Friday, May 8, 2015

Zahid Yang Positif

Sejurus selepas Suruhanjaya Pilihanraya mengumumkan Parti Keadilan Rakyat memenangi PRK semalam sekaligus mengekalkan kerusi Parlimen Permatang Pauh, Naib Presiden Kanan UMNO Ahmad Zahid Hamidi membuat sidang aqbar. Dalam sidang aqbar tersebut Zahid menegaskan antara punca kekalahan BN adalah Pakatan Rakyat telah memanipulasi isu nasional.
 
Malah demi mengambil hati jentera BN dan dirinya sendiri selaku Pengarah Pilihanraya yang sebelum ini terlalu yakin dapat menumbangkan Dr Wan Azizah Wan Ismail, Zahid menambah keputusan PRK kali ini menunjukkan terdapat simptom positif terhadap BN. Beliau juga menegaskan 'angin perubahan' sedang melanda Permatang Pauh. Walaupon ramai pengundi dan penyokong PR menganggap kenyataannya itu lucu dan syok sendiri, hujah Zahid sebenarnya berasas.
 
Maksud positif Zahid itu perlu dilihat dari perspektif survivalship UMNO. Selepas Regim berjaya memecah-belahkan kepimpinan PR pusat, PRK kali ini mereka berjaya pula memperok-peranda kepimpinan PR negeri di antara geng ustaz PAS dengan PKR dan DAP. Kesannya umum boleh melihat betapa keras terpacak keangkuhan Pemuda dan Ulama PAS kawasan sehinggakan Presiden PKR sendiri terpaksa turun merayu sokongan mereka ketika Haji Abd Hadi Awang terus berdiam diri mengguna strategi Mohd Najib Abd Razak.
 
Regim turut berjaya mengalih sokongan pengundi Permatang Pauh. Sedikit perselisihan yang membawa kepada ugut mengugut sudah memadai merimaskan penyokong seterusnya mengurangkan keyakinan mereka terhadap PR. Buktinya BN beroleh peningkatan 0.4% dengan sokongan kaum Cina sedikit teralih kepada mereka di Dun Seberang Jaya dan Penanti.
 
Inilah hasil kebijaksanaan usaha-tak-sama 'Unity Government' dan 'Hudud' UMNO yang  masih dipercayai Pemuda dan Ulama PAS sebagai rahmat selepas hujan. 
 
Zahid tahu 'jarum' UMNO selalunya mengena, terutamanya ke atas 'ulama' PAS. Kesannya Dr Wan Azizah kehilangan hampir 3 ribu undi ketika sentimen nasional membuak-buak kemarahan terhadap Regim. Jika tidak kerana geng ustaz memboikot atau membelot dengan mengundi selain PKR, Permatang Pauh sebenarnya mampu memberi kejutan lebih besar.

Sepandai-pandai Zahid, pandai lagi pengundi Permatang Pauh. Bukan semua ahli dan penyokong PAS sekeras Pemuda dan Ulama. Pemimpin boleh bertegang urut bertelanjang kain mempertahankan asas-asas mereka akan tetapi yang memberi kata putus (mengundi atau tidak) adalah penyokong parti yang ramai itu.

PR mampu mengekalkan kerusi Parlimen Permatang Pauh kerana pengundi dan pemimpin PKR, DAP dan PAS kekal istiqamah dalam perjuangan menentang kejahatan dan kezaliman Regim. Keputusan PRK Permatang Pauh telah mencerah dan mengiakan gosip kedai kopi bahawa sebahagian politikus sanggup membelakangi penyokong sendiri dengan memberi tali hayat kepada 'golongan yang dahulu mereka kafirkan' semata-mata memenuhi matlamat jangka pendek yang mana Zahid yang positif ada sumbangan besar ke atasnya.

No comments:

Post a Comment