Sunday, October 16, 2016

Najib Mengurus

Beberapa hari lagi Mohd Najib Abd Razak selaku Menteri Kewangan akan membentangkan Belanjawan 2017. Majoriti rakyat pesimistik akan Belanjawan kali ini dan meramalkan khabar yang mendukacitakan.

Tiada gula-gula yang dapat menceriakan rakyat ketika hutang negara hampir mencecah MYR1 trillion (baca MYR1,000,000,000,000.00). Dengan pasaran minyak dunia terus tidak menentu ditambah tekanan persaingan ke atas komoditi tempatan oleh negara-negara serantau, kerajaan tidak mampu lagi bergantung kepada hasil dan dividen minyak, kelapa sawit dan getah untuk mengumpul dana. Umum meramalkan kerajaan akan menghapuskan subsidi, meningkatkan kadar cukai dan mewujudkan cukai baharu sebagai langkah terdepan dan termudah untuk menambah hasil.

Cukai Pendapatan, Cukai Perkhidmatan Kerajaan (GST), Cukai Perniagaan, Cukai Jalan dan Cukai Kenderaan adalah antara cukai yang mampu menambah pendapatan kerajaan dengan mudah dan cepat. Cukai Gula dan seumpamanya bakal diperkenalkan dengan alasan untuk mengekang peningkatan penyakit kritikal. Cukai ini memberikan hasil lumayan kerana rakyat Malaysia adalah pengambil gula antara tertinggi di dunia.

Regim sedang membeli masa. Najib tidak akan mengumumkan 'pelarasan' untuk kesemua cukaian di atas secara sekaligus sebelum PRU kerana ia adalah tindakan mengantung diri. Beliau barangkali memulakannya dengan GST. Dengan kutipan melebihi MYR30,000,000,000.00 GST ternyata mampu menambah hasil kerajaan. Namun malangnya penambahan tersebut tidak mampu mengurangkan hutang-hutang termasuk jaminan hutang oleh kerajaan kerana Najib harus membelanjakannya ke atas projek-projek untuk merancakkan sektor ekonomi yang sedia malap sekaligus mengumpul dana pilihanraya Regim untuk membeli undi pada PRU14.

Belanjawan kali ini dilabel sebagai Belanjawan Pilihanraya. Desas desus semakin kuat mencadangkan PRU14 bakal diadakan seawal Mac 2017. Pilihanraya awal dapat membantu memulihkan reputasi Najib sebagai Menteri Kewangan yang sedia buruk di Malaysia dari jatuh ke tahap terburuk di dunia. Selain ekonomi negara yang bakal berdepan krisis besar pada 2018 kerana kegagalan membawa masuk pelaburan baharu semenjak dua tahun lalu, ekonomi global yang sedang menjurus ke arah kemelesetan bagai menambah garam ke luka. Manakala kes-kes mahkamah berkaitan 1MDB di beberapa negara termasuk Amerika, Switzerland dan Singapura bukan sahaja mencalar dan merosakan secara teruk reputasinya barangkali menjadi penamat kepada karier politiknya. Mendapat mandat baharu bukan sahaja dapat memulih malah mengembalikan keyakinan Regimnya untuk berdiri dibelakangnya dan terus mengurus negara secara 'Kaedah Najib'.

Persoalannya selepas begitu banyak cabaran yang timbul masih mampukah Najib memenangi PRU14?

Gula-gula dari Belanjawan kali ini, sekalipon tidak mampu mengembalikan majoriti undi kepadanya, ia tetap mampu beri kemenangan pilihanraya kepada Najib. Asasnya ialah kaum Melayu khususnya di kawasan luar bandar masih mudah terpedaya dengan sogokan cadangan projek berskala besar sekalipon saban tahun ia tidak pernah terlaksana. Melayu juga mudah terasa berhutang budi dengan sedikit sumbangan seperti sekampit beras, gula dan uwang saku. Maka undi majoriti Melayu akan memihak UMNO. Regim ada kemahiran tinggi membelenggu minda Melayu.

Jumlah warga asing di Malaysia kini menjangkau 5 juta orang. Sedikit bantuan dari angka sebesar itu mampu memenangkan Regim di kerusi-kerusi seluruh Malaysia. Warga asing ternyata telah dan sentiasa mewujudkan ancaman kepada keselamatan diri dan harta benda rakyat dan negara. Saban waktu kes-kes jenayah melibatkan mereka seperti rompakan, rogol, samseng, penipuan dilaporkan aqbar dan media sosial.

Jumlah sebesar itu juga adalah ancaman kepada kebudayaan bangsa dan keutuhan ekonomi. Selain merampas peluang pekerjaan dari anak bangsa mereka turut mengancam perniagaan anak tempatan. Regim tidak akan berhenti membawa masuk pendatang asing kerana selain keuntungan politik ia juga memberi laba perniagaan melalui 'partnership' dan 'capital funding' dalam syarikat-syarikat kapitalis.

Parti dan pemimpin pembangkang yang gemar bekerjasama atau mesra Regim juga menjadi faktor penyumbang kemenangan Najib. 10% kecenderungan bekerjasama dengan Regim pada hari ini mampu bertukar kepada 100% sokongan selepas PRU14. Mewujudkan pertandingan tiga penjuru sama seperti memberi kemenangan selesa kepada Regim.

Rakyat yang tidak gemar kaedah Najib mengurus negara, tidak rela menjadi hamba, kuli, pecacai dan barua yang bekerja siang malam untuk membayar hutang orang lain dan tidak sanggup menyumbang uwang (baca bayar cukai-cukaian) untuk manfaat warga asing, boleh memilih untuk menolak Belanjawan Pilihanraya Najib yang hanya bermanfaat setiap 4-5 tahun sekali. Lebih afdal pada PRU14 rakyat mesti menolak mana-mana calon BN.

Sistem yang rosak telah melahirkan ramai pelacur politik. Lantas PRU kali ini rakyat mesti lebih berhati-hati memilih (mengundi calon) kerana padahnya lebih buruk dari yang berlaku sekarang. Bahasa mudah, kalau lembu boleh bertanding sila pilih lembu dari calon BN atau calon mesra Regim. Hanya kaedah itu mampu mengajar Najib tatakelola mengurus negara dengan baik dan berhemah.

No comments:

Post a Comment