Saturday, March 13, 2021

Reset Malaysia

Prasangka dan kebencian rakyat terhadap politik makin hari makin menebal. Samada BN, PH atau PN, gabungan-gabungan tersebut pada pandangan umum sebagai sama saja. Politikus tak jujur pada janji dan tak setia pada pengundi. Tukar parti seperti salin pakaian. Demi kuasa, pangkat dan habuan, amanah dan kepercayaan diserahkan rakyat pada mereka seolah tiada makna.

Dinosaur-dinosaur politik dalam UMNO, PAS, DAP, PBB, PBRS, PBS, STAR, PKR, PAN, PWS, PPBM dan lain-lain bertanggungjawab menyemarakkan kebencian ini. Keangkuhan, kerakusan, kebodohan, kejahilan dan perseteruan politikus tanpa henti jadi punca segala kepincangan yang memangsakan rakyat dan negara.

Negara-negara serantau termasuk pengamal komunisma berlumba-lumba memajukan pembangunan, sistem pentadbiran dan hak asasi, tetapi penguasa dan politikus Malaysia berlumba-lumba menarik negara ke belakang. Pecah amanah menjadi KPI. Rasuah, salahguna kuasa dan permusuhan meruntuhkan asas-asas yang dibina nenek moyang kita sekaligus mengagalkan negara secara holistik.

Fokus terpesong dan politiking berlebihan khususnya ketika perang ekonomi dan krisis pandemik hanya melemahkan proses pemulihan malah menjerumus kejatuhan, di samping banyak cabaran-cabaran warisan yang status quo - ekonomi dikuasai beberapa kerat individu, kemajuan diterjemah dari angka-angka kosmetik lagi konservatif dan muhibah diukur pada acara sambutan keraian dan perayaan yang dipaksa dan ditaja kerajaan.

Malaysia perlu RESET. Cabang Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman perlu bebas sepenuhnya dari pengaruh satu sama lain. Pengaruh dan kuasa tanpa batas penguasa dan politikus ke atas penjawat awam dan aset negara perlu dihentikan. 

Badan-badan penting negara seperti JPN (Peguam Negara dan Pendakwaraya Negara), BNM, SPRM, SPR dan lain-lain mesti bertanggungjawab terus kepada Parlimen. Majlis Raja-Raja perlu kekal jadi payung dan tidak memihak.

Demokrasi perlu diperkasa. Kuasa menghukum serta merta wakil rakyat yang mungkir janji dan kuasa menuntut Kabinet/Pegawai Tertinggi yang gagal menjalankan tanggungjawab disingkirkan dari jawatan perlu dipulih dan dikembalikan kepada rakyat. Negara-negara maju sudah lama mengamalkannya.

Dunia hari ini zaman teknologi canggih dan berlalu pantas. Fokus jangka panjang bukan lagi sekitar 5 hingga 10 tahun. Parlimen dan DUN tak perlu tempoh 5 tahun untuk menguji kefungsiannya. Rakyat perlu memilih kerajaan baharu setiap 3 tahun. Parlimen dan DUN perlu berjalan genap 36 bulan, tak lebih dan tak kurang. 

Sekiranya Kabinet gagal menjalankan tanggungjawabnya rakyat berhak menuntut wakil mereka memilih Perdana Menteri/Ketua Menteri/Menteri Besar baharu di pertengahan penggal melalui referendum.

Undang-undang terpakai sama rata, dari penghuni Istana, penguasa hingga ke rakyat melata. Sikap berkecuali perlu dikekalkan di peringkat antarabangsa. Peluang rakyat untuk berilmu, berkerjaya, berniaga dan berbakti perlu sekata. Keharmonian kaum perlu jadi teras segala polisi dan hala tuju negara.

Runtuhnya sesebuah tamadun bangsa negara bukan kerana perubahan kerajaan, tetapi kerana sikap sesebuah kerajaan yang takut berubah dan takutkan perubahan. Negara akan aman makmur apabila pemerintah menghormati majikannya yakni majoriti rakyat yang memilih mereka! #ResetMalaysia



No comments:

Post a Comment