Wednesday, February 13, 2019

Dana UMNO: Fitnah Amanah Bohong Nik Abduh

Cerita PAS terima dana dari UMNO kembali menjadi panas awal tahun 2018 apabila audio berdurasi 23 minit dikaitkan dengan AJK PAS Pusat Nik Abduh Nik Abd Aziz tersebar. Audio tersebut merekodkan pengakuan Nik Abduh pimpinan menerima dana.



Sejurus tersebar, Nik Abduh melalui laman Facebooknya menafikan suara tersebut adalah beliau malah menuduh ianya propaganda dan fitnah jahat Parti Amanah Negara (Amanah) menjelang PRU14.

Bukan rahsia PAS mahu bekerjasama (ta'awun) dengan UMNO selepas kumpulan Ustaz menguasai pemilihan parti pada Muqtamar 2015. Ia menjadi kenyataan selepas mantan Timbalan Presiden Nasharudin Mat Isa dilantik CEO sebuah NGO pro Mohd Najib Abd Razak. Rentetan dari itu pimpinan utama PAS mula mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang berlembut malah memihak UMNO. Dari sini bermulanya episod pemberian 'nafkah'.




Terdahulu daripada itu, pada 21 April 2017 Abdul Hadi Awang dalam menafikan pendedahan eksklusif Sarawak Report bertarikh 6 Ogos 2016 bahawa PAS menerima tidak kurang RM90 juta dana UMNO telah mengheret editornya Clare Rewcastle Brown ke mahkamah di London. Tindakan Hadi tersebut kononnya demi mempertahankan maruah parti selain membuktikan kebenaran.


Dari awal lagi PAS begitu yakin menang. Keyakinan mereka bertambah selepas mahkamah London mengistiharkan Hadi menang lima permohonan interlokutori kes dan memerintahkan Sarawak Report membayar kos RM156,000.

Kejayaan menuntut kos (bukan menang kes) dari Sarawak Report digendang di setiap siri jelajah dan perhimpunan parti, tiada lain untuk membakar semangat akar umbi bahawa pimpinan berada di pihak yang benar lantas meningkatkan semangat fisabilillah penyokong menderma untuk fee peguam Carter Ruck.


Namun segala keseronokan dan semangat juang menentang 'fitnah jahat' PAS menerima dana UMNO menjadi anti klimaks apabila pada 1 Februari 2019 Hadi menarik balik saman ke atas Sarawak Report. Pelbagai alasan diberikan termasuk soal kos dan faktor masa untuk meneruskan perbicaraan di luar negara selain isu teknikal seperti plaintif adalah dirinya sedangkan tuduhan ke atas parti.




Tidak lama selepas penarikan itu Setiausaha Agong PAS mengesahkan suara audio pengakuan terima dana UMNO adalah Nik Abduh.


Selepas hampir setahun menafikan dan menuduh penyebaran audio adalah kerja jahat Amanah, Nik Abduh akhirnya mengakui beliau berbohong mengenainya. Alasannya ialah demi mengelakkan fitnah ke atas parti. Malah beliau mengaitkan tindakannya itu direstui pimpinan tertinggi.


Pengakuan demi pengakuan dari pembohongan demi pembohongan mengenai dana UMNO sebenarnya bukanlah anti klimak kepada episod drama ini. Watak baharu akan muncul dan adegan lebih mendukacitakan bakal berlaku.

Kenyataan dan tindakan berbolak balik pimpinan PAS ada kaitan dengan perkembangan terbaharu siasatan SPRM. Jikapon SPRM tidak menyiasat atau jikapon maklumat siasatan tidak didedahkan kepada umum kerana faktor strategi politik Dr Mahathir, sebahagian besar rakyat Malaysia khususnya pengundi bukan Melayu dahulu lagi mempercayai laporan Sarawak Report hal dana ini. Tindakan PAS 'merujuk' dan 'mengintimi' UMNO meyakinkan pemberian 'nafkah' sudah berlaku.

Persoalan yang berlegar kini ialah adakah akar umbi PAS akan terus menyokong dan membela pimpinan dengan menerima pengakuan dan penjelasan terbaharu tersebut seolah tiada kesan ke atas mereka atau adakah akar umbi PAS akan bangun mempersoalkan integriti dan kemampuan pimpinan untuk terus mengemudi parti?

Saya skeptik akar umbi PAS yang terkenal dengan sikap wala' keras akan membantah tindakan pimpinan, menuntut perletakan jawatan atau lebih drastik, meninggalkan parti tanda protes terhadap aksi-aksi pembohongan-penafian selama ini.

Saya simpati kepada para wala'un dan wartawan lidah rasmi PAS Harakah yang tegar mempertahankan pemimpin sekalipon pelbagai maklumat dan fakta dihadapkan di depan mata mereka. Bukannya tidak bijak, cumanya mereka cendorong kepada pesona sensasi para penunggang agama.

Seandainya wala'un mahu membaca, menyelidik dan berfikir mereka pasti dapat membeda yang fitnah dan yang bohong. Dan mereka awal-awal lagi sedar Nik Abduh berbohong.

No comments:

Post a Comment