Saturday, January 26, 2013

Laksanakan Tanggungjawab Anda Anak Muda (Bahagian 2)


KEKUATAN EKONOMI

Di bawah pentadbiran kerajaan Perikatan/BN Persekutuan Tanah Melayu, Malaya dan Malaysia melalui beberapa fasa pertumbuhan. Di bawah kepimpinan Tunku Abd Rahman Putra (semoga Allah merahmati rohnya), diikuti Abd Razak Hussein (semoga Allah merahmati rohnya), kemudiannya Hussein Onn (semoga Allah merahmati rohnya), seterusnya Mahathir Mohamad, Abdullah Ahmad Badawi dan sekarang Mohd Najib Abd Razak masing–masing menyumbang kepada pembentukkan dan pembangunan negara.

Tunku menerajui usaha kesatuan dan keharmonian antara kaum, tuntutan kemerdekaan dari penjajahan British serta pembangunan pusat-pusat bandar dan pembentukkan Persekutuan Malaysia, Abd Razak Hussein mengasaskan Dasar Ekonomi Baru mengimbangi jurang sosio ekonomi lapisan kaum, Hussein Onn pula meneruskan legasi ketuanya terdahulu di samping meningkatkan sektor industri. Era Mahathir  Mohamad meletakkan Malaysia status negara membangun paling disegani. Abdullah Ahmad Badawi mengasaskan moderisasi agama dan integrasi wilayah manakala Mohd Najib Abd Razak mengangkat Transformasi dan jati diri bangsa.

Pentadbiran Mahathir Mohamad menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan fizikal paling signifikan. Kombinasi jaminan keamanan dan keselamatan, kelambakan sumber yang murah seperti tenaga kerja separa dan terlatih serta bekalan material asas, kemudahan infrastruktur seperti jaringan lebuhraya, pelabuhan dan lapangan terbang terbaik, insentif cukai dan rebat, pengurangan karenah birokrasi serta lain-lain lagi telah memastikan ekonomi berkembang pesat saban tahun. Malaysia menjadi pilihan pelabur asing di rantau Asia. Pertumbuhan pesat industri berasaskan teknologi meletakkan Malaysia antara pengeksport utama dunia barangan elektronik. Penggunaan teknologi dalam sektor pertanian mengangkat Malaysia sebagai antara pengeluar utama komoditi seperti kelapa sawit dan getah.

Mahathir Mohamad memimpin Malaysia mengharungi 2 kitaran kemelesetan dan kejatuhan ekonomi dunia. Kecekapan mengurus negara membolehkan beliau kekal menjadi Perdana Menteri selama 5 penggal. Namun selepas 21 tahun di puncak dan selepas gagal merawat wabak berjangkit kronik dalam partinya UMNO beliau memutuskan untuk berehat. Legasi Mahathir Mohamad terlalu hebat, sukar ditandingi pengantinya.
 
Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri Malaysia ke 5 kerana ‘seniority’ dan imej bersih beliau. Sumbangannya kepada pembangunan negara kurang diperkatakan kerana hanya sepenggal lebih menduduki kerusi nombor 1. Biarpun telah mengasaskan pelan pembangunan wilayah-wilayah Imam Hadhari ini dikaitkan dengan kelemahan pentadbiran lantaran membawa kepada kepincangan perlaksanaan gagasannya.

Mohd Najib Abd Razak mengambil alih dan dipaksa bekerja keras memulihkan persepsi rakyat terhadap kemampuan BN untuk terus mengemudi kestabilan ekonomi. Sejurus menjadi Perdana Menteri beliau memperkenalkan agenda-agenda nasional yang rata-rata merupakan idea lama bernafas baru untuk memastikan BN kekal relevan sebagai pengurus negara. Ada pendekatan dan keputusan dibuatnya mencontohi amalan ‘flip flop’ Abdullah Badawi. Lantaran ramai mempersoalkan kemampuannya bekerja seperti Mahathir Mohamad, paling tidak pon lebih baik dari Abdullah Ahmad Badawi. Mampukah beliau mendahulukan rakyat dari isteri, keluarga, parti dan rakan politik beliau? Mampukah beliau mengutamakan pencapaian dari habuan kekayaan dan kemewahan negara? Mampukah pasukannya mencapai KPI yang dijanjikan, bukan sekadar kosmetik menjelang pilihanraya?

Mohd Najib Abd Razak mewar-warkan angka-angka positif membuktikan pencapaian memberangsangkan dalam suasana lesu ekonomi dunia impak kegagalan kapitalisma di Eropah dan Amerika. Namun angka tersebut tidak lebih sekadar ‘camouflage’ melindungi fakta lebih besar. Disebabkan ramai rakyat Malaysia tidak mempunyai asas rencah ekonomi negara maka apa yang dihebahkan media menghasilkan tindak balas reaktif kecuali dalam soal pemberian BR1M dan bantuan-bantuan kecil 1 Malaysia yang lain. Peranan Belanjawan yang dibentangkan saban tahun dan kesannya dalam jangka masa panjang tidak menjadi fokus rakyat kebanyakkan.

Peratusan KDNK positif menunjukkan peningkatan Ringgit bagi keseluruhan pengeluaran dan perkhidmatan tempatan. Ia juga bermaksud peningkatan permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan tempatan. Namun ia tidak mengindikasikan ekonomi sesebuah negara itu utuh dan teguh. Pencapaian KDNK negara  tahun lalu berada sekitar 5% berbanding Singapura 2.9% namun ia tidak bermaksud ekonomi Malaysia lebih stabil dari negara Kota Singa itu yang merupakan pusat kewangan rantau ASEAN.

Negara ekonomi berdaya saing misalnya Jepun memiliki nilai eksport tinggi berbanding import. Bila nilai eksport tinggi ia dapat meningkatkan dan mengekalkan nilai Ringgit berbanding mata wang asing. Sungguhpun negara mempunyai nilai eksport melebihi import iaitu RM58.7 billion berbanding RM49.4 billion (setakat November 2012) namun perbezaan purata tahun ke tahun agak marginal. Kelebihan nilai eksport disumbang petroleum dan bahan mentah industri yang diproses, dirawat atau dipermudahkan di luar negara dan diimport semula.

Beberapa tahun kebelakangan ini pasaran modal negara kehilangan daya tarikan dan daya saing di peringkat antarabangsa serta terpaksa bergantung pada pelabur tempatan termasuklah Perbadanan serta Syarikat Berkaitan Kerajaan untuk merancakkan kegiatan ekonomi. Demi memastikan aktiviti pelaburan berjalan lancar kerajaan Mohd Najib Abd Razak melaksanakan suntikan modal berterusan. Ketika dana Perbendaharaan sudah kering beliau memilih menawarkan pelbagai bon dan sukuk kerajaan di dalam dan luar negara untuk mendapatkan sumber kewangan.

Budaya perbelanjaan secara defisit (hutang) berlebihan mendedahkan negara kepada risiko muflis pada tahun 2019 (rujuk kenyataan Menteri Kanan Idris Jala). Pentadbiran selama 51 tahun gabungan Tunku Abd Rahman, Abd Razak Hussein, Hussein Onn, Mahathir Mohamad dan Abdullah Ahmad Badawi menghasilkan hutang terkumpul negara sebanyak RM230 billion. Namun setelah Mohd Najib Abd Razak mengambil alih dalam tempoh kurang 5 tahun beliau telah mengandakan hutang kepada lebih RM600 billion. Jumlah ini termasuk off budget agencies atau pinjaman korporat yang dijamin kerajaan.

Sepanyol, antara negara benua Eropah yang berdepan risiko muflis terjerumus ke dalam konflik ekonomi hasil perbelanjaan luarbiasa kerajaan berbanding pendapatannya menyebabkan hutang negara membuncit. Tatkala kerajaan gagal mengawal dan mengurus hutang melampau rakyat yang terpaksa menanggungnya. Pencen pesara dikurangkan 20%, pasaran kerja mengecut dan lebih 50% anak muda menganggur, kos rawatan dan ubat-ubatan ditanggung sepenuhnya rakyat, kawalan kredit yang ketat dan lain-lain lagi. Sekiranya ada ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam pengurusan kewangan oleh kerajaan BN negara telah lama menikmati surplus (lebihan) dan rakyat dapat menikmati pengagihan kekayaan dengan adil.

Lebih 2 juta warga Indonesia, 1 juta warga Pakistan, Bangladesh, Nepal, Myammar, Vietnam dan Filipina serta puluhan ribu professional dan pelajar asing dari pelbagai benua yang memasuki negara secara sah mahupun tanpa izin membeli barangan dan menggunakan perkhidmatan yang disubsidikan untuk rakyat Malaysia sewenang-wenangnya. Sepuluh tahun lalu ketika kadar KDNK lebih tinggi, cuma 1 juta warga asing di Malaysia. Ini menjelaskan dua perkara. Pertama – subsidi ke atas barangan keperluan asas dimanfaat bukan warganegara dan pendatang asing sedang mereka tidak mengeluar cukai sebanyak rakyat negara ini. Kedua – kestabilan KDNK negara turut disumbang perbelanjaan bukan warganegara.

Majoriti pendatang asing dulunya bekerja sebagai buruh binaan, buruh ladang dan pembantu rumah. Namun kebelakangan ini peluang mereka diperluas ke sektor perkhidmatan makanan, perhotelan, hiburan, keselamatan komersial, pendidikan, hinggakan ke professional. Tidak kurang yang bersenang-senang menjadi pelacur, ‘escort’, gigolo, samseng dan ‘pekerjaan’ penyumbang peningkatan gejala jijik dan keruntuhan sosial. Mereka sewenangnya mengguna pas lawatan sosial dan pelajar. Majikan tempatan mengambil kesempatan ‘kelonggaran’ tersebut menggaji warga asing. Untuk menampakkan tindakan mereka ‘reasonable’ majikan memberi alasan pekerja tempatan tidak terlatih, pemalas, kurang disiplin, tidak berminat, kos upah tinggi yang hanya meningkatkan kos pengeluaran atau perkhidmatan serta banyak lagi.

Tindakan berterusan ‘mengimport’ pekerja warga asing seolah menyusu kera di hutan sedang anak dipangkuan mati kelaparan. Makanya di mana logik pengangguran berada di bawah paras 3.5%? Kenapa membenarkan kemasukkan begitu ramai pendatang asing sedangkan ramai remaja serta graduan tempatan menganggur? Di kota metropolitan Kuala Lumpur dan Johor Baharu rakyat tempatan bekerja di bawah penyeliaan warga asing. Adakah Mohd Najib Abd Razak berani mengurangkan kemasukan pekerja asing sekaligus tidak memberi muka kepada pemain sektor untuk mengaut keuntungan melampau dan mengembalikan peluang pekerjaan serta meningkatkan taraf hidup rakyat? Patutkah Mohd Najib Abd Razak terus menyembunyi fakta dan bermain silap mata semua unjuran negatif demi menutup kelemahan pentadbirannya?

Dasar Pensyarikatan Malaysia acuan Mahathir Mohamad tersasar dari matlamatnya. Di era pentadbirannya beliau memperbadankan agensi-agensi kerajaan. Ada sebahagiannya ditransformasikan secara total menjadi entiti swasta seperti Malaysian Airline System MAS, Malaysian International Shipping Corporation MISC, Pelabuhan Klang, Melaka, Pulau Pinang dan Johor, Padi Beras Nasional BERNAS, Sarawak Electricity Supply Corporation SESCO, Lembaga Pembangunan Tanah Sabah, Perbadanan Pembangunan Bandar UDA, Akademi Laut Malaysia, Institut Kerjaraya Malaysia IKRAM, FELCRA, Perbadanan Nasional PERNAS, Jabatan Bekalan Air Negeri dan sebagainya. Projek penswastaan ini tidak memberikan keuntungan kepada kerajaan dan rakyat disebabkan kegagalan pemantauan, kelemahan urus tadbir serta salahguna kuasa pihak pengurusan.

Umum mengetahui bagaimana RM10.4 billion wang rakyat diguna untuk menyelamatkan Bank Bumiputera Malaysia Berhad BBMB berkali-kali. RM2 billion wang pembayar cukai diguna untuk menyelamatkan Tongkah perusahaan milik Mokhzani Mahathir, RM10 billion kerugian Perwaja Steel di era Eric Chia, RM8 billion kerugian MAS di era Tajudin Ramli, RM12 billion menyelamatkan Renong/UEM di era Halim Saad, RM3.3 billion wang KWSP dan KWAP diguna membeli saham TimeDotCom tidak dilanggan, RM6 billion menyelamatkan PUTRA dan STAR LRT, RM1 billion pampasan pembatalan Empangan Bakun, RM250 juta pampasan pembatalan Jambatan Bengkok, RM500 juta kerugian penjualan saham Agusta, RM540 juta menyelamatkan POS Malaysia serta banyak lagi.

RM33.8 bilion kerugian Bank Negara Malaysia dalam pelaburan matawang asing antara tahun 1989 hingga 1993 kecuali pada tahun 1990 mencatatkan keuntungan kecil RM2.5 bilion. Tindakan pelaburan matawang asing oleh Daim Zainuddin dan Nor Mohamad Yackup masing-masing Menteri Kewangan dan Pembantu Gabenor BNM mengakibatkan kerugian dana awam bernilai RM31.3 bilion.

Tindakan-tindakan tidak bijak tersebut tidak boleh berlaku di era Mohd Najib Abd Razak kerana rakyat sekarang sangat teliti dalam hal-hal pembaziran dan salah guna kuasa. Selain itu musuh utama iaitu globalisasi akan menyusup masuk dan merubah keutuhan dan kedaulatan sesebuah negara. Persaingan merebut kek ekonomi domestik dan antarabangsa menjadi terlalu sengit di antara pemain industri tempatan dan luar negara. Sistem kapitalis, yang sangat berlawanan dengan tuntutan agama menjadi tunjang mereka dan dasar permainan ini. Tidak hairanlah jika wang dan kekayaan menjadi senjata pernaklukan alaf baru.

Mahathir Mohamad membudaya dan mewariskan amalan autokratik baik di dalam kerajaan mahupun sektor korporat, membiarkan amalan rasuah bermaharajalela, mengkhususkan ruang ekonomi kepada golongan terpilih selain mengkayakan ahli keluarga mengguna tiket Bumiputera.

Agenda pengkorporatan Bumiputera tertumpu kepada Syed Mokhtar Al Bukhari. Beliau memiliki empayar dalam sektor pertanian melalui perusahaan beras dan gula bernilai berbillion ringgit. Beliau juga menguasai sektor pengangkutan melalui pelabuhan Tanjung Pelepas Johor, dan terbaharu Putrajaya meluluskan cadangan pengambilalihan dermaga tertua dan paling strategik di Malaysia pelabuhan Pulau Pinang serta sistem keretapi KTMB yang mempunyai asset terkumpul bernilai RM52 billion.

Beliau mempunyai kepentingan terbesar dalam Malaysian Mining Corporation MMC syarikat pembangunan infrastruktur yang kini dalam rangka menyiapkan landasan elektrik berkembar Ipoh-Padang Besar bernilai RM16 billion dan Gemas-Johor bernilai RM8 billion. Selain itu joint-venture bersama Gamuda telah menyiapkan Projek Pengurusan Banjir SMART bernilai RM1.9 billion dan kini memulakan pembinaan projek My Rapid Transit MRT bernilai RM8.2 billion. Anak syarikat MMC, Malakoff Corporation (juga milik Syed Mokhtar) sedang menyiapkan loji Janakuasa Arang Batu Tanjung Bin bernilai RM5 billion.

Atas dasar perkongsian ekonomi saksama, YTL diberikan perjanjian 21 tahun melalui 2 ‘power plant’nya membekalkan tenaga kepada TNB pada harga premium walaupun kos pengeluarannya disubsidikan oleh Petronas dan rakyat. Umum mengetahui hubungan rapat pengasas YTL dengan Mahathir Mohamad. Perusahaan anak beranak Yeoh Tiong Lay dan Yeoh Sock Ping juga dianugerahkan projek 1Bestarinet bernilai RM8 billion. Mereka tidak mempunyai pengalaman dan kepakaran menguruskan projek teknologi maklumat sebaliknya tertumpu pada sektor hartanah dan pembangunan melalui YTL Land & Development dan YTL Cement, sektor telekomunikasi melalui YES, sektor perhotelan melalui YTL Hotels dan sektor janakuasa melalui YTL Power International.

Tatparanandam Ananda Krishnan menguasai sektor penyiaran melalui Astro, sektor satelit angkasa melalui MEASAT, sektor minyak dan gas melalui Bumi Armada, sektor telekomunikasi melalui Maxis, sektor kuasatenaga melalui Powertek, sektor perkhidmatan melalui Pan Malaysian Pools dan Tropical Islands serta sektor hartanah. 

Ketiga-tiga individu ini terlalu berpengaruh dalam kerajaan masakan Mohd Najib Abd Razak tidak dapat lari dari terus menganugerahkan pelbagai projek mega berbillion ringgit kepada syarikat-syarikat mereka. Tindakan Mohd Najib Abd Razak memusatkan projek-projek menghadkan peluang ahli korporat Melayu dan kaum lain untuk bersaing secara adil dan berkembang maju. Beliau telah membangkitkan rasa tidak puas hati bukan sahaja dikalangan ahli korporat dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia malah rakyat Malaysia umumnya. Tidakkah beliau risau tindakannya itu mampu menghilangkan rasa percaya dan mengundang bantahan rakyat terhadapnya lewat ini melalui peti undi?

Penjualan Maju Expressway, lebuhraya KL-Putrajaya sepanjang 26km dimana ¾ kos pembinaanya dibiayai dana awam telah memperkaya Sahid Mohamed RM1.1 billion sekiranya Putrajaya menghalalkan geran RM0.98 billion yang diberikan. Raja Farhana anak gadis Menteri Wilayah Persekutuan Raja Nong Chik berusia 26 tahun mendapat kontrak RM30.8 juta melalui Istijuara Sendirian Berhad membekalkan kelengkapan untuk Institut Kemahiran Belia Negara Bandar Penawar Johor secara rundingan terus dengan Kementerian Belia dan Sukan. Konsortium George Kent yang gagal dalam penilaian teknikal, kewangan dan syarat kontrak kepada 5 pembida teratas dianugerahkan projek sambungan LRT Ampang bernilai hampir RM1 billion walaupun mulanya dinafikan Mohd Najib Abd Razak dan Pengerusi Konsortium tersebut Tan Kay Hock. Ketua Wanita UMNO Selangor Raja Ropiaah Raja Abdullah terlibat dengan skandal penjualan tanah kerajaan yang bukan miliknya.

Sistem Penguatkuasaan Automatik AES dikendalikan 2 syarikat swasta yang meraih keuntungan berupa komisyen dari setiap saman yang dikeluarkan. Semenjak beroperasi pada September 2012 lebih 400,000 saman dikeluarkan kepada pesalah jalanraya. Pengswastaan pengurusan keselamatan dan undang-undang berkaitan lalulintas ini membangkitkan kemarahan penyokong kerajaan dan pembangkang. Rakyat tidak menolak secara total pelaksanaannya sebaliknya menuntut kaedah dan keberkesanannya dikaji semula supaya benar-benar mencapai matlamat mengurangkan kadar kemalangan, tidak menganiaya pengguna jalanraya serta tidak menjadi medium mengaut keuntungan oleh pihak pengendali.

Mengikut statistik hari ini hampir 9 juta bangsa Melayu berpendapatan kurang RM18,000 setahun. Kehidupan mereka bergantung kepada amalan kredit atau pinjaman, seperti pepatah gali lubang tutup lobang berhutang untuk bayar hutang. Kos saraan semakin tinggi saban hari sedangkan pendapatan meningkat sekitar 1-3% setahun menjadikan inflasi musuh utama kestabilan ekonomi mereka. Secara purata mereka membelanjakan hampir 70% pendapatan bulanan ke atas pinjaman kereta dan perumahan, selebihnya untuk saraan. Di bandar-bandar utama kos sewa, harga rumah kediaman, kos saraan dan kos pendidikan berada pada tahap tidak masuk akal. Apa usaha dan tindakan kerajaan BN membendung dan mengurangkan tekanan inflasi ke atas golongan ini?

Pemilikan Bumiputera dalam ekuiti menyusut saban hari. Dari tahun 1984 hingga 2001, kerajaan menawarkan lebih RM52 billion saham kepada Bumiputera namun kini berbaki RM2 billion. Saham yang diberikan kepada persendirian telah dilupuskan demi mengaut keuntungan melalui skim AliBaba. Apa tindakan kerajaan Mohd Najib Abd Razak membendung gejala pemborongan saham-saham oleh bukan Bumiputera dan bagaimana meningkatkan semula penguasaan Bumiputera dalam ekuiti?

Dasar Automotif Negara yang diwar-warkan tidak memberikan apa-apa kelebihan melainkan keuntungan berganda kepada pengusaha, pengimport serta pembiaya pinjaman. Dengan dasar ‘perlindungan industri automobil tanahair’ rakyat tidak mempunyai pilihan selain terpaksa membayar lebih dari sekali ganda dari kos pengeluaran model tempatan dan hampir dua kali ganda bagi model antarabangsa yang diakui lebih tinggi kualiti dan panjang jangka hayatnya. Lebih malang sehingga kini rakyat Malaysia terpaksa mensubsidi pembelian kereta tempatan oleh rakyat asing di negara mereka kerana dasar lapuk kerajaan berusia 30 tahun untuk mempopularkan produk nasional di mata dunia. Lantaran rakyat mula memandang serius komitmen PR yang turut disokong Persatuan Automobil Malaysia untuk menurunkan harga kereta dan AP sekiranya berjaya menawan Putrajaya.

Kebergantungan negara kepada sumber gas dan petroleum, barangan elektronik, kelapa sawit dan getah sebagai eksport utama suatu yang membimbangkan. Shukurlah hari ini Petronas masih mampu menyumbang RM70 billion (baca RM70,000,000,000.00) kepada pendapatan kerajaan dengan nisbah 95% kerajaan Persekutuan 5% kerajaan Negeri. Namun mampukah Petronas terus menyumbang tika stok gas asli dan minyak mentah negara menyusut saban hari.

Pemain utama industri mula memindahkan operasi mereka ke negara jiran. Pengeluar barangan elektronik di negara kita rata-rata merupakan pelabur asing. Jika pelabur memilih mementingkan keuntungan semata, puluhan ribu rakyat berpotensi kehilangan mata pencarian. Dasar ekonomi terbuka China dan kestabilan politik rantau ASEAN menjadi ‘penghalang’ usaha mengekalkan pelabur asing. Myammar mendapat perhatian dunia semenjak kerajaan junta berkompromi dan bersedia mengamalkan dasar demokrasi serta amalan pentadbiran yang amanah. Amerika dan negara-negara Eropah mula menunjuk minat untuk melabur di sana. Tawaran sumber mereka sebaik tawaran Malaysia ketika lewat 80an dan awal 90an. Apa tindakan Mohd Najib Abd Razak menghalang ‘penghijrahan’ besar pelabur asing dari Malaysia?

PROTON (sebelum Januari 2012 kerajaan Malaysia melalui Khazanah Berhad merupakan pemegang saham utama) memilih negara China sebagai hub mengeluarkan model terbaru untuk pasaran eksport. Sekiranya pengurusan baru PROTON bersungguh dengan rancangan ini nasib ribuan pekerjanya di kilang pengeluar Shah Alam dan Tanjung Malim akan terabai.

Malaysia merupakan negara beriklim khatulistiwa, tanahnya subur sepanjang tahun. Kesuburan negara mampu mengalakkan pertubuhan dan kemajuan dalam sektor pertanian. Masih banyak komposisi tanah tidak diusahakan. Sekiranya ditebus-guna sebaik negara Kanada dan Jepun ianya mampu menambah pendapatan negara sekaligus melonjakkan KDNK, menyediakan peluang pekerjaan, mengawal harga keperluan asas serta meminimakan pencemaran alam sekitar. Negara berkemampuan menjadi pengeluar produk agro bermutu dan berdaya saing seperti ternakan tenusu lembu dan kambing, burung unta, ikan dan udang air tawar, buah-buahan serta sayur-sayuran tanpa perlu bergantung kepada import.

Ketika era Abdullah Ahmad Badawi dana besar telah diwujudkan mengalakkan pengeluaran hasil penternakan dan pertanian. Sebanyak RM256 juta geran kerajaan dianugerahkan kepada NFC syarikat milik keluarga Ketua Wanita UMNO Shahrizat Jalil dari tahun 2008 – 2009. Pinjaman dan geran tersebut sepatutnya digunakan untuk membiak ternak lembu daging (projek fidlot) agar dapat menampung keperluan dan permintaan pasaran tempatan. Apa yang berlaku, dengan jumlah sebesar suku billion ringgit hanya 4000 ekor lembu (ditolak 110 ekor lembu mati sebelum disembelih) berjaya diternak untuk tempoh dua tahun tersebut. Mengikut perkiraan kos menternak seekor lembu oleh NFC ialah RM4,500. Kos yang terlalu tinggi itu menyebabkan lembu NFC tidak mampu bersaing dengan lembu tempatan yang jauh lebih murah.

Dari dana NFC, RM830 ribu digunakan sebagai kos lawatan-lawatan luar negara dan keraian pengarah-pengarah syarikat (suami dan anak-anak Shahrizat Jalil). Sejumlah RM534 ribu diguna membeli kereta mewah Mercedes, RM3.37 juta membeli dua bidang tanah di Putrajaya, RM3 juta diberikan sebagai subsidi kepada Meatworks syarikat milik keluarga Shahrizat Jalil, RM10 juta dipindah ke syarikat milik mereka di Singapura untuk membeli kondominium mewah di sana, RM9.8 juta digunakan membeli sebuah kondominium mewah One Menerung Bangsar, RM9.7 juta dijadikan jaminan untuk mendapatkan pinjaman peribadi dan dibelanjakan membeli hartanah-hartanah di EcoCity Bangsar di atas nama peribadi mereka sekeluarga serta lain lain lagi. Jumlah geran sebesar itu mampu membantu dan mewujudkan 1,000 penternak mengusaha projek fidlot secara individu.

Kementerian Kewangan meluluskan sejumlah RM165 juta untuk projek pembekalan benih padi negara untuk tempoh 2013-2014. Menteri Pertanian, Noh Omar telah mengeluarkan tender pada Mac 2012 sedangkan ketika itu tempoh tender sedia ada masih berbaki 9 bulan. Kuota keseluruhan benih padi negara adalah 80,000 tan metrik. Rakan sahabat Noh Omar menguasai 45,000 tan dengan Kilang Beras Seri Merbok S/B memperoleh 22,000 tan, Haji Md Nor Haji Abd Hamid S/B memperoleh 20,000 tan manakala Padi Pukal Parit 7 S/B memperoleh 3,000 tan. Agensi Kerajaan seperti BERNAS dan KADA yang terlibat secara langsung dalam industri padi mempunyai loji masing-masing berkapasiti 10,000 tan dan 6,000 tan malah mematuhi syarat-syarat tender tidak berjaya. Sekiranya berlaku sesuatu kepada syarikat-syarikat tersebut krisis makanan yang serius bakal melanda negara.  
  
Inilah kesannya bila projek yang sepatutnya memanfaatkan rakyat diberi tanpa saluran bidaan dan tender yang betul, dianugerahkan kepada entiti yang tidak berkemampuan dari segi pengalaman, pengetahuan, kemahiran dan sokongan kewangan serta paling malang bila dimonopoli menteri dan ahli keluarga. Rundingan terus menutup pintu rezeki korporat Melayu berkelayakkan. Amalan tender terbuka hanya berlaku di negeri-negeri PR. Tidak hairanlah kontraktor Melayu kroni UMNO marah sangat pada Ustaz Nik Abd Aziz Nik Mat, Ustaz Azizan Abd Razak, Lim Guan Eng dan Khalid Ibrahim kerana peluang mereka mendapatkan kontrak bergantung sepenuhnya kepada merit.

BN mengutamakan sektor perusahaan mudah dengan hasil lumayan seperti pembalakkan. Keghairahan membalak memberi kesan langsung ke atas alam sekitar. Penerokaan hutan secara berleluasa mencemarkan sumber air, menceroboh habitat liar, menyebabkan hakisan dan tanah runtuh selain menjejaskan keseimbangan ekosistem. Kegiatan pencerobohan hutan simpan semakin menjadi-jadi kebelakangan ini. Sesetengah pihak terlibat menghalalkan penebusan rezab hutan simpan. Di Negeri Sembilan misalnya sepanjang tahun 2006 - 2011 lebih 8,600 hektar tanah hutan simpan dibatalkan status untuk tujuan pembalakkan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dipengerusikan Menteri Besar Mohamad Hassan. Pembalakan haram pula berlaku diluar kawalan terutamanya di Kedah, Pahang, Sabah dan Sarawak. Apa tindakan drastik kerajaan Mohd Najib Abd Razak dan pihak berwajib dalam mengekang aktiviti pencerobohan hutan simpan dan pembalakan haram?

Oleh kerana perniagaan balak memang menguntungkan ramai ahli politik-korporat menceburkan diri. Ketua Menteri Sabah Musa Aman dikaitkan dengan tuduhan meluluskan lesen pembalakan bernilai RM400 juta kepada syarikat berkaitan keluarga. Sekitar tahun 2009 beliau menerima manfaat RM40 juta dari saudagar balak Micheal Chia yang membalak di negeri kaya biodiversiti itu. Beliau menafikannya dan menegaskan wang itu berupa sumbangan politik. Menteri Law De Facto Nazri Aziz dituduh bersengkongkol apabila mengugurkan tuduhan rasuah terhadap Musa Aman ketika terdapat bukti-bukti sahih Musa dan anak beliau Nadim Nazri mendapat manfaat dari keakraban dengan saudagar balak tersebut. 

Piawaan yang terlalu ketat oleh kerajaan China menyebabkan Lynas Corp memilih Malaysia untuk projek nadir bumi bernilai RM2.5 billion di luar Australia. Selepas kerajaan negeri Terengganu menolak cadangan pembangunan kilang di Telok Kalong, Lynas Corp memilih Pusat Perindustrian Gebeng dan kekal beroperasi di situ. Pelaburan asing ini dikatakan menyedia 600 peluang pekerjaan tetap dan kontrak kepada anak tempatan selain pemindahan teknologi serta pengalakkan aktiviti penyelidikan. Sebagai ganti kerajaan Mohd Najib Abd Razak meluluskan pengecualian cukai pendapatan statutori selama 12 tahun. Sungguhpun mendapat tentangan dari ahli politik, aktivis alam sekitar dan penduduk tempatan, projek nadir bumi Lynas Advanced Materials Plant diteruskan.

Projek tersebut bakal mengestrak lebih 1 juta meter padu sisa pepejal beradioaktif. Arang batu yang dibawa masuk dari Mount Weld Australia mengandungi thorium dan uranium yang merupakan bahan radioaktif. Thorium boleh memudaratkan kesihatan untuk selama 14 juta tahun, jauh lebih lama dari kesan penguraian uranium. Sehingga kini tiada pengesahan arahan mandatori di mana sisa pepejal tersebut akan dilupuskan. Sudahkah ia dibawa keluar semenjak projek itu mula beroperasi? Sekiranya benar sisa diangkut keluar melalui jalan air untuk dilupuskan di sebuah pulau rahsia adakah langkah-langkah keselamatan wajib telah dipenuhi demi mengelakkan kejadian pencemaran sisa radioaktif di perairan negara?

Transperancy International berpengkalan di Berlin yang bertanggungjawab melakukan penyelidikan ke atas 183 negara dan mengeluarkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) melaporkan pada 2012 terdapat sedikit peningkatan kedudukan Malaysia iaitu ke 54 berbanding 60 tahun lalu. Namun peningkatan ini bukan disumbang peningkatan usaha kerajaan dalam membanteras amalan rasuah kerana berlaku penurunan dari segi skor. Semenjak mengambil alih kerajaan Mohd Najib Abd Razak gagal menyamai atau memperbaiki rekod ke 37 dipegang Abdullah Ahmad Badawi sejurus dilantik sebagai Perdana Menteri pada 2003.

Dilaporkan Global Financial Integrity badan pemerhati kewangan berpengkalan di Washington dalam laporan menjejaki aliran modal merekodkan tahap pengaliran wang haram dari Malaysia pada tahun 2010 sangat membimbangkan. Laporan terbaru mendapati lonjakan dramatik iaitu dari USD30.41 billion (RM93 bilion) pada 2009 kepada USD64.38 billion (RM196.8 billion) pada 2010 menjadikan aliran terkumpul dalam tempoh sepuluh tahun sebanyak RM1.27 trillion (baca RM1,273,000,000,000) telah dibawa keluar dari negara. Jumlah ini disumbang oleh gejala modal haram, pengelakkan cukai, amalan rasuah atau komisyen, dadah dan lain-lain. Ini meletakkan Malaysia kedua tertinggi di dunia selepas gergasi ekonomi Asia China.

Kerajaan PR tidak mempunyai dana-dana (baca kemewahan) seperti kerajaan BN. Di sebalik segala kekurangan dan kesempitan PR mampu menguruskan negeri secara berhemat.

Kecekapan pentadbiran setahun jagung kerajaan PR Pulau Pinang berjaya menngeluarkan Majlis Perbandaran Seberang Perai dari senarai muflis malah melunaskan hutang tinggalan bekas Ketua Menteri Koh Tsu Koon sebanyak RM630 juta.  Ketua Menteri Lim Guan Eng berjaya membawa masuk lebih RM10 billion Pelaburan Terus Asing (FDI). Beliau mengubah corak Belanjawan negeri yang deficit dari tahun 2000 hingga 2008 kepada surplus melebihi RM138 juta pada tahun 2011.

Begitu juga kerajaan PR Kedah telah melangsaikan hutang tinggalan UMNO selain meningkatkan pendapatan tahunan sektor pembalakan dari RM9 juta pada 2008 kepada RM80 juta pada 2011 dengan kuota keluasan tebangan yang sama iaitu 2,340 hektar setahun ditetapkan kementerian berkaitan. Keterbatasan sumber kewangan tidak menghalang Menteri Besar Ustaz Azizan Razak membina Universiti Insaniah dengan prasarana setanding institut pengajian tinggi kelolaan kerajaan Persekutuan. Lebih menarik, pembinaannya melibatkan hanya 60% dari kos taksiran awal Kementerian Pengajian Tinggi.

Meskipun sering dilabel negeri termiskin dan termundur di Semenanjung, KDNK 6.9% Kelantan adalah keempat tertinggi dalam negara di belakang Selangor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia menegaskan Melayu Kelantan lebih kaya dari Melayu Johor kerana kos saraan penduduk negeri selatan Semenanjung itu terlalu tinggi impak pembangunan Wilayah Iskandar.

Di Selangor sekalipun konsensi pengurusan air terawat dipegang entiti swasta rakyat menikmati 20 meter padu air percuma setiap bulan malah selepas 4 tahun inisiatif tersebut dilaksanakan belum lagi memufliskan seperti yang diramal pembangkang negeri. Menteri Besar Khalid Ibrahim menghalang SYABAS menaikkan tarif air semenjak tahun 2008 walaupun ada peruntukkan membenarkan tariff dikaji.

Di sebalik segala usaha Puncak Niaga mengaut keuntungan dari perusahaan air di negeri paling maju tersebut sehingga sanggup mengsabotaj bekalan air Khalid Ibrahim berjaya menguruskan pengkhianatan mereka dengan bijak. Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri menetapkan syarat perkongsian bijak di antara kerajaan negeri dan Persekutuan - pengambilalihan pengurusan asset air oleh kerajaan negeri untuk kelulusan pembinaan Loji Rawatan Air Hulu Langgat 2. Dengan itu kerajaan negeri dapat meneruskan pemberian air percuma.

Pendapatan negeri bertambah kepada RM2.5 billion dalam tempoh kurang 5 tahun berbanding RM760 juta pentadbiran berpuluh tahun BN. Ketua Audit Negara memuji tatacara pengurusan perbelanjaan dan penstrukturan hutang negeri. Bekas Menteri Besar Khir Toyo dan bekas Menteri Pengangkutan Ling Liong Sik meramalkan Najib Razak tidak mampu menawan semula negeri tersebut kerana ketokohan dan kebersihan pentadbiran Menteri Besarnya.

Negeri-negeri PR mampu menyediakan kemudahan kepada rakyat negeri seperti perumahan awam kos rendah dan sederhana mampu milik, akses jalanraya ke desa dan pendalaman, perkhidmatan jalur lebar awam percuma di tempat tumpuan di bandar, bantuan kewangan untuk perniagaan dan pengajian serta banyak lagi.
                                                                                                                                      
Melihatkan kepada kemampuan PR mentadbir 2 negeri termaju serta negeri kurang hasil seperti Kedah dan Kelantan dengan baik dan berhemah, tidak mustahil PR mampu mengemudi pentadbiran dan mengurus hasil kekayaan negara jauh lebih baik dari BN.

Langkah PR dalam Belanjawan Alternatif 2013 yang merancang menubuhkan entiti PetroSabah, PetroSarawak, PetroTerengganu dan PetroKelantan untuk mengalakkan kerajaan dan anak negeri terlibat langsung dalam perusahaan petroleum negara boleh meransangkan pertumbuhan ekonomi setempat. ‘Pengembalian’ hak urus dan untung carigali kepada anak tempatan dari dimonopoli kroni dan pengusaha luar satu langkah dinamik yang harus dipuji.

Lebuhraya Utara Selatan merupakan lebuhraya terpenting menghubungkan negeri-negeri pantai barat Semenanjung. Banyak bandar-bandar baru tumbuh sejajar dengan lebuhraya tersebut. Langkah penghapusan tol lebuhraya ini ditambah pengurangan harga minyak petrol dan diesel mampu merancakkan sektor ekonomi setempat disamping mengurangkan kos barang keperluan asas, caj elektrik serta banyak lagi.

Perlaksanaan gaji minimum RM1,100 sebulan mampu meningkatkan taraf hidup rakyat tempatan sekaligus mengurangkan import dan kebergantungan kepada pekerja asing. Pertambahan 1 juta peluang pekerjaan dari cadangan pemerkasaan pengangkutan awam dan pendidikan vokasional serta pemecahan monopoli perusahaan telekomunikasi, makanan rugi, farmaseutikal dan tenaga mampu meninggikan lagi taraf ekonomi negara.

Penurunan harga kereta melalui pengurangan duti eksais secara berperingkat-peringkat dapat mengurangkan hutang rakyat malah mampu mengalakkan tabungan. Pendidikan dan perkhidmatan wad percuma mampu memberi nilai tambah dalam hidup rakyat yang terkesan dengan peningkatan kos saban tahun kos dua keperluan ini.

Ketika rakyat mempunyai taraf hidup yang lebih baik, pendapatan tetap serta ekonomi keluarga yang utuh, banyak masalah yang berkait rapat dengan kekurangan ini secara langsung dapat diselesaikan seperti masalah jenayah curi, ragut dan rompak, masalah sosial kerana tekanan hidup dan banyak lagi.
 
Tidakkah rakyat berhak mendapatkan perkhidmatan terbaik dari kerajaan yang mereka pilih dan pemimpin yang mereka amanahkan untuk menjaga bukan sahaja keamanan malah kestabilan?

Wednesday, January 23, 2013

Laksanakan Tanggungjawab Anda Anak Muda (Bahagian 1)



Bermula awal tahun 2012, parti-parti politik baik yang membentuk kerajaan mahupun yang menjadi pembangkang di peringkat negeri dan persekutuan secara aktif mengerakkan jentera dan sayap parti mendekati semua lapisan masyarakat. Namun adalah golongan wanita dan anak muda yang kali pertama mengundi dengan mempromosikan pebagai tawaran dan agenda pembaharuan kepada kumpulan sasar ini.

Diramalkan pengamal dan penganalisa politik golongan muda dari kelas umur 21-30 tahun merupakan penentu ‘survivalship’ Barisan Nasional (BN) malah, kemungkinan besar penyumbang kemaraan Pakatan Rakyat (PR) ke Putrajaya. Di sebalik jumlah besar dalam komuniti masih ramai antara mereka bersikap sambil lewa memainkan peranan penting mencorak masa depan negara sebagai pengundi. Umum kita melihat mereka rancak bercakap soal politik serta melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti kepartisan namun realitinya rata-rata mereka kurang jelas akan fakta dan persekitaran isu yang dimainkan.

Sungguhpun berpeluang mengakses maklumat dari pelbagai sumber kebanyakkan mereka memilih mendengar dan dipengaruhi rakan taulan tanpa memikirkan keperluan mengkaji dan membezakan informasi yang mereka terima. Justeru demi memastikan tidak terlepas atau terpisah dari perkembangan terkini mereka diajak berukhuwah dan belajar dari golongan dewasa terutamanya mengenai perkara-perkara dasar kehidupan seperti soal ekonomi, sosio budaya serta kerohanian, bukannya rencah politik semata. Golongan muda merupakan pelapis kitaran besar kehidupan. Sekiranya hari ini mereka gagal didedahkan dan dididik perkara dasar makanya tidak mustahil masa depan negara boleh terjejas kerana kelemahan dan ketidak-wibawaan mereka.

Golongan dewasa yang berjaya khususnya dari negeri-negeri maju seperti Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang yang berlatar-belakangkan pendidikan tinggi dan pengalaman luas seharusnya diteladani dan dicontohi anak muda. Golongan dewasa merupakan penyumbang serta penerima impak utama keterlaksanaan atau kegagalan agenda nasional maka tidak hairanlah mereka mengikuti perkembangan terkini dengan penuh perhatian. Mereka kurang perduli kemampuan Mohd Najib Abd Razak menjuarai parti pimpinannya UMNO dan BN sebaliknya mereka menilai keterlaksanaaan Pelan Transformasi Negara yang dilaungkannya.

Tidak seperti zaman dahulu, anak muda kini mempunyai banyak ruang dan peluang untuk mengakses, memahami serta menilai sesuatu maklumat. Selain saluran TV, radio dan aqbar (yang dimonopoli kerajaan), anak muda boleh mendapatkan informasi dari alam siber, majlis ilmu dan persidangan umum. Sebagai pesanan, ketika merujuk dan mengkaji sesuatu isu hujah dan nilailah secara saksama. Dengar dari semua pihak, yang mendakwa dan didakwa, yang menghakim dan dihakim. Golongan bijak pandai tidak menelan sesuatu berita bulat-bulat takut terjebak atau bersubahat dengan dosa fitnah. Pesan ilmuan barat - ‘there are always two sides of every story’. Itu membezakan kita dengan manusia zaman jahiliah.

5 tahun adalah suatu tempoh masa yang panjang. Sekiranya tersilap memilih pemerintah padahnya kita terpaksa menunggu 5 tahun berikutnya untuk memperbetulkan kesilapan. Penulisan ini bertujuan membantu memudahkan pemahaman dan penelitian, selebihnya terpulang kepada penilaian individu. Berikut adalah faktor-faktor yang perlu difahami, diteliti serta diambil kira sebelum mengundi pada Pilihanraya Umum ke 13 nanti. Faktor berikut juga merupakan ujian buat Najib Razak dan BN sekiranya mahu terus kekal berkuasa:-

1.                   Kestabilan Politik
2.                   Kekuatan Ekonomi
3.                   Keselamatan Sosial
4.                   Kecemerlangan Pendidikan
5.                   Keharmonian Kaum
6.                   Keutuhan Kerohanian




KESTABILAN POLITIK

Pada tahun 1983 dan 1991, Mahathir Mohamad menentang pihak Istana dengan mengugurkan kuasa veto dan imuniti mereka dari dihukum. Di Malaysia setiap rang undang-undang atau Bil yang akan menjadi undang-undang perlu mendapat persetujuan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung. Sekalipun mendapat tentangan dari UMNO sendiri Mahathir Mohamad telah meminda perlembagaan dengan menjadikan bil yang diluluskan oleh Parlimen tetap menjadi undang-undang selepas 30 hari tanpa persetujuan Yang Dipertuan Agung.

Pada tahun 1988 beliau mencetuskan perpecahan dalam UMNO yang mengakibatkan tindakan pengharaman UMNO Asal oleh Mahkamah Agung. Beliau juga mencetuskan krisis perlembagaan apabila merencana pemecatan Ketua Hakim Negara, Salleh Abas dan tiga orang lagi hakim kanan Mahkamah Agung yang cuba menghalang kes tersebut. Insiden 1988 dilihat sebagai titik hitam sejarah perundangan negara yang sepatutnya bebas dari campur tangan pihak eksekutif. Mahathir Mohamad selaku ketua badan eksekutif telah mencampuri urusan badan kehakiman. Kesan krisis tersebut menjadikan badan eksekutif berada di atas badan kehakiman.

Mahathir Mohamad berjaya menghidupkan semula parti terbesar dan mempengaruhi majoriti bangsa Melayu bersatu bersamanya dibawah payung UMNO Baru. Penyatuan UMNO dan Semangat 46 pula mengukuhkan pengaruh dan kedudukannya di persada politik tanahair.

Mahathir Mohamad berjaya memujuk Anwar Ibrahim, pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia dan aktivis masyarakat yang lantang dan berani menyertai UMNO. Kemasukan Anwar Ibrahim memperkukuhkan UMNO selepas bencana perpecahan. Imej Islamik dan penampilan bersederhana, ketokohan berpidato serta mudah didekati menjadikan beliau disenangi kawan dan lawan. Pengaruh beliau bukan sahaja di dalam UMNO malah di dalam PAS sehinggakan golongan ekstrimis mula menerima dan menyokongnya. Pasukan Wawasan beliau dalam UMNO menjadi satu empayar, dan mereka kekal berpengaruh sehingga ke hari ini seperti Mohd Najib Abd Razak, Muhyiddin Yasin dan Zahid Hamidi. Dari profesional, ulama hingga golongan bawahan teguh dibelakangnya membolehkan beliau merampas kedudukan Ghaffar Baba (semoga Allah merahmati rohnya). Menyedari sokongan cukup besar dalam sejarah persaingan jawatan Timbalan Presiden UMNO terhadap Anuar Ibrahim, Ghaffar Baba menarik diri dari bertanding.

Kekuatan dan pengaruh Anwar Ibrahim menjadi satu ancaman kepada puak elit dan radikal UMNO dan BN. Konspirasi dirancang rapi bukan sahaja untuk menjatuh malah mematikan kerjaya politik beliau. Tahun 1998 beliau dipecat oleh Mahathir Mohamad dari jawatan Timbalan Perdana Menteri sekaligus jawatan Menteri Kewangan, Timbalan Pengerusi BN dan Timbalan Presiden UMNO. Beliau dituduh menyalahguna kuasa serta salahlaku seks.

Kurang 20 hari dari tarikh pemecatannya, Anwar Ibrahim dipenjarakan. Mengguna alasan kes berprofil tinggi beliau dihukum sebelum pengadilan. Ketika kes masih dibicarakan beliau ditahan di penjara Sungai Buloh, diaib serta diseksa. Bekas Timbalan Perdana Menteri itu ditumbuk dimuka, dibogel selain dicerca oleh Pegawai Siasatan PDRM yang kemudiannya diangkat menjadi Ketua Polis Negara. Selepas 6 tahun meringkuk dalam perjara sehingga tahun 2004 beliau akhirnya didapati tidak bersalah atas pertuduhan salahguna kuasa dan dibebaskan.

Tindakan tidak demokratik dan tidak berperikemanusiaan Mahathir Mohamad mendapat tekanan antarabangsa. Ratusan juta ringgit wang rakyat diguna untuk menutup mulut journalis dalam dan luar negara serta memujuk bekas ahli yang menentang beliau untuk kembali ke dalam UMNO.

Gara-gara komitmen Anwar Ibrahim untuk memastikan disiplin pengurusan kewangan negara yang berteraskan tatakelola dan pertanggungjawaban, beliau dilabel agen perpecahan dan pengkhianat negara. Beliau membawa isu korupsi dan nepotisme di mana Mahathir serta kuncu-kuncu adalah sasaran bagi tuduhan tersebut. Anwar Ibrahim adalah orang nombor dua negara, pernah memangku jawatan Perdana Menteri semasa ketiadaan Mahathir. Anak didik Mahathir Mohamad amat mahir akan agenda, strategi dan taktik BN dalam mentadbir, memonopoli kekayaan, mempengaruhi badan perundangan dan kehakiman, serta memanipulasi demi kepentingan peribadi. Terlalu berisiko membiar Anwar Ibrahim lepas bebas. Sekiranya Anuar Ibrahim berjaya menguasai kerajaan Pusat (Putrajaya) sudah pasti berkoyon-koyon pemimpin dan pengamal nepotisme, kronisme dan proksi dihukum dan disumbat ke penjara atas dosa-dosa mereka kepada agama, bangsa dan negara. 

Selama tempoh 6 tahun beliau dipenjarakan banyak perkara telah berlaku. Antaranya PAS berjaya menguasai Terengganu selain Kelantan pada Pilihanraya Umum 1999 dan berjaya mengurangkan majoriti BN di Dewan Rakyat. Perhimpunan jalanan terbesar dalam sejarah selepas tuntutan kemerdekaan iaitu Gerakan Reformasi telah menggegar Bandaraya Kuala Lumpur dan berjangkit ke seluruh negara.

UMNO pula terpecah dua. Ahli yang menentang kezaliman ke atas Anwar Ibrahim meninggalkan parti dan menyertai Parti Keadilan Nasional (Keadilan) kini dikenali Parti Keadilan Rakyat (PKR) diasaskan Wan Azizah Ismail. Semenjak itu PAS dan PKR 2 parti majoriti keanggotaannya orang Melayu secara rasmi dilabel musuh oleh UMNO.

Perdana Menteri dan pemimpin-pemimpin UMNO terdahulu ketika persaraan memilih untuk tidak mengulas apalagi menyerang peribadi penganti mereka melainkan Mahathir Mohamad. Ketika berlaku pergolakan krisis dalaman yang membawa kepada perpecahan dan pengharaman UMNO Asal barulah Tunku Abd Rahman dan Hussein Onn tampil meluahkan kekecewaan mereka. Mahathir Mohamad dilabel pencetus perpecahan dan pengamal semangat berpuak-puak atau asobiyah, melaga-lagakan pemimpin parti demi menyelamatkan kedudukan beliau. Beliau dituduh meletakkan kepentingan peribadi melebihi kepentingan dan perjuangan asal parti (kenyataan bekas-bekas Perdana Menteri ini boleh diakses di laman youtube)

Ada asas kebenaran kenyataan bekas-bekas Presiden UMNO Asal tersebut. Ketika usaha Mahathir Mohamad memanjat tangga dan untuk kekal di posisi nombor satu parti, beliau bermusuhan dengan ramai pemimpin termasuk Tunku Abd Rahman, Hussein Onn, Ismail Abd Rahman, Ghazali Shafie, Tengku Razaleigh, Musa Hitam, Ghaffar Baba, Anwar Ibrahim, Abdullah Ahmad Badawi dan terkini retak menanti belah dengan Mohd Najib Abd Razak. UMNO 11, kumpulan yang memohon pembatalan pengistiharan kemenangan pemilihan Perhimpunan Agung UMNO 1987 di Makhamah Tinggi Kuala Lumpur kerana bertentangan dengan perlembagaan parti  telah dilabel oleh Mahathir Mohamad sebagai pengkhianat bangsa sedang tujuan UMNO 11 itu tidak lebih dari diadakan semula pemilihan pucuk pimpinan. Tidak hairanlah sebagai Perdana Menteri paling lama berkhidmat beliau mempunyai timbalan dan musuh paling ramai.

Persaraan Mahathir Mohamad memberi peluang Abdullah Ahmad Badawi mentadbir mengikut acuannya. Imej ‘Mr Clean' dan berhemah serta slogan 'Bekerja Bersama Saya, Bukan Untuk Saya' beliau telah membuah sokongan besar rakyat Malaysia. Sekitar kempen pilihanraya 2004 beliau mempromosikan banyak agenda pemulihan dan pembangunan negara antaranya pengukuhan intergriti, plan perbangunan ekonomi serantau dengan terbentuknya koridor ekonomi wilayah-wilayah, penambahbaikan hak asasi manusia dengan tertubuhnya SUHAKAM, pembentarasan rasuah dengan memberi lebih kuasa pada entiti baru SPRM, persekitaran lebih selamat dengan memperkasakan PDRM dan lain-lain lagi. Rakyat terpersona dengan inisiatif dibawa Abdullah Ahmad Badawi lalu memberi beliau kemenangan sangat bergaya.

Kerisauan Mahathir Mohamad (sifu bertukar musuh) tentang peranan pasukan kecil pembangkang di Dewan Rakyat menjadi nyata. Mandat besar bagaikan sumpahan menjadikan BN terlalu kebal dan angkuh. Ditambah serangan dari Mahathir Mohamad dan puak radikal UMNO, pendekatan meredhai ahli keluarga memonopoli projek kerajaan dan membiar menantu mentadbir negara telah menimbulkan kemarahan rakyat dan ahli UMNO terhadapnya. Kerana gagal melaksanakan tangungjawab, tahun 2008 rakyat mengajar beliau dan BN.

Gagal mengekalkan majoriti 2/3 dalam Dewan Rakyat, hilang kuasa di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Perak (berjaya ditawan semula setahun kemudian bilamana wakil rakyat PKR dan DAP berpaling tadah menjadi YB mesra BN), selain gagal merampas Kelantan selama 5 penggal, BN cuma meraih 51.4% dari keseluruhan undi rakyat Malaysia. Parti dokongan beliau sendiri telah ‘menendang’ beliau dari jawatan nombor satu. Rakyat telah tawar hati, belajar dari kesilapan dan kini lebih berwaspada.

Kekalahan dan seterusnya kejatuhan Abdullah Ahmad Badawi bukan disebabkan faktor Anuar Ibrahim dan permuafakatan parti komponen PR semata sebaliknya kerana rakyat tidak boleh menerima kerajaan angkuh dan tidak bertanggungjawab. Pengaruh Mahathir Mohamad turut menyumbang kepada ‘protest vote’ apabila secara konsisten menyerang Abdullah Ahmad Badawi dan pasukannya sehinggakan bertindak meninggalkan UMNO menunjukkan kebencian teramat beliau terhadap bekas Timbalannya. Ini semua gara-gara Abdullah Badawi membelakanginya - bekas Perdana Menteri yang mengangkat dirinya Mursyidul Am BN.

Keterujaan BN membangunkan negara secara fizikal gagal membentuk bangsa Malaysia muafakat. Sejarah krisis perkauman 13 Mei 1969 belum cukup menyedarkan BN akan kelemahan pentadbiran mereka. Retak menanti belah. Mohd Najib Abd Razak tidak boleh mengambil risiko membiarkan perbalahan kaum berlaku ketika sokongan bukan Melayu kepada partinya semakin merudum. Mengambil manfaat sebagai Perdana Menteri ke 6 beliau mempelopori seruan bersatu dibawah kontrak keadilan sosial 1 Malaysia (disalin-cetak idea 1 Israel) dan mempertaruhkannya demi kelangsungan politik beliau. Semenjak dilancarkan ideanya menjadi perbahasan dan perhatian umum dalam dan luar negara. Mampukah CEO jenama 1 Malaysia ini mensukseskan agenda ‘belanja tinggi’ tersebut? Mampukah beliau meMalaysiakan rakan-rakan dalam UMNO, MCA dan MIC menandingi parti PR yang lebih universal?

Tidak seperti PAS, PKR dan DAP parti-parti BN ditunjangi agenda perkauman yang kuat. Dalam siri pra dan kempen pilihanraya parti-parti komponen BN terus menggunakan isu perkauman dan agama untuk menakut dan, tidak keterlaluan dikatakan, memperbodohkan rakyat untuk meraih sokongan. MCA dengan berani menghina hudud namun UMNO yang tegar memperjuangkan kalimah Allah membiar rakannya mempersenda Islam sebaliknya parti yang dilabel chauvinism DAP pula yang lantang membantah penghinaan tersebut. MCA memprovokasi satu undi PAS adalah satu undi untuk pembentukkan negara Islam ekstrimis.

UMNO, dengan idea ‘recycle’nya setiap kali pilihanraya, terusan memainkan sentimen mengundi DAP menjadikan Malaysia sebuah negara republik (seperti Singapura). UMNO dan MCA tahu sekalipun DAP, atau PAS, atau kedua-duanya menang seluruh kerusi parlimen yang ditandingi tidak mampu untuk mengubah Perlembagaan Negara yang memerlukan bukan sahaja 2/3 kuasa majoriti di Dewan Rakyat malah perkenan Majlis Raja-Raja, lantaran idea penubuhan Negara Islam mahupun Republik sudah pasti tidak dapat dilaksanakan. Ini adalah suatu pembohongan malah penghinaan kepada ilmu dan kepandaian rakyat Malaysia. Demi mengekalkan kuasa BN sanggup melakukan perkara sedemikian rupa.

BN mengalakkan pertumbuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) bersifat perkauman. Di mana kewajaran begitu banyak NGO berasaskan kaum bagai cendawan selepas hujan sedangkan komponen BN sedia ada berteraskan perkauman? Dan lagi dari mana datangnya sumber kewangan berbelanja besar melakukan aktiviti-aktiviti sedangkan mereka baru ditubuhkan? JATI Hassan Ali dan PERKASA Ibrahim Ali lebih mudah mendapat permit ceramah dari parti politik berdaftar ‘senior’ PAS, PKR dan DAP.

Mohd Najib Abd Razak bersungguh melulus dan melaksanakan Akta Perhimpunan Aman 2012 namun tidak menjamin perhimpunan atau ceramah PR di negeri-negeri BN diadakan secara aman sepertimana PR membenarkan Najib dan pemimpin BN berhimpun dan berceramah bersama penyokong mereka tanpa gangguan. Mohd Najib Abd Razak merelakan para siswa yang menyuarakan bantahan terhadap PTPTN, peserta BERSIH yang menuntut plihanraya adil dan telus, penduduk setempat yang menghadiri ceramah Merdeka Rakyat dan pengusaha tanah Felda yang mendengar pendedahan ANAK diperlaku seperti pendatang oleh pihak berkuasa.

Hanya melalui media alternatif rakyat dikhabarkan bagaimana samseng politik BN dan NGO mesra kerajaan menganggu malah menyerang dan mengakibatkan kecederaan kepada penyokong-penyokong PR setiap kali mereka berhimpun secara aman. Media mesra kerajaan tidak sesekali menyiarkan salahlaku ahli dan penyokong BN.

Sikap berdiam diri Mohd Najib Abd Razak seolah membenarkan pemimpin dan penyokong BN mencemuh mencela serta memprovokasi kemarahan dengan menaja ceramah bersebelahan ceramah PR. Ceramah PR dicemari pelbagai insiden termasuk dicederakan dan dirosakkan harta penceramah dan orang awam. Sebagai Perdana Menteri rakyat Malaysia apakah Mohd Najib Abd Razak telah mengarahkan siasatan secara adil dan saksama, membicara dan menghukum samseng yang melakukan jenayah tanpa mengira fahaman politik? Sebaliknya PDRM, SPRM, RELA, Jabatan Agama serta penguatkuasa yang lain terus diguna untuk menyekat kebebasan dan kemaraan rakyat.

Media utama sudah lama kehilangan fungsi dan ‘originality’ sebagai wadah ilmu bangsa Melayu. RTM, TV3, Utusan Malaysia, Berita Harian, News Strait Time, Metro, Kosmo dan lain lain menjadi alat propaganda ahli politik BN. Mereka tidak sekali-kali mendedahkan isu-isu atau skandal yang melibatkan pemimpin mereka. Semenjak 1998 media-media tersebut kerjanya menyerang peribadi Anwar Ibrahim, pemimpin utama PR serta sekeluarga. Mereka menjadi pusat penyuburan dan penyebaran fitnah serta nadi persengketaan bangsa. Maka tidak hairanlah Utusan Malaysia sudah lebih 30 kali kalah dalam tuntutan sivil kerana melanggar hak asasi dan etika kewartawanan.

Rakyat makin celik dan peka merujuk media alternatif mendapatkan informasi dan kepastian. Melalui laman sesawang tempatan dan antarabangsa rakyat mengetahui isu-isu besar yang ditutup media tempatan. Rakyat mula sedar angkara siapa penjualan saham serta pengambil-alihan syarikat-syarikat Malaysia oleh pelabur negara jiran. Isu sebenar di sebalik pembunuhan penterjemah bahasa pembelian 2 buah kapal selam ‘recond’ Perancis yang berkait dengan komisyen lebih RM500 juta melibatkan Mohd Najib Abd Razak dan Rosmah Mansor seperti didedahkan penyiasat persendirian Balasubramaniam Perumal dan terbaharu oleh saudagar karpet Deepak Jaikishan. Pendedahan demi pendedahan mengheret lebih banyak pihak ke dalam rantaian skandal tersebut termasuk Ketua Wanita UMNO Selangor Raja Ropiaah Raja Abdullah dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera.

Isu pembelian kelengkapan pertahanan RM3 billion melebihi harga asal oleh Menteri Pertahanan Zahid Hamidi berselindung di sebalik faktor inflasi dan transaksi sulit serta isu penyelewengan pembelian tapak dan kos pembinaan Pelabuhan Klang Utara oleh Lim Liong Sik yang perbicaraannya sudah bertahun namun belum ada pihak yang disabit kesalahan dan dihukum.

Isu gelaran Wanita Pertama yang terkhusus kepada Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agung diguna Rosmah Mansor, isu ‘shopping spree’ RM330,000 sehari beliau seperti yang didedah dan disebar-luas akhbar tempatan Australia, isu kalimah Muhamad (s.a.w) disulam terbalik menghias busana mendedah aurat ketika pertunjukkan fesyen Busana Muslimah di luar negara yang dihadiri dan dibiayai beliau serta isu penggunaan dana awam sejumlah RM400,000 melangsungkan pertunangan anaknya.

Di mana media BN dalam membicarakan isu status sajian halal dan akta yang melindungi kepentingan pengguna Islam, isu peningkatan kadar perceraian di mana setiap 15 minit satu kes perceraian berlaku di Malaysia, isu keruntuhan aqidah dan gejala murtad yang makin berleluasa selain isu anak luar nikah dikalangan remaja dan dewasa Melayu, isu penggunaan wang zakat membayar yuran guaman Menteri Agama di Jabatan Perdana Menteri yang disaman kerana memfitnah serta isu ‘fatwa’ perempuan harus melacur ketika kesempitan hidup oleh Timbalan Menteri Agama.

Isu peningkatan harga barangan keperluan asas yang semakin tidak terkawal, isu kekurangan bekalan minyak masak sedang Malaysia merupakan antara pengeskport minyak sawit terbesar dunia, isu tuntutan gaji minima dan perbezaan nilainya antara Malaysia Barat dan Timur serta isu harga rumah kediaman tinggi sehingga Skim Rumah Pertama menemui kegagalan.

Isu bencana banjir yang berpunca dari kegiatan pencerobohan hutan dan pembalakkan haram di hulu sungai-sungai utama di Sarawak, isu hakisan pantai dan tanah runtuh yang menjadi-jadi serta isu pencemaran air, tanah dan udara. Isu kebimbangan rakyat tempatan mengenai pengurusan 1 juta meter padu sisa pepejal beradioaktif dari perusahaan nadir bumi Lynas Advanced Materials Plant di Gebeng Pahang.

Isu sempadan darat dan perairan negara mudah dibolosi hinggakan saban hari kita terpaksa menangkap dan menghantar pulang ribuan pendatang asing tanpa izin. Yang terlepas dari tangkapan bekerja dan berurusan seperti sah taraf kerakyatan. Mereka menguasai sektor perkhidmatan misalnya penjualan makanan di bandar-bandar. Yang memushkilkan bagaimana boleh mereka beroperasi dan sekiranya sah apa kelayakan mereka mendapat lesen perniagaan dan menyewa premis-premis perniagaan sedang ramai rakyat tempatan sukar mendapat peluang dan ruang berniaga.

Isu pemberian kerakyatan segera secara pukal kepada warga asing dan pendatang tanpa izin sekaligus memberi mereka hak mengundi seperti didedahkan PR. Terdapat bukti Pegawai Tinggi Kerajaan bersekongkol dengan pemerintah untuk memenangkan BN. Pemberian kewarganegaraan tidak mengikut lunas undang-undang telah berlaku di Sabah di mana hampir 200,000 warga Filipina dan Kalimantan diberi kerakyatan sebagai balasan undi. Kegiatan penderhakaan tersebut telah berjaya menjatuhkan kerajaan Terengganu pada PRU11 selain mengekalkan Sabah dan Sarawak di bawah kuasa BN pada PRU12. Modus operandi sama dikatakan digunapakai di Semenanjung untuk PRU13.

Berpuluh ribu warga asing Bangladesh, Myammar, Pakistan dan Indonesia dikesan diterbangkan dalam kumpul yang besar dengan pesawat sewa khas ke Semenanjung mulai awal bulan April 2013. Bukti rakaman bergambar dan bervideo, salinan email serta jadual perjalanan penerbangan misteri telah didedahkan penyokong PR namun kerajaan menafikan tuduhan bersekongkol sebaliknya menjelaskan adalah kebiasaan ‘kawan-kawan’ BN menaja penerbangan istimewa kepada pengundi. Kerajaan gagal menjawab mengapa sejumlah besar warga asing, yang terang-terang tidak fasih berbahasa Malaysia, yang menaiki pesawat khas tersebut.

Isu peningkatan gejala hubungan sejenis di kalangan professional, yang kini merebak ke siswa universiti dan pelajar sekolah. Begitu ramai pengamal LGBT (Lesbian, Gay, Bisexual, Transgender) hanya Anuar Ibrahim dituduh, dihukum dan disumbat ke penjara. Ramai VVIP menyimpan ‘anak ikan’ umum sedia maklum kenapa hanya ‘ikan’ Mohd Saiful Bukhari dan bapanya mendapat perlindungan perundangan dan keselamatan. Terbaharu sandiwara anak beranak ini makin memualkan apabila bapa Saiful sebelum ini memohon maaf kepada Anuar Ibrahim kerana tuduhan liwat telah menarik semula permohonan maaf dalam tempoh kurang 2 bulan manakala Saiful Bukhari mengeluarkan video sumpah laknat kononnya di hadapan Qaabah yang terang-terang didapati ‘superimpose’.

Laman-laman internet dan sembang sosial seksual bercambah macam lalang tetapi di mana pantauan dan sekatan oleh pihak berwajib? Media BN bertahun-tahun mempromosi perkataan dan huraian liwat, songsang, gay atau homoseksual di kalangan rakyat pelbagai lapisan umur semenjak kes perbicaraan liwat I Anuar Ibrahim tetapi pemimpin PR yang difitnah dengan gejala tersebut. BN memerintah lebih 50 tahun kenapa tidak dibendung penularan LGBT dari dulu?

Ke mana hilang integriti kewartawanan dan kebebasan bermaklumat di negara kita? Mampukah Mohd Najib Abd Razak memulangkan hak rakyat mendapatkan informasi yang tepat, benar dan adil seperti di Amerika, New Zealand, Turki, Mesir dan terdekat Singapura?

Kegagalan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengemudi pilihanraya yang adil dan saksama telah mengheret ratusan ribu rakyat ke jalanan pada Julai 2011 dan April 2012. BERSIH antara lain menuntut SPR melakukan pembersihan daftar pengundi dan memperbaiki fungsi undi Pos. Lanjutan dari kegagalan fungsi undi Pos yang sering memberi kelebihan pada BN, daftar pengundi yang bersih dan pengguna dakwat hitam kekal di hari pengundian dituntut dipraktikkan mengelakkan penipuan.

Mohd Najib Abd Razak menggunakan PDRM dan kekerasan menangani BERSIH 2.0 yang lemah tidak bersenjata menjadikan Kuala Lumpur wilayah Polis di hari perhimpunan aman tersebut berlangsung. Demi menutup kesalahan beliau dan rakannya dalam kerajaan Mohd Najib Abd Razak menubuhkan Jawatankuasa Khas Parlimen untuk Penambahbaikan Piliharan Raya (PSC Election). Selepas 6 bulan bermesyuarat Speaker Dewan Rakyat menggunakan kuasanya meluluskan 22 cadangan tanpa perbahasan. Dari 22 cadangan tersebut hanya 1 yang dituntut BERSIH bakal dilaksanakan. Mohd Najib Abd Razak terangan mempersenda tuntutan perhimpunan BERSIH 2.0 lantaran pada 28 April 2012 Dataran Merdeka sekali lagi menjadi medan lautan rakyat berhimpun membantah kepura-puraan beliau serta menuntut pilihanraya bersih dan adil melalui perhimpunan BERSIH 3.0.

Tidak belajar dari kesilapan, Mohd Najib Abd Razak sekali lagi membenarkan PDRM bertindak ganas ke atas peserta Himpunan BERSIH 3.0 sekitar ibukota sedangkan larangan berhimpun hanya di Dataran Merdeka. Ratusan ribu yang menghadiri perhimpunan Duduk Bantah di luar Dataran Merdeka dizalimi, hak mereka berkumpul secara aman disekat. Sedang Mohd Najib Abd Razak sendiri pada awalnya mencadangkan ceramah di stadium, namun sehari kemudian kabinetnya melabelkan Jawatankuasa BERSIH dan pemimpin PR sebagai pengkhianat malah mengharamkan segala bentuk pertemuan apalagi Himpunan dan kempen BERSIH. Siapa sebenarnya pengkhianat yang zalim dengan menutup pintu perbincangan, bertindak menjauhi titah Yang DiPertuan Agung (ketika itu Tuanku Mizan Zainal Abidin) dan menafikan hak rakyat berhimpun dan berpersatuan yang dijamin Perlembagaan?

Banyak bukti PDRM melakukan kekerasan, menimbulkan kekecohan dan memprovokasi peserta perhimpunan dimuat naik ke laman sesawang namun Ketua Polis Kuala Lumpur tegar menyangkal dan memihak pasukannya. Hishamuddin Hussein pula menegaskan tindakan PDRM mengikut SOP namun disangkal Ketua Polis Negara Ismail Omar ketika umum teramat marah aksi sepak terajang polis terhadap peserta.

Perhimpunan-perhimpunan tersebut rentetan kegagalan SPR menjawab isu utama dalam pengendalian dan perlaksanaan pilihanraya yang telus dan bersih. Kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang mendedahkan hampir 400,000 pengundi dengan status meragukan dalam senarai terbaharu SPR. Di Selangor sahaja sejumlah 130,000 pengundi tidak dapat dikenalpasti lokasi dan lokaliti mereka.

Terdapat ramai pengundi baru berusia lebih 85 tahun, pengundi jantina berbeza NRIC, pengundi yang mempunyai nama dan tarikh lahir sama, pengundi lahir di luar negara, pengundi tanpa alamat rumah, pengundi pos pemegang NRIC awam, pengundi pos dari kalangan pasangan pasukan keselamatan,  pengundi pos dari pasukan tentera yang telah melebihi had umur persaraan, beribu pengundi mempunyai alamat sama, pengundi yang tiada rekod NRIC di JPN, pertambahan 100 ribu urusetia baru pilihanraya yang diklasifikasikan sebagai pengundi pos. Begitu banyak isu, bantahan dan bukti dikemukakan SPR tetap bertegas Daftar Pemilih dan Sistem Pilihanraya negara ini antara terbaik dan teradil di dunia.

Pengerusi SPR dituduh masih aktif dalam UMNO cawangan Putrajaya. Begitu juga beberapa pegawai diperingkat negeri. Satu-satunya kes di dunia pengurus pilihanraya ahli parti bertanding. Tidak hairanlah persempadanan semula, kemaskini daftar pengundi, pengundi Pos serta syarat berkempen memberi kelebihan kepada BN berpuluh tahun. Bukankah SPR, pengendali pilihanraya untuk parti-parti bertanding sepatutnya bebas sepenuhnya? Masakan mampu bebas jika SPR berada di bawah Jabatan Perdana Menteri, bukannya di bawah Parlimen atau DYMM Yang DiPertuan Agung seperti sebelum 2004. 

SPR dan agensi-agensi kerajaan digunakan BN untuk kekal berkuasa. Dana dan infrastruktur awam dibelanjakan sewenangnya setiap kali menjelang pilihanraya umum. SPR sepatutnya lama dihukum atas kegagalannya bertindak atau menuntut tindakan daripada pihak berkuasa (SPRM, PDRM, Perbendaharaan) ke atas rasuah pilihanraya terutama sekali kegagalannya mematuhi Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 yang mengenakan had perbelanjaan pilihanraya sebanyak RM200,000 untuk satu kawasan parlimen dan RM100,000 untuk satu kawasan dewan undangan negeri.

Bosan dan jelak dengan kerajaan Mohd Najib Abd Razak yang terus bermain silap mata dalam menangani isu-isu besar seperti tuntutan pembersihan Daftar Pemilih SPR, pilihanraya yang telus dan adil, selain tuntutan keadilan buat orang asal, hak royalti negeri pengeluar minyak, tanah warisan dan adat, hak asasi tentera dan pesara, hak peneroka Felda serta hak mahasiswa, lautan rakyat sekali lagi berkampung di Kuala Lumpur menyuarakan sokongan padu. Peserta pelbagai kaum dari seluruh pelusuk Malaysia memenuhi dalam dan perkarangan Stadium Merdeka. Terdidik dari 2 kesilapan besar lalu kali ini PDRM dan DBKL bersikap lebih professional dan bertanggungjawab malah rakyat memuji perubahan sikap tersebut. Tiada insiden buruk berlaku rakyat berhimpunan dengan aman dan jayanya. Perhimpunan aman boleh berlaku sekiranya ada kerjasama dan tolak ansur antara penganjur dan pihak berkuasa, sekaligus menolak unsur provokasi dan keganasan.

Gelombang perubahan terasa tatkala majoriti rakyat Malaysia berani keluar menyokong perubahan. Kehadiran ratusan ribu rakyat berhimpunan dengan perbelanjaan, kudrat dan kesedaran mereka sendiri tanpa perlu disogok beras, gula, imbuhan wang ringgit dan sebagainya malah sanggup berhujan berpanas memberi tamparan hebat kepada Mohd Najib Abd Razak dan BN. Namun seperti biasa BN dan media tunggangan mereka terus 'living in denial'. Berita-berita perdana mengkhabarkan kegagalan perhimpunan dan ceramah PR. Mereka menyiarkan gambar dan video kerusi kosong yang diambil 2-5 jam lebih awal. Mereka melaporkan angka Himpunan Duduk Bantah BERSIH 3.0 sekitar 23,000 manakala Himpunan Kebangkitan Rakyat 113 hanya 45,000 sedangkan masing-masing mencatat lebih 100,000 dan 150,000 penyertaan.

Usaha mentransformasikan BPR kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilihat enteng dan tidak relevan di mata rakyat. Selagi Suruhanjaya-Suruhanjaya bernaung di bawah kerajaan selagi itu rakyat meragui integriti dan keperluan penubuhannya. Seperti SPR, SPRM yang sepatutnya bebas dan bernaung di bawah DYMM Seri Paduka Baginda dan Parlimen diletakkan dibawah Jabatan Perdana Menteri di mana Perdana Menteri. Bagaimana mungkin tuduhan rasuah atau salahguna kuasa dan siasatan terhadap beliau, menteri-menteri, ketua-ketua jabatan dan agensi, ketua-ketua bahagian serta ahli-ahli parti politik dan keluarga beliau dapat dilaksanakan secara bebas dan adil tanpa campurtangan?

BN berkali-kali dituduh memperalat kakitangan awam termasuk golongan pendidik, pasukan keselamatan dan sokongan, golongan kurang upaya, warga tua, siswa universiti serta pelajar sekolah supaya menyokong aktiviti mereka. Setiap kali pemimpin BN turun padang beribu-ribu dipaksa berhimpun meraikan majlis mereka. Berjuta wang pembayar cukai diguna untuk menaja pengangkutan, juadah, penginapan malah saguhati kepada warga terperdaya ini. Semakin hampir pilihanraya semakin kerap BN pusat dan negeri mengadakan mesyuarat, seminar, perhimpunan dan keraian atas nama Kementerian, Jabatan dan Agensi kerajaan mengunakan dana dan kemudahan awam sewenang-wenangnya.

BN menggunakan kedudukan mereka sebagai Kerajaan dan Menteri Pusat menawarkan pelbagai projek segera melalui perbelanjaan tambahan yang tidak dibahaskan bernilai berbillion ringgit demi meraih sokongan. Semenjak setahun lalu Mohd Najib Abd Razak telah banyak menabur janji. Undi kaum Tionghua Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor sudah tidak memihaknya sejurus terbongkarnya salahguna kuasa dan penipuan wang rakyat berbillion ringgit oleh pemimpin UMNO dan MCA.

Mohd Najib Abd Razak bergantung harap kepada undi di Kelantan, Pahang, Sabah dan Sarawak di mana 80% rakyatnya Bumiputera sekaligus membantu memenuhi impiannya merampas kerusi parlimen dari PAS dan PKR. Namun Mohd Najib Abd Razak hadapi jalan sukar terutamanya di negeri Kelantan kerana rakyat negeri itu tidak lupa bagaimana UMNO telah menyekat lebih 118 projek yang diluluskan Putrajaya setelah mendapat kerjasama kerajaan negeri. Royalti minyak melebihi RM1 billion dinafikan selain meneruskan dasar diskriminasi, mengkhianati Islam dan demokrasi. Di Sabah Najib Razak menghina rakyat Kelantan sebagai rakyat paling miskin namun ketika di Kelantan beliau merayu diberi undi pada PRU13 nanti atas nama jihad menentang kerajaan Islam PAS.

Calon-calon BN mempunyai akses kepada dana awam bermurah hati ‘menderma’ ketika berkempen. Bekas Menteri Kanan BN Kadir Sheikh Fadzil mengakui BN pernah menabur ‘one-off’ sehingga RM1,000 amalan yang digelar ‘bomb’ untuk membeli undi. Pilihanraya kali ini kegiatan tersebut dikesan berlaku semula di negeri-negeri pantai barat Semenanjung yang dikuasai PR.

Selepas kejayaan meraih populariti dari hasil pemberian one-off BR1M pada 2011-2012, Mohd Najib Abd Razak mengumumkan pemberian pusingan kedua BR1M serta siri-siri bantuan 1 Malaysia lain yang bakal diserahkan kepada mereka yang layak selewat-lewatnya March 2013. Pemberian bantuan-bantuan ini diterima bercampur-campur dengan ada yang memuji ‘kemurahan’ kerajaan BN, tak kurang yang mengaitnya umpan pilihanraya. Apapun rakyat perlu disedarkan nilai pemberian bantuan ini.

BR1M RM500 setahun atau RM1.37 sehari. Bantuan 1 Malaysia kepada Pesara Tentera tidak berpencen RM1000 ‘one off’ atau kurang RM0.55 sehari bagi mereka yang berkhidmat minima 5 tahun. Bantuan Sekolah 1 Malaysia RM100 setahun atau RM0.27 sehari. Bantuan Buku 1 Malaysia RM250 setahun atau RM0.68 sehari. Bantuan Telefon Pintar 1 Malaysia RM200 ‘one off’ atau RM0.55 sehari. Melihat angka-angka ini sudah cukup menjelaskan betapa murahnya kedudukan rakyat di mata Putrajaya ketika menteri dan anak-isteri mereka berbelanja beribu ringgit sehari menggunakan dana awam sewenangnya. Manakala pemberian bantuan buku dan telefon tertahluk kepada terma dan syarat yang mana pasti mengkayakan kroni dan ahli keluarga mereka. Berbaloikah dengan mengadaikan satu undi untuk seribu dua ringgit dan kehidupan penuh cabaran 5 tahun mendatang?

Mohd Najib Abd Razak telah mengaku secara terbuka kesilapan dan kegagalan BN mentadbir negara selama berpuluh tahun. Ucapannya di’echo’ Mahathir Mohamad dengan memberi jaminan pasukan BN yang bertanding pada PRU13 merupakan pasukan baharu yang lebih baik. Ketika ditanya apakah perubahan dasar yang dibawa pasukan ‘calon boleh menang’ tersebut mereka berdua tidak lebih dari menyatakan pasukan paling bersih. Apa jaminan calon BN kali ini bersih? Sekiranya mereka benar bersih, mampukah mereka kekal bersih tatkala bergelumang bersama-sama pengamal rasuah dan penyalahguna kuasa yang lepas bebas dalam parti dan kerajaan?

Mohon maaf Mohd Najib Abd Razak perlu disertai keikhlasan membenarkan PR menguruskan negeri paling maju Selangor dan Penang selain Kedah dan Kelantan dengan aman atas mandat yang diberi rakyat negeri tersebut. Beliau sepatutnya tidak menyukarkan pengambilalihan pengurusan sisa pepejal dan pengurusan aset air negeri yang bernilai lebih RM10 billion oleh kerajaan PR Selangor dengan mengorbankan kroni UMNO pemilik Alam Flora dan SYABAS. Sebaliknya beliau membenarkan Rozali Ismail tuan empunya Puncak Niaga dan Bendahari UMNO Selangor menggunakan keperluan asas air mengugut dan menganiaya puluhan ribu penduduk Ampang, Wangsa Maju serta Bandar Tun Razak kesemuanya wilayah Parlimen PKR untuk mengsabotaj kerajaan negeri Khalid Ibrahim.

Sekiranya semangat Persekutuan dilunaskan mengikut perjanjian Persekutuan Tanah Melayu dan penubuhan Malaysia, negeri PR sewajipnya mendapat layanan dan bantuan menguruskan negeri seperti negeri dikawal BN. Malangnya kemunafikan UMNO yang kononnya berjuang demi bangsa Melayu terus membiarkan negeri-negeri majoriti Melayu seperti Kelantan, Terengganu dan Perlis mundur. Royalti minyak seperti termaktub di dalam Akta Pengunaan Petroleum yang dibentangkan di Parlimen oleh Tengku Razaleigh Hamzah pada tahun 1974 hasil carigali di persisir pantai bernilai berbillion ringgit setahun telah dinafikan. Penemuan telaga minyak di wilayah pantai Kelantan dan Terengganu diputarbelitkan, satu penderhakaan kepada Tuanku Sultan dan rakyat Kelantan dan Terengganu.

BN telah lama menerajui Persekutuan Malaysia, mempunyai akses kepada cukai dan pendapatan dari pelaburan langsung perbadanan dan syarikat berkenaan kerajaan. Bukan sahaja BN menafikan sumbangan negeri-negeri PR kepada Persekutuan, malah menyekat peruntukkan kepada mereka. BN menubuhkan Majlis atau Badan mesra Persekutuan untuk menyalurkan sumbangan terus kepada rakyat tanpa melalui kerajaan negeri dengan alasan kerajaan negeri PR akan menyalahguna dana tersebut. Sungguhpun tertubuh pelbagai organisasi berhubung terus dengan kerajaan Pusat hak rakyat tetap gagal disalurkan sepenuhnya dek kerana amalan rasuah dan salahguna kuasa yang berakar dikalangan penjawat awam dan ahli politik mereka.

Sektor kesihatan, pendidikan, pengangkutan, pengurusan air dan sumber asli, kewangan, keselamatan dan perundangan adalah di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan. Makanya kerajaan negeri terutamanya dipimpin kerajaan PR tidak mampu melaksanakan pelan berkaitan sektor tersebut kerana di luar bidang kuasa mereka yang termaktub dalam akta serta kekangan sumber kewangan. Misalnya menaik-taraf jalanraya Persekutuan adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Kerja Raya dan peruntukkan diberi terus kepadanya.

Melayu UMNO membudayakan amalan mengaib peribadi dan melondeh kehormatan diri sesiapa sahaja yang tidak memperakui dan sebulu dengan mereka. Selepas Anwar Ibrahim dan keluarga, Ustaz Nik Aziz Nik Mat, Lim Guan Eng, Karpal Singh, Azmin Ali dan terkini Ustaz Abd Hadi Awang pula menjadi mangsa. Mengambil iktibar dari Perhimpunan Agung UMNO lalu, UMNO tidak langsung menunjukkan tanda-tanda berubah sebaliknya terus berpasak pada perjuangan peribadi. Mereka menuduh PKR, PAS dan DAP parti anak beranak sedang UMNO, MCA, MIC, PBB dan SUPP sebuah parti kaum kerabat, bukan sahaja ahli keluarga saudara mara turut mendapat jawatan dan imbuhan.

Mohd Najib Abd Razak mahu dilihat ‘natural’ dengan tidak memihak mana-mana parti dalam BN. Cara itu mempopularkan beliau sebagai Perdana Menteri rakyat Malaysia. Maka tidak hairan rating populariti beliau berada dalam julat 50-65% semenjak 2011 berbanding partinya BN dibawah 50%. Strateginya meraih sebanyak mungkin sokongan seluruh rakyat Malaysia dengan membiar UMNO dan NGO mesra BN menghentam dan melabel PAS menjadi kuda DAP manakala membiar MCA menuduh DAP tunduk kepada agenda negara Islam PAS. Mereka menggunakan parasit-parasit dalam PR yang berpaling tadah mengsukseskan strategi tersebut. Parasit-parasit yang berpaling dari PR dianggap wirawan dan wirawati. Mereka dirai dan diarak berceramah seluruh negara, dijamin keselamatan dan dianugerahkan darjat dan jawatan seperti Datuk dan Senator.

Parasit-parasit BN dan bekas pegawai teringgi kerajaan yang menyokong PR digelar pengkhianat bangsa dan perosak negara. Lihat sahaja bagaimana mereka melayan bekas menteri kanan BN Kadir Sheikh Fadzil, Tamrin Ghaffar, Chua Jui Meng, Muhammad Mohd Taib, bekas Ketua Polis Negara Musa Aman, bekas orang nombor 3 PDRM Fauzi Shaari, bekas orang nombor 3 Jabatan Peguam Negara Yusof Zainal Abiden, bekas pegawai tertinggi Tentera Udara Abdul Hadi Abdul Khattab, pakar perlembagaan Abdul Aziz Bari dan ramai lagi yang memihak atau menyertai PR. Memetik kata Mahathir Mohamad - yang pandai sertai PAS, yang bijak sertai PKR, yang pintar sertai DAP. Maka kita sedia maklum yang tinggal dalam UMNO dan BN itu jenis apa.

Jelak dengan permainan pilihanraya BN ramai bekas wakil rakyat dan ahli politik komponen BN meninggalkan parti dan menyertai PR. Di Sabah Ahli Parlimen Beufort Lajim Ukin, Ahli Parlimen Tauran Wilfred Boomboring, bekas Timbalan Menteri Luar Bandar Yahya Lampong dan bekas Bendahari UMNO Sabah Ibrahim Menudin telah meninggalkan BN. Terbaharu bekas Menteri Besar Selangor Muhammad Mohamad Taib.

Ketika gendang pilihanraya makin kuat dipalu, sepertimana penggal-penggal sebelum ini kerajaan Pusat mula menambahbaik prasarana awam seperti jalanraya hingga ke pintu rumah. Kegagalan menyelenggara jalanraya pada skala sepatutnya mendedahkan rakyat kepada beban kos sengaraan kenderaan melampau serta risiko terlibat dalam kemalangan dan meragut nyawa juga tinggi. Tidak hairanlah kadar kemalangan di Malaysia antara yang tertinggi di dunia.

JKJR melaporkan kecuaian pengguna faktor kemalangan maut lantaran mengiyakan ketegasan JPJ untuk melaksanakan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang dikatakan mampu mengurangkan kadar kemalangan. Beban diletakkan kepada penguna jalanraya semata-mata, tidak langsung mengaitkan faktor kelemahan struktur dan kualiti pembinaan, kelemahan ciri-ciri keselamatan serta kegagalan kerajaan atau pemegang konsensi menyelia jaringan jalanraya. Rakyat dibebani tol (caj penggunaan) lebuhraya malah saban tahun terus meningkat sedangkan hutang pembinaan telah lunas sepenuhnya. Najib Razak membiar kroni BN mengaut untung dengan meneruskan kutipan malah melanjutkan perjanjian konsensi tol Lebuhraya Utara Selatan dan Jambatan Pulau Pinang.

Bangunan sekolah-sekolah, institusi-institusi pengajian, klinik, hospital, terminal bas, feri, keretapi, bekalan air dan elektrik serta kemudahan awam yang lain hanya dibaik pulih atau dinaik taraf menjelang pilihanraya sedang rakyat menyumbang cukai pendapatan, cukai perniagaan, cukai perkhidmatan kerajaan, cukai jalan dan pelbagai cukai-cukai lain setiap tahun. Rakyat berhak mendapat perkhidmatan dan kemudahan berkualiti setiap hari, bukan ketika musim mengundi sahaja.

Perang psikologi antara Wakil Rakyat dan Senator BN dan PR di dalam dan luar Dewan Rakyat dan Dewan Negara lebih menjurus kepada hal-hal peribadi, bukan lagi mengenai kepentingan umum. Intelektual dan integriti Wakil Rakyat kita terus dipersoal bukan sahaja dari kalangan rakyat malah pemerhati antarabangsa. Makanya tiada lagi siaran langsung perbahasan di kaca TV. Sekiranya disiarkan rakyat bertambah jelak dan marah terhadap wakil mereka yang menjadi jaguh maki hamun dan hero parti dari membahas usul-usul kepentingan negara.


Kelemahan sistem demokrasi di Malaysia disumbang kegagalan Wakil Rakyat memahami dan melaksanakan tanggungjawab. Mereka sepatutnya bekerja untuk rakyat bukan parti atau kerajaan mereka anggotai. Wakil Rakyat dan kakitangan awam bukan kakitangan BN. Ini kerana rakyat yakni orang awam, pengundi dan pembayar cukai yang mengangkat mereka ke jawatan dan membayar gaji serta keselesaan wang ringgit. Jadi siapa sebenarnya patut mereka taat?
 
Kemarahan rakyat sebenarnya bukan pada BN. Rakyat telah sekian lama memilih BN sebagai penyambung wadah perjuangan nenek moyang mereka mengemudi Malaysia ke arah kemakmuran dan kesejahteraan. Yang rakyat marahkan ialah pemimpin-pemimpin dalam UMNO, MCA dan MIC hari ini yang angkuh, jahil, tamak dan zalim kepada rakyat yang mengangkat kedudukan mereka. Mereka mengaut keuntungan dari hasil penat lelah rakyat dan menjalani kehidupan bangsawan dalam sistem penghambaan moden. Masakan mereka masih seorang pejuang yang sanggup mati demi bangsa dan negara Malaysia tercinta sedang mereka sibuk memindahkan kekayaan ke luar negara.

Tiada seorang pon dari kalangan Mahathir Mohamad, Abdullah Ahmad Badawi dan Mohd Najib Abd Razak yang berusaha meredakan ketegangan ini. Calon BN hingga saat ini memberi pelbagai alasan untuk tidak mengistihar harta kekayaan mereka. Mereka meminta-minta dan berlumba-lumba untuk jawatan dan kedudukan dalam parti, kerajaan dan masyarakat. Mereka bersifat dengan sifat munafiq, bercakap soal aqhirat dalam masa sama menjadikan amalan rasuah, zina, arak dan judi sebagai hobi. Mereka hanya boleh dilihat dan didekati ketika menjelang pilihanraya. Adakah Mohd Najib Abd Razak mahukan golongan ini diterima rakyat?