Tuesday, February 19, 2019

Pertemuan


1. Pertemuan Dr Mahathir dan Hadi

Abd Hadi Awang, Takiyuddin Hassan dan Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar sekali lagi mengadap Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Al Bukhary. Ketika ditanya wartawan sejurus pertemuan itu Hadi menjelaskan ianya bagi membincangkan kerjasama lanjut antara kerajaan negeri dan pusat termasuk isu royalti.

Namun keesokannya Dr Mahathir mendakwa Hadi menuntut jawatan Persekutuan di negeri-negeri ditadbir PAS. Sebagai balasan PAS menarik balik sokongan kepada UMNO khususnya pada PRK Semenyih. Malah PAS menzahirkannya secara bertulis.



Dr Mahathir terpaksa mendedahkan hasil pertemuan itu kerana PAS tidak menepati janji. PAS bersama UMNO pada hari penamaan calon PRK Semenyih yang ditandingi Bersatu.


Terperangkap dengan pendedahan Dr Mahathir, di sidang media bersama pemimpin UMNO Takiyuddin menjelaskan sokongan bertulis itu adalah ikrar PAS kepada Dr Mahathir menghalang usaha sulit menyingkirkannya dari kerusi PM, bukannya pengakuan menarik sokongan PAS kepada UMNO.




Hadi mengelak untuk mengesahkan pendedahan Dr Mahathir dan Takiyuddin itu. Tiga kenyataan berbeza dari tiga pemimpin di pertemuan tersebut. Maka siapa antara mereka yang berbohong?

Dengan mengambil kira kenyataan Hadi bahawa wajib berbohong dalam menjaga maslahat (kepentingan diri dan jemaahnya) dan kenyataan Takiyuddin bahawa Nik Abduh tidak berbohong, saya yakin rakyat lebih mempercayai Dr Mahathir.

Persoalannya kini, baik di kalangan penyokong PH mahupon PAS, apakah ada agenda lain PAS bertemu Dr Mahathir? Apakah cuma kebetulan pertemuan berlaku sejurus penemuan terbaharu siasatan SPRM isu dana UMNO? Tidak dapat tidak ramai merasakan ianya untuk selamatkan saki baki maruah PAS.

2. Bantu Membantu

PAS menerima tidak kurang RM200 juta dana dari Mohd Najib Abd Razak, samada secara langsung atau tidak. Siasatan SPRM yang masih berjalan semakin memberi petunjuk salur jalur dana tersebut. Dana sebesar itu punca pimpinan sanggup berbohong dan menfitnah musuh.

Dan demi menutup aib diri, mendiamkan akar umbi dan menghalang musuh menjaja kemungkaran mereka, Hadi sanggup melutut kepada seteru politik zaman berzamannya.

Dr Mahathir hanya berbincang jika ada potensi 'win-win situation'. Berurusan dengannya mesti menawarkan balasan atau ganjaran. Tidak mustahil pada pertemuan itu PAS menawarkan jaminan membantu mendominankan Bersatu. 

Melakukannya amatlah mudah bagi PAS kerana dendam ke atas PKR, DAP dan Amanah terlalu tebal, hanya terbalas dengan menyaksikan kejatuhan trio pengasas Pakatan Harapan. Manakala bagi Dr Mahathir-Bersatu tawaran ini suatu yang tidak boleh ditolak ketika sokongan rakyat kepada partinya jauh di belakang UMNO, PKR, DAP dan PAS.

Untuk mengaburi mata akar umbi akan perubahan mendadak sikap PAS terhadap Dr Mahathir, seperti biasa, geng Taliban akan mencandukan alasan 'kuasa Islam' dan 'kesatuan ummah'. Mereka berhujah sokongan mereka tiada lain demi menjaga hak orang Islam mengepalai negara dan memonopoli jawatan-jawatan penting, sepertimana ketika perubahan mendadak sikap mereka terhadap Mohd Najib Abd Razak-UMNO pasca PRU12. Soal kemampuan, keadilan dan kebertanggungjawaban adalah perkara kedua.

Tidak hairanlah mengapa PAS tidak mencela tindakan beberapa pemimpin UMNO yang mengkhianati undi dengan menyertai Bersatu. Berbeda sekali ketika beberapa bekas pemimpinnya meninggalkan parti menubuhkan Amanah dan menyertai PKR.

Bukan rahsia menenggelamkan pengaruh PKR, DAP dan Amanah adalah matlamat Dr Mahathir dan Hadi. Mereka sama-sama mahu menyelamatkan parti mereka yang semakin hari dipertikai akar umbi dan ditolak rakyat. Jika tidak mampu menambah atau mengembalikan keyakinan rakyat kepada Bersatu dan PAS, menghalangnya berpindah ke parti trio cukup memadai.

Kuasa yang disandang PKR, DAP dan Amanah tidak boleh dirampas sewenangnya kerana PH ditubuhkan oleh trio tersebut, Bersatu memohon menyertainya setahun kemudian. PH diberi mandat besar rakyat pada PRU14 kerana peranan dan sumbangan berpuluh tahun pemimpinnya berjuang mengagalkan kebobrokan BN. Peranan Bersatu berperatusan kecil. Maka apa cara untuk menghalang peningkatan dan merampas sokongan kepada trio? 

Rakyat pantas menolak pemimpin dan parti yang dikaitkan dengan isu moral termasuk khianat dan mungkir janji. Anwar Ibrahim dijatuhkan dengan tuduhan moral. Tuduhan moral akan dimainkan sekali lagi.

Adakah suatu kebetulan Dr Mahathir mengeluarkan kenyataan kesetiaannya kepada PH bakal teralih jika PKR, DAP dan Amanah membelot kepada negara? Apakah maksud membelot Dr Mahathir tersebut? Dan adakah hanya kebetulan ikrar sokongan PAS ke atas Dr Mahathir menyusul dan timbul ditengah-tengah penafian Anwar Ibrahim dan pemimpin DAP dan Amanah berlakunya konflik  antara mereka dan Dr Mahathir?

Semua ini adalah sebahagian gerakan mewujud dan menyerapkan persepsi  ke atas penyokong dan rakyat bahawa sebahagian pemimpin PKR, DAP dan Amanah adalah individu-individu yang tidak bermoral, banyak muslihat dan tidak boleh dipercayai. Ia juga gerakan mewujudkan persepsi bahawa Bersatu dan PAS adalah mangsa, lantas membesarkan ruang simpati dan sokongan rakyat ke atas mereka.

Ini adalah permulaan kepada langkah mengasingkan kuasa, jawatan dan sumber dari PKR, DAP dan Amanah. Kekosongan yang ditinggalkan mereka akan diisi penyokong strategik Dr Mahathir, termasuklah pembelot dari PKR, DAP,  Amanah, PAS dan UMNO.

Pertemuan sudah berlaku. Strategi sudah diatur. Tunggu 'full execution' nya sahaja. Persoalan besar - adakah ianya bermoral?

No comments:

Post a Comment