Thursday, October 20, 2016

Ta'awun dan RUU355

PAS dan UMNO adalah rakan taawun - Ketua Penerangan PAS. Matlamat PAS bukan Putrajaya - Naib Presiden/Timb Menteri Besar Kelantan. PAS bekerjasama dengan UMNO demi keredhaan Allah, PAS berpatah arang dengan DAP dan sedia bertanding tiga penjuru - Murshidul Am. PAS tidak mahu merampas kuasa UMNO tapi hanya mahu menjadi penasihat, PAS tidak takut kepada parti nyamuk, pembangkang akan melutut kepada PAS, PAS tidak akan bekerjasama dengan barua DAP (AMANAH dan PKR), PAS tidak bergantung kepada sesiapa, mampu bersendiri dan sedia bertanding tiga penjuru sekalipon di kerusi majoriti Cina - Presiden.

Kenyataan-kenyataan di atas menjelaskan pendirian dan kedudukan PAS selepas kemangkatan Almarhum Nik Abd Aziz Nik Mat. Tiada lagi kedengaran mereka membangkang UMNO seperti kelaziman semenjak penubuhannya sebaliknya mereka lebih bersemangat membangkang pembangkang dan menjadi mesra Regim.

Ketika majoriti rakyat Malaysia dan wakil rakyat pembangkang menolak Belanjawan 2016 yang dibentangkan di Dewan Rakyat wakil PAS memilih berkecuali. Ketika majoriti rakyat mencurigai alasan derma MYR2,600,000,000.00 dan pendedahan aliran uwang itu ke akaun peribadi Mohd Najib Abd Razak pemimpin PAS mempertahankannya serta menuduh rakyat dan pembangkang sebagai jahil mempercayai Najib akan menerima uwang sebesar itu ke dalam akaunnya.

Ketika rakyat menghentam Najib dan meminta siasatan ke atas 1MDB dibuka semula berikutan pendedahan Jabatan Keadilan Amerika pemimpin PAS mengikut rentak UMNO menuduh cubaan campurtangan kuasa asing dalam urusan negara malah menuduh pemimpin pembangkang bersubahat. Ketika Muhyiddin Yassin dan Mukhriz Mahathir digugurkan dari jawatan dan dipecat dari UMNO kerana mengkritik isu berkaitan 'derma Raja Arab' dan pelaburan 1MDB pemimpin PAS menari joget UMNO dengan memuji pemecatan tersebut malah menuduh Dr Mahathir Mohamad dalang menjatuhkan Najib melalui rampasan kuasa dan demi menaikkan anaknya.

Adakah, selama geng Taliban menguasai Jawatankuasa PAS Pusat semenjak 2015, menampakkan PAS sedang 'menasihati' UMNO demi kebaikan rakyat dan negara?

Adakah PAS membantah tindakan Regim yang melampau menekan rakyat seperti perlaksanaan GST pada kadar 6%? Adakah PAS menolak 'pelarasan' tambang pengangkutan awam dan tol lebuhraya, penghapusan subsidi minyak dan penetapan harga pam yang tidak selari harga minyak dunia, penghapusan subsidi makanan utama seperti gula dan tepung serta penurunan dan pembekuan tawaran biasiswa kepada pelajar kurang mampu? Adakah PAS mencemuh sekatan kebebasan berhujah, bersuara dan berkumpul yang dijamin Perlembagaan serta kemasukan warga asing yang berleluasa yang bukanĵ sahaja merampas peluang perkerjaan dan menganggu perniagaan anak tempatan malah mengancam keselamatan diri dan harta benda rakyat? 

Adakah PAS mengutuk penangkapan individu-individu yang mendedahkan penyelewengan, salahlaku dan salahurus dana rakyat oleh syarikat-syarikat berkaitan kerajaan dan jabatan awam serta tindakan samseng UMNO menyerang konvoi Bersih hampir di seluruh negara? Umum bertanya adakah pemimpin PAS sudah buta tidak dapat melihat dan mencela jenayah rompakan dana dan rampasan kebebasan yang dilakukan Regim terang-terangan?

Suara PAS tenggelam dalam mengutuk kebobrokan UMNO sebaliknya lidah, tangan dan pena mereka bergetar dan terarah kepada DAP, AMANAH dan PKR. Tindak tanduk pemimpinnya menentukan maqam 'parti Islam' itu sekarang berbanding yang dahulu. Mereka terlalu membesarkan Undang-Undang Syariah buatan manusia sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap masalah ekonomi, pendidikan, kesihatan dan keselamatan rakyat sedang mereka mengambil gaji dan elaun Wakil Rakyat. Mereka tidak mampu membedakan jawatan dan tugas antara parti, mesjid/majlis agama dan Dewan Rakyat namun mereka berhajat besar memimpin negara.

Hujah Hudud/Undang-Undang Syariah hanyalah alat geng Taliban menguasai jawatan dalam parti. Dan untuk mengekalkan sokongan jemaah kepada mereka selepas menyingkirkan golongan professional yang disenangi Nik Abd Aziz secara blok mereka beralih kepada pemerkasaan Mahkamah Syariah atau RUU355. Ketika segala temberang mereka sudah pecah dan jemaah mula mendekati AMANAH, mereka menggunakan UMNO dan alasan keredhaan Allah untuk menghalang penghijrahan keluar beramai-ramai. Selain untuk memulihkan kepercayaan jemaah RUU355 bertujuan mengugut PKR agar menjauhi AMANAH dan DAP (mengagalkan Pakatan Harapan). Tindakan bekerjasama dengan UMNO menguatkan ugutan tersebut. PAS sanggup bekerjasama ke tahap mewujudkan pertandingan tiga penjuru dengan PKR-AMANAH-DAP. Semua tahu tindakan itu bakal memenangkan UMNO/BN. Ketika menekankan mesej berpatah arang PAS benar-benar bermaksud mereka sanggup kalah pilihanraya asalkan PKR-AMANAH-DAP tidak menang kerusi, asalkan Melayu dan Muslim UMNO menang, meskipon keMelayuan dan keIslaman UMNO itu lama menjadi persoalan.

Buat pemimpin parti-parti pembangkang usahlah membuang masa melayan pemimpin sesumpah ini. Mereka memilih merendahkan taraf diri dengan tindakan-tindakan mereka lewat ini. Biarlah sejarah dan anak cucu mereka mencela dan menghukum mereka suatu hari nanti kerana bersubahat memenangkan Regim yang celaka demi kuasa dan niqmat dunia, bukan demi keredhaan Allah!

No comments:

Post a Comment