Thursday, August 9, 2018

SST vs GST

Ramai yang marah-marah dengan keputusan kerajaan memansuhkan GST dan mengembalikan SST. Mereka memetik pengakuan Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa GST lebih telus dari SST.

Ada beberapa kemungkinan mengapa perkara ini berlaku.

1. Ketakutan SST lebih mudarat dari GST

Ramai bekas Menteri mempromosikan GST sebagai cukai telus yang akan menurunkan harga barang. Namun selepas setahun perlaksanaannya ternyata harga barang semakin hari semakin naik dan kuasa ringgit rakyat semakin menyusut.

Pengalaman ini membina persepsi negatif rakyat terhadap pengenalan cukai baharu oleh pemerintah.

2. Kejahilan memahami mekanisma cukai

GST adalah cukai pelbagai peringkat. Maksudnya cukai ini dikenakan hampir di semua peringkat. Dari pembekal, pembuat, pemborong, peruncit hingga ke pembeli. Barang-barang yang tidak dicukai di peringkat akhir (pengguna akhir) tidak semestinya tidak dicukai.

Sebotol minyak masak tidak dikenakan GST kepada pengguna akhir tetapi dicukai ke atas pembekal bahan dan pembuat. Begitu juga kesnya sebungkus roti. Itulah sebabnya selepas GST dilaksanakan harga minyak (selain faktor pemansuhan subsidi) dan roti tetap naik.

Majoriti barang dan perkhidmatan dalam sistem ekonomi negara dikenakan GST.

SST pula cukai satu peringkat. Ia hanya dikenakan di peringkat akhir (pengguna akhir). Kadarnya lebih tinggi berbanding GST akan tetapi jauh lebih baik dari 6% untuk setiap peringkat. SST dicukaikan sekali ke atas end product.

Berbanding GST, SST dikenakan ke atas barang dan perkhidmatan tertentu yang majoritinya dibeli dan diguna oleh kumpulan berpendapatan sederhana dan tinggi.

3. Kegagalan mengkaji

Rata-rata yang menzahirkan kemarahan adalah mereka-mereka yang

a) tidak berbelanja di zaman adanya SST maka tidak mengetahui perbedaan dan manfaatnya

b) yang berbelanja di zaman adanya SST namun melebihi tahap kemampuan dan keperluan. Pemborosan menyebabkan mereka gagal menabung sekaligus menambah beban hutang. Sedikit perubahan kepada kaedah pencukaian memberi kesan kepada situasi kewangan mereka.

Kerajaan hari ini dilihat lebih berhati-hati memberi komitmen dalam hal berkaitan polisi umum. Menteri tidak memberi jaminan dengan perlaksanaan SST harga barang lebih rendah (seperti jaminan Menteri terdahulu semasa perlaksanaan GST) namun memberi keyakinan harga barang tidak lagi melambung tinggi.

Samada GST atau SST, kerajaan terpaksa mengenakan cukai untuk kelangsungan negara. Kerajaan tidak dapat meneruskan aktiviti pemangkinan ekonomi dan kemakmuran tanpa dana mencukupi, khususnya ketika perbendaharaan menanggung beban hutang melebihi MYR800 billion.

SST masih belum dilaksanakan. Berilah keadilan kepadanya. Tempoh 12-24 bulan memadai untuk melihat kesan baik buruknya kepada ekonomi rakyat.

GST lebih telus, tetapi SST lebih adil!

No comments:

Post a Comment