Saturday, September 24, 2016

Memilih PM

Negara-negara barat yang ke semuanya kafir/liberal menjadi maju kerana mereka mempraktikkan prinsip-prinsip yang dianjurkan Islam dalam pentadbiran walaupon bukan atas nama Islam. Sebagai contoh mereka sedar membiar Presiden atau Perdana Menteri kekal lama di kerusi kuasa boleh mendorong berlakunya salahguna dan pemusatan kuasa. Mereka juga sedar membiarkan hanya segelintir individu menentukan kepimpinan negara boleh mencemar prinsip syura (perbincangan dan persepakatan) dan melanggar prinsip keadilan.

Di zaman sahabat Pesuruh Allah dan sahabat kepada sahabat Pesuruh Allah tidak ada Khalifah yang memerintah bertahun-tahun lama. Pertukaran berlaku bilamana timbulnya ketidakpuasan di kalangan anggota majlis syura, yang keahliannya adalah semua ketua atau wakil puak dan suku di Semenanjung Arab. Dalam konteks politik moden ia adalah ketua parti-parti pemerintah dan pembangkang. Itulah kaedah yang diperturunkan As Siddiq dalam melantik kepimpinan dan ia terbukti mampu mencegah salahguna dan pemusatan pengaruh-kuasa.

Di Malaysia, jangankan kaedah demokrasi barat di mana Presiden negara dipilih rakyat, memberi kuasa memilih secara syura (pemilihan secara Islamik) oleh ketua-ketua puak atau kaum juga tidak pernah berlaku. Ini kerana menjadi tradisi (bukannya peruntukan Perlembagaan) pemenang kerusi Presiden UMNO automatik menyandang jawatan PM. Ia tidak memerlukan persetujuan parti komponen MCA, MIC atau Gerakan apatah lagi persetujuan parti-parti pembangkang PAS, PKR dan DAP walau pembangkang juga mewakili warga berdaulat yang sama-sama menyumbang kepada negara. Sungguhpon begitu sebahagian kita terus berbangga melaungkan Malaysia negara Islam. Kita patut mula melihat ke dalam diri dan bertanya Islamnya Malaysia di mana.

Saya pernah menganjurkan dalam posting terdahulu sebaik-baik kaedah melantik PM adalah menyerahkannya kepada seluruh anggota Dewan Rakyat. Ini bertepatan dengan fungsi PM sebagai Ketua kepada seluruh rakyat, parti pemerintah dan parti pembangkang, bukan semata-mata sebagai Presiden/Pengerusi parti pemerintah. Lebih afdal menyerahkan hak memilih PM dan Kabinetnya kepada seluruh rakyat Malaysia dengan jawatan PM dipertandingkan. Manakala jawatan-jawatan Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Ketua Pesuruhjaya SPR, Gabenor Bank Negara, Ketua Hakim Negara, Peguam Negara mesti melalui proses pemilihan ketat oleh Majlis Raja-Raja. Ini menyukarkan salahguna kuasa kerana mana mungkin mampu seorang calon merasuah 30 juta rakyat atau 14 juta pengundi atau suku juta penjawat awam untuk jawatan tertinggi negara berbanding sekarang yang mana calon hanya perlu memberi dedak kepada 180 ketua bahagian. Insha'Allah dengan terlaksananya cadangan ini maka masalah salahguna kuasa mampu dibendung dari awal dari menjadi malignant seperti hari ini.

Saya percaya di Malaysia rakyat tidak kisah berapa lama seseorang itu menjawat kerusi PM selagi beliau berlaku adil, jujur dan amanah. Lantas kaedah menghadkan penggal kuasa PM sahaja tidak berkesan. Kerusi PM dipertandingkan adalah jawabannya.

Monday, September 5, 2016

Kuasa Doa

Posting sebelum ini pernah menyuarakan keperluan Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim melupakan perselisihan antara mereka, berlapang dada dan kembali bersatu membentuk semula gandingan dan membina gemilangan era 1990an demi negara tercinta. Malah doa demi doa dipanjatkan moga Allah membuka hati Tun untuk mengakui perkara yang dari dahulu patut  diakuinya. Hari ini Allah s.w.t membuka jalan kemakbulan keluh rintih rakyat yang mencintai kedamaian.

Gembira tidak terkira melihat pertemuan bersejarah hari ini. Semoga ia menjadi petanda baik kepada nusa bangsa hari ini dan hari-hari mendatang. Alhamdulillah, Insha'Allah.