 sehala dapat menjimatkan rakyat RM200 setahun. Bukankah ini lebih baik dari BSH RM100? Pembayaran pengambilalihan lebuhraya (secara adil dan saksama dengan menilai semula perjanjian asal demi kepentingan awam) dapat ditebus semula dalam 5-10 tahun tempoh kutipan tol.

Sumber kewangan negara dari pendapatan selain tol dapat disalurkan kepada sektor paling memerlukan seperti pendidikan dan kesihatan. Pendidikan percuma dari pra sekolah hingga ke universiti perlu dilaksanakan segera demi membentuk rakyat berintelek, berkemahiran dan berdaya saing selain berintegriti dan berhemah. 

Begitu juga kesihatan awam. Usaha pencegahan berterusan dan agresif ke atas gejala penyakit kronik dan berjangkit memerlukan kos tinggi.

Rakyat sihat aqal dan tubuh badan menjamin kemajuan dan kesejahteraan negara. Pendidikan percuma dan rawatan kesihatan yang murah mendalamkan poket dan membesarkan kuasa beli rakyat.


No comments:

Post a Comment