Saturday, March 2, 2019

Isyarat

Kerusi Semenyih kembali ke Barisan Nasional. Kerusi tersebut disandang Pakatan Harapan selama 9 bulan selepas menumpaskan BN pada PRU14 lalu. Namun pada PRK kali ini BN berjaya merampasnya semula.

Seperti PRK sebelum ini, PRK Semenyih memperlihatkan semua hardcore PH seperti Dr Mahathir Mohamad, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Anwar Ibrahim, Muhyiddin Yasin, Lim Guan Eng dan Mohd Sabu turun berkempen. Malangnya ia tidak membantu mengekalkan kerusi tersebut di bawah PH.

Kemenangan BN itu sudah diduga selepas mereka berjaya mengekalkan kerusi Cameron Highland. Kemenangan berturut-turut itu bukan kerana kerjasama UMNO-PAS diterima rakyat atau strategi solo Bossku lebih berkesan, sebaliknya kerana protes rakyat terhadap kerajaan PH. 

Rakyat memprotes kegagalan PH mengotakan janji manifesto, percakaran terbuka pemimpin dan penyokong komponen PH, kelemahan MB Selangor serta kedudukan agama Islam dan bangsa Melayu yang diancam secara terbuka. Protes mereka amat jelas di peti undi.

Secara ringkasnya keputusan PRK Semenyih boleh diterjemahkan sebagai isyarat rakyat kepada

1) Dr Mahathir Mohamad dan Kabinetnya supaya segera 

- perbaiki jurang ekonomi antara kaum

- perbanyak peluang pekerjaan dan perniagaan

- kurangkan kebergantungan kepada pekerja asing

- hukum salah urus dan salah laku di kalangan politikus, penjawat awam dan pegawai syarikat berkaitan kerajaan

- berhenti bercakap dan bertindak seperti pembangkang

- berhenti berbolak balik mengenai penyerahan kuasa

- berhenti menggunakan jawatan dan penjawat awam untuk memenuhi matlamat peribadi

2) Parti Peribumi Bersatu Malaysia supaya segera

- rapatkan saf, kukuhkan disiplin pimpinan dan ahli serta laksanakan agenda parti jika benar-benar mahu menganti UMNO

- hormati pilihan dan cadangan akar umbi

- hormati konsensus dengan parti-parti komponen PH termasuk sekutu Parti Warisan Sabah

- bergerak sebagai satu unit bersama dan setara parti-parti komponen PH bukannya sebagai alpha yang mendominasi

- berhenti menerima kemasukan beramai-ramai opportunis UMNO mengguna alasan majoriti 2/3 di Dewan Rakyat

3) pemimpin dan penyokong bukan Melayu PH supaya segera

- berhenti melangkah garis nyata hak istimewa dan kepentingan bangsa Melayu dan Raja-Raja mereka

- berhenti mempersenda dan mencabar Islam sebagai agama rasmi, Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, Raja-Raja ketua agama dan adat istiadat Melayu, bangsa Melayu dan orang asal sebagai bangsa peribumi

- berhenti memecahbelahkan kesatuan dan perpaduan bangsa Melayu

Seandainya Pakatan Harapan, baik pemimpin mahupon penyokong, tidak mahu memahami dan tidak bersungguh memenuhi perkara-perkara di atas tidak mustahil Rantau dan PRK selepasnya  akan dimenangi gabungan BN-PAS. Kemenangan BN nanti bukan kerana gabungan itu lebih baik, tetapi kerana PH semakin buruk dan teruk.

Sudah tiba masanya Dr Mahathir memikir dan mempercepatkan pelan peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim. Beliau dan barisan Menterinya mulai kehilangan kepercayaan rakyat. Jangan kerana jahil dan degil satu dua individu, seluruh PH tersungkur lebih awal manakala BN kembali di puncak kuasa.


No comments:

Post a Comment